27 November 2014

Great Ocean Road (2010) - Bahagian 2

Assalamualaikum w.h.t dan Salam Sejahtera

Sambungan dari bahagian 1, kepada yang ketinggalan membacanya, sila klik di sini;
http://www.sharery.blogspot.com.au/2014/11/great-ocean-road-2010-bahagian-1.html


Singgah di Apollo Bay. Dapat juga saya membeli cenderamata untuk ditambahkan ke dalam koleksi yang sedia ada.

Gambar atas : Amaran kepada pelawat dan pelancongan yang berada di Apollo Bay.

Gambar tengah dan bawah : Sungguh menyakitkan hati apabila terpaksa mengekori pemandu yang tidak mempunyai timbang rasa. Si pemandu memandu di bawah had yang dibenarkan sekaligus membuatkan kenderaan di belakang tidak dapat memotong kerana jalan raya mempunyai garisan berkembar (double line).

*Memandu di bawah 20km/j dari had laju yang ditetapkan adalah salah di sisi undang-undang pengangkutan jalan raya di Australia.*

Hampir 1 jam kami menanggung 'stress' memandu di belakang kereta merah ini. Akhirnya pemandu itu berhenti di 12 Apostles (saya dapat mengagak mereka adalah pelancong dari Malaysia atau Singapura).

Tiba di 12 Apostles sekitar jam 2.30 petang. Jika tidak kerana pemandu kereta merah yang saya ceritakan tadi sudah pasti kami sampai lebih awal.

Salah satu keajaiban dunia - 12 Apostles terbentukan akibat dari hakisan batu kapur dianggarkan terjadi puluhan juta tahun lalu.

Gambar atas : Mujurlah hujan berhenti semasa berada di sini.

Gambar tengah : Suami dan ibu mertua saya.

Gambar bawah : Papan tanda arahan/peringatan yang terdapat di sekitar kawasan tidak boleh dipandang remeh. Jika berlaku kemalangan, pihak pengurusan dan penjagaan kawasan 12 Apostles tidak akan bertanggung jawab kerana arahan dan peringatan telah diberikan.

Ini merupakan lawatan pertama saya ke 12 Apostles manakala tidak terkira bagi suami saya.

Gambar atas : Pusat Khidmat Pelancongan turut terdapat di sini.

Gambar tengah dan bawah : Perjalanan pulang. Hanya pada ketika gambar ini dirakamkan cuaca nampak molek. Selepas itu, hujan kembali turun.

Hujan dan berkabus - Beginilah keadaan di sepanjang perjalanan pulang. Nampak agak menyeramkan apatah lagi sudah tidak banyak kenderaan yang lalu di sini pada lewat petang. Mujurlah suami saya sudah biasa memandu dalam perjalanan jarak jauh berserta cuaca buruk dan sekaligus membuatkan saya rasa sedikit lega. Tiba di rumah kakak angkat saya di Geelong pada lewat senja untuk makan malam seterusnya menyambung lagi perjalanan pulang ke Melbourne. Tiba di Melbourne sudah hampir ke tengah malam.

Berakhir sudah entri dua bahagian tentang Great Ocean Road yang saya lawati pada tahun 2010 pada musim luruh (autumn). Di lain masa saya akan menyiarkan pula entri mengenai lawatan saya ke 12 Apostles pada tahun 2011. Gambar-gambar yang bakal saya kongsikan adalah amat berbeza sekali. Untuk mengetahui dengan lebih lanjut, nantikan tidak lama lagi.

Terima Kasih Di Atas Ucapan

Assalamualaikum w.h.t dan Salam Sejahtera

Jujurnya saya tidak malu untuk mendedahkan umur dan tarikh lahir saya. Pada pendapat peribadi, mengapa perlu malu dengan umur sendiri? Mengapa perlu merasakan hanya kanak-kanak sahaja yang layak untuk bergembira dan teruja menyambut hari lahir? Tidak salah kita yang dewasa pun meraikannya dengan cara bersyukur di atas segala limpahan rezeki dan kesihatan yang baik yang diberikan oleh Nya.

Saya amat bersyukur kerana setiap hari saya masih bernafas dan sihat di bumi Allah ini. Cuma keistimewaan 26hb November setiap tahun sedikit berbeza berbanding hari-hari lain kerana bukan sahaja umur meningkat malah ia mengingatkan tentang susah payah ibu yang melahirkan saya di dunia ini.

Tahun ini merupakan tahun yang ke enam (sejak berhijrah) saya menyambut hari ulangtahun luar dari Malaysia dan jauh dari keluarga. Dalam erti kata yang sama tahun ke enam saya menyambutnya bersama suami tercinta.

Terima kasih yang tidak terhingga saya ucapkan kepada semua yang telah mengirimkan ucapan kepada saya baik melalui telefon mahupun dari akaun Instagram masing-masing. Tanda ingatan berserta doa kalian adalah amat saya hargai. Semoga kehidupan kita semua diberkati dan sentiasa di dalam lindungan Allah S.W.T, InsyaAllah.


#foreveryoung #youngatheart #thinkpositive
#happyfaces
#26november #33yearsyoung
#birthdaywishes #thankyou
#happy#blessed

24 November 2014

Great Ocean Road (2010) - Bahagian 1

Assalamualaikum w.h.t dan Salam Sejahtera

Sebut sahaja Great Ocean Road pasti ramai yang mengaitkan dengan 12 Apostles/Twelve Apostles.
Majoriti pelancong yang ingin melawat ke 12 Apostles akan memulakan perjalanan dari bandar Melbourne menuju ke Geelong seterusnya pasti akan melalui Great Ocean Road yang panjangnya kira-kira 243 kilometer bermula dari sebuah pekan pekan kecil yang diberi nama Torquay dan berakhir di Warrnambool.

Great Ocean Road dibina antara tahun 1919 dan 1932 sebagai tanda peringatan kepada mangsa Perang Dunia I.


Terdapat banyak tempat menarik lagi bersejarah dan pekan serta perkampungan kecil yang boleh dilawati di sepanjang Great Ocean Road malah ramai juga yang bermalam dan berkhemah di situ (di kawasan yang dibenarkan).  Lebih kurang enam buah Pusat Khidmat Pelancongan yang boleh dikunjungi bagi mendapatkan lebih maklumat tentang Great Ocean Road.

Gambar-gambar di bawah ini adalah dari lawatan saya ke Great Ocean Road pada tahun 2010 yang belum pernah saya kongsikan di dalam blog. Saya minta maaf kerana kualiti gambar agak kurang memuaskan dek kerana cuaca yang tidak meyebelahi semasa lawatan tersebut. Hujan lebat sepanjang hari/malam menemani lawatan saya. Mujurlah ketika berada di 12 Apostles, hujan berhenti seketika maka dapatlah saya mengambil gambar yang kualitinya lebih bagus.


Gambar atas : Bertolak dari Melbourne sesudah waktu subuh dan tiba di Torquay lebih kurang jam 8.00 pagi.

Gambar tengah dan bawah : Torquay.

Gambar atas : Salah sebuah rumah di atas lereng bukit. Beruntungnya pemilik rumah ini kerana dapat melihat pemandangan yang indah setiap hari.

Gambar tengah : Masih ada yang memancing di pagi hari dalam cuaca sejuk.

Gambar bawah : Simbolik - Permulaan Great Ocean Road.

Gambar atas : Banyak maklumat yang terdapat di sepanjang Great Ocean Road.

Gambar tengah dan bawah : Pekan kecil Lorne.

Singgah di Lorne untuk membeli cenderamata.

Lorne.

Gambar atas : Laluan di lereng bukit dan pantai ini sebenarnya agak merbahaya dan kemalangan sering berlaku di Great Ocean Road. Nasihat saya ialah supaya para pemandu mengambil lebih langkah berjaga-jaga.

Gambar tengah : Pemandangan yang mendamaikan.

Gambar bawah : Terdapat tanda peringatan di tepi laut. Kebiasaanya tanda ini diletakkan oleh ahli keluarga atau sahabat si mati di tempat berlakunya kemalangan itu.

Gambar atas : Maklumat tentang Cumberland River. Ia terletak lebih kurang 7 kilometer dari Lorne.

Gambar tengah dan bawah : Antara papan tanda amaran dan peringatan yang terdapat di Great Ocean Road.

Apabila hujan berhenti seketika, saya pun dengan pantas memetik kamera dan mengambil gambar sebanyak yang boleh.

 Singgah di Cape Patton untuk mengambil gambar semetelah hujan berhenti seketika pada ketika itu.


Nantikan sambungan Great Ocean Road bahagian 2 tidak lama lagi.



23 November 2014

Buku QF32 Ditulis Oleh Kapten Richard De Crespigny

Assalamualaikum w.h.t dan Salam Sejahtera

Buku bertajuk QF32 telah dibeli dan dibaca oleh suami saya pada tahun lalu. Baru beberapa hari lepas saya pula mula membacanya. Walaupun kami berdua memang sudah mengetahui dan mengikuti segala bentuk berita tentang kejadian QF32 sejak dari tahun 2010, namun kami tetap berminat untuk membaca buku ini kerana ia ditulis oleh komander penerbangan iaitu Kapten Richard De Crespigny.


Sekadar berkongsi cerita, Kapten Richard De Crespigny merupakan salah seorang yang telah melatih suami saya di dalam bidang penerbangan kira-kira 14 tahun lalu.

Jika ada di antara anda yang tidak tahu tentang insiden QF32, anda boleh menggunakan carian di internet untuk mengetahui cerita selanjutnya.



19 November 2014

RetroRoo - Kapal Terbang Baru B737-800 Milik QANTAS

Assalamualaikum w.h.t dan Salam Sejahtera

Tepat jam 10.24 pagi waktu Sydney pada 19 November 2014, kapal terbang baru B737-800 milik QANTAS dengan nombor pesawat QF6024 telah selamat mendarat di Lapangan Terbang Sydney (sebelum itu transit di Honolulu dan Nadi). Pesawat berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa King County (Boeing Field), Seattle, Amerika Syarikat selepas kerja-kerja mengecat kapal terbang RetroRoo selesai dijalankan di kilang Boeing. Keistimewaan RetroRoo ialah ia dicat seakan kapal terbang Qantas pada era 70an (seperti gambar B747 di bawah) dan disesuaikan dengan logo pertama Qantas tahun 1947 sempena menyambut ulangtahun Qantas ke-94.

Beginilah rekaan dan logo lama yang diguna semula pada kapal terbang RetroRoo B737-800.

Semasa majlis perasmian yang diadakan di Seattle beberapa hari lalu, kru kabin turut memakai pakaian seragam era 70an dari jenama Emilio Pucci. Turut hadir ialah duta Qantas iaitu penyanyi dan pelakon John Travolta.

Gambar ihsan dari AUSBT. Qantas memiliki 75 buah kapal terbang model B737-800 (belum dikira dengan model-model yang lain) dan RetroRoo merupakan kapal yang paling baharu.

Ketika melawat ke Qantas Heritage Collection di Lapangan Terbang Sydney Terminal Domestik, saya bukan sahaja mempelajari banyak sejarah Qantas malah dapat melihat kesemua koleksi pakaian seragam yang pernah dan masih dipakai oleh kru kabin. Mungkin kerana saya menyukai rekaan Emilio Pucci sejak sekian lama dan mempunyai beberapa beg tangan dari jenama yang sama membuatkan saya tertarik dan jatuh cinta pandang pertama dengan pakaian seragam ini berbanding dengan yang lain yang dipamerkan di sini.

Pakaian seragam dari rekaan Emilio Pucci yang dipakai oleh kru kabin Qantas dari tahun 1974 hingga 1987.

Untuk melihat gambar-gambar lain anda boleh ke entri ini ;
http://sharery.blogspot.com.au/2013/07/qantas-heritage-collection-bahagian-1.html
http://sharery.blogspot.com.au/2013/07/qantas-heritage-collection-bahagian-2.html



11 November 2014

Union Pacific Railroad (Amerika Syarikat)

Assalamualaikum w.h.t dan Salam Sejahtera

Rangkaian Kereta Api Union Pacific (UP) merupakan yang terbesar di Amerika Syarikat. Ia mula beroperasi pada tahun 1862 sehingga ke hari ini.
Presiden Abraham Lincoln merupakan individu penting dalam menjayakan UP. Beliau telah menandatangani Akta Kereta Api Pasifik, menjadikan ianya undang-undang dan mengarahkan Kesatuan Pasifik dan Pasifik Tengah untuk membina rangkaian kereta api pertama di Amerika Syarikat.

Banyak sebenarnya gambar UP yang dapat saya rakamkan tetapi saya hanya kongsikan dua sahaja di sini. Kualiti gambar kurang memuaskan kerana cermin kereta agak kotor akibat dari perjalanan (road trip) yang panjang. 





02 November 2014

Mereka Di Sebalik Graffiti

Assalamualaikum w.h.t dan Salam Sejahtera

Di bawah ini saya kongsikan beberapa gambar mereka yang 'menghidupkan' graffiti di bandar Melbourne. Graffiti bukan sebarang contengan. Ia merupakan satu seni yang saya pasti bukan semua orang mempunyai bakat seperti mereka. Mereka bukan dari kategori orang yang bermasalah (kurang siuman atau mabuk) yang sengaja mahu menconteng tanpa sebarang motif. Tengok sahaja penampilan mereka yang kemas sekaligus menampakkan mereka adalah orang yang terpelajar, atau senang saya panggil sebagai orang seni.







01 November 2014

Sejarah ANZAC Seratus Tahun (Albany, Australia Barat)

Assalamualaikum w.h.t dan Salam Sejahtera

Pada 1 November 1914, konvoi pertama tentera ANZAC (Australian and New Zealand Army Corps) seramai 30,000 orang telah berlepas dari Albany, Australia Barat dengan menaiki kapal laut untuk ke medan perang (Perang Dunia Pertama). Hari ini genap 100 tahun sejarah ini berlaku. Majlis peringatan yang berlangsung awal hari ini (waktu Australia) telah dihadiri oleh puluhan ribu rakyat termasuk Perdana Menteri Australia dan New Zealand dan tetamu kenamaan yang lain.

Gambar yang saya sertakan ini adalah sekadar mengimbau kenangan semasa pertama kali saya ke Albany pada tahun 2009.

Albany Town Hall.

Bandar Albany.