Wednesday 27 July 2016

Pemanduan Dari Pierre Ke Rapid City

Assalamualaikum w.h.t dan Salam Sejahtera

Selepas melawat ke beberapa lokasi menarik di Pierre, saya dan suami menyambung perjalanan menuju ke Rapid City yang mengambil masa pemanduan lebih kurang 3 jam. Kami menggunakan jalan US-83 dan lebuhraya I-90. Cuaca di sepanjang perjalanan adalah mendung, berawan dan dingin. Oleh kerana faktor cuaca, maka ingin saya nyatakan di sini bahawa kualiti gambar dan video sedikit kurang memuaskan.

Walaupun namanya 'Memorial Highway' tetapi ia bukan lebuh raya. Ini ialah jalan raya biasa US-83.

Lebuh raya I-90. Separuh lagi perjalanan untuk tiba di Rapid City.

Antara perkampungan yang dapat dilihat dari lebuh raya.

Singgah sebentar di sebuah stesen minyak di Murdo, South Dakota. Murdo ialah sebuah perkampungan kecil yang populasi penduduknya kurang dari 500 orang.

Selain restoran makanan segera, mini kasino turut terdapat di tempat rehat stesen minyak ini.

Undang-undang jalan raya di setiap negeri adalah berbeza maka pengguna kenderaan harus mengambil perhatian yang lebih.

Kami melihat berpuluh-puluh papan tanda 'Wall Drug' di sepanjang perjalanan. Pada awalnya kami berasa hairan dan dalam waktu yang sama terasa lucu sambil tertanya-tanya apakah maksud di sebalik nama 'Wall Drug' itu.  Jawapannya saya berikan di perenggan terakhir artikel ini.

Papan tanda ini menyatakan bahawa sudah masuk ke zon masa berbeza. Walaupun masih di dalam satu negeri, waktu di Pierre cepat satu jam dari bandar yang ingin kami tujui iaitu Rapid City.

Antara kreativiti dari penduduk kampung seperti gambar di atas membuatkan kami pengguna lebuh raya tidak berasa bosan di sepanjang perjalanan.

Taman rekreasi keluarga ini ditutup kerana faktor musim.

Bendera negara yang saiznya separuh dari bumbung stesen minyak. Di Amerika Syarikat, bendera bersaiz seperti ini kerap dilihat di mana-mana.

Perjalanan sebelum tiba di Rapid City saya anggap seperti bermain teka teki. Saya melihat banyak hentian rehat dan kedai minyak yang telah tutup perniagaanya tidak kira ianya masih nampak cantik atau usang. Motel ini membuatkan saya terfikir adakah masih beroperasi walaupun secara luarannya nampak seperti motel terbiar. 



Jalan raya beralun seperti ombak.

Pemandangan seperti ini seolah jalan raya yang tiada penghujung.

Kami mengambil susur keluar untuk singgah ke sebuah stesen minyak yang berhampiran. Persimpangan ini memisahkan dua tempat tarikan pelancong yang terkenal di South Dakota. 

Antara beberapa lagi papan tanda Wall Drug yang saya rakamkan gambarnya.

Dari puluhan kilometer lagi kami mengikuti papan tanda untuk ke stesen minyak ini. Nampak cantik, bersih dan sempurna tetapi alangkah terkejutnya perniagaan ditutup 100%. Walaupun 'ditipu' kami langsung tidak rasa marah sebaliknya ketawa apatah lagi sebuah kereta lain telah mengikut kami dari belakang.

Tujuan kami datang ke sini bukanlah untuk mengisi minyak kereta sebaliknya hanya untuk ke tandas. Tandas boleh dicari di tempat lain tetapi cuba bayangkan jika kehabisan minyak? Suami saya amat mementingkan pelan perjalanan. Saya pasti displin dan profesionalnya beliau semasa mengembara sama seperti tugasnya sebagai juruterbang justeru beliau tidak akan membiarkan minyak kereta hampir kering dan mencari 'nasib' di mana-mana stesen minyak. Setiap hari (awal pagi atau malam sebelumnya) sebelum memulakan perjalanan panjang, beliau pasti akan menyusun pelan dan membuat kiraan di mana perlu mengisi minyak kereta. Lokasi yang dipilih biasanya di bandar atau pekan kecil dan bukannya di tengah-tengah lebuh raya seperti tempat ini yang kemungkinan membawa risiko yang tinggi tiada bekalan minyak.

