Wednesday 31 August 2011

Kad Ucapan Aidilfitri

Assalamualaikum w.h.t dan Salam Sejahtera

Hari ini,bersamaan 1Syawal,saya dan suami menerima dua keping kad ucapan sempena Aidilfitri.
Saya sungguh berbesar hati kerana masih ada yang mengingati kami dengan menghantar ucapan melalui cara "tradisional" ini(kad) sementelah sudah ramai yang sudah melupainya.

Kad pertama yang diterima datangnya dari sahabat saya dari Malaysia iaitu Iskandar Aerill,Devrin Jerk serta Oscar Pettigrew

dan kad yang kedua datangnya dari sahabat karib suami merangkap ahli parlimen Australia Barat, Hon. Ed Dermer.


Tuesday 30 August 2011

Salam Raya Dan Kemerdekaan

Assalamualaikum w.h.t, Salam Syawal dan Salam Kemerdekaan

Dahulu,ketika di bangku sekolah saya pasti tidak melepaskan peluang membaca dan melihat gambar serta ucapan Salam Aidilfitri Dari Perantauan yang disiarkan di dada akhbar tempatan (Malaysia) di sepanjang bulan Ramadhan.
Saya tidak pasti mengapa saya suka akan ruangan berkenaan,mungkin mahu melihat andai saya terjumpa sesiapa yang saya kenali,atau seronok melihat gambar pemandangan di luar negara yang indah dengan nama tempat yang sedap untuk disebut.

Zaman teknologi maklumat membawa seiring bersama Sampaikan Salam Aidilfitri ini.Beberapa tahun kebelakangan,ucapan tersebut boleh dihantar melalui internet sahaja.

Ya sekali lagi saya ulangi ,saya tidak pernah membayangkan satu hari nanti gambar saya pula akan disiarkan di dalam ruangan berkenaan.

Sudah dua tahun saya menyambut Aidilfitri di luar negara iaitu di bumi Kangaroo,Australia. Tahun lalu saya dapat menghantar gambar serta menyampaikan ucapan di Utusan Online dan begitu juga pada tahun ini.

2011
Sila klik di sini untuk melihat gambar dan ucapan dengan lebih jelas.
http://xtive.utusan.com.my/salam_perantauan/display.php?id=863

Kami yang berada di Melbourne Victoria menyambut Aidilfitri pada 31hb Ogos 2011 yang bersamaan juga dengan Hari Kemerdekaan Malaysia yang ke 54 tahun.
Gambar saya mengibarkan bendera Jalur Gemilang seperti di atas cukup membuatkan saya bangga menjadi rakyat Malaysia.


SALAM AIDILFITRI DAN SELAMAT HARI MERDEKA :-)

Monday 29 August 2011

Genap Tiga Tahun

Assalamualaikum w.h.t dan Salam Pertemuan

Hari ini genaplah tiga tahun pemergian ayahnda ku,Allahyarham Noordin Bin Ariffin.

Hanya kami sekeluarga yang merasai bagaimana sedihnya apabila kehilangan ayahnda tercinta disaat kami hampir menyambut kemeriahan 1 Syawal.

Yang pergi tetap akan pergi,tetapi yang masih hidup perlulah sentiasa membekalkan doa untuk yang sudah tiada.
Walaupun saya jauh di perantauan,ingatan dan doa saya untuk Allahyarham ayahnda tidak pernah putus setiap hari.

"Apak,adik merindui dan menyayangimu sehingga akhirnya...."


                                                                  Noordin Bin Ariffin
                                                                     AL- FATIHAH


*Untuk cerita panjang mengenai Allahyarham,sila ke entri yang bertajuk 30 Ramadhan,Oktober 2010*

Berbuka Puasa Dengan....

Assalamualaikum w.h.t dan Salam Pertemuan

Sudah berbulan-bulan saya teringin untuk menikmati ayam Kentucky Fried Chicken (KFC),akhirnya hari ini impian saya tertunai juga.

