Sunday 27 April 2014

Ibu Pejabat Dunia Caterpillar (CAT) Di Peoria, Illinois, Amerika Syarikat

Assalamualaikum w.h.t dan Salam Sejahtera

Caterpillar Inc (CAT) adalah sebuah syarikat dari Amerika Syarikat yang mereka bentuk, mengilang serta menjual jentera untuk pembinaan, perlombongan, penjana enjin gas asli, diesel serta turbin gas dan lokomotif diesel-elektrik. Selain daripada itu, CAT adalah jenama terkenal pengeluar kasut dan pakaian. 

Ibu pejabat CAT (World Headquarters) terletak di Peoria, kira-kira 267 kilometer dari bandar Chicago. Majoriti penduduk tempatan bekerja dengan syarikat terkemuka Caterpillar ini. Para tetamu yang menginap di hotel-hotel di sekitar Peoria juga kebanyakannya ialah pekerja CAT yang datang dari serata pelusuk dunia untuk menghadiri mesyuarat mahupun khusus.

Saya pasti anda pernah melihat jentera CAT yang terkenal dengan logo berwarna hitam dan kuning.
Bagi rakyat Amerika Syarikat, rata-rata mereka mengetahui akan popularnya ibu pejabat CAT di Peoria, Illinois. Bermula dari Lapangan Terbang Antarabangsa Peoria, tepi-tepi jalan atau di pusat bandar, iklan dan poster Caterpillar pasti kelihatan di mana-mana. Pendek kata, Peoria begitu sinonim dengan Caterpillar.


Antara papan iklan dari Caterpillar yang terdapat di Peoria.

Pusat bandar Peoria.

Bangunan ibu pejabat (World HQ) Caterpillar di Peoria, Illinois.


Pintu masuk hadapan bangunan ibu pejabat.


Bangunan-bangunan Caterpillar yang lain di sekitar Peoria.

Merchandise Centre - Bangunan yang dikhaskan untuk menjual barangan keluaran Caterpillar seperti baju, kasut dan cenderamata. Pekerja syarikat Caterpillar akan diberi diskaun bagi setiap pembelian.

Bangunan di sebelah bahu kiri saya ialah Merchandise Centre, manakala di belakang saya ialah bangunan ibu pejabat Caterpillar (World HQ).

Selepas ini saya akan berkongsi dengan para pembaca gambar-gambar yang saya rakamkan di Lapangan Terbang Antarabangsa Peoria yang saya anggap seperti muzium Caterpillar. 

Thursday 24 April 2014

Lapangan Terbang Antarabangsa Dallas/Fort Worth (Texas,USA)

Assalamualaikum w.h.t dan Salam Sejahtera

Lapangan Terbang Antarabangsa Dallas/Fort Worth (DFW) merupakan lapangan terbang antarabangsa utama di negeri Texas, Amerika Syarikat. Ia merupakan hab bagi American Airlines, yang ibu pejabatnya terletak berhampiran dengan lapangan terbang.

DFW mempunyai keluasan 17,207 ekar sekaligus menjadikan ianya lapangan terbang yang terbesar di Texas dan yang kedua terbesar di Amerika Syarikat (di belakang Lapangan Terbang Antarabangsa Denver). Mengikut statistik tahun 2013 yang diperolehi dari Airports Council International, DFW merupakan lapangan terbang ketiga tersibuk di dunia (bilangan kapal terbang takeoff/landing) dan ke sembilan paling sibuk di dunia bagi laluan trafik penumpang.





Menggunakan keretapi aliran ringan Skylink untuk menukar terminal.

Admiral Club Lounge Dining dikhaskan bagi ahli Admirals Club, US Airways Club dan penumpang One World yang layak sahaja.

Cenderamata dari Starbucks yang wajib dibeli oleh saya dan suami setiap kali singgah di mana-mana cawangan yang berbeza.

Pemandangan keseluruhan Lapangan Terbang Antarabangsa Dallas/Fort Worth.