Dinosur gergasi yang terdapat di Wall Drug. 

Hentian rehat dan pusat maklumat pelancong di Wasta, South Dakota.

Arca berbentuk tepee. Tepee ialah khemah tradisional kaum asli Amerika Syarikat (American Indians) yang diperbuat daripada kulit haiwan atau kain.

Gambar-gambar tempat pelancongan utama di negeri South Dakota.

Tinggal beberapa minit lagi untuk tiba di Rapid City.

Hampir tiba di Rapid City.

Rapid City pada waktu petang.

Dalam perjalanan menuju ke hotel selepas menikmati makan malam.



Tiba di Rapid City agak awal maka bolehlah kami melakukan cucian dan kering pakaian di tempat yang disediakan oleh pihak hotel. Kebiasaanya kami mencuci pakaian kotor selang 2 atau 3 hari bergantung kepada masa (jika sampai ke hotel sebelah petang) tetapi ini tidak bermakna kami menggunakan pakaian yang sama. Kami tetap memakai pakaian baharu setiap hari.

Wall Drug yang saya maksudkan ialah sebuah tempat tarikan pelancong yang terletak di Wall, South Dakota. Wall Drug merangkumi beberapa buah kedai, restoran dan kedai cenderamata. Pelekat kenderaan berunsur jenaka mengenai Drug Wall antara yang paling laris dijual. Kopi berharga 5 sen (gambar papan tanda seperti saya letakkan di atas)  juga masih lagi terdapat di sini.

Sejarah Wall Drug boleh anda baca di sini;
http://www.huffingtonpost.com/2012/12/14/wall-drug-south-dakota-billboard-photos_n_2296122.html

http://www.atlasobscura.com/places/wall-drug

Kembara hari ini bermula dari Bismark, North Dakota dan berakhir di Rapid City, South Dakota dengan jumlah pemanduan lebih kurang 645 kilometer manakala waktu yang diambil termasuk singgah di beberapa tempat menarik ialah lebih kurang 8 jam 30 minit. Bagi saya dan suami yang biasa melakukan kembara berkereta, jika kami mencapai purata pemanduan antara 6 dan 8 jam satu hari, ia bermakna pemanduan kami adalah singkat. Jika 9 jam ke atas baharu kami rasakan ia adalah satu perjalanan yang panjang. Pemanduan dari Pierre ke Rapid City amat menghiburkan dek kerana Wall Drug, kami 'ditipu' di stesen minyak dan teka teki mengenai tempat-tempat rehat atau motel yang beroperasi atau tidak.

Cukup hanya satu malam tidur di Rapid City, kembara kami akan bersambung pada esok hari dan merentasi negeri yang seterusnya.

Jika anda mempunyai sebarang pertanyaan tentang melancong, sila nyatakan di dalam ruangan komen dan tinggalkan alamat e-mel untuk saya membalasnya kelak. Anda juga boleh ikuti perkembangan terkini saya melalui akaun Instagram, blog_th2010.

Friday 22 July 2016

Pierre - Ibu Negeri South Dakota (Bahagian 2)

Assalamualaikum w.h.t dan Salam Sejahtera

Artikel ini adalah bersambung dari bahagian 1;
http://sharery.blogspot.com/2016/07/pierre-ibu-negeri-south-dakota-bahagian.html

Di Amerika Syarikat, ibu negeri tidak semestinya terletak di bandar besar yang membangun dan mempunyai ramai penduduk. Contohnya ibu negeri California tidak terletak di Los Angeles sebaliknya Sacramento manakala ibu negeri Illinois ialah Springfield, tidak di Chicago.

