Thursday 28 May 2015

Rumah Kediaman Presiden Amerika Syarikat Ke 16 Abraham Lincoln

Assalamamualaikum w.h.t dan Salam Sejahtera

Lincoln Home National Historic Site terletak di Springfield, Illinois. Rumah yang dipelihara dan dijaga oleh National Park Service ini merupakan kediaman bagi Abraham Lincoln sebelum beliau menjadi presiden Amerika Syarikat yang ke 16 iaitu dari tahun 1844 sehingga 1861.

Rumah ini dibeli oleh Lincoln dan isterinya, Mary Todd Lincon pada tahun 1844 dan merupakan satu-satunya rumah yang dimiliki oleh beliau. Terletak di persimpangan antara Eighth dan Jackson Street, rumah dua tingkat ini mempunyai dua belas buah bilik.

Pada tahun 1887, anak lelaki Lincoln telah menyerahkan rumah ini kepada kerajaan negeri dengan syarat iaitu rumah ini perlu kekal diselenggarakan dengan baik dan dibuka untuk lawatan umum tanpa sebarang bayaran dikenakan.

Saya dan suami tiba di sini pada jam 3.30 petang. Niat kami adalah untuk berjalan-jalan di sekitar kawasan dan hanya mahu mengambil gambar dari luar rumah sahaja. Sebaik turun dari kereta, kami ditegur oleh sepasang suami isteri dari Florida dan mereka telah memberikan dua keping tiket masuk ke rumah Abraham Lincoln. Masa membataskan mereka untuk tunggu lebih lama (tiket masuk pada jam 4.10 petang) kerana mereka terpaksa meneruskan perjalanan.


Gambar atas : Sebaik memasuk kawasan meletak kenderaan.

Gambar bawah kiri : Amaran dilarang membawa senjata api diletakkan di sebelah mesin membayar parkir.

Gambar bawah kanan : Arah ke Pusat Khidmat Pelancongan.


Pusat Khidmat Pelancongan di Lincoln Home National Historic Site.

Gambar atas : Di tepi pintu masuk Pusat Khidmat Pelancongan.

Gambar bawah : Rumah Abraham Lincoln yang dirakamkan pada zaman dahulu.

Gambar atas : Kaunter pertanyaan.

Gambar bawah : Lincoln Home National Historic Site merupakan satu-satunya Taman Negara di dalam negeri Illinois.

Gambar atas : Peta ibu negeri Illinois, iaitu Springfrield.

Gambar bawah : Kedai cenderamata dan penjualan buku-buku sejarah.


Catatan kematian Abraham Lincoln.

Potret Abraham Lincoln.

Menunggu giliran untuk lawatan masuk ke dalam rumah Abraham Lincoln. Seperti yang saya katakan di atas tadi, pelawat tidak dikenakan bayaran tetapi tiket giliran mengikut masa yang ditetapkan perlu diambil di Pusat Khidmat Pelancongan.

Berkumpul di tempat yang disediakan di samping itu ranjer Taman Negara memberikan taklimat mengenai perkara yang perlu dan tidak perlu dilakukan semasa berada di dalam rumah.

Berdiri di hadapan rumah Presiden Amerika Syarikat yang ke 16 iaitu Abraham Lincoln. 

Pintu masuk rumah Abraham Lincoln.

Saya cuba untuk memberikan anda gambaran sebenar pengalaman lawatan ini justeru saya telah menyusun gambar-gambar di bawah mengikut aturan lawatan iaitu bermula dari pintu masuk di tingkat bawah, kemudian naik ke tingkat atas bagi melihat bilik-bilik keluarga sehinggalah lawatan berakhir di bahagian dapur di tingkat bawah.

Tingkat Bawah.

Gambar atas kiri : Ruang yang dapat lilihat sebaik memasuki rumah melalui pintu hadapan.

Gambar atas kanan : Front Parlor - Ruang tamu hadapan yang biasanya dikhaskan untuk tetamu.

Gambar bawah kiri : Front Parlor - Ruang tamu hadapan yang biasanya dikhaskan untuk tetamu.

Gambar bawah kanan : Pemandangan ruang tamu hadapan yang dilihat dari ruang tamu belakang (Back Parlor).

