Monday 28 February 2011

Sudah 19 Tahun

Assalamualaikum w.h.t dan Salam Harmoni

Hari ini bertarikh 28hb Februari,genaplah 19 tahun pemergian
Allahyarham Nor Azuan Noordin,anak ke lima dari kami sepuluh beradik.
Allahyarham lahir pada tahun 1969 dan meninggal dunia satu minggu selepas pemergian Allahyarham Sudirman Haji Arshad pada bulan Februari 1992 ketika usianya 23 tahun.


Ini adalah gambar keluarga sekitar tahun 1979-1981,ibu,bapa dan sembilan adik beradik(ketika ini saya belum dilahirkan).

Allahyarham abang berdiri paling kanan

Allahyarham pada ketika dahulu adalah seorang yang pendiam dan sangat aktif bermain bola sepak.Ingat lagi semasa kecil saya sering di beri upah dari Allahyarham supaya pergi ke kedai membeli rokok untuknya.Pada ketika dulu tidak ada undang-undang kanak-kanak tidak boleh membeli rokok di kedai.

28hb Februari 1992 bersamaan hari Jumaat,saya melihat Allahyarham menggosok baju pada sebelah tengah hari.Itu adalah pertemuan terakhir sebelum Allahyarham terlibat dalam kemalangan jalanraya dan meninggal dunia pada lewat petang hari yang sama.


Semoga rohnya tenang dan di cucuri rahmat.

                                                      AL FATIHAH..

Monday 21 February 2011

Mesin Layan Diri

Assalamualaikum w.h.t dan Salam Pertemuan

Di Malaysia,mesin layan diri lebih di kenali sebagai mesin menjual minuman ringan dan panas ataupun mesin membayar tiket parkir kenderaan.Tetapi adakah anda pernah melihat mesin layan diri untuk membayar pelbagai jenis barangan tanpa juruwang di kaunter?

Di Australia khususnya di setiap ibu negeri,mesin layan diri untuk membayar barangan yang kita beli terdapat banyak di pasaraya dan pusat membeli belah.
Terdapat 15 buah mesin layan diri di pasaraya Woolworths

Gambar dirakamkan di pasaraya Woolworths beberapa minggu yang lalu.Jika pada siang hari pasaraya ini sudah pasti penuh sesak.Mujurlah saya berpeluang merakamkan gambar-gambar ketika keadaan lengang sekitar jam 11 malam.
Merujuk kepada gambar di atas,anda boleh lihat di atas mesin berkenaan terdapat lampu merah dan hijau.Lampu hijau bermaksud mesin sedia digunakan,dan sekiranya lampu merah bernyala, ia bermaksud terdapat masalah teknikal dan pekerja pasaraya akan datang untuk membantu.

Mesin layan diri yang dapat memudahkan pelanggan
Walaupun masih ada beberapa kaunter bayaran yang dibantu oleh juruwang,tetapi dengan adanya mesin layan diri,para pelanggan di beri peluang untuk memilih di mana sahaja pembayaran hendak dilakukan.
Mesin ini boleh berfungsi untuk menimbang barangan seperti sayur-sayuran,buah-buahan dan wang tunai serta kad kredit juga boleh di terima untuk pembayaran.

Saya adalah salah seorang pelanggan tetap pasaraya Woolies (penduduk tempatan menggelarkan Woolworths kepada Woolies) dan lebih gemar membayar menggunakan mesin layan diri ini.

Semoga anda terutamanya pembaca dari Malaysia mendapat sedikit infomasi dari apa yang saya kongsikan di atas.

Sekian

Tuesday 15 February 2011

Berkongsi Tarikh Kelahiran Dengan Nabi Muhammad SAW

Assalamualaikum w.h.t dan Salam Maulidur Rasul

Bertuah rasanya kepada mereka yang berkongsi tarikh kelahiran sama dengan Nabi junjungan kita iaitu Nabi Muhammad s.a.w.
Antara mereka yang di maksudkan ialah anak saudara saya Mohd Al Aiman.Mengikut bulan Islam,Aiman di lahirkan pada 12 Rabiul Awal.
Manakala Mohd Al Amin(abang) di lahirkan satu hari selepas Maulidur Rasul juga mengikut bulan Islam.Amin sangat beruntung kerana selepas abang ipar mengazankan beliau,Mufti Perak,Tan Sri Harussani Zakaria pula mengazankan ke telinga beliau untuk kali kedua.
Abang ipar dan Mufti Perak sama-sama mengenali dan kebetulan ketika itu Tan Sri Harussani lalu di klinik tempat kakak saya bersalin.
Aiman di depan,Amin di belakang