Saturday 19 April 2014

Colombo, Sri Lanka (2005)

Assalamualaikum w.h.t dan Salam Sejahtera

Sudah tiga kali saya pernah ke Colombo, Sri Lanka. Pada masa itu penerbangan bermula dari Kuala Lumpur dan akan singgah dahulu ke Male sebelum kami bermalam di Colombo. Gambar-gambar di bawah ialah ketika pertama kali saya datang ke sini pada pertengahan tahun 2005. Menginap selama dua malam di sini membolehkan saya dan rakan sekerja yang lain bersiar-siar di sekitar bandar. Selepas daripada itu, trip semakin pendek apatah lagi keadaan keselamatan (pergolakan politik) pada ketika itu agak berbahaya bagi kami untuk keluar. Oleh itu dan saya menghabiskan masa berehat di dalam bilik hotel sahaja

Gambar atas : Pemandangan dari bilik hotel.

Gambar bawah : Di belakang saya ialah Galadari Hotel tempat penginapan anak-anak kapal MAS.

Gambar atas : Melihat matahari yang bakal terbenam di Lautan India.

Gambar bawah : Bangunan paling kiri ialah bangunan parlimen lama (Old Parliament House) yang kini dijadikan sebagai Presidential Secretariat.

Gambar atas : Salah sebuat patung di Galle Face Dr.

Gambar bawah : Sambil pemuda itu meniup serunai, saya cuba memberanikan diri duduk berdekatan dengan ular yang berada di dalam bakul itu.

Gambar atas : Meriam di Fort, Colombo.

Gambar bawah : Di daerah pusat bandar.

Antara pengangkutan awam yang terdapat di Colombo.

Gambar atas : Masjid Dewatagaha Colombo.

Gambar bawah : Victoria Memorial Building.
Dua buah tempat membeli belah (factory outlet) yang sempat saya kunjungi ialah Beverly Street di  R.A De Mel Mawatha, Colombo 3 dan Odel di Alexandra Place. Odel mempunyai lebih banyak pilihan dan cawangan. Selain daripada itu,saya turut membeli teh terkenal Sri Lanka iaitu Dilmah.

Thursday 17 April 2014

New Delhi, India (2005)

Assalamualaikum w.h.t dan Salam Sejahtera

Sudah bertahun-tahun lamanya saya memendam niat ini cuma baru sekarang saya rasakan ianya tidak perlu ditangguhkan lagi.
Mulai hari ini, saya akan berkongsi gambar serta cerita tentang pengalaman semasa saya bekerja sebagai pramugari. Saya akan fokuskan mengenai tempat-tempat menarik yang pernah saya lawati sepanjang berkhidmat selama lima tahun dengan Syarikat Penerbangan Malaysia (MAS).
Saya mempunyai ribuan keping gambar dan adalah mustahil untuk saya letakkan semuanya di sini. Itupun tidak semua album berada di dalam simpanan kerana separuh daripadanya masih berada di rumah ibu saya di Malaysia.

NEW DELHI, INDIA

India merupakan destinasi antarabangsa saya yang pertama (bermalam) sebaik sahaja bertugas dengan MAS. Penerbangan dari Kuala Lumpur hanya mengambil masa selama lima jam setengah tetapi ia ibarat seperti sepuluh jam lamanya. Hanya anak-anak kapal yang memahami situasi begini. Walaupun penat tetapi ianya amat berbaloi sekali kerana India banyak memberikan pengalaman menarik untuk diri saya.

Sebaik sahaja menjejakkan kaki ke dalam bangunan Lapangan Terbang Antarabangsa Indira Gandhi, saya sudah dapat rasa kejutannya. Saya seakan berada di dalam lapangan terbang pada zaman 70 atau 80an kerana serba serbinya nampak lama dan uzur. Selepas mengambil bagasi dan ingin keluar dari bangunan terminal, bau hancing sudah menusuk ke dalam hidung dan beberapa ekor lembu berkeliaran di luar pintu. Kami anak-anak kapal perlu menarik bagasi di atas jalan yang berpasir dan berbatu selama beberapa minit untuk sampai ke tempat bas.

