Monday, 31 December 2012

Imbasan 2012

Assalamualaikum w.h.t dan Salam Sejahtera

Tahun 2012 saya rasakan tahun yang paling cepat masa berlalu berbanding tahun-tahun sebelumnya walaupun dalam tahun ini saya pernah melalui fasa yang merumitkan sehingga saya merasa tempoh tiga bulan itu masa dan tarikhnya tidak bergerak- gerak ke hadapan (Januari hingga Mac) .
Dalam tempoh tiga bulan itu juga saya berjauhan dengan suami (beliau di Amerika Syarikat dan saya di Australia).Berjauhan sebenarnya tidak menjadi masalah bagi saya memandangkan kami sudah biasa berjauhan sejak dari belum berkahwin lagi.Yang menjadi tekanan ialah saya sedang menunggu kelulusan taraf penduduk tetap yang sudah dua tahun saya mohon.Jika keputusan tidak sampai ke tangan saya,maka sekaligus saya belum ada harapan untuk bertemu dengan suami.
Berkat kesabaran dan doa yang tidak putus-putus selama dua tahun dan empat bulan serta tidak pernah keluar dari negara Australia,akhirnya pada 14hb Febuari saya dengan rasminya telah mendapat Taraf Penduduk Tetap (PR) Australia.
Selepas daripada itu, saya seorang diri telah menguruskan urusan visa Amerika Syarikat yang amat rumit prosesnya termasuklah menghadiri temuduga di Konsulat Jeneral Amerika Syarikat di Melbourne.

Setelah menetap dan tidak pernah keluar dari Australia selama dua tahun dan empat bulan (salah satu prosedur apabila memohon PR ialah Jabatan Imigresen menasihati dan tidak menggalakan pemohon supaya keluar negara) akhirnya sejarah dicipta pada 16hbMac apabila saya melangkah keluar negara dan terbang jauh ke Amerika Syarikat untuk bertemu dengan suami.
Dahulu saya membayangkan selepas mendapat PR,saya akan terus pulang ke Malaysia.Tidak di sangka suami perlu bertugas ke Amerika Syarikat dan tentunya saya harus ke sana bersama beliau.Itu yang utama.
Gambar atas : Pesawat komersial terbesar dunia iaitu A380 dengan nombor pesawat  QF 93 telah menerbangkan saya dari Melbourne ke Los Angeles

Gambar bawah : Dari Melbourne ke Los Angeles kemudian menyambung penerbangan ke Denver seterusnya penerbangan terakhir dari Denver ke Farmington.Keseluruhan jumlah masa penerbangan termasuk transit sudah mencapai 24jam
Baru satu penerbangan iaitu QF 93 dari Melbourne ke Los Angeles mengambil masa 13jam dan 31minit
Sepanjang berada di Amerika Syarikat, saya dan suami banyak melakukan "road trip" dengan menjelajah ke seluruh pelusuk negeri di dalam negara ini.Dari situ kami mendapat banyak pengalaman dan ilmu pengetahuan yang begitu berharga sekali.Saya juga telah mendapat beberapa rakan baru dan keluarga angkat.
Sebanyak 18 (berbintang merah) daripada keseluruhan 50 buah negeri di dalam Amerika Syarikat yang sudah saya lawati,Jika mengikut keluasan, saya sudah menjelajah separuh daripada Amerika Syarikat.

* Ini ialah rekod peribadi saya dan tidak termasuk suami kerana rekod beliau sudah melebihi dari saya :)

Inilah bukti saya sudah berada di 18 buah negeri di dalam Amerika Syarikat. Saya dan suami akan berhenti dan mengambil gambar setiap kali memasuki sempadan negeri.Ada beberapa sempadan negeri yang tidak dapat kami berhenti kerana papan tandanya betul-betul di dalam lebuhraya dan ada pula di tengah jalanraya
Jujur saya katakan,saya penduduk Australia yang datang ke Amerika Syarikat melihat apa juga barangan yang dijual termasuk harga makanan,hartanah dan lain lain seolah-olah sama seperti rakyat Malaysia yang pergi bercuti dan membeli belah di Indonesia.
Apa sahaja yang dijual di Amerika Syarikat harganya sangat murah berbanding di Australia.
Seperkara lagi,ingin saya ceritakan di sini kebanyakan penduduk tempatan ramah tamah dan menghormati rakyat dan pelancong yang berlainan bangsa dan agama.Alhamdulilah sepanjang di Amerika Syarikat , saya tidak pernah menghadapi isu diskriminasi kaum.
Satu contoh ialah semasa 11hb September yang lalu,pada hari itu,tidak ada isu rakyat tempatan membenci agama Islam yang dibangkitkan.Pemimpin negara dan rakyat lebih kepada memperingati mereka yang terkorban.Sehari selepas itu, saya berada di Chicago keluar berjalan-jalan dan memakai tudung seperti biasa.Tidak ada orang yang memandang sinis terhadap saya sebaliknya saya diberi layanan baik di pusat membeli belah dan restoran. Tetapi yang saya peliknya mengapa negara lain yang sering bangkitkan isu lama,sejarah lama dan tidak berputus asa melaga-lagakan umat Islam dengan penganut agama lain?

Satu lagi kenangan manis saya semasa di Amerika Syarikat ialah berpeluang menyaksikan persembahan dan berjumpa dengan penyanyi Malaysia iaitu Yuna pada bulan Jun lepas.Sebenarnya saya kurang meminati artis Malaysia,penyanyi pujaan pun boleh dikira dengan jari tetapi tidak bagi Yuna.Saya meminati beliau sejak beliau popular dengan lagu Dan Sebenarnya.Kami sanggup memandu berjam-jam lamanya untuk sampai ke Denver Colorado semata-mata mahu menyaksikan persembahan beliau.
Kenangan manis ditambah lagi apabila pada 26 hb Disember 2012 saya telah mendapat pujian dari Yuna mengenai blog Terjemahan Hati.Terima kasih Yuna kerana sudi singgah di sini.Saya terkejut dan dalam masa yang sama rasa sangat gembira dan menghargainya :)

Jika di Australia saya sudah manfaatkan dua tahun empat bulan tidak keluar negara dengan melancong dan mengembara di serata pelusuk bumi Kangaroo.Selepas ini,InsyaAllah saya dan suami akan menyambung lagi "road trip" bagi melengkapkan misi menakluki satu negara Amerika Syarikat pula. :-)

Tahun 2012 juga menjadi saksi usia perkahwinan saya dan suami menginjak ke tahun yang ke tiga.
Doa saya semoga rumahtangga kami kekal bahagia hingga akhir hayat.

Pernikahan pada 25hb September 2009

Sebelum tirai imbasan 2012 ini ditutup, saya sertakan gambar terakhir dan berkongsi cerita terakhir untuk pembaca semua.

Setelah tiga tahun berpisah, akhirnya pada bulan September lepas saya dapat juga bertemu,cium tangan dan memeluk ibu tersayang.
Seperti yang pernah saya ceritakan sebelum ini,angan-angan saya selepas mendapat PR, saya akan pulang ke Malaysia dari Melbourne atau Perth.Tidak menyangka pula yang saya pulang ke Malaysia kali ini dari Amerika Syarikat dan Dubai.

Bersama ibu setelah tiga tahun berpisah.InsyaAllah panjang umur dan murah rezeki kita akan bertemu lagi
Beginilah sedikit sebanyak luahan hati / kenangan manis sepanjang 2012 yang saya simpulkan khas untuk para pembaca.Teruskan bersama Terjemahan Hati dan sehingga kita berjumpa lagi pada tahun hadapan , InsyaAllah. :-)

1 comment: