Thursday 29 January 2015

Beijing, China (2007) - Bahagian 1

Assalamualaikum w.h.t dan Salam Sejahtera

Sudah beberapa kali saya berpeluang berkunjung ke Beijing, China dan boleh dikatakan amat beruntung juga kerana setiap kali kunjungan adalah pada musim sejuk.

Cerita dan gambar yang saya kongsikan di bawah ini ialah semasa kedatangan kali kedua saya ke Beijing iaitu pada tahun 2007. Berlepas dari Kuala Lumpur dengan penerbangan MH 370, saya selamat tiba di Beijing dengan suhu di bawah paras beku.


Gambar kiri : Pemandangan tasik yang saya rakamkan gambarnya dari bilik hotel.

Gambar kanan : Tiba di bilik hotel dan sudah teruja untuk keluar bersiar-siar.

Untuk trip kali ini tidak ada sesiapa pun rakan sekerja yang berminat untuk keluar bersiar-siar sementelah ramai dari mereka sudah biasa dan kerap datang ke Beijing. Ada antaranya pula mahu tidur dan berehat sepuas-puasnya akibat dari keletihan dengan penerbangan enam jam tersebut justeru saya bertekad untuk keluar seorang diri dengan niat untuk menjejakkan kaki ke Tembok Besar Cina.

Oleh kerana tidak membuat penyelidikan dengan lebih awal maka saya terus turun ke lobi dan meminta bantuan dari pihak hotel. Setelah meneliti beberapa pakej yang ditawarkan, saya tidak dapat mengikuti lawatan ke Tembok Besar kerana kesuntukan masa. Atas kepercayaan saya terhadap pihak hotel, maka saya telah memilih lawatan persendirian. Tidak lama selepas membuat bayaran, pemandu pelancong pun tiba dan menjemput untuk membawa saya melakukan lawatan sekitar bandar Beijing dengan menaiki kereta beliau.

Gambar kiri : Satu lagi gambar yang dirakamkan dari bilik hotel.

Gambar kanan : Bandar Beijing.

Kereta persendirian yang membawa saya bersiar-siar di sekitar Beijing.

 Akhirnya dapat saya jejakkan kaki di
Tiananmen Square yang sebelum ini hanya biasa dilihat dari kaca televisyen dan surat khabar.

Gambar kiri : Walaupun nampak panas tetapi angin kuat berserta dengan suhu yang rendah.

Gambar kanan : Air yang beku.

Hanya saya sahaja yang masuk ke kawasan Tiananmen Gate / Gate of Heavenly Peace (bayaran dikenakan) manakala pemandu pelancong menuggu saya di bahagian luar.
Seperti biasa (bukan kali pertama), jika bersiar di sesuatu tempat baru seorang diri, saya akan meminta bantuan orang ramai untuk mengambil gambar saya, atau kamera diletakkan di atas batu dan tembok sebagai ganti kepada tripod dan rakamkan dengan menggunakan timer atau dengan kemahiran selfie yang sudah biasa saya lakukan sejak dari belum wujudnya pelbagai laman sosial dan perkatan selfie lagi.
Anda boleh turut serta mengikuti catatan perjalanan saya semasa membuat lawatan dalam bandar ke Dubai http://sharery.blogspot.com.au/2014/07/dubai-uae-2006.html
dan Shanghai seorang diri;
http://sharery.blogspot.com.au/2014/08/shanghai-china-2007.html



Gambar atas - Hanya bergambar di luar pintu masuk Forbidden City (Meridian Gate). Tidak cukup masa bagi saya meneruskan lawatan masuk ke sana.
Pemandangan Tiananmen Square yang saya rakamkan dari tingkat atad Tiananmen Gate (Gate of Heavenly Peace).
(Gate of Heavenly Peace)
 

Tiananmen Gate / Gate Of Heavenly Peace.


Gambar atas : Tiananmen Gate / Gate Of Heavenly Peace.

Gambar paling atas kanan : Tiang yang diberi nama Marble Cloud Pillar.

Kembali semula ke Tiananmen Square.

Inilah pertama kali saya merasai pengalaman berjalan kaki terhoyong hayang dan rasa seperti hampir melayang akibat dari angin kuat di Tiananmen Square.

Gambar atas : National Museum of China.

Gambar bawah : Great Hall of the People.

Gambar atas kiri : Monument to the People's Heroes.

Gambar atas kanan : Baki salji yang terdapat di sekitar
Tiananmen Square.
Gambar bawah : Pakcik ini ialah pemandu pelancong yang membawa saya ke lawatan separuh hari di sekitar Beijing. Percakapan bahasa Inggeris beliau amat baik berbeza dengan penduduk tempatan yang lain.

Beijing.

Masih segar di dalam ingatan apabila semasa dalam perjalanan pulang ke hotel dari dalam kereta sebelah kiri saya ternampak Hard Rock Cafe Beijing. Hanya baru-baru ini saya mengetahui bahawa Hard Rock Cafe itu telah ditutup perniagaannya.

Lawatan singkat ini banyak memberikan saya pengalaman baru serta dapat mendengar pelbagai cerita mengenai hal ehwal negara dari pemandu pelancong. Salah satu yang masih saya ingat sehingga ke hari ini ialah beliau secara berterus terang memberitahu bahawa penduduk tanah besar China tidak menyukai rakyat dari Hong Kong.

Pulang ke hotel pada sebelah petang dan kemudian menemani beberapa rakan sekerja yang ingin keluar untuk makan malam. Nantikan entri bahagian dua untuk melihat gambar-gambar pada hari kedua saya di Beijing.

Jika anda mempunyai sebarang pertanyaan, sila nyatakan di dalam ruangan komen dan tinggalkan alamat e-mel untuk saya membalasnya kelak. Anda juga boleh ikuti perkembangan saya melalui akaun Instagram, blog_th2010.


Tuesday 27 January 2015

Frankston, Victoria, Australia

Assalamualaikum w.h.t dan Salam Sejahtera

Frankston terletak lebih kurang 55 km dari pusat bandar Melbourne, Victoria. Kedudukannya di bahagian pantai timur Port Phillip telah menjadikan Frankston sebagai sebuah destinasi tepi pantai yang terkenal sejak awal 1880an sehingga ke hari ini.






Monday 26 January 2015

Hari Australia (26 Januari)

Assalamualaikum w.h.t dan Salam Sejahtera.

Pada tahun 2013, Australia merupakan satu-satunya negara di dunia yang mendapat kelulusan untuk menukar papan tanda McDonald's kepada nama samaran yang biasa dipanggil oleh rakyat Australia iaitu Macca's.

Penukaran nama itu hanya dibuat di beberapa buah cawangan seluruh negara sempena Hari Australia yang disambut pada 26 Januari setiap tahun. Pengubahsuaian nama pada papan tanda tersebut masih terus dilakukan pada tahun berikutnya tetapi dalam tempoh singkat.


Gambar ini dirakamkan di restoran McDonald's terpilih di Melbourne pada tahun lalu.






Tuesday 20 January 2015

Tips Melancong - Pengurusan Pakaian Dan Bagasi

Assalamualaikum w.h.t dan Salam Sejahtera

Saya dan suami mempunyai koleksi sembilan buah bagasi/beg pakaian pelbagai saiz. Kesemuanya tidak dibawa bersama kami dalam satu masa. Penggunaan bagasi tersebut diambil kira kemana destinasi yang dituju, musim dan berapa lama tempoh perjalanan (hari/minggu/bulan).

Sebagai penumpang yang menjadi ahli kelab Qantas kerap terbang (Qantas Frequent Flyer) dan berada di tahap (level) tertentu serta terbang di kelas ekonomi, ekonomi premium, perniagaan atau pertama, berat dan jumlah bagasi kami lebih dan berbeza dari penumpang biasa.

Walaupun kerap terbang dan sering menarik bagasi ke lapangan terbang, tetapi sebenarnya saya jarang mengambil gambar himpunan bagasi tersebut.  Oleh itu gambar-gambar yang bakal anda lihat di bawah ini adalah himpunan dari gambar lama dan baru. Maaf kerana kualiti dari gambar-gambar lama agak kurang memuaskan.

Sebahagian daripada koleksi bagasi saya dan suami.

1.Kebersihan
Saya begitu menitik beratkan kebersihan bagasi. Ia perlu dilap dengan kain atau tisu basah sebaik selesai digunakan (dalam dan luar) dan sebelum ia disimpan untuk kegunaan trip yang berikutnya.
Oleh kerana roda bagasi sudah "berjalan" ke merata-rata tempat dan saya anggap tidak bersih, maka saya turut memastikan ia dialas dengan kertas suratkhabar semasa penyimpanannya di dalam almari.


2.Melipat Dan Menggulung

Pakaian saya dan suami akan dilipat atau digulung bergantung kepada berapa lama tempoh trip dan berapa buah bagasi yang dibawa. Ia akan saya masukkan di dalam penyarungnya. Sarung itu biasanya saya dapatkan dari hotel (laundry bag) ataupun dibeli di kedai sahaja contohnya di Daiso.

Pengasingan dan penggunaan kain penyarung adalah perkara wajib yang saya lakukan setiap kali mengemas pakaian sebelum memulakan perjalanan atau percutian. Kasut dan beg tangan saya letakkan di bahagian belakang penutup berwarna kelabu di dalam bagasi jenama Lojel saiz "L" ini.

3.Pengasingan Antara Pakaian Kasut Dan Beg Tangan
Berbalik kepada isu kebersihan, saya tidak akan sesekali mencampurkan pakaian dengan kasut di dalam satu bagasi. Oleh kerana itulah pakaian dan kasut serta beg tangan mempunyai sarung masing-masing. Amalan sebegini telah saya lakukan sejak dari lebih 10 tahun yang lalu dan semasa saya masih bekerja sebagai pramugari.


*Dua gambar ini dirakamkan beberapa hari sebelum saya meletakkan jawatan dengan Syarikat Penerbangan Malaysia pada tahun 2009*.

Gambar kiri :
Beg atas - Beg bermalam ini biasanya diisi dengan pakaian. Beg bawah - Beg troli ini dibawa semasa bertugas untuk penerbangan balik hari sahaja (daily flight).

Gambar kanan : Beg troli yang dibawa setiap kali bertugas ini diisi dengan buku keselamatan, penyembur rambut, kelengkapan untuk penyediaan hidangan makanan seperti contoh sarung tangan, manakala yang berbungkus putih paling kanan ialah pakaian seragam dan pakaian biasa.
Jika pakaian seragam kotor akibat tertumpahnya makanan atau terkoyak atau berlaku kecemasan dan memaksa kami anak kapal untuk bermalam di sesuatu tempat, maka pakaian ganti ini adalah penyelamat sementara.

Kasut pula saya asingkan dan diletak di bahagian luar beg troli (berzip).

Jika sesuatu trip itu panjang maka saya akan membawa dua atau tiga bagasi. Saya akan pastikan satu bagasi hanya dikhaskan untuk meletakkan kasut dan beg tangan sahaja. Manakala selebihnya untuk meletak pakaian. Jika percutian pendek pada musim panas, saya hanya membawa satu sahaja bagasi besar, contoh seperti gambar di bawah.

Nombor 1 - Pakaian
Nombor 2 - Telekung dan Sejadah
Nombor 3 - Selipar hotel (lebihan atau extra) yang sentiasa disimpan untuk digunakan apabila kecemasan.
Nombor 4 - Pakaian
Nombor 5 - Pakaian
Nombor 6 - Alat solek, cucian muka, syampu dan aksesori seperti pin dan rantai. Saya gemar menukar beg ini 
(toiletry bag) bergantung kepada tempoh trip (lama/atau tidak).
Nombor 7 - Selendang, turban dan sarung kaki.

Di bahagian bersebelahan pula adalah tempat untuk saya menyimpan kasut dan beg tangan sahaja.

Tiga bungkusan di sebelah kiri ialah beberapa pasang kasut dan dan tiga bungkusan di sebelah kanan ialah beg tangan milik saya. Beg bermalam saiz besar yang berlipat berwarna unggu dari jenama Longchamp ini saya jadikan ianya sebagai beg tambahan sekiranya ia diperlukan pada bila-bila masa.

Tidak dilupakan juga, sejak dari dahulu lagi saya wajib membawa selipar untuk digunakan di dalam bilik hotel. Permaidani hotel bukanlah bersih kerana tetamu yang menginap kebiasannya memakai kasut berjalan ke merata-rata di dalam bilik.

4.Tanda Pengenalan Bagasi

Seperti yang pernah saya ceritakan pada entri sebelum ini (http://sharery.blogspot.com.au/2015/01/tips-melancong-perancangan-percutian-ke.html ), buatlah tanda istimewa supaya anda mengenal bagasi sendiri. Di samping itu, nama, alamat dan nombor telefon juga perlu ditulis dan di selitkan di bahagian luar bagasi.

Gambar kiri : Bagasi jenama Lojel saiz 'L' ini dibeli di Kuala Lumpur lebih kurang 8 tahun yang lalu. Saya turut mempunyai bagasi warna dan jenama yang sama tetapi berlainan saiz ('S' dan 'M').

Gambar kanan : Bagasi jenama Samsonite ini dibeli di Las Vegas pada tiga tahun lalu.

