Tuesday 29 May 2012

Selamat Hari Lahir Suamiku (2012)

Assalamualaikum w.h.t dan Salam Sejahtera

Beberapa hari yang lalu genap 34 tahun usia suami tercinta.
Baru saya perasan,rupa-rupanya setiap tahun kami menyambut di negeri dan negara yang berbeza.

2008 - Perth, Western Australia


2009 - Jakarta, Indonesia


2010 - Melbourne, Victoria

2011 - Hobart, Tasmania



Dan sekali lagi pada tahun ini kami menyambutnya di...............

2012 - Las Vegas, Nevada USA


Semoga saya dapat menyambut hari ulangtahun bersama suami di tahun-tahun akan datang sehingga ke hujung nyawa.InsyaAllah :-)

Thursday 24 May 2012

Indiana - Illinois - California - Australia

Assalamualaikum w.h.t dan Salam Sejahtera

INDIANAPOLIS, INDIANA
Satu lagi hari yang panjang untuk kami berdua pada hari ini.
Hujan turun dengan lebat di Indianapolis membuatkan kami terpaksa memendekkan beberapa aktiviti.Hanya satu tempat wajib dilawati jika datang ke sini iaitu dengan melawat tugu peringatan bagi tentera dan kelasi kapal.Waktu tidak mengizinkan untuk kami naik ke atas,jadi bergambar di bawah pun sudah mencukupi.
Mercu tanda Indianapolis - The Indiana Soldiers' and Sailors' Monument

PEORIA, ILLINOIS


3jam dan 30minit masa pemanduan yang diambil dari Indianapolis ke Peoria, Illinois.
Menunggu waktu untuk terbang ke Chicago
Pesawat American Airlines yang membawa kami ke Chicago

CHICAGO , ILLINOIS

Di Chicago O'Hare International Airport
Dari Chicago kami meneruskan penerbangan dengan American Airlines ke Los Angeles yang memakan masa 4 jam.

LOS ANGELES, CALIFORNIA

Admirals Club Lounge di Terminal 4, Lapangan Terbang Los Angeles
Menaiki bas menuju ke Tom Bradley International Terminal
Bermula dari Peoria kemudian ke Chicago dan seterusnya ke Los Angeles dan terakhir sekali ialah berlepas pulang dari Los Angeles pada jam 11.50malam hari Ahad,dan selamat mendarat di Lapangan Terbang Melbourne, Australia pada pagi hari Selasa.

Hati melonjak girang apabila pesawat sudah memasuki tanah Australia

Sekian buat masa ini catatan perjalanan sepanjang saya di Amerika Syarikat,teruskan bersama Terjemahan Hati pada masa akan datang :-)

Tuesday 22 May 2012

Indianapolis, INDIANA

Assalamualaikum w.h.t dan Salam Pertemuan

Hari yang sangat muram kerana cuaca mendung sejak dari pagi dan keletihan hari sebelumnya masih belum hilang membuatkan saya tidur sepanjang perjalanan dari Chicago, Illinois ke Indianapolis, Indiana.Mujur saya sempat mengambil gambar sebaik memasuki sempadan negeri.

*Ibu negeri bagi Indiana ialah Indianapolis*

Indiana, Crossroads of America
Di Indianapolis,kami menziarahi saudara sebelah suami yang menetap di sana.Kebetulan juga pada hari itu diadakan sambutan hari lahir anaknya yang masuk usia 2 tahun.

Si comel yang bernama Nora
Antara tetamu yang hadir.Yang paling tengah bercermin mata ialah saudara suami saya
Noah, sepupu Nora yang tidak banyak ragam
Hotel JW Marriott di Indianapolis ialah rangkaian hotel JW Marriott yang terbesar di dunia berdasarkan jumlah bilik (1005 buah).
Di sekeliling JW Marriott terdapat 5 buah lagi hotel Marriott dan semuanya bersambung ke Pusat Konvensyen Indianapolis.
Selepas daftar masuk hotel,kami bergambar di hadapan pintu masuk utama JW Marriott
Makan malam di rumah saudara
Nora dan sepupu sedang berkomunikasi bersama nenek Nora di Malaysia
Akan bersambung....

Monday 21 May 2012

Chicago, Illinois (Bahagian 2)

Assalamualaikum w.h.t dan Salam Sejahtera

Garrett Popcorn Shops
Kata suami,tidak lengkap sekiranya datang ke Chicago jika tidak mencuba Garrett Popcorn yang sudah menjadi kegemaran beliau sejak dahulu lagi ( semasa menyambung sekolah penerbangan di Amerika Syarikat suatu ketika dahulu).
Tercetus di hati saya, "apa yang membuatkan bertih jagung ini menjadi kegemaran ramai sehingga pelanggan harus berbaris panjang untuk membelinya?"

