25 May 2014

Restoran Himalayan Kitchen Di Durango, Colorado

Assalamualaikum w.h.t dan Salam Sejahtera

Sudah beberapa kali saya dan suami datang ke bandar ski di Durango dan menikmati hidangan di restoran Jepun. Pada kali ini kami mencuba sesuatu yang baru iaitu makan lewat tengah hari di restoran Himalayan Kitchen.

Himalayan Kitchen
992 Main Avenue
Durango, Colorado


Gambar atas : Di luar restoran.

Gambar bawah : Hiasan dan dekorasi di dalam restoran jelas menampakkan ciri-ciri negara Nepal.

Air Iced Masala Chai dan Dumpling sayur.

Roti nan bawang putih dan udang masala.

Nasi briyani.

Walaupun hidangan yang dipesan nampak sedikit, tetapi sebenarnya banyak sehinggakan kami terpaksa bungkus dan bawa pulang. Udang masala sangat sedap (besar dan segar) dan pedas.


19 May 2014

Durango, Colorado

Assalamualaikum w.h.t dan Salam Sejahtera

Durango terletak di dalam daerah La Plata di negeri Colorado. Terdapat beberapa tarikan yang menjadikan Durango bergitu terkenal di kalangan pelancong dan salah satunya ialah kerana Durango Mountain Resort. Terdapat lima buah kawasan ski utama yang berhampiran dengan Durango.


Pusat bandar Durango.

Pusat bandar Durango.



Gambar atas : Strater Hotel merupakan sebuah hotel lama dan bersejarah di Durango. Bangunan ini dibina pada tahun 1887.





Durango juga turut terkenal dengan kereta api lama enjin berkuasa wap iaitu dengan Railroad Durango & Silverton yang bergerak dari Durango ke Silverton, Colorado iaitu bandar perlombongan bersejarah.

Mendengar bunyi hon kereta api ini mengingatkan saya akan filem-filem zaman dahulu kala.







15 May 2014

Durango - La Plata County Airport

Assalamualaikum w.h.t dan Salam Sejahtera

Lapangan terbang ini terletak kira-kira 12 kilometer dari Durango, Colorado.




12 May 2014

Taipei, Taiwan (2005)

Assalamualaikum w.h.t dan Salam Sejahtera

Penerbangan bermula dari Kuala Lumpur ke Kota Kinabalu dan transit sebentar sebelum meneruskan penerbangan pada lewat petang ke Taipei. Bekerja sebagai anak kapal memerlukan kami sentiasa peka dengan cuaca di negara yang bakal dituju kerana ia memudahkan kami dalam memilih pakaian yang hendak dibawa. Kenangan manis yang tidak akan saya lupakan pada penerbangan kali ini ialah;
- Pertama kali menjejakkan kaki ke Taipei.
- Pertama kali bertugas keluar negara di dalam bulan puasa.
- Pertama kali merasai pengalaman cuaca yang sedikit dingin.

Pesawat B737-400 selamat mendarat di Taiwan Taoyuan International Airport, Taipei pada sebelah malam. Selepas daftar masuk di hotel, saya sempat keluar sebentar berjalan-jalan di sekitar kawasan.
Dari bulan Jun hingga Oktober adalah musim taufan di Taiwan. Alhamdulilah semasa saya berada di sana tiada perkara buruk berlaku.

Gambar atas : Pemandangan dari hotel penginapan.

Gambar bawah : Selepas menaiki dan bertukar-tukar keretapi aliran ringan
(Taipei Metro Rapid-Transit Network), kami berjalan kaki menuju ke Taipei 101.

Taipei 101 - Rekod sebagai bangunan tertinggi di dunia ini dipegang selama tujuh tahun iaitu dari 2004 sehingga 2011.

Di kawasan berhampiran Taipei 101.

Gambar atas : Bergambar di hadapan pintu masuk Taipei 101. Hanya dua orang rakan sekerja yang saya masih ingat nama mereka iaitu di sebelah kiri saya ialah juruterbang Rosli/Rosdi dan paling kanan dalam gambar ialah ketua pramugari Carolyn.

Gambar bawah : Salah sebuah pusat membeli belah yang terletak berhadapan dengan Taipei 101.

Gambar atas : Bersama pengawal beruniform.

Gambar bawah : Di salah sebuah stesen keretapi aliran ringan di Taipei.

Di hotel penginapan untuk anak-anak kapal MAS.