Semoga Amin dan Aiman berjaya dalam pelajaran dan menjadi anak yang soleh,InsyaAllah. :-)

Sempena Maulidur Rasul,marilah kita berselawat tanda kita mengingati baginda Rasullulah SAW.

Monday 14 February 2011

Mohd Al Amir

Assalamualaikum w.h.t dan Salam Sejahtera

Semalam saya sedikit beremosi setelah mengalami mimpi akan anak saudara saya,Mohd Al Amir.
Tanpa disedari selepas terjaga dari tidur,air mata tiba-tiba mengalir akibat dari 'cerita' mimpi berkenaan.

Amir bagi saya sedikit berbeza dengan anak-anak saudara saya yang lain.Kasih sayang saya sebagai ibu saudara sama rata,cuma perbezaanya ialah saya pernah mengasuh dan menjaga Amir selama dua tahun sejak dari beliau di lahirkan.

Saya pernah menganggur selama beberapa tahun,dan ketika Amir di lahirkan pada tahun 2001,saya yang menjadi pembantu kepada kakak saya semasa beliau di dalam tempoh berpantang.Selepas selesai tempoh berpantang pula,saya yang mengambil alih tugas menjaga bayi(Amir) ketika kakak saya bekerja.
Pendek kata saya lah baby sitter kepada Amir dari segi pengendalian memberi mandi,menukar lampin,makan,minum dan sebagainya.InsyaAllah saya tidak ada masalah dengan bayi kecil.

Mohd Al Amir dan Acu
 Selepas dari mimpi itu,saya berpeluang berbual dengan Amir.Sebaknya apabila nama "Acu " di panggil,tetapi saya cuba untuk menahan emosi saya.Syukur Amir dan adik beradik beliau yang lain sihat semuanya. :-)

Thursday 10 February 2011

Hari Ini Dalam Sejarah

Assalamualaikum w.h.t dan Salam Jumaat

Dahulu keluarga saya pernah membela beberapa ekor kucing,tetapi sehingga ke hari ini saya bukanlah pencinta kucing apatah lagi membelainya. Maaf, saya langsung tidak berminat.

Saya biasa mendengar cerita dari kawan-kawan dan saudara mara tentang kematian kucing mereka,tetapi saya tidak pernah merasa apa-apa.

Sebentar tadi saya dimaklumkan oleh anak saudara,beliau baru sahaja kehilangan kucing kesayangan di Ipoh, Perak. Petang semalam Safee terbaring di tepi meter air, Safee menyambut kepulangan kakak ipar dari luar sehingga memasuki rumah. Setelah kakak ipar masuk ke rumah, Safee keluar pagar dan terus rebah. Beberapa minggu lepas Safee jatuh sakit setelah jatuh dari pokok akibat berlari dari di kejar seekor anjing. Mungkin juga ini lah salah satu punca kematiannnya.

Safee pergi buat selama-lamanya
 *gambar ihsan Ashraff Nor Ariff*

Anak saudara saya memang berbakat dalam bidang fotografi, dan gambar Safee yang beliau rakamkan ini begitu berkesan dan memberi impak kepada diri saya.

Apakah perasaan anda apabila melihat gambar ini?
Saya tidak pernah berjumpa dengan Safee, cukup sekadar sekeping gambar,setiap kali merenung ke dalam mata Safee saya dapat rasakan yang ia mahukan belas ikhsan, kasihan dan belaian.
Kucing juga adalah makhluk Allah, bernyawa dan mempunyai perasaan kasih sayang. Manusia pula adakalanya tidak berotak apabila sanggup membunuh, membuang bayi serta janin di merata tempat, dan menggugurkan kandungan.



