Thursday 29 December 2016

Imbasan Tahun 2016

Assalamualaikum w.h.t dan Salam Sejahtera

Setiap tahun saya hanya memilih hanya beberapa sahaja kenangan manis untuk diketengahkan di dalam entri imbasan. Berikut ialah imbasan tahun 2016.


Menyambut tahun baharu 2016 bersama suami dan keluarga mertua di Singapura.


Berpeluang melawat negeri Pulau Pinang dengan menaiki feri dari Butterworth ke George Town dan menggunakan Jambatan Sultan Abdul Halim Mu'azdam Shah (Jambatan Pulau Pinang Kedua) . Kali terakhir saya datang ke Pulau Pinang ialah  sekitar lapan tahun lalu semasa bertugas sebagai pramugari MAS.

http://sharery.blogspot.com.au/2016/02/pulau-pinang-malaysia-bahagian-1.html

http://sharery.blogspot.com.au/2016/03/pulau-pinang-malaysia-bahagian-2.html


Dapat menyambut 1 Ramadan dan berpuasa selama satu minggu bersama keluarga di Ipoh, Perak. Kali terakhir saya berpuasa di Malaysia ialah pada tahun 2009.



Berpuasa di Ipoh, Perak.


Kenangan indah dapat menyambut Aidilfitri di Melbourne, Australia bersama keluarga-keluarga angkat dan teman yang lain. Kali terakhir saya menyambut Aidilfitri di Melbourne ialah pada tahun 2011.










Kenangan manis tahun ini yang tidak disangka-sangka ialah bertemu secara tidak sengaja dengan penyanyi terkenal Malaysia iaitu Datuk Siti Nurhaliza (dan Dato' K) di Australia. Saya ialah peminat Siti Nurhaliza sejak beliau menjadi Juara Bintang HMI 1995 dan sehingga kini lagu-lagu lama beliau masih di dalam simpanan di dalam telefon tangan saya.








Ini merupakan pertemuan kali ke tiga kami di tiga negara berbeza. Pertemuan pertama kali ialah di Hotel Syuen Ipoh, Perak pada November 1999 di mana ketika itu saya menyaksikan latihan persembahan Siti dan Anuar Zain sempena Festival Filem Malaysia.

Kali kedua saya bertemu dengan beliau dan Dato' K ialah di Bali, Indonesia pada tahun 2007. Ketika itu saya bertugas di dalam kelas ekonomi manakala mereka duduk di kelas perniagaan. Oleh kerana terlalu sibuk dan kesuntukan waktu, saya tidak dapat bergambar bersama.


Di Hotel Syuen, Ipoh tahun 1999 - Saya membawa kulit album Siti Nurhaliza untuk beliau tandatangani.


Percutian tanpa dirancang ke Malaysia pada bulan Oktober lepas nampaknya memberi makna besar bagi saya kerana berkesempatan menghadiri majlis Konvokesyen UniKL yang berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya yang mana saya menyaksikan anak saudara sulung menerima ijazah.


Bergambar bersama abang sulung sementara menantikan majlis yang akan berlangsung. Saya menggantikan tempat kakak ipar yang tidak dapat hadir kerana masalah kesihatan.


Anak saudara yang bernama Ashraff sedang berbaris untuk naik ke pentas.


Ashraff sudah berada di atas pentas.


Gambar kenangan bersama separuh dari ahli keluarga.


Semasa Ashraff menghadiri majlis Konvokesyen menerima diploma beberapa tahun lalu saya berada di Melbourne, tetapi kali ini tanpa disangka saya menyaksikan majlis ini dengan lebih dekat.


Tahun lalu saya menyambut hari ulang tahun bersama ibu di Ipoh, Perak. Kehadiran saya merupakan satu kejutan maka sambutan tersebut tidak dapat dihadiri oleh ahli keluarga yang lain. 2016 sekali lagi saya menyambutnya di Ipoh, Perak dan kali ini saya diraikan oleh keluarga yang boleh dikatakan amat meriah sekali.

http://sharery.blogspot.com.au/2016/11/sambutan-hari-ulangtahun-26-november.html







Saya ucapkan ribuan terima kasih kepada semua pembaca dan pengikut sekalian kerana masih sudi bersama blog kembara saya. Anda telah memberi kekuatan dan semangat kepada saya untuk terus menulis. Kita berjumpa di dalam entri baharu tahun 2017 tidak lama lagi.

