Thursday 31 December 2020

Imbasan Tahun 2020

Pada awal tahun 2020 ramai yang menyambut tahun baharu dengan teruja dan mengharapkan tuah serta kegembiraan tambahan pula dengan nombor yang nampak cantik iaitu '2020'. Pada akhir tahun seperti hari ini pula, saya pasti ramai akan mengatakan bahawa tahun 2020 adalah tahun yang malang dan tidak membawa tuah. Gara-gara Coronavirus, dunia seperti tonggang langgang dan kucar kacir. Norma baharu sudah nampak sebati dengan diri kita. Itulah yang dinamakan kehidupan seperti roda kerana kita tidak akan sentiasa berada di atas. Pahit manis merupakan rencah kehidupan. 

Sedang dunia membenci tahun 2020, saya pula secara jujurnya berasa tahun ini lebih baik dari tahun lalu. Ini merujuk kepada tahap kesihatan saya yang banyak melalaui perubahan positif walaupun perjalanan untuk sembuh itu berliku-liku dan mencabar mental serta fizikal. Dengan semangat yang ada, saya juga dapat menanganinya jauh beza jika hendak dibandingkan dengan tahun 2019.


Pada 7 Januari, laman blog Terjemahan Hati kesayangan saya melangkau ke usia 10 tahun. Untuk mengekalkan laman blog yang aktif bukanlah satu perkara yang mudah. Ia memerlukan keseimbangan minat dan komitmen terutamanya dari segi masa. Blog ini juga tidak akan kekal hingga ke hari ini tanpa sokongan dari para pembaca.

Rezeki menyebelahi saya pada musim panas beberapa bulan lalu kerana saya dapat mengikut suami yang bekerja di luar kawasan selama beberapa minggu. Kami berpeluang mengembara dengan kereta dari pantai barat sehingga ke pantai timur Kanada. Sepanjang kembara pada pandemik COVID-19, kami telah mematuhi segala syarat dan peraturan yang ditetapkan oleh kerajaan. Banyak tempat-tempat baharu yang menarik yang telah dilawati. Anda boleh ikuti artikel kembara saya yang mula disiarkan pada 7 Oktober 
http://sharery.blogspot.com/2020/10/pemanduan-dari-vancouver-ke-calgary.html  sehingga yang terkini ialah artikel bertarikh 29 Disember.
Tidak habis di situ sahaja, artikel seterusnya akan bersambung pada tahun hadapan (Januari 2021).



26 November ialah hari ulang tahun saya yang ke-39. Setiap tahun saya pasti akan menelefon insan yang melahirkan saya. Begitu juga dengan tahun ini di mana dengan panggilan video dapat saya tunjukkan kepada ibu hadiah-hadiah saya dan beliau memuji loket rantai saya. 

Saya berasa 12 bulan berlalu dengan pantas. Adakah anda juga merasainya seperti saya? 

Di dalam kestabilan menjejak langkah untuk mengakhiri bulan Disember dan membuka lembaran tahun baharu, saya 'tersungkur' dek kerana ujian dan dugaan yang diterima secara mengejut. Pada 9 Disember (waktu Malaysia), ibu saya telah pergi buat selama-lamanya. 

Di bawah ini saya sertakan luahan hati yang ditulis dan dikongsikan di Instagram dan Facebook.

"Di kesempatan ini saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada anda yang menyampaikan ucapan takziah di atas pemergian ibu saya beberapa hari lalu. Lebih dari itu ada yang berhubung terus dengan saya melalui mesej dan panggilan telefon malah ada yang memeriksa keadaan saya setiap hari. 

Melihat secara langsung proses pengkebumian ibu jauh beribu batu melalui panggilan video membuatkan hati saya luluh. Melihat keluarga dapat memegang, memeluk dan mencium ibu buat kali terakhir membuatkan saya rasa cemburu. Apa yang boleh saya lakukan pada waktu itu ialah mencium skrin telefon tanda ciuman selamat tinggal untuk ibu tercinta dengan tangisan yang mengalir. Kehilangan kedua ibu bapa adalah sukar untuk diterjemahkan dengan kata-kata. Hanya mereka yang pernah mengalaminya yang boleh merasai perasaan saya pada waktu ini. 