Gambar atas dan bawah : Back Parlor - Ruang tamu di bahagian belakang ini turut Abraham Lincoln jadikan sebagai ruang pejabat dan membaca untuk diri beliau.

Kedua-dua buah ruang tamu ini pernah memuatkan tetamu seramai 500 orang semasa Abraham Lincoln menganjurkan majlis.

Ruang makan.


Tiga gambar di atas : Sitting Room - Ini merupakan ruang rehat bagi Abraham Lincoln, isteri dan anak-anak. Steroscope yang ada di atas meja adalah kepunyaan Lincoln dan biasa beliau gunakan pada setiap petang. Lincoln yang berketinggian 6 kaki 4 inci mempunyai masalah ketidak selesaan untuk duduk di mana-mana perabot maka beliau lebih selesa duduk di atas lantai.  Di samping itu juga mungkin ramai yang tidak mengetahui bahawa Lincoln adalah penggemar kucing. Di ruang ini Lincoln dan keluarga turut meluangkan masa bermain dengan kucing-kucing dan anjing peliharaan mereka.

Tingkat Atas.
Sejurus tiba di tingkat atas, bilik tetamu terletak di sebelah kiri tangga manakala bilik Abraham Lincoln di sebelah kanan tangga.

Tiga gambar di atas : Bilik Tetamu.

Satu sudut kecil sebelum memasuki bilik tidur Abraham Lincoln.

Bilik tidur Abraham Lincoln.

Bilik tidur Abraham Lincoln.

Isteri Abraham Lincoln, Mary tidur di bilik berasingan. Melalui bilik Abraham Lincoln terdapat satu lorong terus ke bilik Mary.

Bilik tidur Mary Todd Lincoln.


Dua gambar di atas : Boy's Room - Bilik anak-anak lelaki Abraham Lincoln dan Mary Todd Lincoln. 

Dua gambar di atas : Hired Girl's Room - Bilik pembantu rumah.

Setiap hari setelah tukang masak dan dobi selesai menjalankan rutin harian, mereka akan pulang ke rumah pada sebelah malam manakala pembantu rumah akan menyambung beberapa tugas yang lain contohnya mengambil air dari tangki dan perigi untuk dibawa masuk ke dalam rumah.

Menuruni tangga dari tingkat atas ke tingkat bawah.

Bagi menampak dan mengekalkan keaslian rumah (perabot dan hiasan dalaman), pihak Taman Negara melarang para pelawat menyentuhnya. Hanya susur tangan semasa naik dan turun tangga sahaja yang boleh digunakan oleh pelawat. Kata ranjer yang menemani lawatan kami pada hari tersebut, dengan cara memegang susur tangan ini sahaja beliau dapat merasai tangan Abraham Lincoln.
Kami para pelawat juga bersetuju lantas masing-masing tidak melepaskan peluang memegang susur tangan itu.

Tiga gambar di atas : Dapur yang terletak di tingkat bawah di bahagian belakang rumah. 

Jika anda perhatikan semula, rumah ini tidak mempunyai bilik air. Sumber air diambil dari bahagian belakang di luar rumah.

Gambar atas : Laman belakang rumah di mana berakhirnya lawatan.

Gambar bawah kiri : Ranjer yang mengiringi lawatan kami.

Gambar bawah kanan : Jumlah masa lawatan yang diambil ialah lebih kurang 40 minit.


Satu perkara yang menarik perhatian saya tentang rumah ini ialah kecantikan hiasan kertas dinding yang berwarna warni sekaligus menaikkan mood ceria. Melawat ke rumah yang pernah dihuni oleh Abraham Lincoln dan keluarga beliau dapat menimba satu pengalaman baru bagi diri saya serta menambah lagi pengetahuan tentang sejarah Amerika Syarikat.

Jika anda mempunyai sebarang pertanyaan, sila nyatakan di dalam ruangan komen dan tinggalkan alamat e-mel untuk saya membalasnya kelak. Anda juga boleh ikuti perkembangan saya melalui akaun Instagram, blog_th2010.


Wednesday 27 May 2015

Selamat Hari Lahir Suamiku

Assalamualaikum w.h.t dan Salam Sejahtera

Secara terbuka di sini saya mengucapkan Selamat Hari Lahir kepada suami yang juga merupakan tulang belakang dalam saya meneruskan bidang penulisan.

