Wednesday 30 September 2015

M Burger Chicago

Assalamualaikum w.h.t dan Salam Sejahtera


Jika anda berada di Chicago, saya cadangkan anda mencuba M Burger. Merujuk gambar di bawah, saya menikmati burger sayuran (vegetarian) yang diberi nama Nurse Betty dan juga kentang berkeju (cheesefries). Selain burger, ais krim dan minuman turut dijual di sini.



Saya amat berpuas hati dengan hidangan ini dan harganya amat berpatutan. M Burger mempunyai 6 buah cawangan di sekitar Chicago manakala Water Tower Place adalah cawangan yang paling dekat dengan tempat tinggal saya. Untuk maklumat anda, hanya burger sayuran sahaja yang boleh dimakan kerana daging lembunya tidak disahkan halal.

www.mburgerchicago.com

Jika anda mempunyai sebarang pertanyaan, sila nyatakan di dalam ruangan komen dan tinggalkan alamat e-mel untuk saya membalasnya kelak. Anda juga boleh ikuti perkembangan terbaharu saya melalui akaun Instagram, blog_th2010.

Wednesday 23 September 2015

Menjelang Aidil Adha Di Karachi, Pakistan.

Assalamualaikum w.h.t dan Salam Sejahtera

Hari ini, dalam persiapan umat Islam bakal menyambut Aidil Adha pada esok hari, tiba-tiba saya teringat kenangan menyambut AidilAdha di Karachi, Pakistan pada tahun 2006.

Gambar yang saya kongsikan di bawah ini dirakamkan melalui telefon bimbit semasa saya menyelak album lama di rumah ibu saya di Ipoh, Perak pada dua tahun lalu. InsyaAllah, di lain kesempatan sekiranya saya ada pulang ke kampung, saya akan mengimbas kesemua gambar lain dengan menggunakan mesin pengimbas  (scan) dan selepas itu baharu saya akan menyiarkan entri penuh dan menceritakan mengenai pengalaman manis semasa lawatan saya ke Karachi.


Walaupun bangunan-bangunan di sini sudah rosak dan uzur, tetapi di bahagian bawah masih banyak kedai menjalankan perniagaan. 

Kesibukan umat Islam membeli belah sebelum Aidil Adha.

Di kesempatan ini saya ingin mengucapkan Salam Aidil Adha kepada pembaca setia blog Terjemahan Hati. Jaga diri di musim perayaan dan berhati-hati di jalan raya.

Jika anda mempunyai sebarang pertanyaan, sila nyatakan di dalam ruangan komen dan tinggalkan alamat e-mel untuk saya membalasnya kelak. Anda juga boleh ikuti perkembangan terbaharu saya melalui akaun Instagram, blog_th2010.



Monday 21 September 2015

Millbrae Pancake House, California

Assalamualaikum w.h.t dan Salam Sejahtera

Millbrae Pancake House telah memulakan perniagaan pada tahun 1959 dan sangat terkenal di kalangan penduduk tempatan. Adalah menjadi kebiasaan bagi pelanggan beratur panjang di luar restoran sebelum mendapat tempat duduk di dalam restoran. Ia juga turut terjadi terhadap saya semasa kunjungan pada hari Ahad.

Jarak restoran ini dengan San Francisco ialah lebih kurang 24 km. Manakala jarak dengan Lapangan Terbang Antarabangsa San Francisco pula ialah 7 km. Ada pula pelancong yang sempat singgah di restoran ini sebelum mereka mengakhiri percutian mereka dan sebelum berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa San Francisco.


Gambar atas : Sebaik tiba di sini saya sudah dapat melihat ramai pelanggan yang menunggu sehingga ke luar pintu restoran.

Gambar bawah : Saya, suami dan sahabat turut mengambil nombor giliran.

Gambar atas : Sempat bergambar sebelum nombor giliran kami dipanggil.

Gambar bawah : Pemandangan di dalam restoran.

Gambar kiri : Saya memesan minuman coklat panas.