Jika anda mempunyai sebarang pertanyaan tentang melancong, sila nyatakan di dalam ruangan komen dan tinggalkan alamat e-mel untuk saya membalasnya kelak. Anda juga boleh ikuti perkembangan terkini saya melalui akaun Instagram, blog_th2010.


Tuesday 27 December 2016

Tips Mendaki Gunung Kinabalu

Assalamualaikum w.h.t dan Salam Sejahtera

Artikel penuh mengenai pengalaman pendakian saya boleh anda baca menerusi tiga bahagian;
Bahagian 1
http://sharery.blogspot.com/2016/12/ulangtahun-ke-10-mendaki-gunung.html?m=1

Bahagian 2
http://sharery.blogspot.com/2016/12/ulangtahun-ke-10-mendaki-gunung_23.html?m=1

Bahagian 3
http://sharery.blogspot.com/2016/12/ulangtahun-ke-10-mendaki-gunung_26.html?m=1



*Di atas ini ialah klip video pendakian*

Perkara pertama yang ingin saya sentuh ialah tentang kewangan. Mendaki Gunung Kinabalu memerlukan perbelanjaan yang besar. Tangguhkan dahulu niat untuk mendaki sekiranya kewangan anda masih belum mengizinkan. Saya bersyukur kerana dapat berjimat dari segi tambang kapal terbang (menggunakan diskaun pekerja MAS) dan penginapan di Kota Kinabalu (bermalam di rumah keluarga sahabat).

Seperti yang saya ceritakan pada awal entri bahagian pertama, niat mendaki Gunung Kinabalu ialah datang secara mengejut. Kecuali persediaan fizikal, saya bangga mengatakan di sini yang persiapan lain dilakukan cukup kesemuanya walaupun ada banyak barang yang dibeli di saat akhir. Antara barangan keperluan yang saya beli di Kota Kinabalu dua hari sebelum mendaki ialah lampu suluh kepala, sepasang kasut ,beg pinggang dan bekalan makanan.

1 - Latihan kecergasan fizikal.
Setiap individu mempunyai tahap kecergasan yang berbeza, bukan semua orang boleh mendaki Gunung Kinabalu tanpa persediaan fizikal seperti saya.

2 - Banyakkan Rujukan
Pada tahun 2006, saya belum mempunyai komputer riba dan era telefon pintar belum wujud begitu juga dengan media sosial. Saya membuat perancangan mendaki Gunung Kinabalu pada minit-minit terakhir dan tidak terlintas untuk merujuk atau mencari tips dari ramai pendaki melalui internet. Saya memperolehi sedikit maklumat melalui pengalaman abang saya dan melihat gambar-gambar beliau semasa mendaki Gunung Kinabalu beberapa tahun sebelum giliran saya.

3 - Satu tabiat yang saya bawa dari dahulu sehingga ke hari ini ialah, saya gemar membawa pakaian, kasut dan beg tangan lebih (extra) semasa melancong dan mengembara melebihi dari had yang sepatutnya. Fikiran saya sentiasa memikirkan bahawa barang yang dibawa lebih akan digunakan sekiranya berlaku kecemasan (terutama sekali kasut). Semasa mendaki Gunung Kinabalu saya telah membawa kasut sebanyak dua pasang dan banyak aksesori musim sejuk.

4 - Kasut mendaki berkualiti.
Mendaki Gunung Kinabalu ibarat kita bermain dengan risiko nyawa dan keselamatan. Justeru kasut mendaki berkualiti tinggi adalah keperluan yang paling penting. Saya akui tidak membeli kasut mendaki yang mahal tetapi hanya kasut sukan biasa yang tidak berjenama tetapi saya yakin apabila melihat tapaknya. Kasut yang saya pakai pada hari pertama telah basah sepenuhnya akibat hujan sepanjang hari pertama pendakian. Mujur saya ada membawa kasut kecemasan dan saya pakai pada hari kedua.

5 - Sediakan beg galas kalis air dan pastikan barang yang dibawa benar-benar penting kerana jika beg berat ia membuatkan pendaki tidak terdaya menggalasnya.

6 - Beg pinggang.
Kepada kaum wanita khususnya, lupakan hasrat membawa beg tangan. Para pendaki masing-masing mempunyai barangan peribadi seperti dompet, kamera dan telefon tangan. Beg pingang sangat sesuai untuk dibawa sehingga ke puncak gunung.