Gambar dirakamkan di Grand Canyon National Park, Arizona, Amerika Syarikat.




Monday 25 May 2015

Memorial Day Di Amerika Syarikat

Assalamualaikum w.h.t dan Salam Sejahtera

Memorial Day ialah hari cuti umum yang disambut pada hari Isnin terakhir bulan Mei setiap tahun di Amerika Syarikat. Ia bagi memperingati para tentera yang telah meninggal dunia yang pernah berkhidmat untuk negara.

Gambar ini dirakamkan semasa saya mengunjungi tugu peringatan perang di  Pierre. Pierre ialah ibu negeri bagi South Dakota.



Friday 22 May 2015

Crawley Edge Boatshed - Perth, Australia Barat.

Assalamualaikum w.h.t dan Salam Sejahtera


Gambar semasa saya berada di Crawley Edge Boatshed (seperti di bawah) saya rakamkan pada tahun lalu. Hampir terlupa untuk saya kongsikan di sini sehinggalah pada beberapa hari lalu rakan saya ada bercerita mengenainya.

Crawley Edge Boatshed merupakan salah satu ikon di Perth, Australia Barat. Pemandangan ini biasa dilihat di poster, poskad dan majalah di Australia. Lokasi ini baru sahaja mencuri perhatian pelancong walaupun sebenarnya ia adalah lokasi yang sering menjadi tumpuan jurugambar tempatan untuk mengabadikan kenangan pasangan pengantin sejak bertahun lamanya.


Crawley Edge Boatshed.

Gambar ini saya rakamkan semata-mata untuk menyertai pertandingan pelancongan yang dianjurkan oleh Qantas Airways dengan kerjasama Pelancongan Australia Barat pada tahun lalu. Konsep yang disarankan ialah dengan mengikut cara jurugambar terkenal dunia Murad Osman iaitu berpegangan tangan seolah-olah membawa seseorang ke destinasi pelancongan yang terkenal. Selain gambar, cerita ringkas dan hashtag #followmetoWA perlu disertakan bersama. Untuk maklumat anda Qantas telah mendapat kebenaran dari Murad Osman dalam meniru gaya terkenal beliau.

Ikon Perth ini pernah mendapat tempat di muka hadapan majalah bulanan Qantas Airways pada Jun 2013.

Jika anda mempunyai sebarang pertanyaan, sila nyatakan di dalam ruangan komen dan tinggalkan alamat e-mel untuk saya membalasnya kelak. Anda juga boleh ikuti perkembangan saya melalui akaun Instagram, blog_th2010.


Wednesday 13 May 2015

Keseronokan Menembak Di The Gun Store Las Vegas

Assalamualaikum w.h.t dan Salam Sejahtera

Keterujaan untuk melakukan aktiviti menembak di The Gun Store Las Vegas pada dua minggu yang lalu adalah sangat tinggi. Ini kerana saya masih dapat rasa keseronokan semasa pertama kali menembak pada tahun 2012.

Di Amerika Syarikat terdapat begitu banyak lapangan menembak tetapi saya dan suami tetap memilih The Gun Store di Las Vegas. Kami begitu berpuas hati dengan layanan dan perkhidmatan yang diberikan terhadap kami semasa kunjungan terdahulu malah pakej yang ditawarkan amat berpatutan sama sekali.

Pintu masuk hadapan The Gun Store. Saya dan suami tiba lebih kurang jam 10 pagi.

Pintu masuk di bahagian tepi bangunan. Melalui pintu ini pelanggan akan terus masuk ke bahagian pendaftaran dan pembayaran.

Gambar kiri : Beberapa amaran keras yang diberikan kepada pelanggan sebelum dibenarkan menembak,

Gambar kanan : Salah seorang petugas berdiri di belakang saya (photobomb).

Kami masuk melalui pintu di bahagian tepi dan terus ke kaunter pendaftaran. Oleh kerana kami telah membuat tempahan dan bayaran di laman sesawang The Gun Store (secara online), maka di sini kami terus boleh memilih senjata api yang diingini mengikut pakej yang telah dibayar.