Pelekat-pelekat ini saya beli sendiri dan ia cukup untuk dijadikan penanda.

Bagi saya dan suami, kami belum pernah berjumpa dengan bagasi yang sama dengan kami. Pelbagai pelekat yang dilekatkan di luar bagasi menyenangkan kami untuk melihat bagasi kami dari jauh. Jika berlakunya kesulitan sekalipun (bagasi suami saya pernah dihantar ke lapangan terbang lain), tag Qantas yang diikat di bahagian pemegang akan dijadikan rujukan oleh pengedali bagasi dari pihak Qantas untuk membaca maklumat dan menghubungi ahli kelab Qantas (frequent flyer).

Tag ahli kelab Qantas ini menyimpan maklumat peribadi dan hanya boleh dibaca (imbas/scan) oleh pihak pengurusan Qantas sahaja.

5.Bagasi Kabin
Seperti kebiasaan, barang-barang yang saya letakkan di dalam bagasi kabin ialah komputer riba, komputer tablet (ipad), kamera, alatan mengecas, buku nota, plastik untuk mengisi botol-botol cecair, sehelai jaket nipis atau kardigan dan selendang pashmina serta beberapa pasang kasut.


Gambar kiri : Bagasi kabin dari jenama Lojel saiz 'S' ini adalah yang paling kerap saya bawa. Barangan yang terkadung di dalam bagasi ini telah saya nyatakan di atas.

Gambar kanan : Pernah juga saya bertukar angin dengan menggalas beg dari jenama Longchamp bersaiz besar. Ia dibeli di Singapura.

Tidak jauh bezanya dengan bagasi kabin suami, cuma beliau tidak menyimpan kasut dan selendang pashmina (beliau meletakkan jaket atau kardigan sebagai ganti).

Bagasi kabin kepunyaan suami saya.


Apabila mood suami saya berubah, beliau tidak mahu menarik bagasi kabin beroda tetapi menukarkan dengan beg silang dari jenama Crumpler yang beliau beli lebih dari 10 tahun yang lalu di Melbourne atau beg silang Gucci yang saya hadiahkan pada hari lahir beliau pada tahun 2013.

Beg silang dari jenama Crumpler dan Gucci digunakan sekiranya suami saya ingin menukar dari menggunakan bagasi kabin beroda.

6. Kod Bar
Pelekat atau tag yang mempunyai kod bar yang terdapat di bagasi haruslah dibuang setiap kali pulang dari sesuatu penerbangan. Ia bagi mengelakkan kejadian kekeliruan dan mungkin bakal kehilangan bagasi.


Sudah menjadi kebiasaan, kami akan membuang pelekat dan tag yang mempunyai kod bar sebelum meneruskan penerbangan yang seterusnya.

Saya berharap tips yang saya berikan di sini sedikit sebanyak dapat membantu anda membuat perancangan sebelum melancong. Nantikan banyak lagi tips melancong serta adab apabila berada di negara luar yang bakal saya kongsikan tidak lama lagi.

Berikut adalah tips melancong lain yang telah saya siarkan di dalam blog ini.

Tips Melancong - Perancangan Percutian Ke Luar Negara
http://sharery.blogspot.com.au/2015/01/tips-melancong-perancangan-percutian-ke.html

Tips Melancong - Tatacara Dan Adab Semasa Berada Di Lapangan Terbang;
http://sharery.blogspot.com.au/2015/03/tips-melancong-tata-cara-dan-adab.html

Tips Melancong - Cara Mengatasi Jet Lag
http://www.sharery.blogspot.com.au/2015/05/tips-melancong-bagaimana-cara-mengatasi.html

Tips Melancong - Cara Menjaga Keselamatan Pasport
http://sharery.blogspot.com.au/2015/06/tips-melancong-cara-menjaga-keselamatan.html

Tips Melancong - Mengetahui Lokasi Pejabat Kedutaan Dan Konsulat Di Luar Negara
http://sharery.blogspot.com.au/2015/06/tips-melancong-mengetahui-lokasi.html

Tips Melancong - Adab Dan Displin Sebelum Memasuki Pesawat
http://sharery.blogspot.com.au/2015/07/tips-melancong-adab-dan-displin-sebelum.html


Jika anda mempunyai sebarang pertanyaan, sila nyatakan di dalam ruangan komen dan tinggalkan alamat e-mel untuk saya membalasnya kelak. Anda juga boleh ikuti perkembangan saya melalui akaun Instagram, blog_th2010.


