Monday 22 July 2019

Ulang Tahun Ke-40 Restoran Fish & Chips di Kanada

Dave's Fish and Chips ialah restoran makanan laut yang terletak di Steveston, British Columbia, Kanada yang jaraknya lebih kurang 21 kilometer dari pusat bandar Vancouver. Restoran ini tidak asing di kalangan penduduk tempatan dan menarik perhatian pelancong kerana mutu serta kualiti makanan yang dikekalkan sejak sekian lama. Saya sendiri yang merupakan salah seorang pelanggan tetap sejak tiga tahun lalu telah menikmati pelbagai hidangan makanan laut antaranya ialah Fish and Chips.

Pada tahun 2018, Dave's Fish and Chips menyambut ulang tahun yang ke-40 perniagaannya. Tentu sekali saya gembira melihat restoran ini masih berdiri teguh dan sentiasa memberikan layanan terbaik kepada pelanggan. Sebagai penduduk tempatan, saya berasa bangga dan berbesar hati kerana secara tidak langsung saya turut sama menyumbangkan bahan berita kepada Tourism Richmond (Perbadanan Pelancongan Richmond).

Gambar hidangan makanan yang saya muat naik di laman Instagram (blog_th2010) telah berjaya mencuri tumpuan Tourism Richmond. Justeru pihak penerbitan telah kongsikan gambar itu di dalam artikel istimewa sempena ulang tahun ke-40 Dave's Fish and Chips yang disiarkan pada 28 Ogos 2018 di laman sesawang Tourism Richmond. Artikel penuh boleh dibaca melalui alamat yang saya kongsikan di bawah ini.
https://www.visitrichmondbc.com/blog/post/happy-anniversary-to-local-legend-daves-fish-chips/

Tiga gambar pertama yang saya muat naik di bawah ini saya rakamkan semasa makan tengah hari di Dave's Fish and Chips pada bulan April yang lalu manakala tiga gambar terakhir berserta satu video saya rakamkan semasa menikmati makan malam dalam musim sejuk yang bersalji pada 14 Februari yang lalu.

20 April 2019
 14 Februari 2019
Video ini juga boleh ditonton melalui saluran You Tube Shery NN;
https://youtu.be/1wtMvPhVmjM

Instagram : blog_th2010
You Tube : Shery NN

Tuesday 16 July 2019

Tasik Buntzen, British Columbia, Kanada

Kawasan Rekreasi Tasik Buntzen, terletak di utara Anmore, British Columbia, Kanada. Jarak antara Tasik Buntzen dan bandar Vancouver ialah 35 kilometer. Tasik Buntzen dinamakan pada tahun 1905 sempena memberi penghormatan kepada pengurus besar pertama BC Electric Railway Co. iaitu Johannes Buntzen. Tasik ini adalah loji takungan hidroelektrik yang aktif dan pernah menjadi sumber utama elektrik di Vancouver. Hari ini, loji takungan hidroelektrik mengeluarkan kurang daripada 0.4% kuasa yang dihasilkan oleh semua kemudahan penjanaan dari BC Hydro.

Semasa tahun pertama tinggal di Vancouver, saya telah melihat banyak gambar indah Buntzen Lake yang diselaputi salji yang disiarkan di laman sosial. Sejak dari itu saya berazam untuk datang melawat ke tasik ini. Hanya beberapa bulan lalu, baharu saya berkesempatan untuk menjejakkan kaki di Tasik Buntzen. Keadaan persekitaran pada waktu pagi di Tasik Buntzen sangat mendamaikan dan sunyi kerana masih tidak ramai pelawat. Saya mengelak untuk datang pada musim panas kerana risiko untuk bertembung atau terserempak dengan beruang adalah sangat tinggi. Oleh kerana itu, saya memilih untuk datang pada musim sejuk walaupun semasa kedatangan saya itu salji di bahagian puncak gunung tidak tebal seperti gambar-gambar yang saya lihat sebelum ini di laman sosial. Tasik Buntzen menerima kedatangan pelawat yang begitu ramai pada musim panas. Sekiranya anda juga berminat untuk melawat pada musim panas, saya nasihatkan supaya datang pada awal pagi.
Sekiranya terdapat kesulitan dengan video ini, anda boleh menonton di saluran You Tube Shery NN ;

Instagram : blog_th2010
You Tube : Shery NN