Tuesday 30 October 2018

April 2018 : Pemanduan Dari Vancouver Ke Las Vegas (Bahagian 2)

Artikel ini bersambung dari bahagian 1. Anda akan ketinggalan sekiranya tidak mengikuti perjalanan pemanduan sejak dari awal. http://sharery.blogspot.com/2018/10/april-2018-pemanduan-dari-vancouver-ke_28.html

22 April 2018
Seperti yang saya nyatakan di dalam artikel bahagian pertama, tahun lalu saya dan suami melakukan kembara dari Vancouver, Kanada ke Las Vegas pergi dan balik menaiki kereta sebanyak dua kali iaitu pada bulan Ogos dan September. Tahun ini kami kembali melakukan kembara yang sama pada bulan April dan Mei tetapi sebahagian dari laluan perjalanan kami berbeza dari tahun lalu. Pemanduan hari kedua bermula dari Boise pada jam 4:55 pagi dan suhu ialah 6 darjah Celcius. Suhu serendah ini tidak akan kekal lama kerana ia akan naik sedikit demi sedikit sehingga ke tengah hari. Jarak antara hotel di Boise dan Las Vegas ialah 1,012 kilometer (dari hotel ke hotel) menggunakan lebuh raya I-84 E, kemudian di Twin Falls menggunakan laluan US-93 S dan US-318 S. Dari segi masa pemanduan ia mengambil masa kira-kira 9 jam 30 minit (jika memandu tanpa henti) iaitu satu jam awal dari tahun lalu yang menggunakan lebuh raya I-84 E dan I-15 S.

Berbalik semula kepada kembara terkini, sebagai 'juru gambar' di sepanjang perjalanan tentunya saya begitu teruja kerana kali ini dapat merakamkan gambar dan melihat pemandangan baharu. Bermula pada awal pagi kami merentasi ladang-ladang di Idaho kemudian sebaik memasuki negeri Nevada sudah dapat dilihat beberapa pekan kecil yang turut mempunyai mempunyai kasino. Seingat saya, semasa merentasi gunung ganang, pemanduan mencapai ke tahap ketinggian 7,316 kaki di Murray Summit. Keindahan gunung yang diselaputi salji masih kelihatan dari jauh walaupun sudah musim bunga dan suhu boleh mencecah 40 darjah Celcius ke atas. Twins Falls, Wells dan Ely merupakan bandar kecil yang sesuai dan penting untuk membuat persinggahan berehat dan mengisi minyak kenderaan. Seperkara lagi, waktu pemanduan yang sentiasa indah dan mendamaikan ialah apabila melihat peralihan detik demi detik matahari naik dan terbenam di kawasan dan daerah pendalaman.

Kepada mereka yang belum pernah mengembara atau masih belum biasa dengan pemanduan di Amerika Syarikat terutamanya di laluan luar bandar dan kawasan pendalaman, saya tidak menggalakkan anda menggunakan laluan US-93 S sebaliknya gunakan lebuh raya I-55 S demi keselamatan. Sekiranya berlaku kecemasan, bantuan pertolongan agak terhad di laluan US-93 S, apatah lagi jika pengembara tidak mempunyai alat komunikasi talian tempatan. Minyak kenderaan merupakan antara faktor penting lain yang perlu diambil kira. Kebimbangan saya ialah bagi pengembara yang menyewa kenderaan kerana mereka tidak fasih dengan tangki minyak. Tidak banyak stesyen minyak apabila merentasi laluan gurun dan padang pasir di sini. Jika silap kiraan atau tidak mengkaji jarak laluan melalui peta terlebih dahulu saya pasti ia adalah satu langkah berisiko. Saya tidak ada hak menghalang andai ada juga yang berminat untuk mengikut laluan yang sama tetapi jangan memandu pada sebelah malam.

Apabila tiba di Crystal Spring Rest Area iaitu lebih kurang 1 jam 45 minit sebelum sampai di Las Vegas, pemandangan sudah biasa bagi kami kerana ia merupakan laluan sama untuk ke Rachel/Area 51 yang sudah beberapa kali kami lawati. Pemanduan di US-93 S tamat lebih kurang 30 minit terakhir dan seterusnya bersambung semula ke lebuh raya I-55 S. Jumlah masa pemanduan termasuk berhenti untuk mengisi minyak pada hari pertama ialah kira-kira 10 jam 30 minit dan hari kedua ialah 11 jam. 47 gambar dan satu video yang saya kongsikan di bawah ini dirakamkan menggunakan telefon tangan Samsung Galaxy S8+ manakala pada bahagian terakhir nanti gambar-gambar yang dimuat naik ialah menggunakan kamera Canon Dslr.
Video ini juga boleh ditonton melalui saluran You Tube Shery NN ;
https://youtu.be/I0R9u4X1cYs

Instagram : blog_th2010
You Tube : Shery NN

Monday 29 October 2018

Wyndham Garden Hotel Boise Airport, Idaho

Wyndham Garden Hotel Boise Airport, Idaho ialah hotel yang saya menginap semasa di dalam perjalanan dari Vancouver, British Columbia, Kanada ke Las Vegas.
http://sharery.blogspot.com/2018/10/april-2018-pemanduan-dari-vancouver-ke_28.html
Hotel ini begitu strategik kerana ia terletak bersebelahan dengan lebuh raya yang digunakan pada hari pertama dan kedua. Tiada sebarang masalah dari segi perkhidmatan dan serba serbi adalah sederhana serta bilik tidur pun bersih dan selesa.
Instagram : blog_th2010
You Tube : Shery NN