Sunday 25 October 2015

Pigeon Point Lighthouse, California

Assalamualaikum w.h.t dan Salam Sejahtera

Pigeon Point Light Station atau Pigeon Point Lighthouse merupakan rumah api yang dibina pada tahun 1871. Ia terletak di tebing pantai di Pescadero di Lebuhraya Pantai Barat California
(California Highway 1)
Jarak Pigeon Point Lighthouse dengan San Francisco ialah lebih kurang 81 kilometer.

Bagi saya dan suami, pemanduan kami bermula dari Half Moon Bay iaitu selepas kami menikmati sarapan lewat pagi di sana. Entri mengenai Half Moon Bay boleh anda baca di sini;
http://www.sharery.blogspot.com.au/2015/10/half-moon-bay-california.html

Walaupun cuaca pada hari itu adalah berkabus, mendung, berangin dan sejuk tetapi Pigeon Lighthouse tetap berjaya menarik tumpuan ribuan pelancong. Oleh kerana terlalu ramai pengunjung, suami saya tidak dapat mencari tempat meletak kenderaan yang strategik, maka saya ditemani oleh seorang sahabat bergegas turun dan hanya singgah sebentar sahaja untuk mengambil gambar di sekitar kawasan rumah api ini.


Dengan ketinggian 115 kaki, Pigeon Lighthouse merupakan rumah api yang tertinggi di bahagian pantai barat Amerika Syarikat.

Di perkarangan pintu masuk.

Terdapat tandas awam berdekatan dengan perkarangan pintu masuk tetapi saya tidak menggalakkan anda untuk singgah kerana semasa saya sedang mengambil gambar ini, dari jauh lagi bau busuk tandas sudah menusuk ke hidung.

Rumah api ini masih lagi digunakan oleh Pengawal Pantai Amerika Syarikat (U.S Coast Guard).


Asrama penginapan untuk pelancong juga turut terdapat di Pigeon Point Lighthouse.




Mengambil satu gambar kenangan berlatar belakangkan rumah api terkenal di California.

Pantai lautan Pasifik.

Pigeon Point Lighthouse dibuka setiap hari bermula dari jam 8:00 pagi sehingga matahari terbenam.








Gambar atas : Tabung derma.

Gambar bawah : Kedai menjual cenderamata.




Gambar atas : Pigeon Point Lighthouse Hotel.

Gambar bawah : Pengunjung boleh berkelah di sekitar kawasan rumah api.

Pemanduan dari Pigeon Point Lighthouse menuju ke San Francisco.


Jika anda mempunyai sebarang pertanyaan, sila nyatakan di dalam ruangan komen dan tinggalkan alamat e-mel untuk saya membalasnya kelak. Anda juga boleh ikuti perkembangan terbaharu saya melalui akaun Instagram, blog_th2010.

Wednesday 21 October 2015

Las Vegas Pada Waktu Malam (Bahagian 2)

Assalamualaikum w.h.t dan Salam Sejahtera

Entri ini adalah bersambung dari bahagian 1. Jika ada yang ketinggalan sila klik link di bawah untuk membacanya;
http://www.sharery.blogspot.com.au/2015/10/las-vegas-pada-waktu-malam-bahagian-1.html?m=1



Ketiga-tiga buah video ini saya rakamkan di sepanjang Las Vegas Strip. Kemeriahan dapat dirasai apatah lagi pada malam hujung minggu.









Di Las Vegas Strip.

Pusat membeli belah yang diberi nama The Shops At Crystals. Ia terletak bersebelahan dengan hotel Aria.

The Shops At Crystals menempatkan butik-butik berjenama terkenal dan mewah.

Ruang legar di The Shops At Crystals diwarnai dengan pelbagai hiasan yang berwarna warni.

Kedai kopi Starbucks turut terdapat di sini.

The Shops At Crystals.

The Shops At Crystals.

Dekorasi dalaman hotel Bellagio.

Dekorasi bumbung di bahagian lobi hotel Bellagio.

New York- New York Hotel & Casino.