Sunday 18 January 2015

Kingman, Arizona (Route 66)

Assalamualaikum w.h.t dan Salam Sejahtera

Kingman, Arizona terletak di tengah-tengah laluan bersejarah  Route 66. Jarak Kingman dengan Las Vegas, Nevada ialah kira-kira 105 km dan jarak dengan Taman Negara Grand Canyon ialah lebih kurang 272 km.

Sempadan negeri untuk masuk ke Arizona.

Keunikan keretapi lama di Amerika Syarikat yang masih digunakan sehingga ke hari ini.

 Muzium Arizona Route 66 yang terletak di dalam bangunan janakuasa lama lagi bersejarah iaitu The Powerhouse ini merupakan salah satu tempat tarikan pelancong di Kingman.

Ketinggian Kingman ialah 3,333 kaki di atas paras laut.

 Mr. D'z Route 66 Diner merupakan salah sebuah restoran yang terkenal bagi pengguna Route 66.

Keretapi berenjin stim nombor 3759 ini diletakkan sebagai monumen sejarah pada tahun 1957 di dalam taman yang diberi nama Locomotive Park.

Enjin stim ini telah dibina pada tahun 1927 manakala pada tahun 1941 ia telah ditukar kepada penggunaan minyak. Santa Fe ialah syarikat keretapi tersebut, Santa Fe Railway Company.

Pengunjung boleh naik dan melihat bahagian dalam kepala keretapi ini.

Locomotive Park.


#kingman #kingmanAZ #route66
#arizona #usa #unitedstates
#travel #blogger #travelblogger #aussieblogge

Jika anda mempunyai sebarang pertanyaan, sila nyatakan di dalam ruangan komen dan tinggalkan alamat e-mel untuk saya membalasnya kelak. Anda juga boleh mengikuti (follow) perkembangan saya melalui akaun Instagram, blog_th2010.



Tuesday 13 January 2015

Tips Melancong : Perancangan Percutian Ke Luar Negara

Assalamualaikum w.h.t dan Salam Sejahtera

Tips melancong akan saya kongsikan secara berperingkat atau bersiri di laman blog ini. Pengalaman bekerja sebagai pramugari, berhijrah memulakan kehidupan berumahtangga di negara lain, tinggal di bandar-bandar yang mempunyai ramai pelancong dan menjadi pemerhati mereka serta mengembara di pelbagai negara serta benua, semuanya akan saya ambil untuk menjadikan tips melancong ini tempat rujukan dan pengajaran untuk semua pembaca.


1. Kewangan
Ukur baju di badan sendiri. Tidak dinafikan harga tiket penerbangan ada kalanya murah dan harganya bersaing dengan syarikat penerbangan lain. Jika sumber kewangan anda masih belum mencukupi lupakan sahaja percutian buat sementara waktu. Jangan pergi (melancong) hanya kerana teruja melihat rakan atau saudara yang sudah pergi awal daripada anda. Elakkan berhutang semata-mata untuk melancong.

2. Tempahan Tiket Kapal Terbang
Perlu diingatkan sekali lagi, syarikat penerbangan tambah murah tidak selalunya murah. Anda perlu membuat perbandingan harga dengan syarikat penerbangan yang lain supaya anda tidak rasa seperti ditipu. Jangan terpedaya dengan harga yang dipaparkan (syarikat penerbangan tambang murah) kerana jika ditambah dengan kos bagasi, makanan dan lain-lain, selalunya jumlah keseluruhan lebih mahal dari syarikat penerbangan premium.

3. Mata Wang Asing
Jika tambang penerbangan mencukupi dari bajet anda, tetapi ia belum menjaminkan anda untuk berbelanja di sana dek kerana kadar tukaran matawang asing yang tinggi. Hotel, makanan atau tempat tarikan pelancong semuanya perlu dibuat kiraan terlebih dahulu. Gunakan pencarian di Google untuk laman tukaran wang asing sebagai rujukan.

Cuba elakkan dari menukar wang di lapangan terbang atau hotel kerana ia agak merugikan. Jika di Malaysia atau Singapura anda boleh ke kedai tukaran wang asing di tepi-tepi jalan atau di pusat membeli belah.

Sekadar gambar hiasan - Beberapa tahun lalu, semasa saya sedang mengemas beg duit lama, saya terjumpa beberapa helai matawang asing (seperti gambar di atas). Ia adalah wang baki dari membeli belah di luar negara semasa saya masih bertugas dengan Syarikat Penerbangan Malaysia.