7 - Lampu suluh.
Saya membawa dua lampu suluh, iaitu lampu suluh mini dan lampu suluh kepala.

8 - Air botol dan makanan ringan pemberi tenaga.

9 - Jaket kali air/ angin dan baju panas.

10 - Dua helai baju-t dan dua helai seluar. Jeans tidak sesuai untuk mendaki.
Pada hari pertama pendakian saya memakai seluar sukan kalis air manakala hari kedua seluar kargo kalis air. Pada pendapat saya seluar kargo sesuai untuk dipakai kerana banyak saku seluar yang banyak kegunaannya. Semasa perjalanan turun yang cuacanya agak panas, saya lipatkan sahaja seluar kargo sehingga ke paras lutut.

11 - Sepasang baju tidur.

12 - Kelengkapan peribadi seperti losyen pelindung sinaran matahari, sabun, syampu, ubat gigi bersaiz mini dan ubat-ubatan asas contohnya panadol, minyak angin dan plaster.

13 - Dua pasang sarung kaki yang tebal.

14 - Wang tunai secukupnya.
Banyak tempat tidak menerima bayaran secara kad.

15 - Topi mendaki dan sarung tangan (seperti dipakai pada musim sejuk).

Kini, apabila saya melihat semula gambar-gambar pendakian hari kedua, saya rasa rimas melihat pakaian saya yang sarat kerana membawa terlalu banyak aksesori musim sejuk (dua topi, dua pasang sarung tangan dan selendang). Ia satu kekesalan saya kerana dek terlalu risau akan kesejukan yang mungkin tidak dapat saya hadapi. Hakikatnya sejuk di puncak kurang dirasai kerana badan sudah berpeluh-peluh dan saya tidak memakai kesemuanya kecuali sarung tangan.

Jika di lain masa rezeki menyebelahi saya untuk mendaki Gunung Kinabalu untuk kali kedua, saya tidak perlu membawa aksesori musim sejuk dengan banyak. Sudah tujuh tahun saya tinggal di negara yang mempunyai musim sejuk, insyaAllah suhu di Gunung Kinabalu akan saya atasi dengan hanya membawa pakaian yang sesuai.

Semoga tips yang saya kongsikan dapat memberi sedikit sebanyak bantuan dan idea kepada mereka yang mempuyai perancangan untuk mendaki.

Jika anda mempunyai sebarang pertanyaan tentang melancong, sila nyatakan di dalam ruangan komen dan tinggalkan alamat e-mel untuk saya membalasnya kelak. Anda juga boleh ikuti perkembangan terkini saya melalui akaun Instagram, blog_th2010.


Monday 26 December 2016

Ulangtahun Ke-10 Mendaki Gunung Kinabalu (Bahagian 3)

Assalamualaikum w.h.t dan Salam Sejahtera

Ini ialah bahagian terakhir entri mengenai ulang tahun ke-10 mendaki Gunung Kinabalu. Untuk mendapatkan artikel penuh kesemua bahagian 1 dan 2, sila ikuti alamat di bawah;
Bahagian 1
http://sharery.blogspot.ca/2016/12/ulangtahun-ke-10-mendaki-gunung.html?m=1

Bahagian 2
http://sharery.blogspot.ca/2016/12/ulangtahun-ke-10-mendaki-gunung_23.html?m=1


20 SEPTEMBER 2006
Sebelum meneruskan perjalanan turun, saya singgah sebentar di Laban Rata untuk menukar pakaian dan bertemu semula dengan Sue.

*sila abaikan kesilapan tarikh di dalam semua gambar*

Kilometer 6.


Mengambil gambar kenangan di Laban Rata.


Pemandangan yang sangat menenangkan minda.


Semasa hendak bersiap sedia memulakan perjalanan turun, datang pula perasaan sedih untuk meninggalkan Gunung Kinabalu.


Semasa di dalam perjalanan turun, saya teruja mengambil gambar di lokasi-lokasi yang tidak boleh saya rakamkan gambarnya pada hari pertama kerana sudah malam. Tambahan pula cuaca hari kedua sungguh baik berserta terang benderang.





Selamat tinggal Laban Rata.















