Sunday 27 March 2011

F1

Assalamualaikum w.h.t  dan Salam Sejahtera

Saya adalah salah seorang di antara peminat sukan lumba kereta F1.Pernah memenangi tiket percuma ke perlumbaan F1 di Sepang,tetapi malangnya saya tidak dapat pergi dan tiket terpaksa berpindah tangan kepada abang saya.
Selepas dari tahun itu, saya masih tidak berkesempatan untuk pergi menonton kerana faktor bertugas.Saya pernah melihat kesesakan orang ramai dan lalu lintas di sekitar KLIA dan Sepang serta hanya dapat melihat litar dari awan biru pada hari perlumbaan berlangsung.

Pada tahun ini,tanpa di rancang,saya akhirnya dapat juga menjejakkan kaki serta melihat perlumbaan F1 yang berlangsung di Albert Park, Melbourne Australia.

  2011 F1 Qantas Australian Grand Prix (24-27 March)

Tiket
Pasukan Red Bull Racing yang salah seorang pemandunya berasal dari Australia iaitu Mark Webber
Berlatar belakangkan litar F1
Di belakang saya adalah senarai nama dan gambar juara di sepanjang perlumbaan yang telah berlangsung di Albert Park

Impian saya seterusnya adalah untuk menonton perlumbaan F1 di dalam negara saya sendiri iaitu di litar Sepang :-)

Saturday 26 March 2011

Earth Hour

Assalamualaikum w.h.t dan Salam Hujung Minggu

Kempen "Earth Hour" telah mendapat sambutan di seluruh dunia begitu juga di negara Australia.Jika pada tahun lalu saya dapat melihat sambutannya di Perth, manakala tahun ini di Melbourne.

 PERTH 2010

Sebelum Earth Hour
Semasa Earth Hour

MELBOURNE 2011

*Pandangan dari balkoni sebelah kiri*


 Sebelum Earth Hour
Semasa Earth Hour

*Pandangan dari balkoni sebelah kanan*

Sebelum Earth Hour
Semasa Earth Hour
InsyaAllah dan mudah-mudahan saya dapat merakamkan lagi detik-detik sebegini pada tahun hadapan pula. :-)

Thursday 24 March 2011

Hooked

Assalamualaikum w.h.t dan Salam Jumaat

Hooked ialah salah satu kedai makanan laut yang terdapat di dalam bandaraya Melbourne.(www.hooked.net.au)
Menurut informasi, Hooked menjamin mutu serta kualiti bahan mentah serta cara pemasakan yang menyihatkan seperti rendah lemak,tinggi protin,kaya dengan omega 3,serta menggunakan minyak bebas kolestrol.

Apa yang membuatkan saya tertarik dengan Hooked  ialah konsep dekorasi di dalam kedai yang seakan-akan seperti berada di jeti atau rumah nelayan.
Berikut disertakan beberapa gambar ketika saya dan suami menikmati hidangan di Hooked pada minggu lalu.

Hooked yang terletak di Brunswick Street
Meja yang paling panjang dan besar ini dilengkapkan lagi dengan koleksi majalah dan suratkhabar

Dinding papan dihiasi dengan gambar-gambar nelayan pada zaman dahulu kala
Pendayung sampan dan jam dinding seakan menyerupai penyangkuk menimbang ikan
Burger Tuna
Fish and Chips dan Asian Sambal
Selain ubi kentang goreng, Hooked juga menyajikan ubi keledek goreng yang dihiris nipis yang memang sedap dimakan begitu saja. :-)

Sekian buat masa ini,berjumpa lagi pada masa akan datang.

Thursday 10 March 2011

Ibu Negara Australia

Assalamualaikum w.h.t dan Salam Hari Jumaat

Tahukah anda di mana ibu negara Australia?Tanggapan penduduk dunia rata-rata menyangka adalah Sydney. Tidak benar sama sekali.
Ibu negara Australia ialah di Canberra, Australian Capital Territory ( ACT).
Dua minggu yang lalu saya dan suami berpeluang melakukan percutian singkat selama tiga hari ke ibu negara Australia yang juga merupakan pusat pentadbiran kerajaan dan terletaknya kesemua duta-duta serta pesuruhjaya tinggi negara-negara asing.

