31 July 2011

Salam Ramadhan

Assalamualaikum w.h.t dan Salam Pertemuan

Di kesempatan ini,saya ingin mengucapkan selamat menyambut bulan Ramadhan dan semoga anda semua dapat menjalani ibadah berpuasa dengan tenang dan sempurna,InsyaAllah. :-)

30 July 2011

Pulang Ke Kampung

Assalamualaikum w.h.t dan Salam Sejahtera

Pada hari Sabtu minggu lalu,saya telah terbang ke Perth,Australia Barat bersama suami yang mempunyai urusan kerja di sana.Sebelum pesawat mendarat di Lapangan Terbang Perth,perasaan teruja dan gembira bercampur gaul.Perasaan itu sama seperti setiap kali saya akan mendarat di Perth dari Kuala Lumpur satu masa dahulu.Manakan tidak,setelah satu tahun saya meninggalkan Australia Barat,kini saya kembali untuk percutian yang sangat singkat.

Boleh dikatakan juga,saya seperti pulang ke kampung halaman.Perth ialah bandaraya pertama yang saya jejaki di dalam Australia semasa saya bekerja dengan Penerbangan Malaysia.Manakala Perth juga merupakan destinasi dan rumah pertama saya bagi memulakan kehidupan baru selepas berumahtangga.

Tidak banyak aktiviti yang dapat dilakukan sebaik tiba di Perth pada lewat petang itu.Kami menikmati makan malam di restoran D'Nyonya di Victoria Park,dan seterusnya menziarahi sahabat rapat suami yang boleh dianggap seperti bapa angkat beliau iaitu Pak Herman Shah dan isterinya Ibu Yuni.

Keesokan harinya,kami bersiar-siar di tepi Sungai Swan di Perth Selatan.Pemandangan di sini amat menarik kerana dapat melihat pusat bandar dari arah jauh.Sudah tidak terkira berapa kali saya pernah berada di sekitar kawasan ini,tetapi masih tidak jemu-jemu untuk mengambil gambar.


Sangat mengagumi keindahan dan kebersihan Sungai Swan
Seterusnya kami ke Fremantle,iaitu bandar pelabuhan terkenal di Australia Barat yang terletak 19 kilometer dari bandaraya Perth.Para pelancong wajib datang ke Fremantle untuk melihat tempat-tempat menarik dan bangunan bersejarah malah menikmati makanan laut di sini.

Restoran Cicerello's adalah kegemaran saya sejak dulu lagi
Kami kemudiannya mencuri sedikit waktu untuk minum petang bersama dengan kakak angkat kami,Faizah dan suaminya,Robson yang sudah hampir satu tahun tidak berjumpa.

Minum petang di Cimbalino,Cottesloe
Sebaik sahaja matahari melabuhkan tirainya pada hari Ahad itu,kami mengambil peluang untuk berjalan kaki di sekitar pusat bandar yang sudah lengang dengan kenderaan dan juga orang ramai.

King Street yang terkenal dengan butik-butik mewah
*Melalui gambar di atas,anda boleh lihat betapa bersihnya bandaraya Perth ini.


Pada hari Isnin,setelah suami selesai dengan beberapa urusannya,kami menjamu selera di Suria Cafe.
Suria Cafe di Girrawheen

Mee rebus,mee siam kuah,murtabak dan teh tarik

Sebelum ke lapangan terbang untuk pulang,kami singgah sebentar di Marangaroo untuk menziarahi ibu dan bapa saudara kepada suami dan dapat bertemu juga dengan sepupu serta bakal isteri beliau.

Ibu dan bapa saudara yang banyak menjaga suami semasa zaman persekolahannya di Australia
Semasa pesawat Qantas Airways QF776 berlepas dari Lapangan Terbang Perth pada jam 6.00petang,jauh di lubuk hati,saya merasa sebak kerana terpaksa meninggalkan Perth sekali lagi.

Tiga hari adalah terlalu singkat untuk berada di Perth.InsyaAllah,jika ada kelapangan di lain waktu dapatlah kami meluangkan lebih masa di sini.

12 July 2011

Morrocan Soup Bar

Assalamualaikum w.h.t dan Salam Hormat

Hari Ahad yang lalu,saya dan beberapa orang rakan telah menjamu selera di Morrocan Soup Bar.
Nama restoran ini tidak seperti apa yang anda gambarkan kerana hakikatnya ia bukannya sebuah bar yang menjual minuman keras.

Morrocan Soup Bar di Fitzroy North
Morrocan Soup Bar ialah restoran bercirikan negara Utara Afrika dan tidak menyajikan sebarang daging,pendek kata 100% vegetarian.
Lebih menarik,restoran ini tidak menawarkan menu kepada pelanggan kerana makanan disajikan berkonsep banquet.
Banquet ibarat seperti kita di dalam keraian menjamu selera di rumah kenalan atau saudara mara.

Sebaik sahaja duduk di meja.kami dihidangkan dengan teh pudina dan hidangan pembuka selera ialah roti pita dan pencicah pelbagai rasa contohnya kentang lecek,yogurt dan beberapa jenis lagi.

Hidangan pembuka selera

Kami terpaksa menunggu agak lama untuk hidangan utama,ini kerana faktor pelanggan yang ramai dan kakitangan yang tidak mencukupi.

Hidangan Utama
Menyambut hari ulangtahun seorang dari rakan kami
Akhir sekali hidangan pencuci mulut iaitu kopi pekat dan manisan baklava.