Perjalanan menaiki trem ke KFC Flemington(cawangan halal di Melbourne) hanya mengambil masa 20minit satu hala dari pusat bandar Melbourne.
Inilah hidangan berbuka puasa saya untuk hari ini. :-)



KFC FLEMINGTON
230-242 Racecourse Rd
Flemington VIC 3031 
 03 9372 1933

Friday 26 August 2011

Hadiah Dari Malaysia

Assalamualaikum w.h.t dan Salam Hujung Minggu

Beberapa hari lalu saya menerima bungkusan istimewa dari Malaysia yang telah dikirimkan oleh kakak sulung saya.


Kandungan di dalam bungkusan ini ialah dua pasang baju raya milik saya dan suami.Sebenarnya pada tahun ini saya tidak meminta dari keluarga untuk dikirimkan baju raya kerana kami masih mempunyai beberapa helai baju baru yang belum pernah dipakai.Disebabkan kakak menawarkan diri untuk mengirimkan kepada kami,maka kami tidak menolaknya. :-)

Saya tidak akan menunjukkan gambar baju raya tersebut buat masa ini.Tunggu sahaja pada hari lebaran nanti :-)

Di dalam bungkusan ini juga terkandung beberapa cenderahati antaranya ialah gelang manik pemberian ibu saya ketika ibu bercuti di Sabah dan juga cenderahati dari Paris dan London pemberian seorang lagi kakak saya yg baru pulang bercuti.

Terima kasih kepada semua.

Persediaan Menjelang Syawal

Assalamualaikum w.h.t dan Salam Sejahtera

Tahun ini saya telah mencipta dua 'rekod peribadi'.:-)

Yang pertama,saya baru selesai membuat lima jenis biskut raya.Seingat saya kali terakhir saya membuat biskut raya ialah ketika di bangku sekolah itupun tidak sebanyak kali ini.Niat di hati saya mahu membuat dua jenis lagi,tetapi apabila difikirkan semula siapalah yang boleh menghabiskan kesemuanya kerana saya tidak akan membuat rumah terbuka dan ianya dibuat untuk kudapan sendiri.

Lima jenis biskut ini ialah biskut koko,cornflakes ceri,cornflakes kismis,biskut nestum,semperit dan biskut bakar yang saya beli tempoh hari.

Kedua,semasa penyediaan membuat biskut raya,saya ditemani dengan alunan lagu-lagu raya yang saya dengari di Sinar dan Hot FM.Saya mempunyai kekuatan yang berbeza berbanding tahun lalu kerana tahun lalu saya mengelak untuk mendengarnya akibat menanggung 'homesick'(rindu kampung halaman) yang sangat teruk.Kini semangat saya sudah kuat. :-)

Tuesday 23 August 2011

Berpuasa Di Melbourne

Assalamualaikum w.h.t dan Salam Sejahtera

Bertemu kembali di Terjemahan Hati.

Berpuasa di Melbourne pada tahun ini begitu berbeza dengan tahun lalu ketika di Perth.

Tahun lalu saya dapat menyambut 1Ramadhan pertama setelah bergelar isteri bersama suami dan menyediakan hidangan sahur serta berbuka untuk beliau,malah hampir satu bulan suami tidak berkerja kerana mengambil cuti sakit dan cuti untuk berpindah.

Pada tahun ini,1 Ramadhan disambut seorang diri dan sepanjang bulan ini,saya hanya dapat bersahur dan berbuka puasa bersama suami hanya tujuh hari sahaja.Saya tidak pernah sedih akan keadaan ini kerana saya sudah biasa berjauhan dan memahami kerja beliau.

Biasanya ketika bulan puasa,tekak seperti ingin merasa pelbagai jenis makanan dan minat saya pula lebih kepada kuih-muih tradisional.
Ini adalah kuih kasturi hasil air tangan saya.Tinggal lima biji sebelum kehabisan baru saya teringat untuk mengambil gambar. :-)