Berbuka puasa di sebuah restoran halal. Anda boleh melihat wang kertas yang ada di atas meja makan kami. Ia dihadiahkan oleh para pengunjung dari pelbagai negara.
Gambar atas : Ximending diberi gelaran "Harajuku of Taipei" dan "Shibuya of Taipei" kerana terkenal sebagai pusat fesyen dan hiburan. Ximending Pedestrian Area adalah kawasan pejalan kaki yang pertama dibina di Taipei dan merupakan yang terbesar di Taiwan. Di sini juga pertama kali saya melihat kedai-kedai membuat tatto badan yang begitu terbuka dan jelas dilihat oleh pengunjung termasuk saya sendiri.

Gambar bawah : Pasar malam Shilin (Shilin Night Market) merupakan pasar malam terbesar di dalam bandar. Banyak barang yang pernah saya beli di sini contohnya kasut, hiasan rumah, aksesori telefon bimbit, aksesori hiasan wanita seperti anting-anting, rantai leher, bulu mata palsu dan lain-lain lagi.

Semasa penerbangan pulang ke Kota Kinabalu dan Kuala Lumpur.
Pada awalnya saya tidak dapat membayangkan apa yang istimewa tentang Taipei kecuali Taipei 101 yang begitu terkenal sekali di mata dunia. Hanya selepas kedatangan pertama, barulah saya tahu bahawa Taipei begitu terkenal kerana mempunyai banyak pasar malam sekaligus ianya adalah syurga membeli belah dan di sesetengah kedai, para pembeli berpeluang untuk membuat tawaran harga.

Saya berpeluang naik ke bangunan tertinggi di dunia iaitu Taipei 101 hanya selepas kedatangan saya ke Taipei pada kali ketiga dan kelima. Teruskan bersama blog Terjemahan Hati untuk artikel seterusnya.

08 May 2014

Singapore Flyer Pada Tahun 2008

Assalamualaikum w.h.t dan Salam Sejahtera

Singapore Flyer merupakan salah satu ikon tarikan pelancong yang terkenal di Singapura.
Ferris Wheel terbesar di dunia ini dirasmikan pada April 2008.
Saya dan suami telah berkunjung ke Singapore Flyer selepas beberapa bulan ia dirasmikan. Lebih menguntungkan ialah kami pergi pada hari bekerja dan tidak ramai pengunjung pada ketika itu. Singapore Flyer mempunyai 28 buah kapsul dilengkapi dengan penghawa dingin.

Kapsul-kapsul bergerak dengan begitu perlahan maka ia memberikan kepuasan kepada para pengunjung untuk menikmati pemadangan Singapura. Kaki kamera (tripod) yang dibawa turut memudahkan kami untuk bergambar.
Baru-baru ini rekod Singapore Flyer sebagai ferris wheel terbesar di dunia sudah dipintas oleh High Roller Las Vegas.








Gambar semasa menaiki Singapore Flyer pada tahun 2008 yang saya kongsikan di sini membuktikan juga yang projek pembinaan Marina Bay Sands (hotel terkemuka berbentuk seperti kapal) baharu sahaja dijalankan. Lihat sahaja gambar di atas anda boleh melihat tapak pembinaannya.



Oleh kerana pemandangan Singapura yang saya lihat dari dalam Singapore Flyer pada tahun 2008 sudah tidak sama sekali jika hendak dibandingkan dengan hari ini, maka mungkin pada masa akan datang nanti saya akan kembali menaiki Singapore Flyer untuk merakamkan gambar yang terkini.

05 May 2014

Seoul, Korea Selatan (2006)

Assalamualaikum w.h.t dan Salam Sejahtera

Pertama kali saya datang ke Seoul, Korea Selatan ialah pada April 2006. Walaupun pada waktu itu sudah masuk musim bunga tetapi suhu masih rendah dan dingin. Saya ialah peminat tegar drama dan filem Korea sejak dari awal tahun 2000. Winter Sonata dan Autumn In My Heart merupakan drama yang menjadi kegemaran sehinggakan saya boleh menghafal lirik lagu untuk drama tersebut. Kedatangan saya ke sini sekurang-kurangnya dapat merasai dan melihat dengan lebih dekat gaya kehidupan rakyat tempatan yang pada waktu dahulu hanya saya lihat melalui drama di kaca televisyen sahaja.