Kecuali Saudi Riyal (paling bawah kiri), ia saya terima istimewa dari arwah bapa sebaik beliau pulang dari menunaikan umrah pada tahun 1997.

4. Tempahan Tempat Penginapan
Satu lagi kesilapan yang biasa saya dengar ialah tersalah menempah tempat penginapan (hotel atau apartmen). Oleh kerana mahu harga yang murah, mereka telah menempah hotel yang jauh dari pusat bandar atau pengangkutan awam yang terhad. Gunakan khidmat carian Google Map untuk memberikan gambaran kasar jarak bagi sesebuah tempat dengan hotel yang ingin anda menginap.

Jangan sesekali berdepan dengan risiko menempah hotel pada hari ketibaan. Silap hari bulan, boleh tidur di pusat tahanan pula. Satu pengalaman terjadi pada tahun lalu apabila suami saya tanpa sengaja telah mendengar perbualan sebuah keluarga (pelancong dari Malaysia) di Lapangan Terbang Perth apabila beliau (ketua keluarga) sedang sibuk mencari hotel. Saya tidak tahu apa yang ditulis (tempat penginapan) semasa beliau mengisi kad pendaratan sehingga beliau 'lepas' dari ditahan oleh pihak kastam. Percubaan menempah hotel pada saat-saat terakhir juga biasanya peluangnya agak nipis. Samada pilihan hotel terhad atau jika ada pun harganya melambung naik.

5. Tempahan Kereta Sewa
Sama juga seperti tempat penginapan, kereta sewa juga perlu ditempah lebih awal. Baru-baru ini saya mendengar sebuah pengalaman dari sahabat saya bahawa sahabat beliau dari Singapura enggan menempah kereta sewa dengan lebih awal sebelum hari berlepas seperti yang disarankan. Apabila tiba di Melbourne, tidak ada syarikat kereta yang boleh menyediakan kereta untuk beliau. Bukan sahaja beliau mahu menempah di saat akhir, malah lebih teruk dari itu ialah beliau tiba pada musim cuti perayaan (Krismas/Tahun Baru/Cuti Sekolah).

6. Lokasi
Saya sudah biasa mendengar dari mereka yang pulang dari melancong tetapi tidak seronok dan asyik mengeluh. Pelajari selok belok dan latar belakang tempat/bandar/negara yang bakal dikunjungi sebelum anda menempah tiket kapal terbang atau penginapan agar tidak menyesal di kemudian hari. Seperti contoh, ada yang pulang dari Perth, Australia Barat dengan perasaan hampa kerana kata mereka Perth sangat membosankan.

Ramai bertanya dan meminta pendapat daripada saya yang mereka ingin melancong ke Australia tetapi tidak tahu negeri/bandar mana yang ingin dituju. Saya akan bertanya kepada mereka terlebih dahulu samada mereka mahukan percutian di bandar besar seperti Kuala Lumpur atau Singapura? Jika ya, pilihlah Sydney atau Melbourne. Jika mahukan kedamaian dan lari dari hiruk pikuk kotaraya, bolehlah datang bercuti ke Perth.

Saya ingin menyangkal kata-kata bahawa Perth adalah bandar yang membosankan. Tidak dinafikan keistimewaan dan daya tarikan pelancong terdapat banyak di luar pusat bandar. Jika anda menyewa kereta, pasti percutian lebih menyeronokkan.

7. Cuaca Empat Musim
Jujur saya katakan di sini bahawa saya agak tidak senang apabila kerap mendengar mereka yang tengah melancong atau baru pulang yang mengadu tentang cuaca ("panasnya/sejuknya").
Tidak ada sesiapa yang melarang anda dari melancong pada sekian-sekian musim. Semua keputusan terletak di tangan anda sendiri. Jika anda tinggal di negara yang tidak mempunyai musim sejuk dan dingin (contoh: Malaysia, Singapura, Indonesia) jangan kemudian hari anda menyesal atau merungut kerana pergi melancong pada musim panas.

Bagaimana pula mereka yang merungut terlalu sejuk? Tidak di nafikan kita manusia tidak sempurna dan kebal. Bagi diri saya dan mereka yang biasa dengan musim sejuk pun adakalanya memang kami kalah dengan cuaca sebegini. Satu cara bagi mengelakkan anda terasa seperti hendak beku ialah memilih pakaian yang bersesuaian. Topik mengenai pakaian akan saya sentuh sebentar lagi.