Gambar kanan : Sarapan pagi saya ialah telur dadar berinti sayur-sayuran bersama kentang dan isi buah avokado.

Bergambar bersama sahabat kami yang menetap di San Francisco.

Bergambar bersama sahabat kami yang menetap di San Francisco.

Bergambar bersama sahabat kami yang menetap di San Francisco.

Terima kasih diucapkan kepada David, Kak Elly, Kak Nora, Ezra dan Suraya kerana sudi meluangkan masa bersarapan pagi bersama kami.


MILLBRAE PANCAKE HOUSE

1301 El Camino Real, Millbrae CA 94030

http://www.millbraepancake.com/


Jika anda mempunyai sebarang pertanyaan, sila nyatakan di dalam ruangan komen dan tinggalkan alamat e-mel untuk saya membalasnya kelak. Anda juga boleh ikuti perkembangan terbaharu saya melalui akaun Instagram, blog_th2010.

Thursday 17 September 2015

Wigwam Motel - Ikon Route 66 Di Arizona

Assalamualaikum w.h.t dan Salam Sejahtera

Wigwam Motel merupakan rangkaian motel di Amerika Syarikat yang dibina dari tahun 1930an sehingga tahun 1950an. Terdapat tujuh buah motel di seluruh negara dan salah satu cawangan yang telah saya lawati ialah di Holbrook, Arizona.

Keistimewaan Wigwam Motel adalah kerana reka bentuk bilik yang menyerupai seperti tipi/tepee/teepee. Tipi merupakan khemah tradisional yang diperbuat daripada kulit haiwan serta tiangnya dari batang kayu yang digunakan oleh masyarakat etnik asli Amerika Syarikat (American Indians) dan Kanada dari zaman dahulu kala. Kini tipi yang sedia ada kebanyakannya diperbuat daripada kain kanvas sahaja.

Di antara tujuh buah Wigwam Motel, cawangan di Holbrook yang sering menjadi tumpuan berbanding dengan yang lain. Ini kerana lokasinya yang terletak di jalan raya bersejarah
Route 66 serta berdekatan dengan beberapa daerah milik etnik asli Amerika Syarikat iaitu
Navajo, Hopi dan White Mountain Apache Reservations.


Oleh kerana saya dan suami tidak pernah jemu dengan Route 66, maka perjalanan awal pagi yang bermula dari Las Vegas kami singgah sebentar di Holbrook sebelum mengakhiri perjalanan pada hari tersebut di Farmington, New Mexico.

Saya dan suami tiba di Wigwam Motel pada waktu petang. Ini adalah pemandangan sekitar kawasan yang saya rakamkan gambarnya dari seberang jalan di tempat kami meletak kereta.

Gambar kiri : Pejabat untuk tetamu daftar masuk.

Gambar kanan : Salah sebuah tipi di Wigwam Motel.


Gambar atas : Terdapat beberapa kereta lama yang sengaja dipamerkan dan diletakkan di dalam kawasan Wigwam Motel.

Gambar bawah : Pada tahun 2002, Wigwam Motel telah disenaraikan sebagai lokasi bersejarah oleh kerajaan negeri.

Kereta-kereta lama yang dapat menaikkan mood pengunjung seperti berada di era tahun 1950an.

Kereta-kereta lama yang dapat menaikkan mood pengunjung seperti berada di era tahun 1950an.


Gambar atas : Berehat sebentar di hadapan sebuah tipi.

Gambar bawah : Walaupun kereta berkarat tetapi ia tetap menarik perhatian pengunjung.

Dapat melihat dari jauh pemadangan dalam sebuah bilik kerana pintu tipi yang terbuka.

Saya berkenalan secara tidak sengaja dengan gadis dari Jepun hampir dua tahun lalu melalui Instagram. Minat dan cinta kami dengan sejarah Route 66 serta adat, budaya dan cara kehidupan masyarakat etnik asli Amerika Syarikat membuatkan kami menjalin persahabatan berterusan.

