Monday 29 September 2014

Wagin, Australia Barat

Assalamualaikum w.h.t dan Salam Sejahtera

Wagin terletak kira-kira 236 km dari Perth, Australia Barat dan kedudukannya di tengah antara daerah Narrogin dan Katanning. Sumber ekonomi utama di sini ialah dalam industri pertanian (gandum) dan ternakan kambing biri-biri.

Kambing gergasi ini merupakan ikon terkenal di Wagin dan wajib untuk para pengunjung mengambil gambar.


Saturday 27 September 2014

Residence Inn Marriott, Denver, COLORADO

Assalamualaikum w.h.t dan Salam Sejahtera

Residence Inn Marriott beralamat di 1725 Champa Street, Denver, Colorado 80202 USA.
http://www.marriott.com/hotels/travel/denrd-residence-inn-denver-city-center/

Residence Inn Marriott di Denver, Colorado.

Gambar atas : Di hadapan pintu masuk hotel.

Gambar bawah : Bilik kami yang terletak di tingkat 12.

Pemandangan bilik dari pintu masuk.

Gambar atas : Dapur terletak di sebelah kanan dari pintu masuk.

Gambar bawah : Ruang tamu.

Ruang tamu, bilik tidur dan bilik air.

Gambar atas : Di tingkat bawah (lobi).

Gambar bawah : Lukisan yang menunjukkan bangunan teater yang diberi nama Bluebird. Di sinilah tempat saya dan suami menonton persembahan penyanyi Malaysia iaitu Yuna dua tahun lalu.

Sarapan pagi.

Wednesday 24 September 2014

Istanbul, TURKI (2006) - Bahagian 3

Assalamualaikum w.h.t dan Salam Sejahtera

Entri ini bersambung dari bahagian 1 : http://www.sharery.blogspot.com.au/2014/09/istanbul-turki-2006-bahagian-1.html
dan bahagian 2 : http://sharery.blogspot.com.au/2014/09/istanbul-turki-2006-bahagian-2.html

Hari Keempat
Pada hari ke empat di Istanbul, hanya saya dan seorang rakan sahaja yang keluar dan berminat untuk melawat ke Topkapi. Tiada lagi aktiviti bersiar-siar secara berkumpulan seperti hari-hari sebelumnya.
Topkapi atau Topkapi Palace ialah istana lama yang merupakan kediaman rasmi bagi kesultanan Uthmaniyyah selama kira-kira 400 tahun. Kini Topkapi dijadikan sebagai muzium dan merupakan tempat tarikan pelancong yang utama di Istanbul.
 
Di hadapan pintu masuk hadapan Istana Topkapi.  Jika tidak silap saya, bayaran masuk dikenakan sekitar USD15 untuk seorang.

Gambar atas kiri : Pemulaan bagi lawatan di dalam Topkapi.

Gambar atas kanan dan bawah kiri : Dinding dan bumbung yang indah dengan warna keemasan.

Gambar bawah kanan : Di belakang saya ialah bilik yang mempamerkan banyak barangan peninggalan Nabi Muhammad SAW dan para sahabatnya seperti contoh janggut baginda Rasullah SAW. Masih terngiang-ngiag kemerduan bacaan ayat suci Al Quran yang diputarkan di dalam bilik itu. Oleh kerana pengunjung tidak boleh merakamkan gambar, maka saya hanya mengambil kesempatan bergambar di luar bilik sahaja.


Gambar atas : Banyak keterangan bergambar yang diletakkan khusus untuk pengunjung.

Gambar bawah : Di bahagian luar istana.

Musim luruh merupakan musim kegemaran saya sejak dari dahulu hingga sekarang. Melihat pokok dan dedaun kering yang bertukar-tukar warna membuatkan saya tidak jemu untuk mengambil gambarnya.

Semasa bersiar-siar di dalam kawasan Topkapi yang besar ini dapat saya bayangkan bagaimana rasanya menjadi penghuni istana pada zaman dahulu. Apabila bosan atau ingin menghirup udara segar, pasti mereka akan bersiar-siar di dalam taman istana sambil melihat pemandangan Istanbul dan Bosphorus (selat).



Dua gambar terakhir sebelum meninggalkan perkarangan istana.

Gambar atas : Fountain of Sultan Ahmed III ialah sebuah struktur air pancut yang terletak di dataran yang besar di hadapan pintu gerbang Topkapi. Ia dibina pada tahun 1728 semasa di bawah kesultanan Uthmaniyyah Sultan Ahmed III.

Gambar bawah : Masih tidak jemu mengambil gambar berlatar belakangkan Blue Mosque.
 
Selepas ke Topkapi, kami menghabiskan waktu pada hari terakhir di Istanbul dengan berjalan-jalan dan membeli-belah di sekitar bandar.

Hari Kelima


Mengambil kesempatan menikmati kedinginan pagi di sekitar hotel sebelum bersiap untuk pulang ke Malaysia.

Mengambil kesempatan menghirup udara pagi di sekitar hotel sebelum bersiap untuk pulang ke Malaysia.

Gambar dirakamkan dari dalam bilik hotel.

Di dalam perjalanan ke Lapangan Terbang Ataturk Istanbul.

Terima kepada para pembaca yang sudi meluangkan masa mengikuti entri saya yang di bahagikan sebanyak 3 bahagian ini. Daripada ratusan gambar yang saya rakamkan sepanjang berada di Istanbul, hanya lebih kurang 115 sahaja yang dapat saya kongsikan bersama anda.
Cerita mengenai Istanbul tidak berakhir di sini. InsyaAllah jika ada kelapangan saya akan membuat entri mengenai lawatan saya ke Istanbul pada musim panas pula (2009) malah tempat-tempat menarik yang dilawati berbeza dengan apa yang anda lihat di sepanjang lawatan saya pada tahun 2006.


Tuesday 16 September 2014

Istanbul, TURKI (2006) - Bahagian 2

Assalamualaikum w.h.t dan Salam Sejahtera

Sambungan dari bahagian satu ; http://www.sharery.blogspot.com.au/2014/09/istanbul-turki-2006-bahagian-1.html


Hari Kedua



Hari Ketiga
Sebelum keluar bersiar-siar pada hari ketiga, kami bersarapan terlebih dahulu di hotel. Oleh kerana jelak apabila makan kebab berhari-hari maka menu pada hari itu ialah nasi lemak. Beberapa rakan sekerja saya ada membawa lauk beku manakala nasi lemak pula di masak di dalam bilik dengan menggunakan dapur nasi mini. Telur dan bahan mentah untuk penyediaan nasi lemak telah dibeli di kedai runcit berdekatan dengan hotel.
Dapur mini yang saya ceritakan tadi dibeli oleh kru kabin (termasuk saya) untuk di bawa semasa nightstop apabila kami terpaksa berada lama di luar negara seperti lebih dari seminggu atau dua minggu. Kebiasaannya kami akan membawa bersama lauk beku atau makanan dalam tin.


Sungguh seronok apabila dapat makan beramai-ramai seperti begini. Walaupun saya tahu bagaimana cara memasak nasi lemak tetapi ini merupakan pertama kali saya memasaknya.

Selepas bas menurunkan kami di bandar (berhadapan Blue Mosque), kami berjalan kaki lebih kurang 40 minit (berhenti-henti kerana mengambil gambar) untuk ke terminal feri. Pada hari ketiga ini, kami akan menyeberangi selat Bosphorus di mana ia merupakan sebahagian sempadan bagi benua Eropah dan Asia.

Gambar kanan tengah : Pertama kali melihat kedai senjata api secara lebih dekat.

Terdapat banyak cabang laluan feri yang menghubungkan Turki bahagian Eropah dan Asia. Anda perlu menyelidik dahulu kemana tempat yang ingin dituju sebelum menempah tiket.

Gambar pemandangan yang dirakamkan semasa di atas feri.

Berada di negara Turki di benua Asia.

Gambar kanan atas : Pertama kali melihat ikan mackerel yang dijual di pasar dengan menayangkan insangnya yang merah.

Gambar kanan bawah : Pasar yang saya rasakan begitu berwarna warni dengan hasil jualan seperti ikan, sayur-sayuran serta buah zaitun yang pelbagai jenis dan rasa.

Jelas kelihatan kemodenan terutamanya dari segi bangunan dan barang jualan di bahagian Turki benua Asia ini. Dapat juga saya membeli sepasang kasut but bertumit. Ianya sangat selesa dan tidak sakit walaupun berjalan dari petang hingga ke malam.

Kami menaiki semula feri untuk pulang ke hotel (benua Eropah). Oleh kerana terlepas perkhidmatan bas percuma (hotel shuttle) akibat sudah lewat dari masa yang ditetapkan, maka kami menyambung perjalanan dengan menaiki keretapi untuk sampai ke stesen yang berdekatan dengan hotel.  Berjalan kaki dari siang hingga ke malam tidak mendatangkan rasa penat akibat dari keseronokan bersiar-siar bersama rakan-rakan.

Akan bersambung ke bahagian 3 tidak lama lagi.

Sunday 14 September 2014

Istanbul, TURKI (2006) - Bahagian 1

Assalamualaikum w.h.t dan Salam Sejahtera

Kali ini saya ingin berkongsi gambar-gambar semasa pertama kali saya ke Istanbul, Turki. Penerbangan dari Kuala Lumpur ke Istanbul (satu hala) mengambil masa lebih kurang 12 jam. Saya masih ingat lagi pada waktu itu saya bertugas di kelas perniagaan dan hampir separuh penumpang kelas perniagaan itu ialah terdiri daripada rombongan Datuk Sharizat Abdul Jalil. Di dalam separuh perjalanan, dan selepas Datuk Shahrizat keluar dari tandas, beliau datang ke galley (dapur) dan berbual-bual dengan kami. Menyesal pula rasanya kerana saya tidak bergambar dengan beliau yang agak peramah itu.

Hari Pertama

Selamat mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Antartuk, kami anak-anak kapal terus ke hotel penginapan. Sebelum memulakan bermacam-macam aktiviti dengan perasaan tidak sabar untuk ke Blue Mosque/Masjid Biru, tidur adalah perkara yang perlu didahului.

Pada hari pertama di Istanbul, saya dan rakan-rakan memulakan aktivit berjalan-jalan pada sebelah awal petang setelah puas tidur dari awal pagi sebaik tiba dari Kuala Lumpur. Kami menggunakan perkhidmatan bas yang hotel sediakan (hotel shuttle) untuk ke bandar.

Bas memberhentikan kami di hadapan Masjid Sultan Ahmed (Sultan Ahmet Camii dalam bahasa Turki) atau lebih dikenali sebagai Blue Mosque/Masjid Biru. Inilah pertama kali saya melihat kecantikan Masjid Biru dengan lebih dekat lagi. Ia dibina pada tahun 1609.

Makam Sultan II Mahmud yang terletak tidak jauh dari Blue Mosque. Jika berjalan kaki ia mengambil masa kira-kira 10 minit dari Blue Mosque.

Di kawasan makam.

Cuaca sejuk musim luruh yang cukup sesuai dan selesa untuk berjalan kaki di sekitar bandar Istanbul.

Perjalanan berjalan kaki dari Blue Mosque ke Grand Bazaar mengambil masa dalam 15 minit. Ia merupakan salah satu pasar terbesar dan tertua (berbumbung) di dunia. Filem James Bond 007 Skyfall turut menjalani pengambaran di sini.  Rasa terubat rindu apabila melihat pemandangan Grand Bazaar semasa saya menonton filem ini.

Kembali semula ke Blue Mosque.

Kagum dengan kecantikan dalaman Blue Mosque/Masjid Biru. Bersama saya ialah pramugari Miki (warganegara Korea yang berkhidmat untuk Malaysia Airlines), Aisyah dan pramugara Azizi.

Masjid Sultan Ahmed atau dipanggil Blue Mosque/Masjid Biru kerana jubin (tiles) berwarna biru yang menghiasi dinding masjid.

Masih di dalam kawasan masjid.

Kedai-kedai menjual cenderamata di sekitar kawasan Blue Mosque.

Kebanyakan daun telah pun kering dan akan gugur pada bila-bila masa. Sejuk musim luruh di negara Turki seakan-akan musim sejuk di sesetengah negeri di Australia.

Gambar kiri : Pemandangan Masjid Sultan Ahmed yang dilihat dari jauh dan dirakamkan semasa saya berjalan di laluan untuk ke Topkapi. Ia merupakan salah satu gambar kegemaran saya.

Gambar kanan : Saya juga memang juga mengambil gambar kandid penduduk tempatan.

Hari Kedua

Menghirup udara pagi di persektiaran hotel.
Seperti biasa, kami mengambil bas hotel untuk ke pusat bandar. Grand Bazaar masih menjadi destinasi utama kami untuk bersiar-siar.

Turkish Delight merupakan manisan terkenal di negara Turki yang berasaskan kanji dan gula berbentuk seperti buah dadu/kiub dan mempunyai pelbagai warna dan rasa.

Akan bersambung....