Gambar terakhir kami berlatar belakangkan puncak gunung








Saya dan Sue bergambar Fadzli, malim gunung yang menemani saya pada awal pendakian pagi tadi.


Hampir tiba di kaki gunung.


Gambar terakhir bersama ahli kumpulan asal kami. 


Cukup senang sekali mendengan deruan air terjun.




Akhirnya selamat tiba di Pondok Timpohon. Di sinilah pintu masuk atau tempat permulaan pendakian.


Setiap tahun akan diadakan pertandingan mendaki Gunung Kinabalu.



Gambar ini  sepatutnya dirakamkan pada hari semalam tetapi oleh kerana kami kesuntukan waktu dan ditambah pula dengan hujan, maka saya membatalkan hasrat itu.


Menanti pengangkutan untuk pulang ke Kota Kinabalu.


Gunung Kinabalu sudah dilitupi oleh awan tebal.


Di dalam perjalanan pulang kami kenempuhi salah sebuah perkampungan kecil.



21 SEPTEMBER 2006


Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu.


Saya pulang ke Kuala Lumpur pada keesokan harinya. 


Pemandangan pulau-pulau di Sabah yang dirakamkan dari pesawat MAS B737-400.


Pemandangan pulau-pulau di Sabah yang dirakamkan dari pesawat MAS B737-400.

Rumusan Keseluruhan
Satu kejadian mistik berlaku terhadap Sue yang telah diceritakan oleh beliau kepada saya sebaik pulang dari mendaki. Di dalam kepekatan malam untuk menghabiskan sisa pendakian hari pertama, Sue telah dikendong oleh Pakcik Jomius sehingga ke Laban Rata. Semasa berhenti sebentar di satu perhentian, Sue telah nampak kelibat 'seseorang'. Saya teringat yang Sue ada menghalakan lampu suluh ke satu arah yang berdekatan dengan saya iaitu lebih kurang 20 - 30 meter di hadapan Sue dan Pakcik Jomius. Rupanya beliau menyuluh 'seseorang'. Melalui entri bahagian pertama saya ada menceritakan pengalaman saya mendaki pada waktu malam. Tidak ada perasaan takut ketika itu. Tumpuan saya hanya untuk cepat sampai ke tempat penginapan.

Melalui maklumat yang saya perolehi, laluan naik ke puncak sememangnya sangat 'keras' kerana sudah terlalu banyak kes kematian berlaku. Saya juga pernah ternampak pengusung pesakit tanpa roda yang diletakkan di atas bumbung pondok di salah sebuah perhentian di laluan naik ke puncak.

Syukur kerana saya diberikan tenaga serta kesihatan yang baik dan selamat tiba di kaki gunung/ Pondok Timpohon tanpa sebarang masalah selepas mengambil masa lebih kurang lima jam untuk turun dari Laban Rata (berhenti beberapa kali untuk mengambil gambar). Rakan saya, Sue juga tidak mengalami masalah semput. Kesihatan beliau jauh lebih baik dari hari sebelumnya. Pendek kata saya masih rasa cergas dan bertenaga selepas meninggalkan Taman Kinabalu. Saya yakin faktor utamanya ialah datang dari fikiran yang positif serta sentiasa ceria.

Jika ada di antara anda yang mengenali atau terjumpa malim gunung Pakcik Jomius dan Fadzli, sila sampaikan salam kepada mereka. Anda boleh tunjukkan gambar saya bersama mereka di dalam blog ini untuk mengingatkan kembali kenangan sepuluh tahun lalu.


SEPTEMBER  2016
Sepuluh tahun kemudian, walaupun sudah berkarat tetapi kad nama pendaki Gunung Kinabalu tetap akan saya simpan sampai bila-bila. Sijil Pengiktirafan tidak dapat dikongsikan di sini kerana ia disimpan elok di rumah ibu saya di Malaysia. Di dalam keluarga, saya merupakan insan kedua berjaya menakluki Gunung Kinabalu. Abang saya telah mendaki beberapa tahun sebelum giliran saya manakala anak saudara pula mendaki baharu beberapa tahun lalu.




Kenangan paling indah sepuluh tahun yang lalu.

Entri mengenai tips mendaki akan disiarkan tidak lama lagi.

Jika anda mempunyai sebarang pertanyaan tentang melancong, sila nyatakan di dalam ruangan komen dan tinggalkan alamat e-mel untuk saya membalasnya kelak. Anda juga boleh ikuti perkembangan terkini saya melalui akaun Instagram, blog_th2010.