HARI INI DALAM SEJARAH .....BUAT PERTAMA KALINYA SAYA MENANGIS DI ATAS PEMERGIAN SEEKOR KUCING BERNAMA SAFEE  :'(

Wednesday 9 February 2011

Kotak Hitam

 Assalamualaikum w.h.t dan Salam Mesra

Malam semalam,tiba-tiba datang 'mood' rajin untuk mengemas, menyusun semula alat-alat solek yang agak sedikit berterabur.

Jadi, 'kotak hitam' yang saya maksudkan ialah......

Inilah 'kotak hitam'  yang saya beli di Malaysia tiga tahun lepas.
Oleh kerana kesemua kakak saya adalah model peragaan pada ketika dahulu,ini membuatkan saya sudah mula bersolek,berdandan,bergaya di depan kamera dan mengenakan kasut tumit tinggi sejak dari kecil lagi.Apabila umur saya sudah menginjak remaja,saya pula berjinak-jinak di dalam dunia peragaan(modelling) sehingga dewasa.Pembabitan saya bukanlah secara serius,hanya sekadar sambilan tetapi ianya cukup memberikan saya pengalaman berharga dan dapat bekerjasama dengan jurumekap profesional,berjumpa dengan artis-artis terkenal malah wajah,gaya dan penampilan saya disiarkan di dada akhbar dan majalah.
Ketika saya bekerja dengan MAS sehingga ke hari ini, apabila saya bergambar seperti biasa sahaja tanpa gaya model dan walaupun hanya dengan senyuman atau tanpa senyuman pun ada yang menggelarkan saya 'macam model'.Hakikatnya memang 'ya',walaupun mereka tidak tahu latar belakang saya sebelum ini :-)

*Kepada mereka yang baru dengan Terjemahan Hati,anda boleh ke entri pada bulan Januari 2010 yang menceritakan mengenai gambar+kamera=fotografi
http://sharery.blogspot.com/2010/01/gambarkamerafotografi.html*

Berbalik kepada tajuk 'kotak hitam',seawal umur saya 21 tahun,saya sudah mula berkecimpung di dalam dunia solekan dan mengandam.Projek pertama ialah menyolek kakak saya yang bertunang pada tahun 2002.Saya tidak pernah menawarkan diri atau menjaja nama saya, tetapi mereka(pelanggan) dapat melihat sendiri melalui cara saya bersolek dan melihat gambar pertunangan kakak.Sebenarnya saya kurang yakin untuk menerima pelanggan baru kerana takut hasil saya tidak berjaya,tetapi dengan dorongan keluarga dan rakan rakan,saya mula menyolek untuk pelanggan yang inginkan solekan makan malam,bertunang,bernikah mahupun persandingan dan bagi mereka yang bertudung ataupun tidak,saya jugalah yang membantu mengenakan tudung serta hiasan di kepala mereka.

Saya bukanlah juruandam atau jurumekap profesional kerana saya tidak pernah mengambil kursus dalam bidang berkaitan yang diiktiraf.Saya hanya mempelajari teknik solekan melalui majalah dan televisyen serta banyak melakukan demonstrasi sendiri.
Saya pernah menghadiri beberapa bengkel dan kelas solekan di Malaysia tetapi hanya sekadar ingin memenuhi masa terluang.Apa yang di ajar hanyalah asas yang saya memang sudah tahu sebelumnya.Saya juga boleh melakukan rawatan muka(facial) tetapi saya hanya lakukan kepada ahli keluarga sahaja.

Pencapaian peribadi lagi membanggakan ialah apabila menyolek wajah sendiri ketika hari pernikahan dua tahun yang lalu. :-)
Menyolek wajah sendiri

Di sini,saya kongsikan bersama anda apa yang terkandung di dalam 'kotak hitam' kesayangan saya.
Bedak asas jenis krim,cecair dan span
Sebelum mengenakan solekan,saya akan memastikan wajah di alas dengan pelembap.Saya mempunyai tiga jenis pelembap iaitu Olay,Sari Ayu Martha Tilaar dan penyegar dari jenama Aigner.
Penutup cela (concealer) di oles untuk menutup lingkaran gelap bawah mata atau bekas jerawat dan selepas itu baru di tata dengan bedak asas.Saya menggunakan bedak asas cecair jenama Clarins dan Sari Ayu yang saya beli di Jakarta untuk siang hari dan jika saya mahu solekan sedikit tebal terutamanya solekan pada sebelah malam,saya menggunakan bedak asas jenis krim.
Sudah lama saya tidak membeli span untuk di oles dengan bedak asas kerana masih banyak lagi dalam simpanan yang saya beli di Hong Kong dan Malaysia.