Pakej yang ditawarkan kepada pelanggan adalah pelbagai dan harganya bermula serendah USD79.95 sehingga mencecah hampir USD1000.

Kos kelengkapan untuk menembak seperti contoh alat pelindungan mata, telinga, kertas sasaran dan cukai kesemuanya telah dirangkumkan di dalam pakej yang dibayar. Bagi pakej yang saya pilih, The Gun Store menawarkan Glock 19 dengan 20 tembakan dan AR15, AK-47 atau Beretta CX4 dengan 10 tembakan. Pada mulanya saya inginkan AK-47 tetapi jurulatih menembak menyatakan Beretta CX4 lebih baru dan bagus dari yang lain justeru saya memilih apa yang dicadangkan.

Seperti saya dan suami, walaupun ini bukan pengalaman pertama menembak tetapi jurulatih tetap menjalankan tugas beliau dengan memberi tunjuk ajar serta cara pengendalian senjata.
Sepanjang lima tahun wujudnya laman blog Terjemahan Hati, ini merupakan video pertama yang saya kongsikan bersama pembaca. Video ini dirakamkan semasa saya mengendalikan Glock 19.




Gambar kiri : Menembak menggunakan Glock 19. Jurulatih dapat melihat keyakinan dan kebolehan saya dalam mengendalikan Glock 19 maka beliau tidak menyentuh bahu dan belakang saya. Anda turut boleh menonton video  yang saya sertakan di atas untuk memahami apa yang saya sampaikan.

Gambar kanan : Mengendalikan Beretta CX4.
Tidak ada masalah bagi saya mengendalikan Beretta CX4 cuma pada awalnya jurulatih begitu berhati-hati dalam mengawal pergerakan saya kerana ini pertama kali saya menembak menggunakan tangan kiri. 
Hasil keputusan menembak saya dengan menggunakan Beretta CX4. Kesemua tembakan tepat di bahagian perut dan dada si mangsa.

Pakej yang suami saya pilih ialah dapat menembak dengan tiga jenis senjata api yang berbeza iaitu P226 dengan 10 tembakanMP5 dengan 25 tembakan, M16 dengan 25 tembakan. Suami tidak mempunyai masalah dalam menembak kerana beliau berpengalaman mengendalikan pelbagai jenis senjata api dan menerima latihan sempurna semasa beliau menjalani perkhidmatan negara di Singapura hampir 20 tahun yang lalu.

Saya sungguh gembira kerana dapat melepaskan rindu dengan menembak sekali lagi pada tahun ini.

Sempat bergambar bersama jurulatih kami setelah selesai aktiviti menembak.

Semasa pertama kali saya menjejakkan kaki di The Gun Store pada tahun 2012, perasaan saya bercampur baur. Gembira, teruja dan dalam masa yang sama saya takut sekiranya saya akan terkejut dengan das tembakan sendiri sekaligus tangan dan senjata api yang dipegang tersasar. Syukur akhirnya aktiviti berjalan lancar.

Pada kunjungan terkini, saya berjaya menepis segala tanggapan negatif yang pernah saya rasai beberapa tahun lalu. Saya memberikan tumpuan 100% kepada tembakan sehinggakan saya tidak percaya yang jurulatih juga terkejut malah memberikan pujian terhadap saya. Pada awalnya saya menganggap jurulatih sekadar memberikan pujian kosong tetapi setelah pulang dan melihat gambar-gambar yang dirakamkan, baru saya sedar yang jurulatih mempunyai keyakinan terhadap saya sehinggakan beliau tidak mengawal pergerakan saya. Lebih dari itu, semasa saya melihat gambar-gambar yang dirakamkan pada tahun 2012 dan membuat perbandingan keputusan terkini sasaran menembak yang dilakukan, saya turut terkejut dengan peningkatan secara mendadak di dalam kemahiran menembak saya.


Aktiviti menembak yang dilakukan di tempat yang sama pada tahun 2012 dan 2015. Pada tiga tahun yang lalu saya mengendalikan Glock 21 dan M16.

Jika diperhatikan dengan lebih lama anda dapat melihat perbezaan hasil tembakan yang saya lakukan antara dua tahun yang berbeza. Jelas dapat dilihat peningkatan yang drastik yang mengejutkan diri saya sendiri.