Buat pertama kali tanpa dirancang (walaupun kami sudah mengetahui yang kami akan berada di beberapa tempat yang sama di dalam tempoh beberapa hari) saya dan Lisa Kamimoto bertemu di Wigwam Motel. Sebaik sahaja melangkah masuk di kawasan motel saya sudah dapat melihat sekumpulan gadis Jepun dan saya pasti Lisa berada sama di dalam kumpulan tersebut. Beberapa minit setelah mencari kelibat gadis yang saya kenali akhirnya saya menegur Lisa.

Gambar kiri : Pertemuan pertama kali saya dengan Lisa.

Gambar kanan : Lisa memperkenalkan beberapa sahabat beliau kepada saya.


Bergambar bersama Lisa dan sahabat beliau. Pada hari tersebut mereka berlima bermalam di Wigwam Motel.

Dua gambar terakhir di Wigwam Motel pada lewat petang sebelum saya dan suami meneruskan perjalanan ke destinasi seterusnya.

Walaupun persinggahan kami di Wigwam Motel agak singkat tetapi ia merupakan satu pengalaman yang tidak akan saya lupakan apatah lagi dapat berjumpa dengan sahabat saya.

Jika anda mempunyai sebarang pertanyaan, sila nyatakan di dalam ruangan komen dan tinggalkan alamat e-mel untuk saya membalasnya kelak. Anda juga boleh ikuti perkembangan terbaru saya melalui akaun Instagram, blog_th2010.



Tuesday 15 September 2015

Sea Life Melbourne Aquarium

Assalamualaikum w.h.t dan Salam Sejahtera

Entri kali ini saya sekadar mahu berkongsi dengan para pembaca koleksi gambar lama yang belum pernah saya siarkan di dalam laman blog ini. Kunjungan saya ke Melbourne Aquarium (nama lama) yang kini telah bertukar nama kepada Sea Life Melbourne Aquarium adalah pada Januari 2011.












Secara kebetulan semasa lawatan saya ke sini bertepatan dengan pameran satu bulan anak ikan jerung yang jenisnya dipanggil Hammerheads.

Gambar bawah : Contoh sekeping cermin akuarium. Tebalnya ialah lebih kurang 10.5 inci dengan keberatan
200 kilogram.






Untuk mendapatkan maklumat lanjut anda boleh ke www.melbourneaquarium.com.au

Jika anda mempunyai sebarang pertanyaan, sila nyatakan di dalam ruangan komen dan tinggalkan alamat e-mel untuk saya membalasnya kelak. Anda juga boleh ikuti perkembangan terbaru saya melalui akaun Instagram, blog_th2010.

Monday 7 September 2015

Tanggungjawab Keselamatan Di Dalam Penerbangan

Assalamualaikum w.h.t dan Salam Sejahtera


Saya terpanggil untuk berkongsi dengan anda tentang topik ini setelah saya terlihat dengan tidak sengaja beberapa gambar di dalam Instagram di mana juruterbang dan pramugara yang melanggar etika semasa sedang bertugas. Kejadian (gambar tersebut) sudah agak lama juga terjadi cuma baharu sekarang saya rasakan untuk meluahkan rasa ketidaksenangan hati. Mungkin terdapat banyak syarikat penerbangan lain yang mempunyai anak-anak kapal yang lalai dalam menjalankan tanggungjawab menjaga keselamatan di dalam penerbangan tetapi saya apa yang ingin saya dedahkan di sini adalah berdasarkan apa yang saya lihat sendiri.

Keutamaan pramugara/pramugari sebaik sahaja memasuki kapal terbang ialah memeriksa peralatan keselamatan seperti contoh memastikan tempat duduk (crew seat/jump seat) berfungsi dengan baik, memeriksa botol oksigen, alat pemadam api, alat pengesan kebakaran di dalam tandas, jaket keselamatan tambahan dan beberapa barangan keselamatan yang lain. Selepas selesai menjalankan pemeriksaan tersebut, baharulah pramugara/pramugari meneruskan tugas dengan urusan di dapur. Bagi juruterbang pula, mereka turut melakukan pemeriksaan keselamatan di dalam kokpit.

