Setelah berada di Edmonton selama hampir dua minggu, saya dan suami menyambung pemanduan menuju ke pantai timur Kanada. Pada 3 Julai 2020, pemanduan bermula dari Hampton Inn & Suites Edmonton/West pada jam 6:30 pagi. Mengikut perancangan, pada hari tersebut kami akan bermalam di Winnipeg, Manitoba dan akan berhenti di beberapa tempat di sepanjang perjalanan.
Persinggahan pertama ialah di Llyodminster yang jaraknya dengan Edmonton ialah 250 kilometer tetapi jarak dari hotel ialah 271 kilometer. Bandar ini merupakan titik sempadan antara dua negeri (province) iaitu Alberta dan Saskatchewan. Tanda pemisah antara keduanya ialah jalan raya di mana di situ diletakkan beberapa penanda atau tiang merah. Saya tidak menyangka Llyodminster yang jauh dari bandar besar seperti Edmonton yang mempunyai bilangan penduduk yang kecil ini mempunyai sebuah masjid. Ini bermakna terdapat umat Islam yang tinggal di sini.
Dari Llyodminster pemanduan diteruskan ke bandar paling besar di Saskatchewan iaitu Saskatoon. Jarak antara kedua buah bandar ialah 271 kilometer. Artikel berasingan mengenai Saskatoon akan di siarkan tidak lama lagi. Dari Saskatoon, pemanduan disambung sepanjang 261 kilometer menuju ke Regina. Pada awalnya kami berhasrat untuk bersiar di bandar Regina, tetapi memikirkan lama lagi untuk kami sampai ke Winnipeg, maka Regina akan kami singgah semasa pemanduan pulang pada dua minggu akan datang.
Ketika tiba pada kilometer ke-70 pemanduan dari Regina, kami singgah tanpa sengaja di Indian Head. Salah satu sebab utama Indian Head terkenal ialah di sini tempat pengambaran drama komedi bersiri terkenal Kanada iaitu Little Mosque On The Prairie. Ia mengisahkan kisah kehidupan komuniti Islam di Mercy (bandar rekaan), Saskatchewan. Persinggahan seterusnya ialah di sempadan kedua buah negeri (province) antara Saskatchewan dan Manitoba. Mujurlah kembara ini dilakukan pada musim panas yang siang harinya panjang dan dapatlah saya bergambar dengan papan tanda selamat datang walaupun pada waktu itu jam menunjukkan pukul 8:30 malam.
Tanpa berlengah lagi, pemanduan diteruskan dan kami berhenti di Brandon untuk makan malam. Dari Brandon tidak ada lagi tempat untuk disinggahi melainkan terus ke hotel di Winnipeg. Kami selamat tiba di Courtyard by Marriott Winnipeg Airport pada jam 12:00 tengah malam. Jarak dari Regina dengan hotel di Winnipeg ialah 570 kilometer dan jumlah keseluruhan pemanduan yang dilakukan oleh suami saya yang bermula dari hotel di Edmonton sehingga ke hotel di Winnipeg ialah 1373 kilometer bersamaan dengan 18 jam pemanduan termasuk berhenti di beberapa buah tempat.
Tidak dinafikan pemanduan ini meletihkan dari segi mental kerana secara majoritinya kami hanya melihat ladang yang terbentang luas di kiri dan kanan jalan dari pagi sehingga ke malam. Namun disebabkan kami sudah biasa melakukan pemanduan jarak jauh, maka ia tidaklah mendatangkan masalah. Akan tetapi bagi mereka yang tidak pernah atau jarang melakukan pemanduan jarak jauh, saya menyarankan supaya anda berhenti dan bermalam di pertengahan perjalanan. Video penuh boleh ditonton melalui saluran You Tube Shery NN ; https://youtu.be/Fjqq1mrsw94
Instagram : blog_th2010
Facebook : blog_th2010
You Tube : Shery NN
No comments:
Post a Comment