Friday 23 December 2016

Ulangtahun Ke-10 Mendaki Gunung Kinabalu (Bahagian 2)

Assalamualaikum w.h.t dan Salam Sejahtera

Untuk mendapatkan cerita yang penuh, sila ikuti bahagian pertama melalui alamat di sini;
http://sharery.blogspot.com.au/2016/12/ulangtahun-ke-10-mendaki-gunung.html?m=1


20 SEPTEMBER 2006
Saya tidak ingat jam berapa saya bangun dari tidur tetapi apa yang jelas ialah saya mendengar suara-suara para pendaki di luar tempat penginapan yang sedang bersiap sedia dan ada di anatara mereka yang sudah memulakan pendakian sebelum jam 2:30 pagi.

Walaupun hanya mendapat tidur lebih kurang tiga atau empat jam sahaja tetapi ia tidak mematahkan semangat saya untuk pendakian hari kedua. Sue tidak dapat turut serta dan beliau akan menunggu saya di Laban Rata selepas saya selesai mendaki ke puncak. Pada jam 2:30 pagi saya memulakan pendakian bersama Pakcik Jomius dan dua pendaki dari Australia. Suhu di luar begitu rendah tetapi saya dapat menyesuaikannya kerana saya telah berpakaian tebal sebelum saya tidur dari malam semalam.

Oleh kerana begitu teruja dan ceria serta dengan keramahan saya terhadap malim gunung yang lain, kumpulan kami berpecah. Atas pengetahuan Pakcik Jomius sendiri, beliau meneruskan pendakian bersama dua pendaki Australia manakala saya ditemani oleh dua orang malim gunung yang lain iaitu Fadzli dan seorang lagi pemuda yang saya lupa namanya.

*sila abaikan kesilapan tarikh pada semua gambar di bawah*


Berada di kilometer 8. Walaupun cuaca sejuk tetapi saya sudah berpeluh-peluh.


Dari Laban Rata sehingga ke puncak, kami perlu mengharungi permukaan berbatu-batu. Melihat dari gambar di atas terpancar kegembiraan di wajah saya. Tidak ada rasa penat tambahan pula di sepanjang pendakian saya sibuk berbual-bual dengan dua orang malim gunung yang saya ceritakan tadi.


Wajah gembira dan sangat berpuas hati sebaik tiba di puncak


Syukur kepada Allah kerana dengan izinNya, saya berjaya berada di puncak Gunung Kinabalu pada 20 September 2006 dan dengan cuaca yang begitu baik saya dapat menyaksikan keindahan matahari naik sekitar jam 6:00 pagi.


Saya berjaya menakluki puncak Gunung Kinabalu.


Pemandangan indah.


Bergambar bersama salah seorang malim gunung yang menemani saya mendaki sehingga ke puncak pada hari kedua.


Aktiviti yang terbaik semasa berada di atas puncak ialah merakamkan gambar sebanyak yang boleh.




Inilah dua orang pendaki dari Australia yang bersama dengan saya dari semalam bermula dari menaiki van di Kota Kinabalu dan kebetulan pula mereka didaftarkan untuk mendaki bersama dengan kumpulan yang dijaga oleh Pakcik Jomius.




Para pendaki yang lain juga sibuk mengambil gambar kenangan. Lelaki yang berdiri paling kiri ialah salah seorang malim gunung.




Tidak lengkap jika menakluki puncak Gunung Kinabalu tanpa bergambar dengan papan tanda ini. 


Gambar yang paling menjadi kegemaran dan begitu berharga bagi saya.


Gambar kedua yang mejadi kegemaran saya. Inilah 'bapa' saya sepanjang dua hari pendakian. Sifat kebapaan beliau sungguh menyerlah apabila menjalankan tugas menjaga pendaki di bawahnya jagaannya. Andai boleh diputarkan waktu, ingin rasanya saya berjumpa sekali lagi dengan Pakcik Jomius untuk mengucapkan berbanyak terima kasih dan berkongsi gambar ini kepadanya.


Kami tidak boleh berada lama di atas puncak, masing-masing sudah mula bergerak untuk turun.









Puncak Gunung Kinabalu (Low's Peak) di belakang saya.


Berlatar belakangkan puncak yang diberi nama South Peak.