Penerbangan dari Kuala Lumpur berlepas pada sebelah malam dan tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Incheon pada waktu pagi keesokan harinya. Masih segar di dalam ingatan saya semasa berada di lobi hotel, keadaan agak sesak dengan anak-anak kapal Malaysia Airlines dan Singapore Airlines yang baru sahaja tiba untuk daftar masuk. Itulah pertama kali saya berjumpa dan melihat kru kabin Singapore Airlines yang berkongsi hotel yang sama.

Semasa artikel ini ditaip, saya masih ingat hotel yang kami menginap ialah Hilton tetapi di Seoul terdapat banyak cawangannya. Walaupun sudah saya google tetapi petunjuk masih samar. Tiba-tiba baru saya terfikir untuk mencari alamatnya di dalam kotak simpanan saya. Di dalam kotak itu saya kumpulkan semua kertas nota, sampul surat dan poskad di setiap hotel yang pernah saya menginap. Syukur, akhirnya saya jumpa juga apa yang hendak dicari.

Tidak dinafikan Millennium Seoul Hotel adalah paling strategik kedudukannya. Ia terletak berhampiran dengan kaki Gunung Namsan yang di atas puncaknya terdapat N Seoul Tower. Jarak hotel ini dengan pusat bandar Seoul pula ialah lebih kurang 2.4 kilometer.

Gambar sedikit bergoyang kerana dirakamkan dari dalam bas.

Selepas berehat seketika, saya dan rakan sekerja menaiki hotel shuttle (percuma) ke Itaewon.

Menempah tag nama dan logo MAS untuk diletakkan di luar beg kerja.

Daerah Itaewon begitu terkenal di kalangan para pelancong terutama sekali bagi mereka yang suka membeli belah.

Di Itaewon saya sekadar membeli sedikit cenderamata dan menikmati makan tengah hari. Para penjual juga ramai yang tidak peramah jauh bezanya dengan penduduk Jepun. Ada penjual yang berkeras tidak mahu menurunkan harga walaupun mereka hanya berjualan di tepi jalan sahaja. Saya lihat mereka tidak kisah apabila pembeli tidak jadi membeli dan beralih ke tempat penjual lain.

Gambar atas : Stesen keretapi di Itaewon.

Gambar bawah : Bergambar bersama remaja Korea.

Gambar atas : Rakan sekerja yang iras seperti pelakon Fasha Sandha.

Gambar bawah : Pada waktu pagi hari berikutnya, saya bergambar di dalam bilik hotel sebelum bergerak ke lapangan terbang.

Gunung Namsan yang dilihat dari tingkap bilik hotel saya.

N Seoul Tower yang tersergam indah di atas puncak Gunung Namsan. Gambar dirakamkan dari tingkap bilik hotel.

Inilah pertama kali dan terakhir saya berpeluang menginap di Millennium Seoul Hotel kerana selepas daripada itu kami anak-anak kapal MAS menginap di hotel Best Western Premier yang berdekatan dengan lapangan terbang.

Pada hari untuk pulang ke Kuala Lumpur, di dalam bangunan terminal Lapangan Terbang Antarabangsa Incheon sekali lagi ingatan saya mengimbau adegan di dalam drama Winter Sonata. Hati saya tidak boleh lari dari berkata 'akhirnya aku dapat juga menjejakkan kaki di lokasi drama Winter Sonata' (salah satu adegan dirakamkan di dalam bangunan terminal).

01 May 2014

Membeli Garrett Popcorn Di Bandar Kelahirannya Iaitu Chicago

Assalamualiakum w.h.t dan Salam Sejahtera

Meskipun Garrett Popcorn Shops® (kedai bertih jagung) terdapat cawangannya di serata dunia. Tetapi suka dikongsikan di sini bahawa pertama kali saya membeli Garrett Popcorn ialah di bandar asal kelahirannya iaitu di Chicago, Illinois, Amerika Syarikat dua tahun lalu.

Cawangan pertama dibuka di 10 West Madison Street pada tahun 1949. Cawangan yang biasa saya pergi pula ialah di North Michigan Avenue di mana ia terletak berdekatan dengan tempat tinggal saya. Melihat para pembeli beratur panjang sehingga ke luar kedai tidak kira musim sejuk atau panas adalah perkara biasa di sini.




Tong yang mempunyai pelbagai saiz ini dijual berasingan dengan popcorn.

Pelbagai corak dan saiz tong popcorn dijual di sini. Saya memilih untuk membeli tong yang mempunyai gambar pemandangan bandar Chciago.