Wednesday 28 August 2019

Tips Lawatan Satu Hari Ke Seattle

Saya sering kali menerima soalan mengenai Seattle, Washington daripada pembaca dan pengikut Instagram saya walaupun telah banyak artikel mengenainya telah disiarkan di laman blog ini. Suami saya pernah menetap di Seattle lebih kurang 20 tahun yang lalu manakala saya pula pertama kali menjejakkan kaki ke Seattle pada tahun 2012 dan selepas dari itu saya dan suami sudah kerap ke sana apa lagi sejak kami menetap di Vancouver, Kanada. Jarak pemanduan antara Vancouver dan Seattle ialah 2 jam 30 minit tetapi jarak antara rumah saya dengan Seattle ialah hanya 2 jam. Oleh kerana itulah kami datang ke Seattle satu atau dua kali sebulan sama ada tidur beberapa malam atau sekadar datang beberapa jam semata-mata untuk menikmati makan tengah hari atau malam.

Untuk artikel kali ini saya berkongsi dengan anda bagaimana ingin mengisi jadual untuk bersiar-siar di Seattle sekiranya masa terhad contohnya satu atau separuh hari. Kesemua gambar dan video yang dimuat naik seperti di bawah ini saya rakamkan pada 10hb Mac yang lalu. Pemanduan dari Vancouver bermula pada awal pagi dan pulang semula pada lewat malam hari yang sama. Cuaca  pada hari itu sangat baik dan terang benderang walaupun sebenarnya suhu yang sejuk.

Tempat yang mesti dilawati apabila berada di Seattle ialah Pike Place Market. Pasar ini bukan sahaja menjual bahan mentah basah dan kering tetapi di sini turut menempatkan restoran makanan laut, kafe, kedai-kedai menjual cenderamata dan barangan antik. Apabila singgah di pasar ikan, pengunjung tidak akan melepaskan peluang melihat persembahan melambung ikan. Video itu telah saya kongsikan di dalam saluran You Tube Shery NN pada tahun 2017; https://youtu.be/i5Kx-Kb8-6M

Lokasi bagi Kedai Starbucks Pertama Di Dunia pula ialah hanya berhadapan dengan pasar. Keluasan kedainya agak sempit dan tidak ada ruang bagi pelanggan untuk duduk dan minum. Selalunya saya dan suami datang ke kedai ini hanya untuk mengambil gambar dan membeli cenderamata edisi terhad. Walaupun sudah kerap datang ke sini, tetapi kami tetap mengambil gambar wajib di hadapan kedai sekadar untuk keseronokan.

Tempat seterusnya yang menarik untuk dilawati ialah Gum Wall. Masa berjalan kaki dari Pike Place Market ke Gum Wall ialah kurang dari 5 minit. Gum Wall terkenal kerana ribuan gula-gula getah dilekatkan di kedua-dua buah dinding bangunan di lorong yang bernama Post Alley. Saya ada memberikan sedikit komen mengenai Gum Wall di dalam video di bawah ini.

Lawatan ke Seattle tidak akan lengkap sekiranya tidak melihat dari dekat ikon bandar ini yang juga merupakan antara menara terkenal di dunia iaitu Space Needle. Cara yang mudah untuk ke Space Needle dari pusat bandar ialah dengan menaiki monorel berbayar di Westlake Center atau berjalan kaki. Antara filem terkenal yang memaparkan Seattle dan poster yang berlatar belakangkan Space Needle ialah Sleepless In Seattle lakonan Tom Hanks dan Meg Ryan, Fifty Shades Of Grey lakonan Dakota Johnson dan Jamie Dornan, manakala drama bersiri pula ialah Grey's Anatomy. Sekiranya anda mempunyai masa yang terhad dan tidak dapat menaiki menara, sekurang-kurangnya anda perlu mengambil gambar di sekitar kawasan termasuk juga bangunan bersebelahan Space Needle iaitu MOPOP (Museum Of Pop Culture) yang begitu unik sekali.

Saya pasti masih ramai yang tidak mengetahui bahawa kilang pengeluaran, pemasangan utama dan ibu pejabat kapal terbang Boeing ialah di Everett, Washington yang jaraknya lebih kurang 38 kilometer dari bandar Seattle. Aktiviti menarik di sini yang tidak boleh diperolehi di tempat lain ialah melawat ke kilang Boeing. Ia merupakan lawatan berbayar dan pengangkutan disediakan dari Future Of Flight Aviation Center & Boeing Tour. Seperti yang biasa saya sarankan sebelum ini, adalah lebih terjamin jika mendapatkan tiket lebih awal melalui pembelian atas talian (online) dan pada pendapat saya waktu pagi adalah sesuai untuk mengadakan lawatan seperti mana yang saya lakukan 7 tahun lalu. Telefon bimbit dan kamera tidak dibenarkan dibawa semasa lawatan tetapi jangan risau kerana di dalam bangunan Future Of Flight Aviation Center menempatkan banyak peti penyimpanan barang.
Cara mudah untuk ke Everett ialah dengan menyewa kenderaan dari Seattle. Pilihan kedua pula ialah dengan menaiki bas awam dari Seattle ke Everett dan kemudian mengambil teksi ke Future Of Flight Aviation Center & Boeing Tour di Mukilteo.

Tidak kira sama ada semasa pemanduan pergi dari Vancouver, Kanada atau pulang dari Seattle, perjalanan pasti akan menempuh kilang Boeing di Everett. Bak kata peribahasa Melayu, "alang-alang menyeluk pekasam, biar sampai ke pangkal lengan". Justeru itu setiap kali ke Seattle pasti saya dan suami singgah ke Everett tambahan pula di sini tempat nostalgia suami kerana beliau pernah menjalani latihan penerbangan di Lapangan Terbang Paine Feild di mana landasan yang sama dikongsi untuk latihan juru terbang dan penerbangan ujian (test flight) yang dilakukan untuk semua kapal terbang Boeing yang baru.

Salah satu restoran makanan laut kegemaran saya dan suami yang ada di Amerika Syarikat ialah Red Lobster. Kami pernah menjamu selera di empat daripada sepuluh buah cawangan Red Lobster yang terdapat di negeri Washington akan tetapi cawangan yang paling kerap dikunjungi ialah di Lynnwood kerana ia terletak paling hampir dengan Vancouver bersamaan dengan 1 jam 30 minit masa pemanduan dari sempadan Kanada dan Amerika Syarikat.

Cukup dahulu setakat ini saya kongsikan kepada pembaca bagaimana saya memenuhi masa hampir satu hari di Seattle. Tidak lama lagi saya akan siarkan artikel mengenai Seattle yang saya lawati buat kali kedua pada bulan Mac dan Mei yang lalu.





























j



































Video lawatan satu hari ke Seattle pada musim sejuk boleh ditonton melalui saluran You Tube Shery NN; https://youtu.be/ZppoPBcu2GQ

Merujuk kepada beberapa waktu pemanduan yang saya nyatakan di atas tadi, untuk maklumat anda ia adalah tempoh waktu yang tidak termasuk kesesakan lalu lintas di sempadan negara atau lebuh raya  pada waktu puncak atau sekiranya terjadi kemalangan. Sekiranya kejadian tidak diingini berlaku, maka waktu pemanduan akan lebih dari biasa.

Instagram : blog_th2010
You Tube : Shery NN