Perniagaan Garrett Popcorn bermula di Chicago pada tahun  1949 dan sehingga ke hari ini berkembang maju menjadikan 10 buah cawangan di Chicago,New York (1 cawangan), seterusnya menembusi pasaran antarabangsa iaitu di Singapura dan Malaysia (One Utama & Suria KLCC).

Terpaksa beratur panjang dan menahan kesejukan
Keistimewaan Garrett Popcorn tentunya kerana ia dibuat segar di dalam kedai,saiznya yang besar,pelbagai perasa yang unik dan pelanggan boleh membeli tin kosong untuk memasukkan popcorn ke dalamnya.Antara perasa yang terdapat di Garrett Popcorn ialah karamel,keju,mentega dan campuran kekacang seperti cashew,almond,pecan dan macadamia.

Gambar di dalam kedai - Bermacam corak dan saiz tin kosong yang boleh dibeli serta lima perasa yang ditawarkan
Pulang ke hotel seketika untuk meletakkan beberapa beg yang sudah tidak menang dek tangan
Sejak tiba di Amerika Syarikat,aktiviti saya lebih kepada aktiviti luaran seperti road trip dan banyak melawat tempat-tempat bersejarah.
Di Chicago barulah saya dapat memanjakan diri dengan membeli belah.

I Pad yang lebih mudah dibawa dan digunakan sementelah kami suami isteri kerap melancong
Salah satu butik Louis Vuitton yang terdapat di dalam Chicago
John Hancock Center
Bangunan ini diberi nama John Hancock Center yang mempunyai 100 tingkat. Ia merupakan bangunan ke empat tertinggi di Chicago dan ke enam tertinggi di Amerika Syarikat manakala John Hancock Observatory pula berada di tingkat 95. Terdapat anjung tinjau,restoran dan gerai menjual cenderahati.

Berada di hadapan John Hancock Center.Awan yang rendah menyebabkan puncak bangunan tidak kelihatan
Di hadapan Victoria Secret
Tiada siapa dapat menyangkal bahawa Amerika Syarikat ialah sebuah negara maju kelas pertama.Nampak semuanya indah belaka terutama apabila menonton filem Hollywood memaparkan kehebatan individu yang menunjukkan mereka begitu "genius"dan hebat sekali dalam menangani isu semasa ataupun dunia.Hakikat sebenar adalah sebaliknya.Tidak semua tergolong dalam kelompok bijak pandai.
Berani saya katakan di sini,rakyat Australia pemikirannya lebih luas(kerana kerap melancong ke luar negara) berbanding dengan rakyat Amerika Syarikat.Sistem pendidikan seperti mata pelajaran sejarah dan geografi pun tidak begitu meluas diajar di sekolah di Amerika Syarikat.

Saya bercakap berdasarkan bukti.Semasa di sana,suami pernah ditanya beberapa soalan oleh penduduk tempatan seperti "di mana Australia?" "Apa yang anda makan di sana?" Yang mereka tahu ialah kangaroo dan mendiang Steve Irwin ( The Crocodile Hunter). Ada pula di antara mereka yang awal-awal lagi mengaku tidak mampu untuk bercuti ke luar negara terutamanya Australia,negara yang tinggi kos kehidupan dan serba serbi yang lain.
Pelancong dari Australia seperti mendapat layanan VIP dari pekerja restoran,pusat membeli belah dan anggota badan beruniform.Suami pernah "ditahan" polis di tepi jalan selama 30minit dan disoal dengan bermacam2 soalan mengenai Australia.Mendengar serba sedikit cerita dari suami,sudah cukup mengubati hati mereka yang lara kerana mereka akui tidak mampu untuk ke sana.

Hati saya pernah berkata-kata " patutlah setiap kali Oprah Winfrey memberi hadiah kepada peminat di dalam studio,mereka menangis bagai nak rak.Mana tidaknya,rata-rata antara mereka bergaji kecil dan ada yang tidak pernah bercuti di dalam negeri sendiri.Jauh sekali hendak ke luar negara." Seperkara lagi,disebabkan Oprah Winfrey membawa peminat datang bercuti ke Australia,baru lah mereka membuat passport antarabangsa.Oprah Winfrey juga baru pertama kali menjejakkan kaki ke Australia!! (2011)

Kerajaan Amerika Syarikat gagal membantu rakyatnya sendiri kerana terlalu ramai penduduknya tidak mempunyai tempat tinggal sekaligus menjadi pengemis dan merempat dianggarkan antara 200,000 dan 500, 000 orang.
Maklumat yang saya perolehi dan apa yang dapat saya lihat,sistem kebajikan untuk rakyat tidak berfungsi dengan baik.Jauh jika hendak dibandingkan dengan sistem kebajikan dan cara bagaimana kerajaan Australia menjaga rakyatnya terutama dari bantuan sara hidup.
Kehidupan mereka di Amerika Syarikat sama seperti di Indonesia dan India.Yang kaya menjadi bertambah kaya,yang miskin semakin miskin.Rakyat Australia sangat beruntung kerana kerajaan menjaga rakyat (termasuk saya) dengan begitu baik sekali.Oleh kerana itulah terlalu ramai yang mahu berhijrah ke Australia termasuk pendatang tanpa izin yang bertarung nyawa menyeberangi lautan untuk memasuki Australia secara haram.Malang sekali kepada mereka yang berminat untuk berhijrah kerana kerajaan Australia sudah mengetatkan syarat kemasukan.

Berbalik kepada cerita rakyat Amerika Syarikat yang mengemis,bandar besar seperti New York,Los Angeles,Chicago dan San Fransisco boleh dikatakan 'bersepah' dengan pengemis. :-(

Sumbangan ikhlas dari saya kepada pengemis ini telah membuatkan pasangan dibelakang saya menukar fikiran berpatah balik untuk memberikan sumbangan juga
Bandaraya Chicago bermandikan cahaya lampu pada waktu malam
 Gino's Pizza

Restoran ini mempunyai konsep yang unik di mana pelangan digalakkan untuk menconteng dinding atau di mana sahaja kecuali pinggan,mangkuk dan gelas :-)


Gino's Pizza
Yang membuatkan Gino's Pizza terkenal ialah konsep deep dish pizza.Piza yang menyerupai seperti pai ayam. Deep dish pizza direka buat pertama kali di Chicago pada tahun 1943.Ya,sekali lagi sejarah dicipta di Chicago!Jika dilihat dari gambar sememangnya deep dish pizza sangat besar,maka kami memesan saiz sederhana sahaja(jika piza biasa,kami boleh menikmati saiz besar dan keluarga).
Apabila piza siap dimasak,kami terkejut kerana saiz sederhana yang dibayangkan tidaklah sebesar ini (gambar di bawah).

Menikmati deep dish pizza yang mengandungi 4 jenis keju
Antara artis dan selebriti terkenal yang pernah datang ke sini.Gambar dan tandatangan mereka diletakkan di dalam Gino's Pizza

Berhenti di sini dahulu,kita berjumpa di Terjemahan Hati pada masa yang lain pula. :-)

Sunday 20 May 2012

Chicago, ILLINOIS (Bahagian 1)

Assalamualaikum w.h.t dan Salam Sejahtera

Destinasi seterusnya ialah CHICAGO!!

Chicago ialah bandar yang terbesar di dalam negeri Illinois dan penduduknya hampir mencecah seramai 3juta orang.
Semasa di awal usia remaja,saya pernah memakai topi Chicago Bulls (pasukan bola keranjang profesional). Bagaikan tidak percaya saya telah sampai ke "rumah" pasukan Chicago Bulls ini. :-)

Tiba di Chicago dari Peoria agak lewat petang
Apabila masuk sahaja ke dalam bandaraya ketiga terbesar di Amerika Syarikat ini, (selepas New York dan Los Angeles),kami menuju terus ke restoran untuk makan malam.
Devon Avenue terletak di timur-barat dari metropolitan Chicago yang majoriti penduduk di situ ialah rakyat dari negara asing yang berhijrah menjadi penduduk tetap.Antaranya ialah mereka yang berasal dari India,Pakistan,Rusia,Bangladesh dan lain lain lagi.Oleh sebab itu di Devon Avanue cukup senang untuk mencari makanan-makanan halal seperti restoran termasuk KFC dan daging halal.

Salah satu kedai menjual daging halal
Restoran yang bercirikan makanan dari negara China tetapi pemiliknya India Muslim
Sup pembuka selera, Sup Jagung Ayam,Sup Pedas Masam,Ayam Szechuan dan Daging Cili Kering.Kesemua hidangan sangat murah dah mustahil untuk dapat harga sebegini di Australia

Perjalan udara dan darat hari ini sudah mengambil masa lebih dari 24 jam.Selepas makan malam terus kami ke hotel untuk berehat sepuas-puasnya.

Courtyard Marriot
Keesokan Harinya
 Hotel penginapan kami terletak betul-betul di tengah jantung bandaraya Chicago,oleh itu kami hanya berjalan kaki sahaja untuk ke mana-mana.Amerika Syarikat sudah memasuki musim bunga.Ada sesetengah negeri,penduduk tempatan sudah boleh berpakaian nipis tetapi tidak bagi Chicago yang digelar The Windy City ini.Mujurlah saya sudah membuat persiapan rapi dari segi pakaian untuk dipakai di sini.