Canberra,Australian Capital Territory ( ACT)
24/02/2011
Penerbangan Qantas Airways QF850 selamat mendarat di Lapangan Terbang Canberra pada jam 12.40 minit tengah hari.
Selepas daftar masuk dan meletakkan beg di hotel,kami menuju ke Canberra Centre untuk makan tengah hari.Tempat tarikan pelancong pertama yang kami lawati pada petang itu ialah di Black Mountain Tower.
Black Mountain Tower ialah menara telekomunikasi yang terletak di atas puncak Black Mountain merupakan mercu tanda di Canberra yang menawarkan panorama indah.Pengunjung boleh melihat pemandangan bandaraya Canberra melalui anjung tinjau tertutup atau terbuka.Restoran ekslusif juga terdapat di tingkat atas.
Black Mountain Tower yang mempunyai anjung tinjau terbuka dan tertutup
Lewat petang,kami singgah di Parliament House di mana di sinilah tempat bagi ahi-ahli parlimen bersidang.Oleh kerana tempat lawatan sudah ditutup untuk pelawat,maka kami hanya mengambil gambar dari luar sahaja.
Rumah Parlimen Australia pada pandangan hadapan berciri moden berbentuk boomerang
Cadangan asal,menu untuk makan malam adalah kebab sahaja.Nasib menyebelahi kami apabila ternampak sijil halal tertera di atas kaunter di dalam restoran Nandos,maka tanpa berfikir panjang kami pun menjamu selera di sini. :-)

25/02/2011
Seawal jam 8.00pagi kami sudah tiba di Parliament House.Kami berlegar-legar di sekitar kawasan parlimen sebelum pintu masuk untuk lawatan dibuka.

Apabila masuk di dalam bangunan Parliament House,bermacam-macam perasaan bercampur baur.Saya rasa sangat gembira,teruja,malah berbangga kerana dengan rezeki dan peluang ini akhirnya saya dapat menjejakkan kaki di dalam bangunan parlimen dan juga tempat bersidang bagi ahli -ahli parlimen kerajaan persekutuan Australia.
Malah ini adalah lawatan kedua setelah yang pertama ialah di Parliament House of Western Australia (kerajaan negeri) dan yang kedua ini ialah Parliament House (kerajaan persekutuan).
Tempat ahli-ahli parlimen bersidang yang sering saya lihat di kaca televisyen akhirnya dapat juga saya jejaki
Pada sebelah tengah hari kami ke Australian Memorial War. Di sini ialah tempat memperingati pengorbanan tentera-tentera Australia yang gugur semasa peperangan.

Australian Memorial War
Suami sempat menunaikan solat Jumaat di masjid Canberra yang terletak bertentangan dengan Pesuruhjaya Tinggi Malaysia.
Masjid dan Pesuruhjaya Tinggi Malaysia
Kami sempat singgah di salah satu kawasan perumahan di pinggir bandaraya iaitu Manuka.Seperti kebiasaan setiap kali melancong,kami suka meletakkan diri kami sebagai penduduk tempatan kerana dari situ kami boleh mendapat lebih informasi.Oleh itu kami menghabiskan beberapa jam di Manuka berjalan-jalan dan memerhatikan gelagat penduduk di situ.
Manuka
Hotel penginapan tidak jauh dari kasino dan pusat membeli belah Canberra Centre.
Kasino dan Canberra Centre
Makan malam hari kedua di Canberra adalah di Taj Agra,iaitu salah satu restoran halal yang menyajikan masakan dari negara India.
Taj Agra
26/02/2011
Kami tiba di Canberra dengan menaiki pesawat,tetapi pulang ke Melbourne dengan menaiki kereta.Oleh kerana perjalanan ini bakal berhenti dan singgah di beberapa tempat,maka kami pun memulakan perjalanan seawal pagi.Antara tempat persinggahan yang mengambil sedikit masa ialah di Holbrook dan Albury, New South Wales

Holbrook dan Albury
dan juga di Glenrowan,Victoria.
Glenrowan
Perjalanan merentasi satu wilayah dan dua buah negeri ini akhirnya berakhir dan selamat tiba di Melbourne sekitar jam 8.00malam.

Sahabat suami saya merasa amat pelik apabila mengetahui kami bercuti di Canberra.Malah ada yang menganggap boleh 'mati kering' tinggal di sana.
Pada pendapat saya,mereka yang sudah biasa dengan kehidupan hiruk piruk kota yang penuh dengan hiburan memang tidak mahu tinggal di bandar atau negeri yang tenang dan sunyi.