Di sebelah kanan gambar kelihatan bandar Kota Kinabalu. Sungguh menakjubkan.


Papan tanda kilometer 8 yang saya rakamkan gambar pada awal pagi ketika hari masih gelap. Kini baharu jelas menampakkan pemandangan South Peak.


Pakcik Jomius mengajar saya supaya turun di sini dengan gaya bersilang atau 'zig zag' supaya kaki tidak letih.




South Peak.


Pakcik Jomius sedang turun dengan gaya 'zig zag'.


Saya merakamkan gambar ini hanya kerana pemandangannya tetapi apabila hendak memuat naik di sini baharu  fikiran saya terlintas mengenai penduduk tempatan yang tinggal di kaki gunung. Oleh kerana tidak boleh membayangkan, maka saya teringin untuk berada di tempat mereka sekadar hendak merasai cara kehidupan seharian yang pastinya kurang serba serbi dari penduduk bandar. Mungkin satu minggu sudah cukup untuk memperolehi pengalaman tersebut.



Sayat-Sayat Check Point ialah pusat untuk memeriksa senarai nama pendaki.






Cuaca yang amat baik dilihat dari Sayat-Sayat Check Point.


Amat memeranjatkan melihat puncak gunung sudah hilang dari pandangan. Pakcik Jomius sedang memimpin tangan rakan pendaki kami yang baru melepasi Sayat-Sayat Check Point.



Tiba di kilometer 7.


Saya menunjukkan Laban Rata yang nampak terang disinari oleh cahaya matahari.


Satu lagi gambar saya dirakamkan sebelum tiba di Laban Rata iaitu berlatar belakangkan gunung yang hanya separuh kelihatan.


Setiap kali melihat gambar ini, saya berasa sungguh gayat dan menakutkan. Saya tidak tahu bagaimana saya dan semua pendaki mengharungi laluan ini pada awal pagi yang masih gelap gelita. Apabila sudah siang baharu saya sedar ini merupakan laluan paling mencabar. Cuba anda bayangkan sekiranya pendaki tergelincir dan jatuh ke tepi? 


Air gunung yang sungguh sejuk sekali.





Panar Laban Hut - Pondok kecil tempat saya dan Sue bermalam.



Rumusan Mendaki Hari Kedua
Bagi pendaki yang bermalam di Laban Rata, mereka perlu berjalan kaki selama sepuluh minit sebelum melintas lalu di Panar Laban Hut dan seterusnya menyambung pendakian ke puncak. 
Pendakian dari tempat penginapan saya iaitu Panar Laban Hut bermula pada jam 2:30 pagi dan tiba di puncak tepat pada waktu yang diinginkan kerana para pendaki ingin melihat pemandangan matahari naik. Jumlah masa yang diambil untuk sampai ke puncak ialah kira-kira tiga jam tiga puluh minit (merujuk masa melalui kamera dan berdasarkan tahap kelajuan saya sendiri).

Saya tidak mempunyai sebarang masalah semasa naik ke puncak dan sehingga turun ke Laban Rata. Walau bagaimanapun terdapat perbezaan dari segi cabaran mental serta fizikal. Semasa mendaki ke puncak, kami hanya memberi tumpuan terhadap setiap langkah kaki yang diambil tanpa perlu memikirkan tentang persekitaran yang gelap. Jauh berbeza apabila menuruni dari puncak kerana hari siang membuatkan para pendaki akan gerun melihat laluan yang telah dilalui sebelum ini kerana ia sangat mencabar dan merbahaya.

Benar kata Pakcik Jomius, mendaki lebih senang berbanding menuruni kerana kaki memerlukan lebih tenaga untuk turun dari gunung. Lutut akan cepat terasa lemah seperti jeli berbanding pada hari pertama ketika mendaki. Masa yang saya ambil untuk turun dari puncak hingga ke Panar Laban Hut ialah lebih kurang dua jam.

Nantikan entri bahagian tiga di mana saya akan berkongsi beberapa tips untuk mereka yang bakal mendaki Gunung Kinabalu.

Jika anda mempunyai sebarang pertanyaan tentang melancong, sila nyatakan di dalam ruangan komen dan tinggalkan alamat e-mel untuk saya membalasnya kelak. Anda juga boleh ikuti perkembangan terkini saya melalui akaun Instagram, blog_th2010.