Thursday 11 September 2014

Masyarakat Berbilang Kaum Dan Budaya Di Australia

Assalamualaikum w.h.t dan Salam Sejahtera

Walaupun pekerjaan saya sebelum ini membawa ke pelbagai negara tetapi berhijrah dan memulakan kehidupan baru di negara luar pada awalnya bukanlah mudah. Tekanan emosi apabila berjauhan dan rindu keluarga di Malaysia dapat saya atasi selepas dua tahun pertama penghijrahan ke Australia. Selain daripada itu saya perlu menyesuaikan diri dengan keadaan persekitaran dan kawasan kejiranan, mempelajari tentang sejarah negara, sistem pentadbiran kerajaan negeri dan pusat serta mengetahui undang-undang dan hak sebagai rakyat dan penduduk Australia.


Satu perkara yang memberi impak kesedaran pada diri saya ialah menghormati antara satu sama lain tidak kira perbezaan etnik, bangsa, agama dan warna kulit. Saya bersyukur kerana Australia memberikan perlindungan terhadap rakyat dengan adanya undang-undang anti-diskriminasi dan anti -perkauman (anti-discrimination, anti-racism).
Australia turut memberikan kebebasan beragama kepada rakyat (
Freedom Of Religion) - asalkan mereka taat dengan undang-undang. Dalam erti kata lain, tidak boleh memaksa seseorang dari memeluk sesuatu agama.


Secara kesimpulannya, kita (rakyat, penduduk tetap dan pelancong) perlu menghormati undang-undang tersebut dengan tidak mengeluarkan kata-kata yang mendatangkan unsur perkauman dan diskriminasi.

Walaupun hanya menyindir dan berjenaka dengan seseorang secara sengaja atau tidak, ia dikira menyalahi undang-undang. Inikan pula memburuk-burukkan mereka secara terbuka seperti di laman sosial. Padah akan menimpa.


Jewish Museum of Australia - St. Kilda, Victoria, Australia.

Sama juga seperti di Malaysia atau Singapura, kita mengetahui sedikit sebanyak tentang adat, budaya serta cara hidup jiran yang berlainan bangsa dan agama. Lawatan saya dan suami ke muzium Yahudi dapat menambah ilmu pengetahuan demi untuk menghormati antara satu sama lain yang barangkali mereka mungkin akan menjadi jiran kami tidak kira samada di Australia atau Amerika Syarikat. Tambahan pula kami turut mempunyai sahabat yang bersuamikan bangsa Yahudi (telah memeluk Islam) termasuk rakan-rakan sekerja suami.



Lawatan saya ke muzium Yahudi boleh anda ikuti di sini ;
http://sharery.blogspot.com.au/2013/10/melawat-ke-muzium-yahudi-di-melbourne.html


Satu cerita yang ingin saya kongsikan di sini ialah peristiwa yang terjadi lebih tiga tahun lalu di Melbourne. Setelah saya membeli barangan dapur dan menunggu trem untuk pulang ke rumah, saya didatangi sekumpulan keluarga berbangsa Yahudi. Salah seorang dari mereka mendekati saya dengan senyuman lantas bertanyakan arah dan tunjuk jalan. Mujurlah saya memahami selok belok bandar Melbourne, maka saya pun membantu beliau. Semasa perjalanan pulang, tiba-tiba datang perasaan bangga kerana saya dapat membantu pelancong berbangsa Yahudi tersebut (bukan kali pertama saya di sapa oleh pelancong asing untuk meminta bantuan tunjuk jalan). Di dalam ramai orang (orang Inggeris) di stesen trem tadi, wanita bertudung juga yang disapa oleh beliau.


Menikmati hotdog halal di New York City dan tidak ada masalah duduk di sebelah pemuda berbangsa Yahudi.

Saya bukan sarkastik atau menyindir sesiapa tetapi ini adalah kenyataan, fakta dan boleh dikatakan tip melancong. Jika sesiapa tidak suka, tidak mahu mendekati atau melihat mereka yang berbangsa Yahudi, saya tidak galakkan untuk datang ke New York kerana bangsa Yahudi mempunyai majoriti penduduk yang ramai di sana. Pendek kata (pengalaman sendiri), kiri kanan, depan belakang mereka ada di sekeliling kita.


Apa yang saya ceritakan di sini tiada kena mengena dengan isu semasa, politik ataupun agama. Saya menekankan tentang kehidupan saya dalam menyesuaikan diri dengan masyarakat berbilang budaya di Australia (juga Amerika Syarikat) dan menghormati undang-undang negara.