Apabila penumpang masuk ke dalam pesawat, tanggungjawab anak-anak kapal terhadap penumpang adalah lebih kepada keselamatan. Pramugara/pramugari akan memberikan taklimat keselamatan secara persendirian kepada penumpang kurang upaya, penumpang yang membawa anak kecil dan penumpang bawah umur.

Setelah pintu pesawat ditutup dan apabila pesawat sudah mula mengundur, juruterbang di dalam kokpit dilarang dari diganggu kecuali jika ia berkaitan dengan keselamatan atau ingin melaporkan kabin pesawat sudah bersedia untuk berlepas. Pramugara/pramugari juga sibuk memeriksa penumpang supaya mereka duduk dan mematuhi segala peraturan keselamatan.


Gambar dirakamkan di Lapangan Terbang Sydney dan semasa pesawat yang saya naiki sedang berbaris di landasan untuk berlepas serta turut diikuti oleh dua buah lagi kapal terbang. Pramugara/pramugari perlu memeriksa penumpang dan kabin supaya supaya ia selamat untuk berlepas dan sebaik sahaja duduk di crew seat/ jump seat, mereka perlu menjalankan silent review.

Semasa pramugara/pramugari duduk di kerusi masing-masing (crew seat/jump seat) dan sebelum pesawat berlepas mereka seharusnya melakukan silent review. Ingin saya maklumkan di sini bahawa kejadian kecemasan dan kemalangan kerap terjadi semasa pesawat berlepas dan mendarat. Justeru silent review adalah sangat penting untuk mereka. Silent review membawa maksud pramugara/pramugari bersedia dari segi mental dalam menghadapi pendaratan kecemasan. Mereka perlu mengingati arahan yang perlu disampaikan kepada penumpang sekiranya perlu keluar dari pesawat. Bagaimana untuk membuka pintu pesawat, bila perlu mengarahkan penumpang memakai jaket keselamatan, mengingati peralatan kecemasan yang perlu dibawa keluar dari pesawat. 
Sudah enam tahun saya meninggalkan kerjaya saya sebagai pramugari tetapi sehingga ke hari ini saya masih ingat bagaimana ingin menyampaikan arahan kecemasan kepada penumpang. Antara beberapa patah perkataan ialah seperti di bawah ini.



"EMERGENCY!" "Head Down" "Grab Ankle" "Remain Seated".
"KECEMASAN!" "Tunduk", "Pegang Kaki" "Duduk"

Perkataan-perkataan lain yang terkadung di dalam arahan ialah;
“BRACE, BRACE, BRACE,”, 
 “Remain Seated”,  “Unfasten Seat Belts,” “Leave Everything,” “Come this Way,” “Step Through,” “Jump and Slide".




Apabila anda melihat pramugara/pramugari duduk di sini (crew seat/jumpt seat) semasa berlepas dan mendarat, fikiran mereka tidak kosong sebaliknya mereka perlu melakukan silent review. Mereka juga bertanggungjawab menjaga alatan keselamatan yang terdapat berhampiran tempat duduk masing-masing serta pintu yang bersebelahan dengan mereka.

Gambar ini dirakamkan di dalam pesawat Qantas A380 di tingkat atas (upper deck).

Berbalik kepada perenggan pertama yang saya nyatakan sebentar tadi, saya amat kesal dan malu apabila melihat gambar seorang pramugara (Malaysia Airlines) yang duduk di jump seat dan masih "ada masa" mengambil gambar barisan kapal terbang di atas landasan sebelum berlepas. Tanpa segan silu gambar dimuat naik di dalam Instagram.

Kejadian kedua, kali ini suami saya pula ternampak satu gambar di Instagram di mana seorang juruterbang (Malaysia Airlines) yang melakukan selfie di dalam kokpit sebelum memulakan penerbangan awal pagi dan dengan gembira serta bangga beliau menyatakan di akaun Instagram yang beliau tidak tidur semalaman sebelum kembali bertugas pada pagi itu. Tidur yang cukup adalah satu keperluan penting bagi anak-anak kapal malah ia merupakan salah satu polisi syarikat penerbangan. Sikap juruterbang ini adalah amat tidak bertanggunjawab dan membahayakan nyawa sendiri serta nyawa penumpang.