The Gun Store turut menjual pelbagai jenis senjata moden dan lama, peluru, pakaian dan kelengkapan menembak serta cenderamata. Pelanggan juga boleh berehat di bahagian kafe yang turut disediakan di sini.



Gambar atas : Baju ini dijual untuk pelanggan walau bagaimanapun kami menerima dua helai secara percuma kerana ia termasuk di dalam pakej yang kami bayar. Rekaan baju percuma yang kami terima (merangkumi pakej yang kami pilih) pada tahun 2012 berbeza dengan baju pada tahun ini.

Gambar bawah : Antara beberapa model senjata yang dipamerkan dan boleh dibeli. Kesemua senjata api dijual kepada pelanggan yang mempunyai lesen menembak yang sah sahaja.

Melangkah keluar dengan rasa puas hati. Sudah empat kali saya mengendalikan senjata api dan ini membuatkan saya rasa 'ketagih' dan tidak sabar untuk melakukannya di lain masa. InsyaAllah jika ada kelapangan saya akan kembali semula keThe Gun Store.


Anda boleh klik dan membaca entri mengenai pengalaman pertama kali saya menembak di bawah ini;
http://sharery.blogspot.com.au/2012/08/pertama-kali-menembak.html


Jika anda mempunyai sebarang pertanyaan, sila nyatakan di dalam ruangan komen dan tinggalkan alamat e-mel untuk saya membalasnya kelak. Anda juga boleh ikuti perkembangan saya melalui akaun Instagram, blog_th2010.

Sunday 10 May 2015

Tips Melancong - Cara Mengatasi Jet lag

Assalamualaikum w.h.t dan Salam Sejahtera

Jet lag merupakan simptom keletihan dan masalah tidur yang terjadi setelah tiba atau pulang dari sesebuah negara yang jarak masanya sangat berbeza dari negara yang kita tinggal (time zone).

Saya terpanggil untuk membuat entri ini adalah kerana saya sering ditanya soalan mengenai bagaimana cara saya mengatasi jet lag sedangkan mereka mengalami masalah tersebut lebih dari satu hari malah hampir satu minggu lamanya.

Sebagai bekas pramugari, kehidupan harian saya semasa bertugas suatu masa dahulu adalah lebih banyak di awan biru berbanding di darat. Selepas meletakkan jawatan dan berkahwin serta berhijrah ke luar negara, saya #travelblogger masih sibuk/kerap terbang ke pelbagai negara terutama sekali di antara dua buah negara iaitu Australia dan Amerika Syarikat. Dua buah negara yang besar ini juga (Australia dan Amerika Syarikat) mempunyai beberapa zon masa yang berbeza dan ia menuntut satu displin demi untuk mengelakkan dari masalah jet lag.

Di Lapangan Terbang Antarabangsa Chicago O' Hare, Amerika Syarikat dan bakal memulakan penerbangan yang panjang yang memakan masa lebih dari dua hari.

Saya bukan pakar kesihatan yang ingin menghuraikan panjang lebar mengenai jet lag. Apa yang ingin saya kongsikan bersama anda ialah berdasarkan pengalaman dan cara yang saya lakukan untuk diri sendiri.

Bagi seorang anak kapal, waktu tidur dan bangun saya tidak menentu dan ia bergantung kepada jadual penerbangan. Kebiasaanya sejurus pulang semula ke Malaysia (terutamanya penerbangan antarabangsa yang tiba awal pagi) dan tiba di rumah, saya akan tidur lena tetapi tidak meleretkannya sehingga lewat petang. Cukup hanya beberapa jam supaya malam nanti waktu tidur saya akan menjadi seperti sedia kala.

Setelah berhijrah ke luar negara dan kehidupan sebagai #travelblogger, jet lag boleh saya atasi dengan mudah sekali. Perkara utama yang biasa saya lakukan sebelum terbang ke sesebuah negara contohnya dari Amerika Syarikat  ke Australia yang beza zon masa sebanyak hampir 20 jam ialah kurangkan tidur sebelum waktu berlepas. Di dalam tempoh 12-24 jam sebelum waktu berlepas saya sudah menyesuaikan diri (body clock) dengan waktu di Australia.

