Tasik Crater merupakan salah satu tempat menarik di Amerika Syarikat dan antara tujuh tempat keajaiban di Oregon yang memang teringin untuk saya lawati. Sebelum ini saya melihat pemandangan indah Tasik Crater melalui gambar-gambar sahaja. Tidak dinafikan pemandangan lebih menarik pada musim sejuk dan bersalji tetap musim sejuk bukanlah waktu yang sesuai untuk pergi melawat dan amat berisiko untuk membuat pemanduan. Kedatangan pada bulan September iaitu pada awal musim luruh saya rasakan amat sesuai apatah lagi ia bukan pada musim cuti sekolah atau cuti umum. Seperkara lagi kami dapat mengelak dari cuaca buruk yang mungkin bakal terjadi pada minggu seterusnya kerana mengikut ramalan kaji cuaca, salji akan mulai turun pada bulan Oktober.
Tasik Crater pada asalnya terbentuk dari runtuhan gunung berapi di Gunung Mazama semasa letusan terbesar terjadi lebih dari 7,700 tahun yang lalu. Letusan Gunung Mazama telah mengubah landskap di sekeliling gunung berapi di mana ia masih boleh dilihat sehingga ke hari ini. Tasik Crater ialah tasik yang paling dalam di Amerika Syarikat dan yang ketujuh di dunia. Kandungan air tasik ini datangnya dari salji yang sudah cair sekaligus menjadikan ia adalah antara air tasik yang terbersih di dunia. Dalam keadaan cuaca yang terang benderang, ia menampakkan lagi pemandangan yang begitu indah di mana langit yang membiru tanpa awan sama warnanya dengan air Tasik Crater.
Benarlah bak kata pepatah yang mengatakan bahawa perjalanan itu lebih penting dari sesebuah destinasi. Walaupun Tasik Crater ialah tempat yang ingin saya lawati, tetapi gambar-gambar dan video yang dirakamkan di sepanjang perjalanan pergi dan pulang lebih banyak berbanding di Tasik Crater. Saya turut membawa anda bersama mengikuti pengalaman kembara melalui video yang telah dirakamkan. Jumlah pelawat yang agak kurang juga membuatkan senang bagi saya rakamkan video tanpa banyak ganguan bunyi dari latar belakang. Video tersebut tidak dapat saya muat naik di sini kerana saiznya yang agak besar. Sila tonton video Tasik Crater di Saluran You Tube Shery NN yang alamatnya saya letakkan di bahagian ini.
https://youtu.be/ztPkMPSn1JU
You Tube : Shery NN
No comments:
Post a Comment