Friday 29 June 2012

Denver, COLORADO (Bahagian 1)

Assalamualaikum w.h.t dan Salam Sejahtera

Kaki ini sudah sering kali melangkah keluar dan masuk ke dalam negeri Colorado dengan melawat ke banyak tempat pelancongan cuma yang kurangnya ialah saya belum pernah pergi ibu negeri Colorado sendiri iaitu, Denver.
Meskipun saya pernah transit beberapa jam di Lapangan Terbang Antarabangsa Denver tiga bulan yang lalu,tetapi ia tidak cukup untuk saya 'mengisytiharkan' yang saya sudah menjejakkan kaki di Denver. :-)

Untuk bahagian pertama,saya berkongsi gambar-gambar di sepanjang perjalanan dari Durango ke Denver yang mengambil masa perjalanan hampir 7 jam.
Semasa awal perjalanan, pemanduan kami agak tidak selesa kerana terpaksa melalui kawasan yang berasap (kesan dari kebakaran hutan).
Sejurus tiba di Pagosa Spring,barulah kelihatan matahari dan langit kembali membiru.Elok sahaja melepasi Pagosa Spring, perjalanan yang mencabar pun bermula.Pemanduan kami harus menaiki gunung ganang dan menyusuri lereng gunung tersebut.

Bermula pemanduan menaiki gunung ganang
Jalanraya 126 yang kami lalui ini pernah tersenarai antara salah satu jalan raya tercantik di Amerika Syarikat dan di dunia. Jika anda lihat pada gambar-gambar di bawah,mungkin anda tertanya-tanya apa yang cantik dengan jalan raya ini?
Kami melalui jalan raya ini pada musim panas, tetapi cuba bayangkan jika musim sejuk dan bersalji pastinya pemandangan lebih cantik lagi.

Menyusuri lereng gunung mengingatkan saya akan Lebuhraya Utara Selatan dari Jelapang ke Kuala Kangsar.

Kemungkinan salah satu faktor lain yang menyebabkan jalan raya ini tersenarai antara yang cantik di Amerika Syarikat dan di dunia ialah terdapat tiga 'lapisan/tingkat' jalan raya dibina di lereng gunung ini.
Lapisan jalan raya pertama ialah jalan yang sedang kami dan kereta di hadapan lalui, manakala lapisan jalan raya kedua dan ketiga anda dapat lihat dengan tulisan yang berwarna merah yang telah saya tandakan seperti gambar di atas.
Air dari gunung.

Walaupun sudah masuk musim panas,salji di puncak gunung masih banyak yang belum cair.
Memasuki terowong pertama.
Tasik di puncak gunung.
Memasuki terowong kedua.
Saya dapat membayangkan kecantikan alam semulajadi di kawasan ini apabila datangnya musim sejuk/bersalji. Pokok-pokok menghijau bertukar menjadi putih dan air sungai yang membeku.

RV Park - Kawasan yang dikhaskan untuk kenderaan seperti karavan bermalam. Anda boleh lihat banyak karavan/Recreational Vehicle di dalam gambar ini.
Selepas 'mengharungi' perjalanan merentas gunung ganang yang hampir memakan masa selama 40-50minit,kami kembali dengan pemanduan seperti biasa (normal) dengan menempuhi beberapa pekan dan kampung kecil seperti Del Norte,Monte Vista,Alamosa,Blanca dan Walsenburg.

Gerabak keretapi lama yang dibiarkan di tepi jalan raya.
Walaupun saya sebutkan tadi pemanduan kembali seperi biasa (normal), tetapi pemandangan tetapi cantik kerana kami tidak dapat 'lari' dari gunung ganang di sebelah kiri dan kanan kami.

Sekali lagi saya membayangkan gunung seperti di dalam gambar di atas diselaputi salji.Alangkah sedapnya mata memandang.

Gunung seperti gambar di atas ialah gunung ganang yang merangkumi "Rocky Mountains" di negeri Colorado.
Untuk keterangan lanjut mengenai Rocky Mountains,sila ke sini untuk membaca dan melihat gambarnya :)

http://www.sharery.blogspot.com/2012/04/dari-australia-ke-amerika-syarikat.html

http://www.sharery.blogspot.com/2012/05/durango-colorado.html

Dari pekan kecil yang bernama Walsenburg, kami memasuki Lebuhraya 25 untuk menyambung baki perjalanan sebelum tiba di Denver pada jam 6.00 petang.