Pembayang Mata
Pembayang mata jenis palet yang mengandungi 80jenis warna itu saya beli di Dubai dan sangat sesuai untuk solekan malam,majlis bertunang ataupun bersanding.
Manakala pembayang mata yang biasa saya gunakan pada siang hari ialah dari jenama Elizabeth Arden,Maybelline,Clarins,Rimmel dan lain lain.

Celak,bedak halus dan penggelap wajah
Untuk maklumat anda,wanita Asia sangat sesuai menggunakan celak kening bewarna coklat gelap.Saya mempunyai celak kening bewarna coklat gelap,coklat muda,hitam, hitam pekat dan menggunakannya mengikut keadaan berbeza.Kadang kala saya mencampurkan kedua warna(pekat dan cerah) sekaligus.
Walaupun mempunyai penggaris mata(eyeliner)jenis pensel(warna hitam,coklat,putih) dan cecair,tetapi jenis cecair tetap menjadi kegemaran saya.
Tujuan penggelap wajah(shading) adalah untuk menjadikan wajah pipi bulat nampak tirus dan hidung nampak tinggi,mancung serta boleh juga di jadikan pewarna pipi.Untuk membuang sisa-sisa solekan mata,saya menggunakan bedak halus(loose powder).

Bulu mata palsu dan maskara
Untuk mengenakan bulu mata palsu dan nampak cantik,maskara,pelentik bulu mata dan gam adalah sangat  perlu digunakan.Saya membeli bulu mata palsu di Malaysia dan juga di Taiwan.

Gincu,pengilat,penggaris dan pelembap bibir
Yang bewarna putih sebelah kiri adalah pelembap bibir.Satu batang saya tinggalkan di rumah,manakala satu batang lagi wajib saya bawa ketika keluar rumah.Masih ada beberapa batang gincu bibir tidak ada di dalam gambar kerana tercicir di dalam bag tangan saya.

Berus solekan,kanta lekap dan aksesori asas rambut
Terdapat pelbagai jenis berus solekan dan yang biasa saya gunakan adalah untuk pewarna pipi dan menyapu bedak halus.Yang lain jarang saya gunakan lebih-lebih lagi saya selesa menggunakan jari ketika menyolek bahagian mata.
Beberapa kanta lekap bewarna saya letakkan di dalam kotak hitam ini dan aksesori asas penting untuk mendandan rambut seperti getah hitam dan penyepit rambut juga terdapat di dalamnya.Sebenarnya aksesori tersebut termasuklah penjaring rambut(Nylon Net)adalah peralatan penting yang saya perlukan untuk mendandan rambut semasa bekerja dengan MAS.Masih banyak lagi yang belum di pakai oleh kerana itulah saya membawa kesemuanya ke Australia.

Beg kecil,beg sederhana dan 'kotak hitam'
Kesemua barangan solekan milik saya dibahagikan kepada tiga bahagian seperti gambar di atas.

-Beg jalur bersaiz kecil mengandungi bedak padat,beberapa batang gincu,penggaris dan pelembap bibir,pembayang mata,penggaris mata,celak kening,penyegar mulut,dan minyak wangi mini.Beg kecil ini saya masukkan di dalam beg tangan dan wajib di bawa setiap kali keluar rumah.Kegunaannya bukan sahaja untuk menata rias solekan yang telah pudar selepas makan atau minum,malah ianya di jadikan beg 'kecemasan'.Andai kata saya bergegas mahu keluar rumah dan tidak sempat bersolek,beg 'kecemasan' ini dapat membantu saya bersolek di dalam kereta.Sekurang-kurangnya wajah pucat dapat di alas sedikit dengan solekan nipis.

-Beg jalur bersaiz sederhana saya letakkan alat-alat solek yang biasa digunakan terutamanya untuk solekan sebelah siang.Beg ini juga sering saya bawa ketika melancong.