Semasa suami bercuti selama tujuh hari dua minggu lepas,barulah saya berpeluang berbuka puasa di luar.Chilli Padi Mamak Kopitiam menjadi pilihan kami berdua.Layanan mesra dari kakitangan bawah sehingga ke pengurus besar membuatkan kami sentiasa menjadi pelanggan tetap di sini.Pada bulan Ramadhan,kami dikejutkan dengan layanan istimewa apabila dijamu buah kurma dan air bandung selasih yang diberi secara percuma.
Bukan setakat itu sahaja,pihak pengurusan juga telah menyediakan ruang untuk pelanggan menunaikan solat di dalam restoran.
Ruang untuk menunaikan solat ditutup dengan penghadang dan anda dapat melihatnya seperti di dalam gambar di atas.
Apa yang membuatkan saya 'tabik spring' ialah pengurus yang bukan berbangsa Melayu mampu dan berfikir jauh demi menjaga sensitiviti dan menarik lebih ramai pelanggan beragama Islam untuk datang ke sini.

Suami ada memberitahu rakan beliau dari Perth sedang bercuti di Melbourne.Beliau memang ingin berjumpa kerana sudah beberapa tahun tidak bertemu dengan Ika Simanjuntak.Hanya beberapa jam sebelum hari beliau berangkat pulang barulah kami dapat bertemu.Walaupun pertemuan ini singkat,namun kami masih sempat mengambil gambar bersama Ika dan anak comelnya,Oliver Nabil Ecclestone.

Hujung minggu kami juga padat dengan jemputan berbuka puasa di rumah keluarga angkat kami dan hari berikutnya berbuka bersama sahabat bujang kami iaitu Maya dan Khairi.Kami berempat pertama kali mencuba kedai makan baru iaitu Miah's Sambalicious.
Kami mencuba pelbagai jenis makanan,malangnya tidak ada satu pun yang menarik perhatian.

Miahs's Sambalicious beralamat di 662 Blackburn Road, Shop 1 Clayton



Pengalaman Berpuasa Di Awan Biru Dan Perantauan

Assalamualaikum w.h.t dan Salam Sejahtera

Kurang satu minggu lagi kita akan menyambut hari kemenangan bagi seluruh umat Islam. Bagaimana dengan ibadah berpuasa anda?
Baru hari ini saya berpeluang mencoret sedikit mengenai pengalaman saya berpuasa.

Kemeriahan berpuasa di bulan Ramadhan lebih meriah semasa zaman kanak-kanak ketika saya membesar di Gunung Rapat, Ipoh Perak. Mengimbau kenangan dahulu, bertapa seronoknya bersahur dan berbuka puasa bersama kedua ibu bapa dan kesemua sepuluh adik beradik. Dua minggu sebelum tibanya Syawal, saya, abang dan kakak bersama-sama memacakkan kayu untuk lampu panjut/pelita. Manakala selepas berbuka puasa, kami bergilir-gilir mengisi lampu minyak tanah ke dalam bekas sebelum lampu panjut dinyalakan.
Semasa bersahur, kami pasti akan mengintai keluar rumah melihat lampu panjut yang masih lagi bernyala walaupun sudah hampir ke waktu subuh.

Ketika di bangku sekolah, saya langsung tidak pernah terfikir atau berangan-angan untuk mengalami pengalaman berpuasa di luar negara kerana saya tidak pernah bercita-cita untuk bekerja sebagai pramugari.

Bermula dari tahun 2004 sehingga tahun 2009, saya sudah banyak kali merasai pengalaman bersahur,berpuasa dan berbuka di luar negara dengan pelbagai musim seperti musim panas dan sejuk malah saya pernah bertugas dan berpuasa di dalam pesawat selama 18 jam. Saya tidak pernah memaksa diri untuk berpuasa penuh andainya keadaan tidak mengizinkan, tetapi syukur Alhamdulilah saya tidak pernah jatuh sakit ketika berpuasa semasa bertugas.

Semasa bertugas dan berada di luar negara,saya tidak membataskan pergerakan dan aktiviti seharian. Saya dan rakan-rakan tetap akan bersiar-siar sebagai pelancong dan membeli belah.
Pengalaman yang tidak dapat saya lupakan ialah semasa berada Dubai. Pada bulan Ramadhan, kedai-kedai dan pusat membeli belah dibuka untuk urusniaga hanya selepas waktu berbuka puasa dan berakhir sehingga awal pagi dan sebelum subuh.
Sungguh unik bukan?