Penduduk Islam yang tinggal di negara bukan Islam mempunyai tanggungjawab yang besar iaitu cuba menaikkan martabat agama Islam di mata dunia akibat dicalar oleh umat Islam yang tidak berperikemanusiaan. Di luar negara contohnya Australia dan Amerika Syarikat terdapat banyak cara, aktiviti yang diadakan dengan pelbagai persatuan, badan kerajaan dan swasta demi untuk merapatkan jurang antara umat Islam dan agama lain. Saya juga tergolong antara yang perlu menggalas tanggungjawab tersebut. Kita tidak perlu riak, angkuh dan memaki hamun mereka. Jika kita menghormati mereka yang berlainan fahaman agama, nescaya mereka turut menghormati kita sekaligus Islam akan dihormati.  :) .


Saya akan berkongsi pengalaman saya yang berbesar hati apabila dihormati oleh bangsa lain semasa berada di luar negara di dalam entri akan datang.



Tuesday 9 September 2014

Menambah Entri Mengenai Australia

Assalamualaikum w.h.t dan Salam Sejahtera.

Hampir lima tahun saya telah berkecimpung di dalam dunia blog yang 90% isi kandungan ceritanya mengenai kembara dan melancong. Walaupun kamera silih berganti dengan yang baru dan ianya wajib dibawa kemana-mana namun saya akui kesilapan saya pada tahun-tahun awal kerana jarang berkongsi cerita serta gambar mengenai dua buah negeri yang menjadi rumah saya selepas penghijrahan ke Australia pada tahun 2009 (Australia Barat dan Victoria) dan sebelum ke Amerika Syarikat.

Tidak kira di Amerika Syarikat atau di negara lain sekalipun saya berada, saya akan cuba mengisi waktu untuk membuat entri mengenai tempat-tempat menarik di Australia terutama sekali negeri Australia Barat yang tetap saya gelarkan sebagai 'Home Sweet Home'.

Apa istimewanya sehingga digelar 'Home Sweet Home?' Akan saya ceritakan tidak lama lagi.

Pemandangan bandar Perth yang dilihat dari sebelah selatan dan dipisahkan oleh Sungai Swan.

Sunday 7 September 2014

McDonald's Terbesar Di Dunia Di Vinita, Oklahoma

Assalamualaikum w.h.t dan Salam Sejahtera

Semasa di dalam perjalanan menggunakan lebuhraya Interstate 44 dari Texas menuju ke Illinois, saya dan suami singgah sebentar di Vinita, Oklahoma untuk mengisi minyak kereta. Sebaik sahaja  kami membelok untuk ke stesen minyak (rakyat Amerika menggelarkan sebagai gas station) dan apabila mata melihat restoran Mcdonald's di sebelahnya, fikiran saya terus teringatkan restoran jejantas Sungai Buluh, Malaysia di mana ia juga terletak di atas lebuhraya.

Gambar kurang memuaskan kerana saya fokus menggunakan kamera telefon bimbit sahaja tambahan pula cermin kereta sangat kotor akibat dari road trip ini.

Terasa lapar pula pada ketika itu, maka kami ke McDonald's untuk membeli burger ikan.
Saya tidak tahu yang restoran McDonald's ini pernah merangkul gelaran restoran McDonald's terbesar di dunia mengikut kiraan kaki persegi sehinggalah kami pulang ke Chicago lantas saya cuba mencari maklumat terperinci.


Former World's Largest McDonald's, Vinita, Oklahoma.

Pemandangan lebuhraya yang dilihat dari restoran jejantas McDonalds di Vinita, yang juga dikenali sebagai Glass House.
Poster lama ini dijual di gerai cenderamata yang terletak berhadapan dengan McDonald's. Melihat poster ini membuatkan saya mengimbau zaman sewaktu kecil dahulu ketika menikmati hidangan di cawangannya di Ipoh, Perak.

Lukisan gergasi menggambarkan negeri Oklahoma diletakkan di dinding Glass House.

Tidak banyak gambar yang dapat saya rakamkan kerana kami sekadar singgah untuk mengalas perut yang lapar sahaja.

Kepada yang ketinggalan sebelum ini, anda boleh ke membaca entri tentang lawatan saya ke Francais Mcdonalds Pertama Di Dunia ; http://sharery.blogspot.com.au/2013/01/francais-mcdonalds-pertama-dunia.html