Kejadian ketiga ialah saya pernah ternampak seorang juruterbang (Air Asia) yang merakamkan video semasa pesawat beliau berbaris di atas landasan sebelum berlepas dan beliau muat naik video itu di dalam Instagram.



Satu-satunya syarikat penerbangan dari Asia yang saya kagumi dalam menjaga displin kakitangan ialah Singapore Airlines. Cukup sukar untuk melihat anak-anak kapal mereka berkongsi gambar secara terbuka di laman sosial. Jika ada sekalipun, gambar tersebut dirakam dan dimuat naik oleh para penumpang. Mereka sedar yang undang-undang dan tindakan displin adalah sangat ketat dan berat.

Satu lagi syarikat penerbangan yang mempunyai undang-undang ketat terhadap displin anak-anak kapal ialah Qantas. Oleh kerana suami saya pernah berkhidmat dengan Qantas maka beliau tahu bagaimana displinnya rakan sekerja beliau. Saya yang juga sebagai penumpang kerap Qantas dapat melihat ketegasan pramugara/pramugari ketika bertugas.


Suami saya pernah menegaskan jika juruterbang dan pramugara yang bersikap seperti ini bertugas di dalam penerbangan yang sama, beliau tidak teragak-agak untuk menghantar mereka ke tindakan displin. Malah beliau pernah melakukannya sebelum ini. Adakah anda sanggup dan berani untuk terbang dengan juruterbang dan pramugara seperti yang saya ceritakan di atas? Tepuk dada, tanya selera. 

Sekiranya pada masa akan datang anda rasa sesuatu yang mencurigakan (tentang keselamatan) berlaku di dalam pesawat anda berhak untuk menyoal pramugara/pramugari tersebut. Jika di negara barat, sudah beberapa kali penumpang menegur dan dapat menangkap pramugara/pramugari yang melanggar undang-undang keselamatan semasa mereka sedang bertugas. Kesedaran seperti ini harus diamalkan bagi penumpang di negara Asia juga. Asalkan anda tahu hak anda sebagai penumpang, anda tidak perlu takut untuk bertanya dan bersuara. Kepada pramugara/pramugari yang membaca artikel ini, saya berharap anda dapat menjalankan tanggungjawab dengan baik dan ikhlas serta saling ingat mengingati antara rakan sekerja supaya tidak melakukan perkara yang dilarang. 




Sekadar gambar hiasan. Ia dirakamkan di dalam pesawat Qantas A330.

Saya boleh "menutup sebelah mata" tentang gambar yang saya nampak di dalam Instagram tersebut 

kerana saya tidak lagi tinggal di Malaysia sejak tahun 2009 dan bukan lagi penumpang bagi Malaysia Airlines serta Air Asia. Tetapi demi keluarga serta sahabat handai yang masih menggunakan syarikat-syarikat penerbangan ini, saya bersuara. Ingin saya tekankan di sini bahawa saya bukan mengkritik membuta tuli. Saya tidak akan sesekali melupakan Malaysia Airlines yang juga bekas majikan saya. Yang salah, tetap salah. Yang salah juga perlu ditegur dan diperbetulkan. Saya berharap apa yang dikongsikan di sini dijadikan iktibar dan teladan.

Jika anda mempunyai sebarang pertanyaan, sila nyatakan di dalam ruangan komen dan tinggalkan alamat e-mel untuk saya membalasnya kelak. Anda juga boleh ikuti perkembangan terbaru saya melalui akaun Instagram, blog_th2010.

Sunday 6 September 2015

Ulangtahun Los Angeles Yang Ke-234

Assalamualaikum w.h.t dan Salam Sejahtera

Beberapa hri lepas Los Angeles menyambut hari ulangtahun yang ke-234. Ia diasaskan oleh gabenor Felipe de Neve pada 4 September 1781. Los Angeles merupakan bandar nombor dua terbesar di Amerika Syarikat selepas New York.