Ini adalah gambar saya ketika berada di Naif Souq Dubai, dan jika tidak salah ketika ini jam sudah menunjukkan lewat tengah malam sekitar jam satu atau dua pagi waktu tempatan.

Tidak pernah terlintas untuk berpuasa di rantau orang semasa bertugas di awan biru, kini sekali lagi saya mengungkapkan sepotong ayat yang sama,saya tidak pernah terlintas untuk menjalani ibadah berpuasa di Australia dengan memegang taraf penduduk tetap.

Ini adalah tahun kedua saya berpuasa di Australia. Pada tahun 2010, saya merasai pengalaman berpuasa di Perth, manakala tahun ini di Melbourne.
Tahun lalu Ramadhan tidaklah ceria bagi saya dan suami kerana keadaaan kesihatan kami tidak memuaskan dan sibuk dengan urusan untuk berpindah tetapi saya gembira kerana berpeluang berbuka puasa bersama kakak angkat, Kak Faizah Robson dan Hazlina Halim, sahabat suami yang juga selebriti dan pembaca berita serta pengacara di Singapura.


 Tidak lupa juga Fandi dan Ismarina, sahabat saya dari Penerbangan Malaysia (MAS).


 

Terima Kasih

Assalamualaikum w.h.t dan Salam Pertemuan

Selesai sudah catatan Kembara Di Jalanan saya selama tujuh hari berturut-turut yang bermula dari Perth,Australia Barat dan berakhir di Melbourne,Victoria pada tahun lalu.

Kepada mereka yang tidak jemu mengikuti catatan perjalanan saya ini, ribuan terima kasih dikalungkan. Walaupun cerita pengalaman kembara saya dan suami sudah disiarkan sebanyak tiga muka surat di dalam surat khabar Harian Metro (Malaysia), tetapi saya tetap akan mencetak ratusan gambar dan membuat diari Kembara Di Jalanan (hard copy) untuk simpanan peribadi dan boleh juga dikongsi bersama keluarga dan sahabat rapat saya di Malaysia dan Australia.

Terima Kasih Semua :-)

Kembara Di Jalanan Hari Ketujuh (Road Trip Day7)

HARI KETUJUH
14 SEPTEMBER 2010 ( ADELAIDE - MELBOURNE 725 kilometer)

- Lebih kurang 8.00pagi, perjalanan hari ketujuh pun bermula.

- Meninggalkan Adelaide untuk menuju ke Melbourne, kami bakal menempuh banyak pekan dan perkampungan. Melalui terowong ini (Heysen Tunnels) mengingatkan saya akan terowong di Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS) dan Lebuh Raya Karak di Malaysia.



Antara yang pertama kami singgah pada pagi itu ialah di Hanhdof yang mengambil masa 30 minit perjalanan dari Adelaide.


Hanhdof ialah sebuah pekan kecil yang sejarahnya telah diduduki oleh rakyat Jerman yang telah berpindah ke Australia. Oleh kerana itulah pekan ini sangat unik kerana ianya berunsurkan negara Jerman baik dari segi seni bina rumah, bangunan malah terdapat beberapa kafe dan restoran yang menyajikan makanan dari negara tersebut. 


- Pendek kata, apabila berada di Hanhdof saya merasa seperti menjejakkan kaki di negara Jerman.

- Semasa hendak membeli cenderahati, barulah saya mendapat tahu bahawa sebuah ladang terkenal iaitu Beerenberg hanya terletak bersebelahan dari Handorf. Walaupun tidak sempat melawat ladang Beerenberg, namum saya sempat membeli jem strawberi kegemaran. Jem jenama Beerenberg tidak asing bagi saya kerana jem buah-buahan dan madunya boleh didapati di dalam pesawat Penerbangan Malaysia (MAS).


- Ketika bersiar-siar di sini, kami disapa oleh pemilik sebuah restoran. Beliau mempelawa kami untuk masuk melihat dan meninjau keadaan dalam restoran. Di kesempatan itu, kami mengambil peluang mengelilingi restoran dan bergambar di sana.


