Sunday 8 March 2015

Tips Melancong : Tatacara dan Adab Semasa Berada Di Lapangan Terbang

Assalamualaikum w.h.t dan Salam Sejahtera

Sebelum ini saya sudah berkongsi bersama para pembaca tentang tips melancong mengenai perancangan percutian dan pengurusan pakaian serta bagasi. Kali ini saya beralih pula ke entri terbaru iaitu tips atau tatacara serta adab semasa berada di lapangan terbang.


Waktu Daftar Masuk
- Waktu daftar masuk penerbangan domestik atau antarabangsa (tidak kira negara apa sekalipun) adalah berbeza antara sesebuah syarikat penerbangan dan faktor kesesakan lapangan terbang juga mengundang salah satu sebab mengapa waktu itu berbeza. Jangan pandang remeh tentang perkara ini, walaupun mungkin anda merupakan seorang yang kerap terbang tetapi tidak salah mengambil masa beberapa minit untuk memeriksa semula jadual penerbangan. Kepada yang agak jarang atau pertama kali ingin menggunakan penerbangan, saya sarankan supaya berada di lapangan terbang tiga atau tiga jam setengah sebelum waktu berlepas.


Kaunter daftar masuk untuk penumpang Qantas di Lapangan Terbang Antarabangsa Hong Kong.

Perbezaan Perkhidmatan Dan Layanan Antara Syarikat Penerbangan Premium dan Tambang Murah
- Anda perlu faham bahawa cara perkhidmatan dan layanan petugas di kaunter daftar masuk bagi syarikat penerbangan premium dan tambang murah adalah berbeza. Saya tidak bermaksud petugas syarikat tambang murah tidak mesra atau tidak efisyen. Faktor "tambang murah" itu sendiri yang membezakan perkhidmatannya dengan syarikat penerbangan premium.

- Jika berlaku sebarang masalah teknikal, terjadinya kelewatan penerbangan atau masalah bagasi, anda perlu mengawal diri supaya tidak marah atau membuat tuduhan melulu di hadapan petugas atau penumpang yang lain. Hormatilah petugas syarikat penerbangan tersebut kerana mereka bukan membantu seorang atau dua orang penumpang tetapi ratusan atau ribuan penumpang setiap hari.

- Jangan membuat permintaan yang tidak mungkin syarikat penerbangan (tambang murah) dapat memuaskan kehendak anda.

- Melalui pengalaman yang saya lihat selama ini, penumpang tambang murah yang biasanya meminta atau "demand" secara berlebihan, banyak "berlakon" dan apabila terjadinya sebarang kelewatan atau masalah teknikal, mereka yang biasanya tidak dapat mengawal perasan marah. Cara percakapan pula ibarat seperti mereka adalah penumpang kerap (frequent flyer). Hakikatnya, apabila mereka 'membuka mulut', petugas syarikat penerbangan atau penumpang kerap akan mengetahui mereka ini adalah bersifat sebaliknya (bukan frequent flyer).

- Saya tidak menyalahkan semua penumpang tambang murah itu "tidak boleh membawa diri", tetapi yang kesalnya rata-rata ramai yang bersikap sedemikian.


Laluan istimewa untuk ke kaunter Qantas yang saya gunakan di Lapangan Terbang Melbourne, Australia ini adalah keutamaan bagi penumpang kerap (frequent flyer) sahaja.

Mengambil Gambar Di Kawasan Larangan
- Anda dilarang dari mengambil gambar di sekitar kawasan kastam dan imigresen contohnya mengambil gambar pegawai semasa berbaris menunggu pasport dicop. Ada pula lapangan terbang yang melarang penumpang dari menggunakan telefon dan bunyi perlu dimatikan semasa berbaris menunggu pasport dicop. Lain lapangan terbang, lain undang-undangnya justeru itu anda perlu lebih sensitif dan peka dengan papan-papan tanda yang dipamerkan.


Anjing Pengesan
- Saya faham bagi mereka yang takut dan tidak pernah membela anjing anda pasti gementar apabila anjing pengesan berada dekat dengan anda. Tidak adil jika anjing itu dikutuk atau dihina walaupun melalui dalam hati anda sahaja. Ingatlah anjing itu juga makhluk Allah yang tugasnya adalah menjaga keamanan negara malah lebih berat lagi kerana ia diamanahkan untuk menghidu barang-barang larangan yang tidak patut dibawa masuk atau dibawa keluar dari negara. Semasa anjing tersebut sedang melakukan tugasan menghidu bagasi atau diri anda, cuba jangan gerakkan badan, jangan cuba mengelak serta berdirilah dengan cara yang bersahaja dan tenang (relax). Anjing itu tidak akan mengigit atau ingin bermanja dengan anda kerana tugasnya adalah profesional/untuk menghidu sahaja.