The Magnificent Mile
The magnificent Mile ialah satu kawasan dan aliran jalanraya yang panjang merangkumi pusat membeli belah,ratusan tapak perniagaan seperti butik berjenama mewah,lebih dari 50 buah hotel,lebih dari 250buah restoran,firma antarabangsa,ibu pejabat suratkhabar Chicago Tribune, dan stesen radio.The Magnificent Mile dapat dilihat seperti gambar-gambar di bawah.


Berjalan-jalan di dalam bandaraya Chicago.Gambar paling kiri - Di belakang saya (bangunan yang paling tinggi) merupakan bangunan TRUMP INTERNATIONAL HOTEL &TOWER yang pemiliknya ialah Donald Trump
Makan tengah hari di restoran Timur Tengah bersama Kak Maria, kenalan suami yang sudah lama menetap di Chicago
Gambar paling kanan : Jambatan ini akan dibuka(terbelah tengah) dan jalaraya di situ akan ditutup sekiranya kapal-kapal besar ingin melaluinya
Di sepanjang The Magnificent Mile
Millennium Park
Taman yang dikhaskan untuk orang awam ini dibina bertujuan untuk menyambut alaf baru (tahun 2000).Di sini terdapat pusat seni dan teater,astaka atau lapangan yang besar,air pancut,taman bunga dan macam-macam lagi.

Millennium Park yang sering menjadi tarikan pelancong dan penduduk tempatan
The Millennium Monument in Wrigley Square
Cloud Gate
Cloud Gate ialah sebuah arca seni yang direka oleh Anish Kapoor.
Nama samaran lain bagi Cloud Gate ialah The Bean,kerana ia menyerupai seperti kacang.

Cloud Gate ialah tempat yang wajib dilawati jika datang ke Chicago

Akan bersambung...... :-)

Saturday 19 May 2012

Albuquerque,NEW MEXICO, Dallas,TEXAS & Peoria, ILLINOIS

Assalamualaikum w.h.t dan Salam Sejehtera

Perjalanan darat dan udara yang panjang pada hari ini bermula seawal tengah malam dari Farmington dengan menaiki kereta menuju ke Albuquerque , New Mexico yang mengambil masa selama 3jam 15minit.


ALBUQUERQUE, NEW MEXICO
.Albuquerque International Sunport, New Mexico
Selesai urusan daftar masuk dan kami sudah berada di pintu berlepas lebih kurang jam 5.00 pagi.Tepat jam 6.00 pagi,penerbangan American Airlines yang kami naiki pun berlepas dari Albuquerque meninggalkan negeri New Mexico.

Perkhidmatan internet terdapat di dalam pesawat American Airlines
DALLAS, TEXAS 
Penerbangan selama 1jam 15minit selamat mendarat di Dallas,Texas.Kami berada di sini hanya untuk seketika sebelum menyambung penerbangan ke Peoria, Illinois.

Mengalas perut di American Airlines Admirals Club lounge
Dallas/ Fort Worth International Airport
Penerbangan ini hanya mengambil masa 1jam 50 minit.Pertama kali menaiki kapal terbang ERJ 145 yang sebelah kirinya satu tempat duduk manakala sebelah kanan dua tempat duduk

PEORIA, ILLINOIS
Apakah keistimewaan yang ada di Peoria?


Di Peoria terletaknya ibu pejabat dunia bagi CATERPILLAR Inc. (CAT)
CAT seperti yang anda tahu ialah syarikat gergasi dunia dalam mereka,membentuk,pengeluar dan menjual mesin dan jentera untuk bidang perlombongan,industri gas dan sebagainya.
Jika sebelum ini saya hanya melihat jentera penurap jalan berjenama CAT sahaja,tetapi di Peoria saya berpeluang melihat dengan lebih dekat ibu pejabat serta dapat menyentuh jentera/traktor pertama di dunia yang dihasilkan oleh CAT.


Traktor pertama dunia di Peoria International Airport
Peoria International Airport
Papan tanda selamat datang ke Peoria ditaja oleh Caterpillar
Di dalam bandaraya Peoria
Gedung Caterpillar menjual cenderamata seperti baju,kasut,beg dan lain lain

Ibu pejabat CAT yang dimaksudkan bukanlah hanya sebuah bangunan sahaja tetapi sangat banyak dan bertaburan di serata Peoria. Bangunan yang paling utama ialah seperti gambar di bawah.

Caterpillar World Headquarters Building
Di belakang saya ialah "Spirit of Peoria River Boat" ,sebuah restoran terapung yang sangat terkenal di kalangan penduduk tempatan dan pelancong

Meneruskan perjalanan selama 2jam30minit untuk ke destinasi berikutnya

 Meneruskan perjalanan berkereta pula untuk ke destinasi berikutnya,nantikan... :-)