Denver, COLORADO.

*Akan bersambung*

Monday 25 June 2012

Melawat Ke Mesa Verde National Park - Penempatan Awal Manusia Beribu Tahun Dahulu

Assalamualaikum w.h.t dan Salam Sejahtera

Mesa Verde National Park ialah Taman Negara yang terletak di daerah Montezuma di dalam negeri Colorado dan dalam senarai salah satu kawasan terpelihara dunia (UNESCO World Heritage Site).
Taman negara ini telah dirasmikan pada tahun 1906 demi untuk menjaga dan memelihara peninggalan bekas penempatan atau perkampungan awal manusia yang dipercayai mereka yang berbangsa Ancestral Puebloan / Anasazi.

Di kaki gunung yang juga pintu masuk ke Mesa Verde Natioanal Park
Perjalanan pemanduan dari kaki gunung menuju ke puncak mengambil masa lebih kurang 30minit
Di hadapan pintu masuk muzium
Penempatan awal manusia di Amerika Utara seawal 10,000 ke 15,000 tahun yang lalu
Gambar sebelah kiri - Pada awal zaman kehidupan mereka iaitu 10,000 ke 15,000 tahun lalu,bercucuk tanam dan memburu ialah rutin harian untuk menambah bekalan makanan dan jagung ialah tanaman utama.

Gambar sebelah kanan  - Lebih seribu tahun lalu, barulah mereka mula membina rumah (cliff dwellings)
.
Sebaik sahaja mereka mula membina penempatan atau rumah, (cliff dwellings), Mesa Verde menjadi sebuah bandar yang sangat sibuk dan terkenal pada zaman itu. "Ia di ibaratkan seperti Los Angeles", kata pekerja Taman Negara kepada pelancong.

Gambar atas - Sarung kaki diperbuat dari bulu ayam belanda

Gambar bawah - Kaum wanita menggunakan batu seperti batu giling ini untuk menghancurkan jagung
Dari muzium yang terletak di puncak gunung, kami para pelancong sekali lagi harus berjalan kaki, naik dan turun bukit selama 15 hingga 20 minit demi untuk sampai ke penempatan awal manusia yang penuh dengan 1001 sejarah ini.
Terdapat beratus-ratus jenis perumahan di sini tetapi hanya beberapa buah sahaja yang dapat pelancong lawati dan selebihnya menjadi milik taman negara.


Pemandangan dari jauh di salah satu penempatan asal manusia yang berkududukan 7000 kaki dari paras laut

Saya berdiri berlatar belakangkan perumahan yang diberi nama Spruce Tree House
Batu gunung di bahagian atas diselaputi warna hitam di percayai akibat dari kerja-kerja memasak atau untuk memanaskan kawasan
Lubang besar ini diberi nama KIVA iaitu bilik untuk upacara keramaian. Di sini juga tempat untuk mereka berkumpul dan melakukan aktiviti seperti menganyam. Lubang-lubang kecil yang terdapat di sekeliling ialah sistem pengudaraan (ventilator). Ia dibina untuk memudahkan aliran udara/asap kerana di tengah2 lubang besar ini terdapat tempat pembakaran (fire-pit).
Antara kawasan yang ditutup kerana ahli arkeologi sedang melakukan kerja-kerja penyelidikan
Ketika suami saya datang ke sini pada lima bulan yang lepas, pihak taman negara tidak membenarkan pelancong turun ke tingkat bawah kerana terdapat batu-batu yang runtuh.Pada lawatan kali ini, ia telah dibuka semula dan kami mengambil kesempatan untuk turun melihat struktur dan senibina di bahagian bawah pula.

Di tingkat bawah (bawah tanah) struktur seni bina yang diperbuat dari kayu dan batu masih kukuh sehingga ke hari ini. Keadaan di bawah juga sejuk kerana dikelilingi oleh batu.
Perjalanan berjalan kaki menuju semula ke muzium seterusnya ke tempat meletak kereta
Dalam perjalanan untuk turun semula ke kaki gunung, kami singgah di beberapa lagi kawasan penempatan awal manusia yang dapat dilihat dari arah jauh.