Jika anda inginkan kelainan dari musim panas (summer) tetapi alah atau takut pula dengan musim sejuk (winter), saya cadangkan anda memilih untuk pergi melancong pada musim bunga (spring) atau musim luruh (autumn). Anda masih boleh merasai sedikit 'tempias' atau 'baki' musim sejuk (bergantung kepada sesebuah negara).

Empat musim ini berbeza bagi negara-negara di etmosfera selatan dan utara. Contohnya jika di Australia musim panasnya pada bulan Disember-Mac, tetapi di Amerika Syarikat pula musim sejuk.
Sekali lagi saya tekankan di sini, musim dan cuaca juga termasuk di dalam perancangan penting sebelum ingin melancong dan menempah tiket penerbangan.

8. Pakaian
Saya pasti pemilihan pakaian untuk musim panas tidak menjadi masalah. Tetapi ada kalanya pula cuaca panas terik dan dalam masa yang sama angin sepoi-sepoi sepanjang hari membuatkan anda tidak sedar yang kulit sudah berjelaga. Oleh itu saya sarankan supaya anda mengenakan pakaian dari fabrik yang nipis/dingin serta berlengan panjang. Kain tudung juga menjadi faktor penting. Jenis kain yang tebal dan tidak serap peluh akan mengundang rasa lebih panas.

Selendang dari fabrik nipis seperti ini sesuai dipakai pada musim panas.
Kemeja labuh dan selendang nipis yang saya pakai pada musim panas.

Saya berasa hairan bagaimana seseorang boleh mengenakan tudung jenis selendang pashmina pada musim panas? Jenis tebal sebegitu hanya dililit di bahagian leher oleh wanita-wanita pada musim sejuk sahaja untuk keselesaan leher mereka agar rasa sedikit hangat.

Selendang pashmina hanya sesuai digayakan pada cuaca yang dingin atau musim sejuk.

Sebab utama yang membuatkan seseorang tidak boleh terima dan tidak selesa badan apabila melancong pada musim sejuk ialah kesalahan memilih jenis pakaian dan kasut.
Maaf saya katakan di sini, saya pernah ternampak beberapa pelancong dari Malaysia yang datang ke Australia pada musim sejuk manakala pakaiannya ibarat seperti baju tidur saya yang dipakai pada musim sejuk. Baju T dan baju panas yang biasa dipakai apabila demam sudah tentu tidak boleh menampung kesejukan.

Kepada yang ingin melancong di negara yang suhunya di bawah paras beku dan berkeinginan untuk bermain salji, anda perlu membeli pakaian dalam berhaba (thermal underware/long john). Fungsinya sebagai pemanas badan amat penting selain ditambah dengan helaian baju yang lain dan juga jaket yang bersesuai. Jaket kalis air sesuai untuk mereka yang ingin bermain salji.

Gambar kiri : Jaket panas dari jenama MNG yang saya beli di Melbourne 5 tahun lalu. 65% diperbuat dari wool.

Gambar kanan : Salah satu selendang diperbuat daripada 100% wool (winter muffler) ini merupakan kegemaran saya untuk dililitkan di leher pada musim sejuk.

Dalam berpuluh-puluh koleksi jaket musim sejuk yang saya miliki, separuh daripadanya adalah dari jenama MNG. Tiga helai jaket di atas antara yang sesuai dipakai pada musim sejuk dan bersalji kerana ia kalis air.

Jaket hijau saya beli di Kuala Lumpur 9 tahun lalu. Jaket merah saya beli di Istanbul 6 tahun lalu dan jaket kelabu dari jenama Guess saya beli di Melbourne 4 tahun lalu.

Aksesori seperti topi/serkup kepala (beanie), sarung tangan/kaki yang serat tekstilnya diperolehi dari bulu kambing biri-biri (wool), kambing (cahsmere) atau bulu arnab (angora) memainkan peranan penting untuk memanaskan badan.

Gambar kiri : Sebahagian dari koleksi sarung tangan milik saya. Sarung tangan paling kanan (merah jambu) sesuai dipakai ketika bermain salji. Manakala tiga di sebelah kiri sesuai dipakai pada musim sejuk. Sarung tangan berwarna coklat dan unggu tidak boleh melawan cuaca sejuk dan ia hanya sesuai dipakai pada musim luruh.

Gambar kanan : Tiga sarung tangan ini diperbuat dari 100% kulit, campuran wool dan nylon serta 100% polyester.

Saya gemar memakai sarung kepala atau topi ketika tibanya musim luruh dan sejuk. Terlalu banyak untuk dikongsikan di sini dan saya hanya letakkan dua sahaja sebagai contoh. Topi berwarna biru seperti gambar di atas diperbuat dari 100% wool.