Saya suka Canberra kerana bandaraya nya yang tidak sibuk seperti Melbourne dan Sydney.Sejurus mendarat di Canberra tempoh hari, dengan menghirup udara segar,melihat pokok-pokok dan tanahnya,serta suhu panas pada ketika itu saling tidak tumpah samanya dengan Perth.Ya,sekali lagi saya katakan di sini saya rindu Perth.Tetapi jarak antara Melbourne dan Perth sangat jauh.Barangkali saya akan kembali bercuti ke Canberra apabila saya ingin melepaskan rindu saya terhadap Perth :-)

Tuesday 8 March 2011

Memperkenalkan Cara Baru Untuk Terbang

Assalamualaikum w.h.t dan Salam Sejahtera

Qantas Airways buat julung kalinya telah memperkenalkan cara baru untuk terbang.

Introducing A New Way To FLy
Q Bag Tags
Q Bag Tags dan kad keahlian Frequent Flyer versi baru yang  mengandungi microchip (kad tiada dalam gambar atas sebab privasi) adalah satu kemudahan terbaru yang memudahkan para penumpang dalam proses daftar masuk.Sistem ini adalah yang pertama dan tertunggal di dunia buat masa ini dan operasi pertama dilancarkan di Lapangan Terbang Perth manakala operasi kedua baru sahaja dilancarkan di Lapangan Terbang Melbourne.

Suka saya ingatkan sekali lagi,ianya hanya melibatkan penerbangan domestik dan hanya boleh digunakan oleh pemegang kad Frequent Flyer versi baru sahaja.

Q Bag Tags yang saya maksudkan sebentar tadi berfungsi sebagai pengenalan diri kepada bagasi yang di dalamnya merangkumi maklumat peribadi pemilik.
Hanya ikatkan Q Bag Tags di luar bagasi dan ianya menggantikan tag kertas seperti di bawah.

Daripada sistem daftar masuk yang telah sedia ada seperti melalui internet (komputer dan telefon bimbit),mahupun kaunter yang dikendalikan oleh kakitangan penerbangan di lapangan terbang,kini di tambah dengan satu cara lagi iaitu melalui kad keahlian Frequent Flyer yang mengandungi microchip.
Sebelum saya menunjukkan gambar bagaimana menggunakan daftar masuk melalui kad,mari sama-sama melihat dulu cara daftar masuk melalui internet yang sudah biasa suami saya lakukan bersama Qantas Airways.

Daftar Masuk Melalui Internet (Telefon Bimbit)
Berikut adalah langkah-langkah yang boleh dilakukan menerusi internet dan kaunter daftar masuk dibuka 24jam sebelum waktu penerbangan.

Setelah selesai langkah demi langkah,akhirnya Qantas Airways menghantar pas masuk melalui sistem pesanan ringkas ke telefon bimbit.

Oleh itu,apabila tiba masa untuk masuk ke pintu pesawat,imbaskan sahaja kod bar di dalam telefon bimbit dan selepas itu kakitangan penerbangan akan memberikan satu salinan resit seperti ini

Daftar Masuk Melalui Kad Keahlian Frequent Flyer Microchip
Ya,cara yang lebih cepat dan mudah.Apabila tiba sahaja di lapangan terbang,layangkan kad keahlian Frequent Flyer versi baru di atas mesin yang dikhaskan.
Mesin ini akan membaca dan mengakui maklumat penerbangan yang telah didaftarkan semasa membeli tiket melalui internet.Selepas itu bolehlah menghantar bagasi di kaunter yang telah ditetapkan.
Letakkan bagasi di dalam bekas bewarna oren itu,dan kemuadian mesin pengimbas akan mengimas kod bar (kod bar yang sama seperti gambar dalam langkah bernombor 10) di dalam telefon bimbit.
Hanya selepas maklumat dibaca dan diakui,barulah bagasi dapat diterima masuk ke perut pesawat.


Semasa di lapangan terbang tempoh hari,saya dapat melihat masih ramai yang agak kekok dalam mengendalikan urusan daftar masuk secara persendirian.Kebiasaannya sesuatu yang baru memang mengambil masa untuk disesuaikan.
Oleh kerana suami saya sudah biasa dengan perkhidmatan terbaru  ini,maka segalanya berjalan lancar bagi kami berdua. :-)

Untuk maklumat lanjut anda boleh ke http://www.qantas.com.au/travel/airlines/checkin/global/en .

