Thursday, 27 February 2014

Sejarah Radio Melayu Perth

Assalamualaikum w.h.t dan Salam Sejahtera

Radio Melayu Perth bermula pada tahun 1990. Tulang belakang yang mula-mula 'menghidupkan' serta menjayakannya ialah Allahyarham Haji Dubney dan anak perempuan beliau Hajjah Juti (Juti Ali).

Juti dilahirkan di Pulau Cocos dan beliau sekeluarga berpindah ke Perth pada tahun 1978. Suka dimaklumkan di sini, Juti dan suaminya iaitu Osman Ali merupakan antara penduduk Melayu awal yang menetap di Perth sekaligus sekarang ini mereka dianggap sebagai orang lama/veteran di Perth. Pengorbanan, hasil kerja serta jasa Juti terhadap komuniti tempatan khususnya di negeri Australia Barat adalah amat besar sekali sehinggakan mendapat perhatian dari ahli politik dan kerajaan. Pasangan suami isteri ini turut terkenal di kalangan penduduk di Katanning (sebuah daerah/pekan kecil di Australia Barat yang ramai penduduk Melayu), Pulau Cocos dan Pulau Krismas.

Di bawah ini saya sertakan dua gambar dari keratan majalah Jelita (majalah dari Malaysia) yang diterbitkan pada Oktober 2009 di mana wartawan Kusyi Hirdan datang ke Perth lalu menemuramah Juti dan salah seorang lagi juruhebah sukarelawan iaitu Azly. Secara kebetulan saya turut berpeluang berjumpa dengan wartawan Kusyi Hirdan di Perth yang pada ketika itu saya dan ibu turut datang bercuti ke sana. Itulah pertama kali saya merasai pengalaman berada konti radio dan melihat siaran secara langsung.

Azly : Suami saya menawarkan diri menjadi sukarelawan sebagai juruhebah radio sambilan sejak dari tahun 1999 sehingga 2010. Walaupun pada waktu itu beliau sentiasa sibuk dengan kerjayanya, tetapi jika ada kelapangan beliau akan cuba juga untuk ke konti radio. Oleh kerana suami saya didedahkan dengan pendidikan dalam bahasa Inggeris seawal umur empat tahun bermula dari pra sekolah di Singapura sehingga bersekolah di Australia, maka beliau memanfaatkan peluang yang ada demi untuk mempertingkatkan lagi mutu bahasa Melayu.


Gambar atas kiri : Azly dan Juti sedang bersiaran pada hari Sabtu jam 9.00 malam.

Gambar atas kanan : Wartawan Kusyi Hirdan berdiri di sebelah Juti, manakala di belakang itu ialah saya sendiri, ibu mertua (tengah) dan ibu saya (paling kanan).



Majlis Nusantara Raya yang diadakan pada tahun 2009 di Perth telah mendapat perhatian dari stesen televisyen terkenal Malaysia iaitu TV3. Sekali lagi, Juti telah menjadi tumpuan justeru ditemuramah oleh pengacara.

Selepas berkahwin dan berhijrah ke Australia, saya sempat menemani suami saya bersiaran di Radio Melayu Perth selama beberapa kali sebelum kami berpindah ke Melbourne dan seterusnya ke Amerika Syarikat.
Gambar-gambar di bawah saya rakamkan sekitar tahun 2009 dan 2010.




Azly dan Hazlina.

Hazlina Halim : Beliau menawarkan diri menjadi penyampai radio sambilan semasa melanjutkan pelajarannya di Perth. Hazlina kini merupakan pengacara televisyen terkenal, pembaca berita radio dan televisyen, wartawan dan pensyarah di Singapura.



Gambar atas : Radio Melayu Perth bersiaran setiap hari Sabtu bermula jam 9.00 malam.

Gambar bawah :  Laporan cuaca turut disampaikan kepada para pendengar.

Kenangan semasa suami saya bersiaran dengan Juti buat kali terakhir beberapa hari sebelum menjelangnya Hari Raya Aidilfitri pada tahun 2010 sebelum kami berpindah ke Melbourne.

Lampu kuning bermaksud konti radio menerima panggilan masuk dari pendengar.

Saya berharap anda dapat membaca artikel dari keratan majalah Jelita yang saya kongsikan di atas supaya anda memperolehi cerita penuh dan sejarah tentang Radio Melayu Perth dari sumber yang asli.

No comments:

Post a Comment