Sistem bekalan air juga sudah dicipta pada zaman zaman ribuan tahun lalu. Enam kotak yang ada di dalam gambar ini menunjukkan enam buah lagi perkampungan/bandar di Mesa Verde.
Penempatan yang bernama Sun Temple seperti yang ditunjukkan di dalam gambar di atas
Di belakang saya ialah penempatan yang bernama Cliff Palace

Daripada sebelum datang ke tempat bersejarah Mesa Verde sehingga dalam perjalanan pulang, saya masih berfikir akan keajaiban ini. Saya amat kagum dengan kepakaran dan idea mereka dalam membina rumah, bangunan, membuat batu bata, mengadakan sistem perairan dan ventilator, menganyam rambut, dan segala macam bulu binatang untuk dijadikan bahan pelindungan tubuh badan dan lain-lain.Ternyata pelbagai teknologi dan inovasi sudah lama bertapak di muka bumi ini terutamanya pada zaman dahulu kala/purba.

Semestinya mustahil untuk saya meletakkan ratusan gambar dan bercerita panjang lebar mengenai sejarah penempatan awal manusia di dalam sini. Semoga dengan apa yang saya kongsikan bersama sedikit sebanyak ianya dapat memberi infomasi untuk pembaca.

Apa yang dapat disimpulkan, saya berasa amat bangga dapat melawat dan menjejakkan kaki ke Mesa Verde yang juga tercatat sebagai salah satu bangunan tertua di dunia dan bangunan paling tua di dalam Amerika Syarikat. :-)



Tuesday 19 June 2012

Berdiri Dalam 4 Negeri Pada Satu Masa

Assalamualaikum w.h.t dan Salam Sejahtera

Four Corners ialah satu daerah yang merangkumi empat buah negeri iaitu :

COLORADO
NEW MEXICO
ARIZONA
UTAH

Keempat-empat sempadan negeri ini bertemu maka terbinalah Four Corners Monument. Majoriti tanah di daerah ini adalah milik kaum asli tempatan American-Indian berbangsa Navajo (sebutan Na-Va-Ho) atau penduduk dunia lebih mengenali mereka sebagai Red Indian.

Gambar sumber dari Google. Titik merah yang menemukan sempadan empat negeri yang dipanggil Four Corners.
Memasuki negeri Colorado untuk ke Four Corners
The Buttes - Pembentukan batu semulajadi yang terletak di Four Corners, tanah hak milik kaum asli berbangsa Navajo (Native Indian)
Pintu masuk ke Four Corners
Papan tanda selamat datang
Four Corners Monument dari arah jauh
Berpuluh-puluh gerai hasil kraftangan penduduk tempatan
Plak yang menunjukkan sempadan empat buah negeri
Bendera empat buah negeri berkibar dengan megahnya
Inilah petanda atau plak yang menjadi tumpuan pelancong untuk bergambar dan menyentuhnya dengan tangan sendiri tanda sudah sampai ke Four Corners
Punggung kanan saya di negeri UTAH, punggung kiri di negeri COLORADO, tangan kanan di negeri ARIZONA  dan tangan kiri di negeri NEW MEXICO
Keempat - empat kaki kami berdiri di empat negeri yang berbeza dalam satu masa
Begitulah sedikit sebanyak gambar dan informasi yang dapat saya kongsikan bersama mengenai Four Corners.
Nantikan Terjemahan Hati selepas ini kerana saya bakal menceritakan pengalaman menjejakkan kaki di salah sebuah penempatan terawal manusia yang berusia antara 10,000 ke 15,000 tahun yang lalu.

Sunday 17 June 2012

Salt Lake City, UTAH (Bahagian 2)

Assalamualaikum w.h.t dan Salam Sejahtera

Di sini saya sertakan beberapa lagi gambar yang dirakamkan di Salt Lake City.
Bertarikh 22hb Mac 2012,City Creek Center yang terletak di tengah pusat bandar dibuka untuk orang awam.
Yang menarik tentang City Creek Center ialah ia menempatkan pusat membeli belah,butik mewah,pejabat dan perumahan yang kesemuanya di dalam satu kawasan serta dikelilingi dengan aliran anak sungai (buatan manusia)dan tidak cukup dari itu,air terjun mini juga terdapat sini.