Moroccan Soup Bar dibuka setiap hari dari jam 6.00petang hingga 10.00malam kecuali hari Isnin.
Satu lagi yang unik tentang restoran ini ialah,kepada pelanggan yang ingin membeli makanan untuk dibawa pulang (take away),mereka perlu membawa bekas sendiri kerana pihak restoran tidak menyediakannya.

183 St Georges Rd
Fitzroy North VIC 306
(03) 94824240

09 July 2011

Sekejap Pun Tidak Mengapa

Assalamualaikum w.h.t dan Salam Hujung Minggu

Setelah pulang ke rumah pada lewat petang ,saya begitu tidak sabar untuk bercerita di dalam Terjemahan Hati.

Pada sebelah siang tadi,saya keluar bersama sahabat suami saya iaitu Kak Julia Gibby.Suami saya dan Kak Julia sudah lama berkenalan,tetapi bagi saya pula ini baru pertemuan kali kedua.Pertama kali saya bertemu dengan Kak Julia ialah semasa beliau hadir ke majlis perkahwinan saya dua tahun yang lalu.

Kak Julia dan suami datang bercuti ke Melbourne sambil melawat anak bongsu mereka yang menuntut di salah sebuah universiti tempatan.

Rancangan asal Kak Julia mahu berjumpa dengan saya dan suami,tetapi disebabkan suami bertugas ke luar negeri,maka hanya saya seorang yang dapat meluangkan waktu bersama.
Pada mulanya saya agak segan untuk berjumpa Kak Julia kerana saya belum pernah berbual panjang dengan beliau,maklumlah pertemuan pertama pun hanya di meja makan pengantin.:-)
Suami meyakinkan saya bahawa Kak Julia seorang yang ramah tamah dan mesra dengan sesiapa sahaja.Malah kata suami,"Kak Julia datang dari jauh (Singapura),jadi apa salahnya berjumpa dengan mereka yang ikhlas datang mahu menziarahi kita walaupun sekejap."



Hadiah dari kami untuk Kak Julia dan suami

Bersama Kak Julia dan anaknya Laura Gibby
Di dalam trem
Di South Wharf
 Walaupun pertemuan ini singkat, saya bersyukur kerana masih ada yang sayang,sudi menziarahi dan mengingati saya yang jauh di perantauan.Masa juga mencemburui kami,tetapi saya puas kerana dapat menemani membeli belah dan membawa Kak Julia bersiar-siar.

Terima kasih diucapkan kepada Kak Julia di atas pemberian ole-ole yang dibeli oleh beliau dari Singapura dan England untuk saya dan suami.

Buku-buku kerohanian dan pelembap bibir
Semoga hubungan persahabatan antara saya,suami dan Kak Julia kekal hingga akhir hayat.InsyaAllah.:-)

07 July 2011

Jumaat Hari Tanpa Kata

Assalamualaikum w.h.t dan Salam Jumaat

Makan Malam Ringkas

Assalamualaikum w.h.t dan Salam Pertemuan

Makan malam saya pada malam ini sangat mudah dan ringkas.
Makan Malam
Nasi putih berlauk telur goreng kicap,keropok ikan masin dan acar buah.
Sudah dua tahun lebih saya tidak merasa acar buah.Barangkali oleh kerana itulah,ketika menikmati hidangan,hati saya tersentuh dan teringatkan ibu saya di kampung.
Terima kasih kepada Kak Lin di Geelong Victoria kerana sudi memberikan saya acar buah ini. :-)
Acar Buah

Seorang sahabat saya ada mengatakan,lauk ini (seperti di atas),jika di Malaysia hanya dimakan oleh mereka yg kesempitan wang (pertengahan atau penghujung bulan sebelum gaji).Tetapi,bagi mereka yang tinggal jauh di perantauan,makanan ringkas sebegini sebenarnya sangat berharga dan dapat merasai seperti diri ini dekat dengan orang tersayang di tanah air.

06 July 2011

Pertemuan Semula

Assalamualaikum w.h.t dan Salam Sejahtera

Bertemu kembali di Terjemahan Hati.Sepanjang minggu lalu dan awal minggu ini saya agak sibuk menerima kunjungan tetamu istimewa dari Malaysia.
Mereka yang di maksudkan ialah sahabat atau bekas rakan sekerja saya yang masih menjawat jawatan pramugara dan pramugari di MAS.Boleh dikatakan juga ini adalah pertemuan semula setelah hampir satu dan dua tahun tidak bertemu.
2 gambar di atas ihsan dari Megan Holub




Kepada suami tercinta,terima kasih kerana turut bersama saya selama satu minggu untuk melayan tetamu.Syukur Alhamdulilah,suami juga bekerja di dalam satu industri yang sama,oleh itu beliau tidak ada masalah bergaul bersama mereka.


Kepada Aerill,Azman,Myzri,Gjul,Mazlan dan Fandi,terima kasih kerana sudi menjadi tetamu kami serta memberi kami hadiah serta menyampaikan gossip dan berita terkini dari Malaysia. :-)
Maaf sekiranya ada kekurangan dari pihak saya dan suami.
InsyaAllah, kita berjumpa lagi di masa akan datang dan jika ada kelapangan kami akan bawa anda ke tempat-tempat lain pula di sekitar Melbourne.
Selamat Maju Jaya bersama B777 :-)