- Lebih kurang 1 jam dan 20 minit kami menghabiskan masa di Hanhdof sememangnya masih tidak puas. Faktor cuaca yang sekejap terik dan kadangkala mendung membuatkan saya tidak berpuas hati dengan kualiti gambar yang diambil. InsyaAllah saya akan kembali lagi ke Hanhdof di lain waktu.

- Pada jam 11.05pagi,kami berhenti seketika di Tailem Bend, 100kilometer selatan timur dari Adelaide. Pekan kecil ini terletak tidak jauh dari Sungai Murray (Murray River). Tailem Bend mempunyai dua persimpangan bagi landasan keretapi dan lebuhraya yang menghubungkan Adelaide dan Melbourne. Di pusat khidmat pelancongan Tailem Bend, saya ada membeli beberapa tiket keretapi zaman dahulu untuk dibuat kenangan.



- Perjalanan diteruskan dan berhenti berehat buat kali ketiga di Tintinara, 200kilometer selatan timur dari Adelaide. Industri perladangan dan penternakan adalah pengeluaran utama bagi Tintinara mahupun Tailem Bend.


- Seterusnya,kami singgah di Bordertown iaitu pekan kecil yang sudah hampir dengan sempadan negeri Victoria. Bordertown juga terkenal kerana di sini ialah tempat kelahiran bekas Perdana Menteri Australia yang ke 23, iaitu Robert James Lee Hawke atau popular dengan gelaran Bob Hawke.




- Kami melepasi sempadan negeri Austalia Selatan - Victoria pada jam 4.40 petang (waktu Victoria, dua jam melebihi waktu Malaysia).

- Matahari pada hari ini seperti bermain dengan kami,cerah dan mendung bagaikan berselang seli. Oleh kerana hari sudah mula melewati petang, ada beberapa gambar yang sempat saya ambil semasa dalam perjalanan dan sebelum matahari terbenam antaranya ialah  ladang bunga Canola yang begitu menguning berlatarbelakang keindahan pelangi  dan silo (tempat penyimpanan gandum).



- Setelah tujuh hari perjalanan yang bermula dari Perth, Australia Barat, syukur Alhamdulilah akhirnya kami selamat tiba di Melbourne pada lewat malam.




Sunday 21 August 2011

Kembara Di Jalanan Hari Keenam (Road Trip Day6)

Assalamualaikum w.h.t dan Salam Pertemuan

HARI KEENAM
14 SEPTEMBER 2010 (ADELAIDE)

- Hari ini jadual kami di Adelaide kurang padat, lebih bersahaja dan tidak mengejar masa dengan  temujanji dan sebagainya.

- Kami berjalan di sekitar bandaraya Adelaide dan singgah di beberapa pusat membeli belah.



- Semasa berada di pusat membeli belah Tee Tree Plaza, saya berpeluang singgah di stesen
Adelaide O Bahn yang terletak bersebelahan dengannya. Adelaide O Bahn ialah pengangkutan bas awam yang berfungsi dua dalam satu. Apa yang saya maksudkan dengan dua dalam satu ialah, bas ini bergerak dengan menggunakan dua cara iaitu di atas jalan raya, dan di sesetengah tempat ia bergerak di atas landasan keretapi. Saya tidak berpeluang mengambil gambar bus berkenaan, InsyaAllah akan cuba di lain waktu.

- Destinasi seterusnya ialah Adelaide Central Market. Pasar utama yang terletak di tengah bandaraya ini dibuka secara rasmi pada tahun 1870 adalah salah satu tempat tarikan pelancong. Di pasar ini para peniaga bukan sahaja menjual bahan basah, mentah, makanan kering ataupun masak, malah menawarkan produk kraftangan dan cenderahati.




- Semasa menjamu mata di pusat membeli belah Harbour Town yang terletak bersebelahan dengan Lapangan Terbang Adelaide, suami terserempak dengan kenalan lama.

 
- Saya dapat melepaskan rindu dengan melihat kapal terbang Malaysia Airlines yang berlepas dari Lapangan Terbang Adelaide menuju pulang ke Kuala Lumpur.


