Wednesday 30 November 2016

Selamat Tinggal McDonald's Tertua Di Perak

Assalamualaikum w.h.t dan Salam Sejahtera

Hari ini, iaitu bersamaan dengan 30 November 2016 ialah hari terakhir beroperasinya restoran makanan segera McDonald's cawangan Pekan Baru Ipoh, Perak (Jalan Mustapha Al-Bakry).

Apakah keistimewaan restoran ini sehinggakan saya menyiarkan sebuah entri untuknya?
Restoran McDonald's Pekan Baru merupakan cawangan pertama dan tertua di negeri Perak yang dibuka pada lewat tahun 1980an. Saya akui rasa sedih apabila mendengar berita tentang bakal penutupannya lebih kurang 2 bulan lalu sebelum saya bercuti ke Malaysia dan ketika itu memang tidak mempunyai perancangan langsung untuk bercuti ke sana.

Pada 13 November lalu, saya mengambil kesempatan untuk singgah mengambil gambar kenangan di restoran McDonald's tertua di Perak yang juga membawa nostlagia bagi diri saya serta penduduk di Ipoh.


Cawangan McDonald's pertama dan tertua di negeri Perak.


Restoran McDonald's yang beroperasi dengan menggunakan salah sebuah bangunan kolonial di Ipoh. Seni binanya tetap utuh sehingga ke hari ini.


Tiada perubahan yang dilihat di dalam restoran. Reka bentuknya tetap sama cuma semasa kecil saya melihat restoran ini sangat luas dan besar tetapi hari ini saya melihatnya seakan 'kecil'.











Notis penutupan restoran dilekatkan di hadapan pintu masuk. 


Membuat lawatan terakhir ke restoran McDonald's bersama anak saudara saya.

Saya masih ingat ketika berumur 8 atau 9 tahun, kakak membawa saya menikmati hidangan di restoran McDonald's Pekan Baru dan saya cukup teruja bermain di dalam gelanggang permainan yang dipenuhi dengan bola-bola kecil. Pada zaman remaja, restoran ini juga merupakan lokasi terbaik untuk saya membuat temu janji bersama rakan-rakan malah tempat pilihan bagi mengadakan jamuan persekolahan akhir tahun (tingkatan tiga).


Selamat Tinggal McDonald's Pekan Baru Ipoh.

Terima kasih McDonald's Malaysia kerana telah menyajikan hidangan di cawangan pertama Perak selama 30 tahun. Kenangan manis saya membesar di Ipoh dan melihat kejayaan McDonald's cawangan Pekan Baru Ipoh tidak akan saya lupakan sampai bila-bila.

Jika anda mempunyai sebarang pertanyaan tentang melancong, sila nyatakan di dalam ruangan komen dan tinggalkan alamat e-mel untuk saya membalasnya kelak. Anda juga boleh ikuti perkembangan terkini saya melalui akaun Instagram, blog_th2010



Saturday 26 November 2016

Sambutan Hari Ulangtahun 26 November

Assalamualaikum w.h.t dan Salam Sejahtera

Terlebih dahulu izinkan saya memanjat kesyukuran kepada Allah s.w.t kerana masih diberi peluang untuk bernafas dan meneruskan lagi kehidupan pada hari ini, 26 November iaitu hari ulang tahun saya yang ke- 35.

Majlis hari ulang tahun saya diadakan dua minggu lebih awal sementelah saya berada di Malaysia tempoh hari (12 November). Sambutan awal ini juga diraikan bersama anak-anak saudara serta kakak saya yang hari lahir mereka jatuh pada bulan November serta Disember.

Mengimbau kenangan semasa saya pernah tinggal di Malaysia pada waktu dahulu, memang menjadi kebiasaan saya dan keluarga mengadakan majlis doa selamat sebelum upacara memotong kek dan membuka hadiah. Selepas berhijrah, sambutan hari ulang tahun saya cukup sederhana kerana disambut bersama suami sahaja.  Tahun ini saya merasai semula suasana meriah majlis setelah lebih 8 tahun saya tidak merasainya.