Sunday 6 March 2011

Pelbagai Festival

Assalamualaikum w.h.t dan Salam Hujung Minggu

Melbourne begitu terkenal dengan bermacam-macam festival yang diadakan sepanjang tahun dan
antara yang sedang berlangsung ialah Melbourne Food & Wine Festival.
Festival tahunan yang sudah masuk tahun ke 19 ini bermula dari 4hb Mac dan berakhir pada 14hb Mac.
Sepanjang festival ini berlangsung,pelbagai acara diadakan di dalam Victoria khususnya di bandaraya Melbourne.
Anda boleh merujuk di laman sesawang yang saya berikan ini untuk maklumat lanjut dan jadual aturcara.
(http://www.melbournefoodandwine.com.au/)

Semasa dalam perjalanan berjalan kaki ke Southwharf ( www.southwharf.com.au) pada sebelah tengah hari tadi,saya singgah sebentar ke salah satu acara yang diadakan bersama Melbourne Food & Wine Festival.
Acara pada hujung minggu ini diadakan di hadapan World Trade Centre,Southbank
Bayaran masuk AUD 15 dikenakan kepada mereka yang berminat untuk mencuba rasa berpuluh jenis wain.Gelas dan buku juga diberikan semasa membuat bayaran.Saya tidak mengeluarkan sebarang wang kerana saya menyelinap masuk mengikut laluan lain hanya untuk merakamkan beberapa keping gambar.
Daging stik,roti dan keju juga ada dijual

Pengunjung berbayar mencuba rasa pelbagai jenis wain

Pada sebelah petang,saya menghala pula ke persimpangan Lonsdale dan Russell Street di mana di situ telah diadakan acara tahunan khas untuk masyarakat negara Greek iaitu Antipodes Festival.
(http://www.antipodesfestival.com.au/)
Funfair sekadar menumpang kemeriahan Antipodes Festival
Funfair sekadar menumpang kemeriahan Antipodes Festival
Gambar kiri : Kanak-kanak menghiburkan pengunjung
Gambar kanan : Demostrasi masakan oleh salah seorang bekas peserta rancangan MasterChef 2010

"The Greek Community Of Melbourne Welcomes You To The Antipodes Festival". Penyanyi terkenal dari negara Greek juga hadir bagi memeriahkan festival.

Rata-rata pengunjung adalah dari masyarakat Greek,dan dapat dilihat salah seorang penari yang menggayakan pakaian kebudayaan negara beliau

Sekian buat masa ini,semoga kita berjumpa lagi pada masa akan datang. :-)

Saturday 5 March 2011

Sabtu Yang Indah

Assalamualaikum w.h.t dan Salam Hujung Minggu

Hari ini dengan rasminya saya sudah kembali pulih dan sihat dari demam selesema yang saya tanggung selama satu minggu.
Walaupun di sini sudah masuk musim luruh,tetapi cuaca yang dilaporkan pada hujung minggu adalah panas.Barangkali baki musim panas masih ada yang tertinggal :-)
Di kesempatan yang ada,saya memakai pakaian dan kasut musim panas lalu saya pun keluar bersiar-siar sebagai tanda untuk memanjakan diri setelah hampir seminggu 'berkurung' di dalam rumah.

Pada sebelah tengah hari,setelah menikmati nasi dan ikan belado di restoran Blok M,saya menuju ke Docklands dengan menaiki trem.
Aktiviti yang sangat suka saya lakukan ketika bosan ialah berjalan kaki(senaman kegemaran saya),window shopping dan mengambil  gambar.
Saya menghabiskan beberapa jam berjalan serta menjamu mata di Harbour Town  (http://www.harbourtown.com.au/)
dan sebelum pulang,saya singgah ke pameran kereta antik yang diadakan tidak jauh dari situ.
Pameran ini bukan sahaja mengumpulkan peminat-peminat kereta antik,malah ada beberapa buah kereta tersedia untuk dijual. (http://www.lincolnmercury.com.au/)

Saya kongsikan bersama anda beberapa gambar yang sempat saya rakamkan.Kualitinya agak tidak memuaskan kerana saya menggunakan kamera telefon bimbit.Hari ini saya tidak membawa kamera kesayangan kerana mood hanya mahu menggalas beg yang ringan sahaja :-)

Pertama kali melihat kereta antik mini sebegini


Anda nampak kepala tengkorak?


Saya suka melihat kereta bewarna ungu itu

Milik siapakah kaki ini?

Berlatar belakangkan Stadium Etihad

Esok juga dilaporkan panas terik suhu sekitar 27 darjah selsius.InsyaAllah,saya akan keluar bersiar-siar lagi dan jika ada cerita menarik akan saya kongsikan bersama anda di sini.
Sekian.