Tuesday, 17 July 2018

Musim Sejuk Bersalji Disember 2017 Di Vancouver

Secara rasminya musim sejuk (winter) bermula pada 21 Disember setiap tahun di Kanada. Walau bagaimanapun suhu pada musim luruh sudah mula rendah dan salji juga turun lebih awal. Di sini saya ingin jelaskan sedikit mengenai salji kepada anda terutama yang tidak pernah tinggal di negara empat musim atau selama ini anda mempunyai tanggapan yang salah mengenainya.

Salji ibarat seperti hujan. Ia tidak akan turun setiap hari pada musim sejuk. Ada masanya ia akan berhenti untuk beberapa hari atau akan turun sepanjang hari. Jumlah salji yang turun juga tidak menentu dan berbeza di setiap tempat. Ada masanya salji cepat cair dan ada masanya ia akan kekal berminggu-minggu atau berbulan-bulan. Ada pula kawasan yang bergunung ganang yang puncaknya diselaputi salji sepanjang tahun.

Salji memang indah dilihat tetapi ia juga membuatkan kesulitan kepada ramai orang terutamanya apabila berlakunya ribut salji atau runtuhan salji dari gunung. Ia menyukarkan orang ramai untuk pergi dan pulang kerja atau sekolah. Kemalangan jalan raya juga meningkat akibat dari kejadian semula jadi yang tidak dapat dielakkan seperti ini. Penduduk di kawasan perumahan juga perlu bertanggung jawab untuk memastikan laluan pejalan kaki di keliling rumah sentiasa bersih dan senang untuk pejalan kaki. Penyedok salji (snow shovel) dan garam (rock salt) merupakan antara keperluan penting bagi mereka. Tayar kenderaan juga wajib ditukar kepada tayar musim sejuk (winter tyres) dan rantai (snow chains) perlu dipasang di tayar apabila melalui kawasan pergunungan atau yang bersalji tebal. Apabila saya nyatakan wajib, ia bermaksud ini ialah termasuk di dalam undang-undang jalan raya. Seperti contoh di kebanyakan tempat di daerah British Columbia, Kanada, pemilik kenderaan wajib menggunakan tayar musim sejuk bermula dari 1 Oktober hingga 31 Mac setiap tahun.

Sejak dari dulu lagi saya dan suami memilih untuk tinggal di apartmen kerana kami tidak perlu memikir atau melakukan perkara-perkara seperti yang disenaraikan di atas. Selain daripada itu, jika anda melihat gambar pemandangan pada musim sejuk yang cuacanya terang benderang serta langit membiru ia tidak bermaksud panas. Suhunya tetap rendah dan kemungkinan lebih sejuk berbanding ketika salji yang sedang turun. Di bawah ini saya kongsikan koleksi gambar dan video musim sejuk yang bersalji sepanjang bulan Disember. Ia dirakamkan setakat yang saya boleh iaitu apabila kebetulan saya berada di luar rumah atau mempunyai urusan.
Video di atas boleh juga ditonton melalui saluran You Tube Shery NN ;
Video pertama : https://youtu.be/Eo73_rDIe0I
Video kedua : https://youtu.be/161HVFG5tUQ

Instagram : blog_th2010
You Tube : Shery NN

No comments:

Post a Comment