Begitu juga South Dakota, walaupun bandar besar dan ramai penduduk ialah Sioux Falls dan Rapid City, tetapi ibu negerinya ialah Pierre. Saya sudah melawat separuh daripada keseluruhan ibu negeri di Amerika Syarikat dan setakat ini saya melihat Pierre ialah ibu negeri yang paling mundur dan hanya seperti sebuah kampung biasa. Setiap tempat yang saya lawati mempunyai kekurangan dan kelebihan tersendiri. Meskipun Pierre tidak begitu menarik minat saya tetapi bangunan pentadbiran kerajaan negeri dan tugu peringatan perang (artikel dari bahagian 1) adalah antara tempat yang saya sukai. Pemandangan serta landskapnya bakal membuat pengunjung tidak melepaskan peluang untuk mengambil gambar.

Di sini saya kongsikan beberapa gambar pemandangan pusat bandar dan 18 keping gambar telah saya muatkan di dalam satu klip video selama 28 saat.

Bison ialah haiwan yang banyak terdapat di South Dakota.


Jelas kelihatan kubah bangunan pusat pentadbiran kerajaan negeri (South Dakota State Capitol).


Kereta polis Pierre.


Pusat bandar Pierre pada petang hari Ahad.


Walau ceruk mana sekalipun saya berada di Amerika Syarikat, restoran Cina pasti akan saya temui.


Hotel-hotel di Pierre jelas kelihatan cantik dan besar.




Di dalam satu hari saya dan suami berjaya melawat dua buah ibu negeri iaitu di Bismarck, North Dakota dan Pierre, South Dakota yang jarak antara keduanya ialah 338 kilometer. Kami menyambung pemanduan pada sebelah petang menuju ke Rapid City iaitu bandar kedua paling ramai penduduk di South Dakota. Pemanduan untuk ke Rapid City menggunakan jalan US-83 dan lebuhraya I-90. Sebaik meninggalkan Pierre, kami singgah sebentar di Fort Pierre untuk mengisi minyak kereta. Fort Pierre terletak lebih kurang 4.3 kilometer dengan Pierre dan populasi penduduk yang dikira sehingga tahun 2014 ialah seramai 2134 orang.






















Jika anda mempunyai sebarang pertanyaan tentang melancong, sila nyatakan di dalam ruangan komen dan tinggalkan alamat e-mel untuk saya membalasnya kelak. Anda juga boleh ikuti perkembangan saya melalui akaun Instagram, blog_th2010.

Monday 18 July 2016

Pierre - Ibu Negeri South Dakota (Bahagian 1)

Assalamualaikum w.h.t dan Salam Sejahtera

Pierre ialah ibu negeri bagi South Dakota. Populasi penduduk yang dikira sehingga tahun 2015 ialah seramai lebih kurang 14 054 orang sekaligus menjadikan Pierre bandar ke lapan paling ramai penduduk di South Dakota manakala bandar yang pertama ialah Sioux Falls. Anda boleh ikuti entri mengenai Sioux Falls melalui alamat ini;
http://sharery.blogspot.com/2016/06/sioux-falls-south-dakota-amerika.html

Kami bertolak dari dari Bismark, North Dakota pada jam 11.10 pagi dan tiba di Pierre,South Dakota sekitar jam 3.00 petang. Masa pemanduan yang sepatutnya 3 jam 30 minit telah sedikit lewat kerana kami berhenti di stesen minyak dan mengambil gambar di sempadan dua buah negeri.

Jelas kelihatan betapa kecilnya bandar ini kerana begitu sukar untuk melihat penduduk tempatan yang keluar bersiar-siar malah kenderaan juga tidak banyak tambahan pula kunjungan kami adalah pada hari Ahad. Semestinya lokasi utama yang kami lawati ialah pusat pentadbiran kerajaan negeri (South Dakota State Capitol) dan kemudian ke tugu peringatan tentera yang terletak berdekatan dengannya.




















































Nantikan artikel bahagian 2 di mana saya berkongsi gambar-gambar yang dirakamkan di sekitar bandar Pierre.

Jika anda mempunyai sebarang pertanyaan tentang melancong, sila nyatakan di dalam ruangan komen dan tinggalkan alamat e-mel untuk saya membalasnya kelak. Anda juga boleh ikuti perkembangan terkini saya melalui akaun Instagram, blog_th2010.