Alat penutup telinga ini biasanya saya pakai pada musim sejuk bersalji sahaja. Dua daripadanya saya beli di Melbourne manakala yang berbentuk buah stroberi dibeli oleh anak saudara semasa percutian beliau ke Cameron Highland.

Melaburlah sedikit dengan membeli baju panas dan aksesori di kedai yang menjual pakaian musim sejuk. Walaupun tidak akan pakai selalu, tetapi dengan kualiti yang bagus, anda boleh gunakannya berulang kali pada tahun-tahun yang lain pula.

9. Bagasi/Beg Pakaian
Apabila kita melancong pada musim panas, pakaian yang dibawa pun ringan dan nipis. Masih terdapat lagi ruang kosong dan niat untuk membeli belah pun makin membuak-buak apabila mengetahui beratnya belum mencecah atau melepasi berat maksimum yang dibenarkan oleh syarikat penerbangan.

Berlainan pula jika melancong pada musim sejuk, pakaian yang tebal akan membuatkan bagasi anda berat sebelum tiba ke destinasi percutian.

Mungkin anda tidak mengetahui atau terlupa bahawa faktor utama sebelum hendak membeli bagasi/beg pakaian ialah dengan meneliti berat beg kosong yang dijual. Kebiasaanya berat beg kosong akan dipaparkan di bahagian luar beg atau pada tanda harga.

Bagasi jenama Delsey ini dibeli di Las Vegas.
Lagi ringan beg itu, tentulah lagi bagus kerana anda boleh membawa lebih helaian pakaian atau simpankan ruang untuk barangan membeli belah kelak.

10. Tanda Pengenalan Bagasi
Setiap kali saya menunggu bagasi yang akan tiba dari conveyer belt di lapangan terbang, saya masih pelik dan tidak faham dengan gelagat penumpang yang terkial-kial membelek-belek bagasi orang lain. Ini kerana mereka gagal mengenali bagasi kepunyaan sendiri.


Tanpa perlu modal yang banyak, mungkin anda boleh mengikat tali atau reben berwarna pada bagasi anda. Buatlah tanda yang istimewa supaya anda sahaja yang mengenal bagasi sendiri.

Gambar kiri : Bagasi jenama Lojel saiz 'L' ini dibeli di Kuala Lumpur lebih kurang 8 tahun yang lalu. Saya turut mempunyai bagasi warna dan jenama yang sama tetapi berlainan saiz ('S' dan 'M').

Gambar kanan : Bagasi jenama Samsonite ini dibeli di Las Vegas pada tiga tahun lalu.

Pelekat-pelekat ini saya beli sendiri dan ia cukup untuk dijadikan penanda.

Saya berharap tips yang saya kongsikan di sini sedikit sebanyak dapat membantu anda membuat perancangan sebelum melancong ke luar negara. Cara saya mengemas dan menguruskan pakaian di dalam bagasi akan dihuraikan pada entri akan datang.

Anda boleh membaca entri Tips Melancong yang lain di sini;

Tips Melancong - Pengurusan Pakaian Dan Bagasi 
http://sharery.blogspot.com.au/2015/03/tips-melancong-tata-cara-dan-adab.html

Tips Melancong - Tatacara Dan Adab Semasa Berada Di Lapangan Terbang;
http://sharery.blogspot.com.au/2015/03/tips-melancong-tata-cara-dan-adab.html

Tips Melancong - Cara Mengatasi Jet Lag
http://www.sharery.blogspot.com.au/2015/05/tips-melancong-bagaimana-cara-mengatasi.html

Tips Melancong - Cara Menjaga Keselamatan Pasport
http://sharery.blogspot.com.au/2015/06/tips-melancong-cara-menjaga-keselamatan.html

Tips Melancong - Mengetahui Lokasi Pejabat Kedutaan Dan Konsulat Di Luar Negara
http://sharery.blogspot.com.au/2015/06/tips-melancong-mengetahui-lokasi.html

Tips Melancong - Adab Dan Displin Sebelum Memasuki Pesawat
http://sharery.blogspot.com.au/2015/07/tips-melancong-adab-dan-displin-sebelum.html


Jika anda mempunyai sebarang pertanyaan, sila nyatakan di dalam ruangan komen dan tinggalkan alamat e-mel untuk saya membalasnya kelak. Anda juga boleh ikuti perkembangan saya melalui akaun Instagram, blog_th2010.