Gambar pemandangan Los Angeles ini saya rakamkan dari Griffith Observatory. 

Papan tanda terkenal dunia iaitu Hollywood yang jelas kelihatan dari Griffith Observatory.

Papan tanda yang menjadi mercu tanda serta ikon bagi Los Angeles.

Pernah saya ceritakan sebelum ini bahawa semasa berada di dalam kereta, kamera tidak pernah berpisah dari tangan saya. Pelbagai gambar-gambar kandid dan spontan yang gemar saya rakamkan. Begitu juga dengan gambar di atas, saya sempat rakamkan papan tanda yang menunjukkan populasi penduduk di Los Angeles.

Jika anda mempunyai sebarang pertanyaan, sila nyatakan di dalam ruangan komen dan tinggalkan alamat e-mel untuk saya membalasnya kelak. Anda juga boleh ikuti perkembangan terbaru saya melalui akaun Instagram, blog_th2010.


Tuesday 1 September 2015

Hahndorf - Pekan Jerman Di Australia Selatan (Bahagian 1)

Assalamualaikum w.h.t dan Salam Sejahtera

Hahndorf adalah sebuah pekan kecil yang terletak kira-kira 26 kilometer dari bandar Adelaide iaitu ibu negeri Australia Selatan. Keistimewaan Hahndorf yang menarik tarikan pelancong ialah ia mirip kepada sebuah perkampungan di Jerman. Mengikut sejarah, kewujudan Hahndorf adalah kerana penghijrahan pendatang asing Jerman ke Australia Selatan pada tahun 1839 sekaligus di Hahndorf mereka membuat penempatan.

Entri mengenai Hahndorf akan saya kongsikan sebanyak tiga bahagian dan ianya merupakan koleksi gambar-gambar baru dan lama serta dari pelbagai musim. Untuk bahagian 1 anda dapat mengikuti perjalanan pemanduan yang bermula dari Adelaide dan berakhir di Hahndorf. Ia dirakamkan pada musim bunga (Spring) tahun 2010.


Perjalanan yang bermula dari Adelaide.

Hampir memasuki pekan Hahndorf.


Gambar atas : Kedai menjual cenderamata.

Gambar bawah : Kedai menjual daging.

Saya masih ingat lagi semasa saya bekerja sebagai pramugari di Malaysia Airlines, jem serta madu jenama Beerenberg dihidangkan untuk penerbangan di kelas perniagaan.  Saya begitu teruja apabila masuk ke kedai menjual jem jenama Beerenberg dan sungguh tidak menyangka akhirnya dapat menjejakkan kaki ke tempat asal jenama Beerenberg. Ladangnya terletak berhampiran dengan pekan ini. 






Pelbagai papan tanda yang begitu menarik perhatian.

Rasa begitu tenang dan mendamaikan apabila dapat bersiar-siar di waktu pagi dengan cuaca yang sejuk.

Pengurus restoran dengan peramah dan baik hati membenarkan kami masuk ke dalam restoran untuk mengambil gambar walaupun kami tidak mempunyai sebarang perancangan untuk menikmati hidangan di situ.






Saya tidak melepaskan peluang mengambil gambar hampir ke semua kedai-kedai (luar kedai) di pekan ini. Hiasan luaran dan senibina bangunan begitu kreatif dan cantik sekali. 





Hampir satu jam setengah saya dan suami menghabiskan waktu bersiar-siar di sekitar pekan Hahndorf.

Terima kasih kerana sudi singgah di blog saya dan jangan lupa untuk nantikan dua bahagian seterusnya yang bakal saya siarkan tidak lama lagi.

Jika anda mempunyai sebarang pertanyaan, sila nyatakan di dalam ruangan komen dan tinggalkan alamat e-mel untuk saya membalasnya kelak. Anda juga boleh ikuti perkembangan terbaru saya melalui akaun Instagram, blog_th2010.