Di dalam gambar di bawah saya memakai baju kurung milik ibu saya yang disimpan sejak dari 2012. Manakala dua keping gambar polaroid ini telah lama saya letakkan di dalam beg duit saya. Terima kasih sekali lagi kepada anda yang memanjatkan doa dan memberi kata-kata semangat kepada saya. InsyaAllah saya akan terus kuat dan tabah kerana saya tidak mahu mengabaikan kesihatan mental serta fizikal saya."


Shery NN

12 Disember 2020

❤️❤️

Nampaknya perbualan video dan mata bertentang mata antara kami pada hari ulang tahun saya merupakan yang terakhir. Saya tahu tidak ada sesiapa yang kekal di dunia ini. Tetapi kehilangan ibu tercinta adalah sangat pahit untuk ditelan. Selamat tinggal 2020, selamat tinggal ibunda Fatimah. Berehat dan damailah di sana.
AL FATIHAH

Instagram : blog_th2010
Facebook : blog_th2010
You Tube : Shery NN

Tuesday 29 December 2020

Fairfield Inn & Suites by Marriott, Toronto Missisauga

Fairfield Inn & Suites by Marriott Toronto Mississauga terletak 31 kilometer dari pusat bandar Toronto dan hanya 15 kilometer dari Lapangan Terbang Antarabangsa Toronto Pearson. Hotel ini menjadi pilihan kerana lokasinya yang strategik untuk ke pusat membeli belah kegemaran iaitu Square One dan memudahkan kami untuk menyambung pemanduan pada keesokkan hari. Mississauga juga dikenali sebagai lubuk makanan halal pelbagai citarasa. Bilik yang diterima ialah King Suite di mana ia memang agak selesa dan besar berbanding dari bilik lain. Olek kerana pandemik COVID-19, pihak hotel tidak membenarkan tetamu menggunakan kemudahan lain. 










Instagram : blog_th2010
Facebook : blog_th2010
You Tube : Shery NN

Monday 28 December 2020

Pemanduan Dari Sault St. Marie Ke Mississauga, Ontario

Dari Sault Ste. Marie pemanduan diteruskan ke Mississauga, Ontario. Jarak antara kedua buah bandar ialah 690 kilometer. Di sepanjang perjalanan ini, saya dan suami hanya membuat tiga atau empat persinggahan iaitu di Sudbury pada tengah hari dan Richmond Hill pada waktu petang untuk membeli makanan di sebuah restoran Malaysia. 

Selain menempuhi kampung dan pekan kecil, pemandangan di sebelah kiri dan kanan ialah ladang dan tasik. Seperti yang pernah saya nyatakan di dalam artikel terdahulu, Ontario mempunyai lebih dari
250 000 buah tasik pelbagai saiz.  Oleh kerana saya kurang sihat, maka tidak banyak gambar yang dapat dirakamkan. Video juga boleh ditonton melalui saluran You Tube Shery NN ;https://youtu.be/VA-cBnVV6X4















Instagram : blog_th2010
Facebook : blog_th2010
You Tube : Shery NN

Tuesday 22 December 2020

Sault Ste. Marie, Ontario

Sault Ste. Marie, Ontario (disebut soo-seint ma ree) ialah sebuah bandar yang terletak berdekatan dengan Sungai St. Marys yang juga sungai yang memisahkan antara Kanada dan Amerika Syarikat. Bandar di Amerika Syarikat yang menghubungkan dengan Sault Ste. Marie, Ontario juga diberi nama Sault Ste. Marie iaitu di negeri Michigan, Amerika Syarikat. Anda boleh melihat peta sempadan melalui salah satu gambar yang saya kongsikan di bawah.

Tempat pertama yang ditinjau semasa berada di Sault Ste. Marie ialah lapangan terbang. Persekitaran di situ agak sunyi sama juga dengan lapangan terbang di beberapa buah bandar lain yang saya lawati pada musim pandemik COVID-19. Kemudian saya ke pusat bandar untuk menikmati pemandangan di sekitar Sungai St. Marys dan melihat Amerika Syarikat dari jauh. Saya tidak pasti mengapa saya melihat bandar ini seperti sepi dan muram. Adakah kerana cuaca yang mendung atau musim pandemik atau bilangan penduduk tempatan semakin berkurangan. Semuanya menjadi tanda tanya di fikiran saya sepanjang empat hari saya ke sini iaitu pada 6, 7, 15 dan 16 Julai. 
































Instagram : blog_th2010
Facebook : blog_th2010
You Tube : Shery NN