Semasa menaiki bas untuk ke hotel pula, sekali lagi saya merasakan seperti menaiki pengangkutan awam pada tahun 80an kerana di dalam bas tersebut (walaupun mempunyai penghawa dingin) terdapat beberapa kipas kecil yang diletakkan di tepi tingkap. Ia mengingatkan saya semasa kecil dahulu apabila menaiki teksi di bandar Ipoh di mana ianya turut terdapat kipas kecil seperti itu.

Perjalanan dari Lapangan Terbang Antarabangsa Indira Gandhi ke Hotel Le Méridien mengambil masa lebih kurang 30 minit. Ia bergantung kepada keadaan lalu lintas kerana adakalanya masa yang diambil lebih lama dari biasa. New Delhi tidak pernah sunyi dengan kenderaan mahupun aktiviti penduduk tempatan. 30 minit berada di dalam bas tidak membosankan kerana banyak yang boleh dilihat dan diambil pengajaran serta iktibar. Apakah pengajaran dan ikitbar yang dimaksudkan? Saya akan berkongsi cerita dan gambar pada artikel keluaran akan datang.

Apa yang memeranjatkan saya tentang India ialah, walaupun keadaan sekitarnya begitu daif dan kotor, tetapi negara ini mempunyai banyak hotel bertaraf empat dan lima bintang di mana di sinilah kami anak-anak kapal MAS bermalam. Saya menganggap diri ini beruntung kerana setiap kali datang ke New Delhi, saya dapat bermalam di hotel-hotel yang berbeza.

Pemandangan New Delhi dari bilik hotel Le Méridien.
Bunyi hon kenderaan di bawah tetap jelas kedengaran walaupun bilik saya terletak di tingkat yang tinggi.
Palikar Bazar - Tempat membeli belah bawah tanah yang terletak di Connaught Place, New Delhi. Majoriti kedai di sini menjual pakaian dan barangan elektronik.

Menaiki pengangkutan awam yang popular di India, iaitu auto rickshaws/mototaxi atau biasa dipanggil tuktuk di Thailand.

Janpath Market - Ia terletak berhampiran dengan Connaught Place. Janpath Market merupakan tempat kegemaran saya untuk membeli belah. Antara barangan yang dijual di sini ialah pakaian, kasut, aksesori wanita, perhiasan rumah, permaidani, kain langsir, kain sari dan bermacam-macam lagi. Di sini juga peluang untuk para pembeli melakukan tawar menawar harga serendah yang anda suka.

India Gate - Tugu Peringatan Perang setinggi 42 meter.

Pemuda ini dengan baik hati membawa kami berempat melawat ke India Gate. Beliau ialah pemilik kedai hiasan rumah yang terletak di dalam Hotel Le Méridien.

The Canopy - Terletak lebih kurang 150 meter dari India Gate.
Ini merupakan trip New Delhi paling lama yang saya dapat rasai iaitu selama empat hari dua malam. Selepas dari itu kami hanya dapat merasai trip tiga hari satu malam sahaja.
Entri mengenai pengalaman kerja saya ini tidak disiarkan secara berturut-turut. Oleh itu anda perlu mengikuti perkembangan blog saya dari semasa ke semasa.

Monday 14 April 2014

Percutian Ibu Di Perth, Australia Barat

Assalamualaikum w.h.t dan Salam Sejahtera

14/4/14 (14 April 2014)
Barangkali ada di antara anda yang merasakan 14/4/14 tarikh yang nampak cantik. Saya sendiri begitu teruja kerana ia merupakan hari ulangtahun ibu saya yang ke 75. Sempena hari istimewa ini, saya akan berkongsi gambar-gambar yang belum pernah saya siarkan di dalam blog Terjemahan Hati iaitu percutian ibu saya ke Perth, Australia Barat beberapa tahun lalu.