- Sebelum pulang ke hotel,suami membawa saya untuk melihat salah sebuah masjid yang ada di bandaraya Adelaide. Masjid ini beralamat di 20 Little Gilbert Street, Adelaide, SA 5000.



Akan bersambung....

Saturday 20 August 2011

Kembara Di Jalanan Hari Kelima (Road Trip Day5)

Assalamualaikum w.h.t dan Salam Sejahtera

HARI KELIMA
13 SEPTEMBER 2010 (ADELAIDE)

- Kedatangan kami di Adelaide bukanlah kali pertama buat kami berdua, tetapi di kesempatan ini saya ceritakan sedikit pengalaman dan gambar sekitar dua hari kami di sini untuk melepaskan lelah sebelum meneruskan perjalanan ke Melbourne dua hari lagi.

- Selepas suami menghantar kereta untuk di servis, kami bersiar-siar di sekitar bandaraya. Menikmati makan tengah hari di K Noodle,


minum petang bersama sahabat suami, Sky Loh di Cibo (www.ciboespresso.com.au)


dan kemudiannya makan malam di Restoran Pondok Bali.


Thursday 18 August 2011

Kembara Di Jalanan Hari Keempat (Road Trip Day 4)

Assalamualaikum w.h.t dan Salam Pertemuan

HARI KEEMPAT
12 SEPTEMBER 2010 ( CEDUNA - ADELAIDE 797 kilometer)

- Sesudah waktu subuh,kami bergerak memulakan perjalanan hari keempat dengan suhu 11 darjah selsius. Selepas meninggalkan Ceduna, kami memasuki beberapa buah perkampungan kecil untuk membeli kopi panas.Bermula dari Wirulla,


Poochera,

Minnipa,

ketiga-tiga pekan kecil ini masih tidak memulakan perniagaan walaupun waktu sudah melebihi 8.00 pagi. Tiba di pekan yang ke empat iaitu Wudinna, barulah kami menjumpai stesen minyak dan kafe yang sudah memulakan perniagaan. 



- Niat di hati ingin membeli kopi jenis Capucino, tetapi malangnya kafe tersebut hanya menawarkan kopi jenis biasa sahaja. Alasan yang diberi oleh pembantu kedai ialah, lori dari bandar besar masih belum tiba untuk menghantar stok. Beginilah keadaan yang boleh digambarkan betapa pekan-pekan kecil ini begitu jauh nun di pendalaman malah mereka memulakan perniagaan agak lewat tidak seperti di bandar besar.

- Satu lagi tempat menarik yang kami lawati ialah di Kimba, 97 kilometer dari Wudinna. Kimba terletak pertengahan jalan untuk merentasi satu Australia. Populasi penduduk yang kurang dari 1000 orang ini popular dengan penanaman gandum.


- Apabila tiba di Iron Knob, kami merasa agak gerun melihat 'pekan mati'ini, ditambah pula dengan cuaca yang agak muram dan mendung tidak sama seperti hari-hari sebelumnya. Iron Knob yang jaraknya 90km dari timur Kimba pada satu masa dahulu (lebih satu ratus tahun yang lalu) sangat terkenal sebagai tempat perlombongan bijih besi. Di sekitar kawasan perlombongan itu, terdapat pekan kecil yang didiami oleh para pekerja dan ahli keluarga mereka.


Pada tahun 1998, penggalian bijih besi di Iron Knob telah berakhir, maka majoriti bekas pekerja perlombongan telah berpindah dari situ. Seperti apa yang saya ceritakan sebentar tadi, ketika kami di sana,banyak rumah tidak berpenghuni, kedai, motel dan stesen minyak sudah lama terbiar dan rosak teruk. Keadaannya sama seperti tempat peninggalan perang atau baru lepas menerima bencana alam. Hanya beberapa rumah sahaja yang dapat dilihat masih berpenghuni.


- Tidak mahu lebih lama di Iron Knob, kami meneruskan pemanduan menuju ke Port Augusta iaitu bandar ke lima paling ramai penduduk di Australia Selatan. Port Augusta, 68 kilometer dari utara Iron Knob dan 300 kilometer dari Adelaide terkenal dengan pelabuhan dan bandar persimpangan keretapi serta pembekal utama jana kuasa eletrik bagi Australia Selatan.