Bagi saya, meriah yang dimaksudkan bukanlah majlis besar-besaran tetapi cukup sambutan bersama ahli keluarga saya yang ramai.
















































Gambar kenangan bersama hanya separuh sahaja ahli keluarga saya.



















Dua biji kek saya tempah dari Puan Zanariah. Bagi mereka yang tinggal di Ipoh dan berminat untuk menempah kek, sila hubungi beliau melalui akaun Instagram 'bubuzanacrochetcraft'.

Terima kasih sekali lagi saya ucapkan kepada ahli keluarga yang turut sama-sama memeriahkan majlis dan tidak lupa juga kepada semua yang telah memberi hadiah serta menghantarkan ucapan. Semoga kehidupan kita sentiasa diberkati oleh Allah s.w.t. InsyaAllah.





Wednesday 23 November 2016

Everett, Washington, Amerika Syarikat.

Asslamualaikum w.h.t dan Salam Sejahtera

Artikel ini bersambung dari entri sebelumnya;
http://sharery.blogspot.com.au/2016/11/pemanduan-dari-ellensburg-ke-everett_18.html

Everett ialah bandar terbesar di daerah Snohomish, Washington yang jaraknya lebih kurang 40 kilometer dari utara Seattle. Everett terkenal dan menjadi tumpuan dunia kerana di sini ditempatkan pusat pemasangan kapal terbang Boeing. Bangunan Boeing di Everett merupakan yang terbesar di dunia (dikira mengikut saiz bangunan). Saya pernah membuat lawatan masuk ke dalam bangunan dan melihat kerja-kerja pemasangan dilakukan tetapi malangnya pelawat tidak dibenarkan mengambil gambar.

Setiap kali saya dan suami datang ke Seattle, kami pasti akan singgah ke Everett. Melihat bermacam-macam kapal terbang samada ia masih di dalam proses pemasangan atau sedang melakukan ujian penerbangan ibarat seperti terapi bagi kami berdua.

Suami saya pernah menetap di Seattle lebih dari 16 tahun yang lalu kerana menjalani latihan penerbangan. Oleh kerana itu juga Seattle dan Everett sering mengamit kenangan manis beliau setiap kali datang ke sini.



Memasuki daerah Snohomish, Washington.






Sebuah kenderaan polis yang berhenti di bahu jalan kerana menahan seorang pesalah jalan raya.




Kilang Boeing yang berlatar belakangkan gunung ganang bersalji.


Pelbagai kapal terbang dari syarikat penerbangan berbeza yang terdapat di sini. Gambar dirakamkan dari perkarangan bangunan Future of Flight Aviation Center & Boeing Tour.


Kesemua kapal terbang ini diletakkan di Lapangan Terbang Paine Field (Paine Field Snohomish County Airport).
Gambar dirakamkan dari perkarangan bangunan Future Of Flight Aviation Center & Boeing Tour.


Sebuah kapal terbang yang sedang melakukan ujian penerbangan.


Sebuah kapal terbang yang sedang melakukan ujian penerbangan.





Bangunan terbesar di dunia.




Memasuki perkarangan Lapangan Terbang Paine Field.












Dua buah kapal terbang 'jumbo' Boeing 747.




Salah satu tempat rehat suami pada waktu dahulu semasa beliau menjalani latihan penerbangan di sini.


Di sinilah pusat latihan penerbangan yang pernah suami saya hadiri selama hampir satu tahun.

Selepas meluangkan masa beberapa jam di Everett, kami akan menyambung pemanduan singkat ke Seattl. Nantikan artikel seterusnya yang akan disiarkan tidak lama lagi.

Jika anda mempunyai sebarang pertanyaan tentang melancong, sila nyatakan di dalam ruangan komen dan tinggalkan alamat e-mel untuk saya membalasnya kelak. Anda juga boleh ikuti perkembangan terkini saya melalui akaun Instagram, blog_th2010.