Anak sungai yang mengalir di tengah-tengah pusat membeli belah di City Creek Center dapat dilihat dari gambar di atas
City Creek Center
Air pancut juga menghiasi City Creek Cente
Kami berpeluang menyaksikan persembahan tarian air pancut (air pancut bermelodi) yang diadakan di City Creek Center. Pereka tarian air pancut bermelodi di sini merupakan pereka yang sama mereka tarian air pancut bermelodi di hotel dan kasino terkenal di Las Vegas iaitu Bellagio. (http://www.sharery.blogspot.com/2012/06/las-vegas-nevada.html)

Pergerakan air yang bergerak dan beralun mengikut melodi lagu
Persembahan berakhir dengan julangan api kecil
Pusat membeli belah dan premis perniagaan (kecuali restoran dan panggung wayang) tidak dibuka pada hari Ahad sekaligus menjadikan pusat bandar seperti pekan mati.Yang meramaikan pusat bandar ialah mereka yang beribadat di gereja dan pelancong seperti kami.


Bangunan yang tersergam indah dibelakang kami ialah pusat pentadbiran kerajaan negeri (Utah State Capitol)
Negeri Utah juga terkenal dengan penduduknya yang majoriti penganut agama kristian Mormons.Di dalam pusat bandar terdapat sebuah kawasan besar yang bernama Temple Square.Temple yang dimaksudkan bukanlah tokong atau kuil sebaliknya kawasan bersaiz lebih kurang 10ekar itu  menempatkan di dalamnya pusat penerangan pelancongan,taman bunga,beberapa gereja besar,muzium dan perpustakaan(berkenaan agama tersebut).

Salt Lake Temple
Temple Square dicatit sebagai salah satu tempat tarikan pelancong
Joseph Smith Memorial Building.Di dalam bangunan ini terdapat beberapa buah restoran dan tempat untuk mengadakan pertemuan perniagaan atau majlis perkahwinan
Jangan salah sangka.Mesin ini bukan untuk membayar parkir kenderaan sebaliknya ia satu cara unik untuk mengutip derma.Masukkan sahaja wang dan ia akan disalurkan kepada badan kebajikan yang memerlukan
Sebelum ini,(http://www.sharery.blogspot.com/2012/05/phoenix-arizona.html)
saya pernah bercerita mengenai tempat memakir kereta khas di lapangan terbang di Phoenix,Arizona khusus untuk mereka yang mahu mengambil penumpang dan disertakan juga skrin besar mencatat jadual penerbangan yang bakal mendarat.Lebih menarik lagi,jika penumpang tersebut sudah mengambil bagasi,skrin di tempat meletak kereta khas itu akan dicatitkan "pickup".
Lapangan Terbang Antarabangsa Salt Lake City ialah lapangan terbang kedua di Amerika Syarikat yang saya nampak melakukan sistem sebegini.

Kawasan menunggu di lapangan terbang berserta skrin jadual penerbangan

Walaupun minoriti,tetapi umat Islam masih ada di negeri ini.Kebanyakan dari mereka berasal dari negara peperangan dan datang ke Amerika Syarikat untuk membina kehidupan baru.Madina Masjid di Salt Lake City ialah salah satu masjid yang terdapat di negeri Utah
Untuk pulang,kami mengambil laluan yang sama seperti mahu datang ke sini di mana kami menempuh beberapa daerah di dalam negeri Utah seperti Provo,Price dan beberapa taman negara yang semestinya tarikan utama pelancong.Tidak kira musim panas atau sejuk bersalji,pelbagai aktiviti luaran,riadah,lasak dapat dilakukan di sini.

Arches National Park - Salah satu daripada ribuan batu pasir semulajadi pelbagai bentuk yang terdapat di sini.Di dalam gambar kelihatan dua orang pelancong sempat bergambar di "tingkap semulajadi" ini.Walaupun nampak terang,hakikatnya hari sudah malam dan oleh kerana itulah,kami tidak berhenti untuk naik ke atas untuk bergambar (musim panas matahari terbenam jam 8-10malam)
Meskipun tidak lama di negeri Utah,tetapi saya tetap berpuas hati kerana dapat belajar serba sedikit mengenai sejarah negeri,cara hidup penduduk tempatan dan yang paling berharga sekali ialah melihat keindahan semulajadi dari ciptaan Yang Maha Besar.