Saya berharap anda terhibur dan mendapat gambaran yang jelas tentang Las Vegas.
Jika anda mempunyai sebarang pertanyaan, sila nyatakan di dalam ruangan komen dan tinggalkan alamat e-mel untuk saya membalasnya kelak. Anda juga boleh ikuti perkembangan terbaharu saya melalui akaun Instagram, blog_th2010.

Sunday 18 October 2015

Las Vegas Pada Waktu Malam (Bahagian 1)

Assalamualaikum w.h.t dan Salam Sejahtera

Entri kali ini saya himpunkan gambar-gambar dan video pemandangan Las Vegas pada waktu malam yang sebelum ini jarang sekali saya kongsikan bersama pembaca kerana saya lebih fokuskan pada sebelah siang.

Beginilah kesesakan lalu lintas di Las Vegas Strip pada malam hari Sabtu. Las Vegas Strip merupakan salah satu tumpuan utama pelancong yang datang ke Las Vegas. Sepanjang jalan di Las Vegas Strip dipadatkan dengan hotel, kasino, pusat membeli belah, pusat hiburan dan restoran.

Antara hotel yang terdapat di Las Vegas Strip.

Gambar atas : Pemandangan selepas hujan yang saya rakamkan dari tempat meletak kenderaan di salah sebuah hotel.

Gambar bawah : Keindahan hotel Bellagio.

Gambar atas : Bangunan berwarna biru di sebelah kanan gambar ialah hotel The Cosmopolitan manakala di sebelah kanan gambar pula ialah hotel Bellagio.

Gambar bawah : Hotel terkenal Caesars Palace terletak di sebelah kanan dengan hotel Bellagio. Mungkin ada di antara anda yang sedia maklum bahawa di hotel Caesars Palace diva Anita Sarawak pernah mengadakan persembahan.


Air Pancut Berirama Di Bellagio.
Hotel Bellagio begitu terkenal kerana menganjur dan mempersembahkan air pancut berirama kepada pengunjung yang bukan sahaja tetamu hotel tetapi sesiapa sahaja yang berada di situ. Sudah beberapa kali saya menyaksikan persembahan air pancut di Bellagio tetapi semasa kunjungan saya ke Las Vegas beberapa bulan lalu buat pertama kalinya saya rakamkan gambar dan video pada waktu malam khusus untuk disiarkan di sini dan berkongsi bersama anda para pembaca sekalian.
Persembahan adalah percuma. Waktu persembahan adalah berbeza mengikut hari. Untuk maklumat penuh anda boleh rujuk di laman sesawang ini;
https://www.bellagio.com/attractions/fountains-of-bellagio.aspx










Saksikan persembahan air pancut berirama yang saya rakamkan selama 22 saat.




Las Vegas Strip tidak pernah sunyi sepanjang hari tidak kira siang atau malam.

Gambar atas : Restoran motosikal terkenal Harley Davidson.

Gambar bawah : Sekali lagi saya rakamkan pemandangan Las Vegas Strip dari tempat meletak kenderaan. Buaian pusing itu diberi nama High Roller.

Nantikan bahagian kedua yang bakal saya siarkan tidak lama lagi.

Jika anda mempunyai sebarang pertanyaan, sila nyatakan di dalam ruangan komen dan tinggalkan alamat e-mel untuk saya membalasnya kelak. Anda juga boleh ikuti perkembangan terbaharu saya melalui akaun Instagram, blog_th2010.


Friday 9 October 2015

Half Moon Bay, California

Assalamualaikum w.h.t dan Salam Sejahtera

Half Moon Bay adalah bandar di perairan pantai yang jaraknya dengan San Francisco lebih kurang 47 kilometer. Keindahan Half Moon Bay serta persekitarannya tidak boleh disangkal lagi kerana ia terletak di Lautan Pasifik.

Pelbagai aktiviti riadah yang boleh dilakukan di Half Moon Bay dan semestinya ia menarik lebih ramai pengunjung tidak kira penduduk tempatan mahupun pelancong yang mahu 'lari' dari kesibukan bandar besar contohnya San Francisco.

Tiba di Pillar Point Harbor.

Gambar atas : Barisan restoran yang terletak berhadapan dengan jeti.

Gambar bawah : Singgah di restoran Ketch Joanne untuk sarapan lewat pagi.