Barangan solekan selebihnya saya letakkan di dalam kotak hitam yang jarang dibuka kecuali untuk solekan malam atau solekan tebal.
Masih ada beberapa alat solek yang tertinggal di Malaysia,antaranya pembayang mata palet 10warna kegemaran saya dari jenama Elianto.

Ramai sahabat,rakan,dan kenalan samada di Malaysia mahupun Australia,sering bertanya kepada saya mengenai tips solekan yang sesuai.Jika saya hendak ceritakan di sini memang agak panjang lebar.Sekiranya anda berminat untuk tahu dengan lebih lanjut,anda boleh berhubung dengan saya melalui e-mel.

Mungkin ada yang mengandaikan saya seorang yang tidak boleh keluar rumah tanpa solekan.Saya tidak bersolek setiap hari malah ada waktunya saya juga keluar rumah tanpa sebarang solekan.Anda harus ingat,kulit wajah kita juga perlu berehat.Saya bersyukur kerana sekarang ini kulit wajah saya berehat lebih lama berbanding dari waktu saya bekerja dahulu. :-)

Terima kasih di ucapkan kepada yang sudi membaca mengenai 'kotak hitam' saya.Di harap,entri kali ini sedikit sebanyak dapat membantu anda dari segi susunan alat solek supaya lebih teratur.

*Untuk bersolek cantik,jenama yang mahal dan terkenal bukanlah penyelesaian.Tidak kira murah atau mahal,yang penting sesuai dengan kulit wajah anda dan perlu seiring dengan keyakinan diri dan penampilan yang kemas*

Sekian :-)

Hari Ini Hari Lahirmu

Assalamualaikum w.h.t dan Salam Sejahtera

Hari ini kakak saya yang bernama Noormah Noordin menyambut hari ulang tahun yang ke-49.

Nyah adalah nama panggilan dari saya kepada beliau sebagai kakak sulung dalam keluarga. Ketika saya dilahirkan, Nyah sudah berumur 19 tahun dan beliau banyak menguruskan kerja-kerja rumah membantu ibu saya sementelah kami dari keluarga yang besar iaitu seramai 10 orang adik beradik.

Saya masih ingat lagi ketika saya kecil sebelum dan semasa sekolah rendah, Nyah sering memotong rambut saya di depan halaman rumah untuk memastikan rambut sentiasa kemas, rapi dan pendek malah Nyah juga rajin membuang kutu di rambut saya! :-) Nyah juga pernah menyediakan bekalan makanan untuk saya ke sekolah. Ketika di bangku sekolah menengah pula, setiap kali saya jatuh sakit di sekolah, Nyah yang akan mengambil saya pulang.

Apabila ibu saya kurang sihat atau keluar negeri untuk melancong, Nyah juga yang bertanggungjawab menyediakan makanan di rumah. Nyah mempunyai perniagaan dan berpengalaman menjahit baju lebih 20 tahun. Oleh kerana itu lah, baju kurung atau baju raya saya dijahit oleh Nyah sejak dari kecil sehingga ke hari ini termasuklah kebaya songket semasa perkahwinan saya. Setiap jasa dan pengorbananmu tidak akan ku lupakan.


Saya dan Nyah (Gambar-gambar tahun 2008&2009)

Happy Birthday Nyah! :-)

Tuesday 8 February 2011

Mencari Perbezaan

Assalamualaikum w.h.t dan Salam Sejahtera

Saya menerima mesej bergambar(MMS) dari abang saya dan beliau menyuruh saya mencari perbezaan yang terdapat di dalam gambar ini.

Proton Generasi Kedua (Gen2)  yang sudah berusia 6 tahun

Hanya dengan sekali melihat,saya dapat mengenal pasti perbezaannya.Terima kasih kepada abangku,Ateh kerana membelanjakan wang untuk mengelapkan cermin kereta saya. :-)

Sudah 13tahun saya memiliki lesen memandu.Saya boleh memandu kereta manual dan otomatik,tetapi saya lebih suka memandu kereta manual :-) Sejak saya pindah ke Australia 17bulan yang lalu,saya belum pernah memandu kereta manual kerana kereta suami saya juga otomatik.

Rindu,,saya rindu Gen2 saya....