Bagi saya yang kerap terbang ke penerbangan antarabangsa yang jauh, jet lag bukan satu masalah tetapi saya perlu menanganinya dengan cepat sebelum saya menyambung semula penerbangan seterusnya.

Seperti contoh lain pula, sekiranya penerbangan dari Amerika Syarikat yang saya ambil ialah pada jam 11.00 malam (waktu di Australia 4.00 petang), saya cuba untuk tidak tidur di dalam pesawat sehinggalah masuk waktu malam di Australia. Apabila tiba di Australia pada sebelah pagi, saya akan berasa segar. Tidak dinafikan, sedikit keletihan dan mengantuk akan dialami juga pada sebelah siang (sesudah berada di Australia), akan tetapi saya cuba mendisplinkan diri dengan cuba menahan rasa mengantuk itu. Saya akan tidur seawal jam 8.00 atau 9.00 malam selama lebih kurang 8-10jam. Keesokan harinya waktu tidur dan body clock saya sudah kembali seperti biasa seolah seperti sudah 'reset'.

Penerbangan Qantas Airways yang saya ambil dari Los Angeles ke Melbourne. Dari Amerika Syarikat lagi saya sudah mula menukar 'body clock' saya kepada waktu Australia.

Dua gambar di atas adalah contoh penerbangan terus (direct flight) yang senang untuk saya terjemahkan kepada para pembaca. Hakikat sebenar, kebiasaanya saya perlu mengambil beberapa lagi penerbangan domestik terlebih dahulu sebelum tiba ke destinasi terakhir untuk berlepas ke Australia (seperti dari Los Angeles atau Dallas).

Antara beberapa penerbangan domestik yang perlu diambil di dalam Amerika Syarikat sebelum berlepas untuk penerbangan antarabangsa.

Berbalik semula contoh penerbangan saya dari Amerika Syarikat (destinasi pertama) ke Australia (destinasi terakhir) atau sebaliknya yang memerlukan saya terbang dan singgah ke beberapa lapangan terbang, jumlah penerbangan keseluruhan ialah lebih kurang 30-45 jam.

Tiga rekod penerbangan saya bersama dengan Qantas Airways dan American Airlines yang terkini. Jumlah ini adalah biasa bagi saya dan suami.

Salah satu lagi penerbangan panjang bersama Emirates (termasuk transit) yang memakan masa hampir 40 jam. Dari New York ke Dubai kemudian ke Kuala Lumpur dan Melbourne.

Saya berharap tips pada kali ini dapat membantu anda sedikit sebanyak tentang masalah jet lag.
Tips Melancong yang saya kongsikan di sini adalah bersiri dan saya akan terus siarkan secara berperingkat.
Entri yang lain boleh anda baca di sini;

Tips Melancong - Perancangan Percutian Ke Luar Negara
http://sharery.blogspot.com.au/2015/01/tips-melancong-perancangan-percutian-ke.html

Tips Melancong - Pengurusan Pakaian Dan Bagasi 
http://sharery.blogspot.com.au/2015/03/tips-melancong-tata-cara-dan-adab.html

Tips Melancong - Tatacara Dan Adab Semasa Berada Di Lapangan Terbang;
http://sharery.blogspot.com.au/2015/03/tips-melancong-tata-cara-dan-adab.html

Tips Melancong - Cara Menjaga Keselamatan Pasport
http://sharery.blogspot.com.au/2015/06/tips-melancong-cara-menjaga-keselamatan.html

Tips Melancong - Mengetahui Lokasi Pejabat Kedutaan Dan Konsulat Di Luar Negara
http://sharery.blogspot.com.au/2015/06/tips-melancong-mengetahui-lokasi.html

Tips Melancong - Adab Dan Displin Sebelum Memasuki Pesawat
http://sharery.blogspot.com.au/2015/07/tips-melancong-adab-dan-displin-sebelum.html

Jika anda mempunyai sebarang pertanyaan, sila nyatakan di dalam ruangan komen dan tinggalkan alamat e-mel untuk saya membalasnya kelak. Anda juga boleh ikuti perkembangan saya melalui akaun Instagram, blog_th2010.