Gambar kiri : Menunggu giliran untuk mendapatkan meja kosong.

Gambar kanan : Restoran ini sudah menjalankan perniagaan selama 40 tahun.

Gambar kiri : Kami mendapat meja besar yang berhadapan dengan pintu masuk. Jika anda lihat di bahagian bumbung, terdapat beberapa pendayung sampan yang dibuat sebagai hiasan dalaman restoran.

Gambar kanan : Pilihan saya pada pagi itu ialah roti sandwic berintikan keju dan isi ketam dan udang. Jika dilihat  melalui gambar ini mungkin ada beranggapan roti ini kecil tetapi sebenarnya ia amat besar dan cukup mengenyangkan. Bagi minuman pula saya memesan lemon ais.

Pemandangan panorama Pillat Point Harbor yang terletak berhadapan dengan barisan restoran.

Gambar atas : Terdapat begitu banyak bot dan perahu layar.

Gambar bawah : Hujung minggu bersama suami bertambah meriah apabila kami ditemani oleh sahabat yang menetap di San Francisco.




Kami singgah sebentar di sebuah pusat membeli belah yang diberi nama The Shoppes At Harbor Village yang terletak bersebelahan dengan restoran tadi. Jika memandu ia hanya mengambil masa dalam satu minit sahaja.

Produk gula-gula dan manisan terkenal di Half Moon Bay iaitu Salt Water Taffy Co.

Kunjungan saya ke sini adalah singkat tetapi cukup berpuas hati kerana dapat singgah di salah satu tempat tarikan pelancong yang terkenal iaitu Pillar Point Harbor serta menikmati makan lewat pagi yang menghidangkan makanan laut.

Jika anda mempunyai sebarang pertanyaan, sila nyatakan di dalam ruangan komen dan tinggalkan alamat e-mel untuk saya membalasnya kelak. Anda juga boleh ikuti perkembangan terbaharu saya melalui akaun Instagram, blog_th2010.



Friday 2 October 2015

Monument Valley - Lembah Berbatu Terkenal Dunia

Assalamualaikum w.h.t dan Salam Sejahtera

Monument Valley terletak di daerah Colorado Plateau berhampiran sempadan dua buah negeri iaitu Utah dan Arizona. Monument Valley dalam bahasa etnik asli Amerika Syarikat puak Navajo (disebut Navaho) dipanggil Tsé Biiʼ Ndzisgaii yang memberi maksud lembah berbatu. Pembentukan batuan semulajadi sejak ratusan juta tahun dahulu telah membabitkan hakisan tanah dan angin lalu membentuk kelompok-kelompok batu yang digelar Buttes. Ada kelompok batu di Monument Valley yang mencecah setinggi 1000 kaki (300 meter).

Sebenarnya sudah lama saya dan suami berkeinginan untuk melawat ke Monument Valley tetapi perancangan kami sentiasa tertangguh walaupun kami sudah kerap menggunakan separuh laluan untuk ke Monument Valley. Hanya beberapa bulan lepas baharu impian kami menjadi kenyataan.

Entri ini merupakan antara yang paling lama untuk saya siapkan. Semasa lawatan ini saya menggunakan tiga jenis kamera yang berbeza dan gambar yang saya rakamkan lebih dari satu ribu. Pemilihan gambar adalah proses yang biasanya mengambil masa bagi saya untuk diselesaikan. Jika diikutkan hati terlalu banyak untuk saya kongsikan di sini tetapi malangnya saya perlu memilih beberapa sahaja.

Banyak filem Hollywood pernah menjalankan pengambaran di Monument Valley antara yang terkenal ialah Back To The Future 3 lakonan Michael J Fox (1991), Forrest Gump lakonan Tom Hanks (1994) dan The Lone Ranger lakonan Johnny Depp (2003).
Untuk senarai pendek anda boleh rujuk di laman ini ;
http://indiancountrytodaymedianetwork.com/2013/09/28/12-movies-shot-monument-valley-navajo-nation-151484

 Akhirnya saya dapat menjejakkan kaki dan melihat dengan lebih dekat Monument Valley yang juga merupakan ikon lanskap terkenal dunia dan menjadi perhatian jurugambar profesional.