- Kali terakhir melihat restoran makanan segera seperti McDonald's dan KFC ialah di Kalgoorlie empat hari yang lalu. Hari ini barulah kami dapat melihat semula pelbagai rangkaian restoran makanan segera dan rangkaian pasaraya terkenal Australia.

-Baru sahaja menyambung perjalanan selepas makan tengah hari,mata pula mula mengantuk. Kami berhenti di Port Germein, lebih kurang 60 kilometer dari Port Augusta buat seketika untuk merehatkan mata.
- Port Germein juga seperti 'pekan mati' kerana penduduk yang agak kurang, malah balai polis juga ditutup.Terdapat nota di luar pintu mengatakan balai akan dibuka semula pada hari Rabu jam 3.00 petang, dan sekiranya berlaku kecemasan, mereka diminta untuk menelefon talian kecemasan 000.


- Perjalanan untuk menuju ke Adelaide diteruskan selepas 30 minit berehat di Port Germein. Jalanraya yang digunakan agak sibuk dengan kenderaan kerana kami melalui banyak pekan dan perkampungan kecil.
Semasa di dalam kereta, suami ada memberitahu,bahawa perjalanan ini nanti akan menempuh pekan kecil yang bernama Snowtown, terletak 145 kilometer utara dari Adelaide yang satu masa dahulu terkenal dengan kes jenayah. Kes pembunuhan bersiri menjadi topik hangat di Australia Selatan antara Ogos 1992 dan Mei 1999. Akhirnya pada tahun 1999, lapan mayat ditemui di dalam tong asid dan disorok di dalam sebuah bank yang sudah tidak beroperasi di dalam pekan Snowtown ini.

- Tertarik dengan cerita tersebut, saya meminta suami untuk masuk ke dalam pekan Snowtown untuk mencari dan melihat dengan lebih dekat lagi bank yang 'bersejarah' itu. Suami bersetuju dan berpatah balik ke pekan Snowtown walaupun pada ketika itu kami sudah melepasi beberapa kilometer darinya.

- Hampir 20 minit kami mencari bank tersebut, tetapi tidak nampak tanda-tanda sebuah bank terbiar kerana tidak ada sebarang papan tanda. Mahu bertanya dengan penduduk di situ, tetapi semua kedai tutup kecuali sebuah bar yang dipenuhi beberapa orang yang sedang minum bir, lalu kami membatalkan hasrat untuk bertanya. Ketika kami sudah bergerak keluar dari pekan Snowtown, tiba-tiba saya terfikir untuk mencari sedikit maklumat di dalam internet mengenai kes jenayah ini. Mujurlah tidak ada masalah dengan talian telekomunikasi di telefon bimbit pada ketika itu. Saya mendapat sedikit maklumat berserta gambar bank yang sudah tidak beroperasi, lalu kami berpatah balik menuju ke bank tersebut untuk menangkap gambar.


- Tidak ramai orang seperti kami yang sanggup untuk mencari dan bergambar di depan bank yang telah menyimpan lapan mayat selama bertahun-tahun itu,dan barangkali sudah berhantu. Pada pendapat saya, kes jenayah ini telah ditulis sebagai sejarah di dalam negara dan untuk belum pasti bila lagi saya dapat datang ke Snowtown lagi jika tanpa sebab. Oleh itu saya gunakan kesempatan yang ada.

- Pemandangan di sepanjang jalan menuju ke Adelaide sangat cantik apabila kami kerapkali dapat melihat ladang bunga Canola (yang dibuat minyak masak) yang menguning seperti jelapang padi.
Akhirnya pada lewat petang kami selamat sampai di Adelaide, iaitu ibu negeri bagi Australia Selatan.


- Setelah empat hari mengembara di jalanan, di Adelaide,barulah kami dapat menikmati makan malam yang sempurna di restoran A Taste Of Spice (halal) yang dimiliki oleh dua orang rakyat Malaysia sudah lama tinggal di sini.

Akan bersambung....