Wednesday 29 August 2018

Musim Sejuk/Salji Februari 2018 : Lynn Canyon Park (Bahagian 2)

Maklumat penuh mengenai Lynn Canyon Park telah saya kongsikan di bahagian 1. Alamat seperti di bawah ini;
http://sharery.blogspot.com/2018/08/musim-sejuksalji-februari-2018-lynn.html?m=1

Pemandangan Lynn Canyon apabila diselaputi salji saya anggap seperti berada di 'winter wonderland'. Ada pula kawasan yang saljinya agak kurang kemungkinan kerana pokok-pokok ratusan tahun ini agak tinggi dan tebal.

Jumlah waktu berjalan kaki dan pendakian kami ialah lebih kurang dua jam 15 minit. Walaupun sejuk tetapi aktiviti kami berjaya mengeluarkan peluh. Banyak lagi laluan mendaki yang belum sempat dijelajahi. Mungkin kami akan kembali ke sini pada musim luruh di mana musim ini juga tidak ramai pengunjung.


Pengguna laman blogspot yang ingin memuat naik video perlu mengikut had saiz yang ditetapkan. Oleh kerana video di atas bersaiz besar, maka saya terpaksa mengecilkannya sekaligus kualiti agak kurang memuaskan. Saya menggalakkan anda supaya terus menonton di saluran You Tube Shery NN yang alamatnya disertakan di sini
https://youtu.be/BUeUiQt8PEM

Instagram : blog_th2010
You Tube : Shery NN


Musim Sejuk/Salji Februari 2018 : Lynn Canyon Park (Bahagian 1)

Lynn Canyon Park ialah sebuah taman rekreasi di kaki gunung yang terletak di Lembah Lynn di Utara Vancouver. Taman ini dibuka pada tahun 1912 dengan keluasan asal 12 ekar. Kini Lynn Canyon mempunyai keluasan 617 ekar yang membolehkan para pengunjung melakukan pelbagai aktiviti terutama pada musim panas seperti berenang, mandi, berkelah dan mendaki di laluan yang telah ditetapkan sahaja. Ia dibuka kepada pengunjung sepanjang tahun.

Saya dan suami berkunjung ke Lynn Canyon pada bulan Februari yang lalu iaitu masih di dalam musim sejuk. Cuaca pada hari itu sangat baik dengan langit terang membiru walaupun suhu begitu rendah. Kami tiba agak awal iaitu pada jam 10:43 pagi kerana mahu mengelak dari bersesak dengan orang ramai walaupun kami tahu jumlah pengunjung pada musim sejuk memang kurang berbanding musim panas. Seperkara lagi, melakukan aktiviti pada musim panas juga agak merbahaya kerana musim ini beruang begitu aktif dan banyak berkeliaran.

Berhampiran dengan pintu masuk dan tempat meletak kenderaan menempatkan sebuah bangunan yang diberi nama Lynn Canyon Ecology Centre. Banyak maklumat sejarah tentang Lynn Canyon Park yang dikongsikan. Cenderahati turut dijual di sini. Terdapat beberapa papan tanda amaran keselamatan yang perlu diambil tahu. Pemilihan pakaian dan kasut juga penting sekiranya pengunjung ingin melakukan sesuatu aktiviti.

Sebelum mula berjalan kaki dan mendaki, kami singgah di jambatan gantung yang terletak di sebelah air terjun Twin Falls. Hasrat untuk menyeberangi jambatan terpaksa dibatalkan atas faktor keselamatan dan saya tidak mahu mengambil risiko. Salji yang sudah keras menjadi ais membuatkan permukaan kayu di atas jambatan menjadi licin. Ada pengunjung berjaya menyeberangi dan ramai juga yang tidak.

Berada di Lynn Canyon pada musim sejuk terasa sangat tenteram dan mendamaikan. Tidak ada orang ramai bermaksud saya begitu senang merakamkan gambar dan video tanpa gangguan bunyi. Yang hanya didengari ialah deruan air terjun dan air sungai yang mengalir. Video penuh saya muat naik di dalam artikel bahagian 2. Semasa pendakian, saya dapat melihat beberapa kawasan di mana air yang mengalir dari batu-batu besar telah beku kerana cuaca sejuk.
Artikel bahagian 2 disiarkan serentak pada hari ini. Alamat diletakkan di bawah;
http://sharery.blogspot.com/2018/08/musim-sejuksalji-februari-2018-lynn_29.html

Instagram : blog_th2010
You Tube : Shery NN