Perkataan Yang Tidak Boleh Disebut
- Samada anda bercakap dengan niat atau tidak dan samada ianya serius atau jenaka, beberapa patah perkataan ini tidak boleh disebut di lapangan terbang dan di dalam pesawat. Jika ia didengar oleh orang lain atau pihak berkuasa, nescaya anda boleh ditangkap serta merta. Perkataan yang berunsur atau mengenai senjata api dan bahan letupan adalah perkataan yang tidak boleh 'dibuat main' dan begitu sensitif untuk di sebut di dalam lapangan terbang dan kabin pesawat.


Lapangan Terbang Antarabangsa Los Angeles, Amerika Syarikat.


Pakaian Dan Kasut Yang Sesuai.
-Khusus bagi kaum wanita yang gemar memakai kasut bertumit, saya nasihatkan supaya anda membawa sepasang kasut tambahan untuk diletakkan di dalam bagasi kabin. Berjalan kaki di dalam lapangan terbang yang besar, masa transit yang lama serta penerbangan jarak jauh adalah antara faktor kaki dan tumit anda akan sakit, lenguh dan melecet. Jangan biarkan perkara mudah sebegini memudarkan "mood" percutian anda.

- Sama juga seperti kasut, pakaian tambahan juga perlu diambil kira. Bagi mereka yang jarang bercuti ke luar negara atau jarang menggunakan penerbangan, saya galakkan anda membawa sehelai jaket atau kardigan nipis atau selendang pashmina untuk disimpan di dalam bagasi kabin atau beg tangan.
Suhu di dalam lapangan terbang juga berbeza-beza. Dengan adanya pakaian tambahan itu, barangkali ia boleh membantu atau mengelakkan anda dari jatuh sakit.

Ada kalanya saya gemar menyarung kasut tumit tinggi semasa di dalam percutian/lapangan terbang. Akan tetapi kasut tambahan (bertapak rata) tetap saya bawa dan diletakkan di dalam bagasi kabin.


Tips Melancong yang saya kongsikan di sini adalah bersiri dan saya akan siarkan secara berperingkat. Entri yang lain boleh anda baca di sini;

Tips Melancong - Perancangan Percutian Ke Luar Negara
http://sharery.blogspot.com.au/2015/01/tips-melancong-perancangan-percutian-ke.html

Tips Melancong - Pengurusan Pakaian Dan Bagasi 
http://sharery.blogspot.com.au/2015/01/tips-melancong-pengurusan-pakaian-dan.html

Tips Melancong - Cara Mengatasi Jet Lag
http://www.sharery.blogspot.com.au/2015/05/tips-melancong-bagaimana-cara-mengatasi.html

Tips Melancong - Cara Menjaga Keselamatan Pasport
http://sharery.blogspot.com.au/2015/06/tips-melancong-cara-menjaga-keselamatan.html

Tips Melancong - Mengetahui Lokasi Pejabat Kedutaan Dan Konsulat Di Luar Negara
http://sharery.blogspot.com.au/2015/06/tips-melancong-mengetahui-lokasi.html

Tips Melancong - Adab Dan Displin Sebelum Memasuki Pesawat
http://sharery.blogspot.com.au/2015/07/tips-melancong-adab-dan-displin-sebelum.html


Jika anda mempunyai sebarang pertanyaan, sila nyatakan di dalam ruangan komen dan tinggalkan alamat e-mel untuk saya membalasnya kelak. Anda juga boleh ikuti perkembangan saya melalui akaun Instagram, blog_th2010.





4 comments:

  1. Terima kasih. Amat berguna.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Tinta Emas : Sama-sama. Saya ikhlas berkongsi pengalaman kepada para pembaca lain, dan dalam masa yang sama saya cuba meletakkan diri sebagai pembaca yang memerlukan info sebegini :)

      Delete
  2. Tips yg berguna bg mereka yg jarang menggunakan airport (jarang travel)

    ReplyDelete
    Replies
    1. Dorsett Pink : Terima kasih. Itulah yang ingin saya sampaikan. Dalam nak berkongsi tips dan pengalaman ni, kita kena letakkan diri di tempat mereka yg jarang travel dan menggunakan perkhidmatan di lapangan terbang. Masih banyak lagi tips yg akan saya kongsikan di sini. :)

      Delete