Kedatangan ibu saya ke Perth pada bulan Ogos 2009 ditemani oleh saya sendiri amat bermakna kerana saya dan bakal suami serta keluarga mertua (pada waktu itu) dapat menunjukkan ibu saya tempat di mana anaknya (saya) akan berhijrah dan memulakan kehidupan baharu selepas berumahtangga (pada bulan September 2009).

Saya berhijrah ke Australia dan meninggalkan Malaysia pada bulan Oktober 2009. Penghijrahan ini adalah kerana mengikut suami yang merupakan warganegara Australia. Beliau lahir di Singapura tetapi dibesar, bersekolah dan bekerja di bumi Kangaroo ini.
Selepas beberapa tahun tinggal di Perth dan Melbourne, saya dan suami berpindah pula ke Amerika Syarikat. Walau bagaimanapun Australia khususnya Perth dan Melbourne tetap menjadi rumah kami sampai bila-bila.

Gambar atas dan tengah : Tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Perth dengan menaiki pesawat Malaysia Airlines MH125.

Gambar bawah : Melawat ke sebuah stesen radio di mana di sinilah Radio Melayu Perth ke udara setiap hari Sabtu malam. Berdiri dua dari kanan ialah wartawan dari Malaysia (untuk majalah Jelita) yang turut membuat liputan.
Gambar atas : Di South Perth

Gambar bawah : Di Mosmans Park. Salah sebuah perumahan terkaya di Australia.
Di bandar pelabuhan terkenal iaitu Fremantle.
Bandar Fremantle.

Pasar yang terkenal di Fremantle (Fremantle Market).

Gambar atas : Makan malam bersama keluarga angkat di Cicerello's, restoran terkenal di Fremantle.

Gambar bawah : Suami bersama ibu dan ibu mertua saya.

Bergambar di hadapan Wheel of Perth yang terletak berhampiran Bell Tower.

Caversham Wildlife Park.

Pada pagi itu, kangaroo nampaknya begitu mesra dan manja dengan ibu saya. Ketika ibu saya bergurau lalu berkata "Opah Datang Ni", terus kangaroo datang ke arah ibu dan meminta makanan.





Gambar atas kiri : London Court.

Gambar atas kanan : Ibu saya bergambar di hadapan bangunan pejabat pos besar Perth/General Post Office (GPO).

Gambar bawah kiri : Bangunan yang mempuyai jam di belakang ibu saya itu ialah Perth Town Hall.

Gambar bawah kanan : Di Hay Steet Mall.




Membeli belah di bandar Perth.
Lapangan Terbang Antarabangsa Perth.
Ibu saya pulang dengan menaiki pesawat Malaysia Airlines B777.

Terima kasih kerana sudi singgah untuk melihat gambar-gambar yang saya kongsikan sempena hari ulangtahun ibu saya pada hari ini.


Jika anda mempunyai sebarang pertanyaan, sila nyatakan di dalam ruangan komen dan tinggalkan alamat e-mel untuk saya membalasnya kelak. Anda juga boleh ikuti perkembangan saya melalui akaun Instagram, blog_th2010.



Thursday 10 April 2014

Four Corners Regional Airport Di Farmington, New Mexico

Assalamualaikum w.h.t dan Salam Sejahtera

Four Corners Regional Airport terletak lebih kurang 3 kilometer dari bandar Farmington.
Hanya syarikat penerbangan
Great Lakes Airlines sahaja yang terbang masuk ke sini. Ia melibatkan penerbangan dari Show Low, Arizona dan Alamosa serta Denver di Colorado.


Lapangan terbang ini mempunyai tempat letak kereta percuma bagi tempoh jangka pendek dan panjang, empat syarikat perkhidnatan kereta sewa di dalam dan internet tanpa wayar WiFi percuma di dalam bangunan terminal.

Bangunan terminal yang bercirikan Pueblo ini lebih kurang sama dengan Lapangan Terbang Antarabangsa Albuquerque (Albuquerque International Sunport).