Filem Forrest Gump yang ditayangkan di panggung pada tahun 1994 telah menjalankan pengambaran di Monument Valley.

Aksi gembira saya apabila dapat berdiri di sini.

Sudah menjadi kebiasaan bagi saya untuk bergambar sambil duduk di tengah-tengah jalan raya sunyi dan popular lagi bersejarah seperti di Monument Valley dan tidak ketinggalan saya turut membawa dua patung teman kembara saya sejak dari tahun 2010.

Gambar panorama di Monument Valley.

Melalui video ini anda dapat melihat pemandangan yang sama seperti gambar panorama di atas. Angin juga turut bertiup kuat pada waktu itu.





Gambar atas : Terdapat beberapa buah gerai yang menjual cenderamata. Para penjual terdiri daripada penduduk etnik asli tempatan (American Indians).

Gambar bawah : Pemandangan ini saya rakamkan semasa berdiri bersebelahan dengan gerai menjual cenderamata.

Gambar atas : Walaupun nampak seperti tanah rata tetapi lembah ini sebenarnya terletak di tanah tinggi. Aras ketinggian ialah antara 5000 dan 6000 kaki dari paras laut.

Gambar bawah : Jika beberapa gambar di atas Monument Valley dilihat dari arah hadapan (menghala ke selatan), gambar ini pula dirakamkan dari arah belakang (menghala ke utara).

Monument Valley yang dilihat ke arah utara.


Walaupun gambar panorama ini bersaiz kecil tetapi saya berharap anda dapat melihat pemandangan dengan lebih luas. Video yang saya rakamkan di lokasi yang sama saya muat naik di bawah gambar ini. 





Di dalam perjalanan menuju ke Monument Valley Navajo Tribal Park.

Gambar atas : Bergambar di hadapan tanda selamat datang ke Monument Valley Navajo Tribal Park.


Gambar bawah : Seperti yang saya jelaskan di atas tadi, di Monument Valley terdapat banyak kelompok batu (buttes) dan salah satu yang terkenal ialah Mitchell Butte.

Monument Valley Navajo Tribal Park seakan sama juga seperti Taman Negara cuma perbezaannya ia ditadbir dan diuruskan oleh pentadbiran Navajo Nation kerana tanah dan daerah yang Monument Valley berdiri ini adalah milik Navajo Nation. Bayaran masuk dikenakan dan pengunjung boleh mengikuti lawatan berkereta bersama juru pandu sambil menyaksikan begitu banyak kelompok batu (buttes) dengan lebih dengan lagi. Selain itu terdapat juga pusat pelancongan, restoran dan kedai cenderamata. Saya ulang sekali lagi seperti di dalam perenggan pertama, Navajo merupakan salah satu puak terbesar dari etnik asli Amerika Syarikat (American Indians). Navajo dipanggil Na-va-ho.

Saya dan suami tidak berminat untuk masuk ke Monument Valley Navajo Tribal Park kerana impian sudah terlaksa apabila dapat mengambil gambar di tengah-tengah jalan raya yang pemandangan latar belakangnya sudak cukup terkenal di dunia. Jika ada kelapangan waktu di lain masa mungkin kami akan bermalam di sini (terdapat beberapa tempat penginapan di sekitar Monument Valley) dan berpeluang menyaksikan keindahan matahari naik dan tenggelam yang biasa saya lihat sebelum ini melalui gambar-gambar yang disiarkan di laman internet.

Cop Mohor Navajo Nation. Navajo Nation merupakan wilayah yang ditadbir oleh etnik asli Amerika Syarikat puak Navajo (American Indians).

Sempadan negeri Utah dan Arizona.


Terima kasih kerana sudi membaca, melihat gambar serta menonton video yang saya kongsikan. Saya berharap semoga anda terhibur.

Jika anda mempunyai sebarang pertanyaan, sila nyatakan di dalam ruangan komen dan tinggalkan alamat e-mel untuk saya membalasnya kelak. Anda juga boleh ikuti perkembangan terbaharu saya melalui akaun Instagram, blog_th2010.