Sunday, 3 June 2018

Pemandangan Musim Luruh Di Stanley Park November 2017

Stanley Park ialah sebuah taman awam yang berkeluasan 405 hektar yang terletak di bandar Vancouver. Hampir keseluruhan taman ini dikelilingi oleh air dari English Bay dan Vancouver Harbour sekaligus menjadikan Stanley Park seakan seperti sebuah pulau.

Mengikut sejarah, Stanley Park pada asalnya menempatkan masyarakat kaum asli tempatan selama ribuan tahun sehinggalah ia dijajah oleh Britain pada tahun 1858. Selepas lama kawasan ini diabai dan ditinggalkan, ia kemudiannya dijadikan sebagai taman pertama di Vancouver pada tahun 1886 dan nama Stanley Park itu sendiri diambil dari nama Gabenor Jeneral, Frederick Arthur Stanley.

Jika taman awam lain biasanya dihiasi dengan hiasan lanskap semata-mata, sebaliknya berbeza di Stanley Park kerana di sini dikekalkan hutannya tetapi dalam waktu yang sama mempunyai banyak tempat tarikan pengunjung antaranya ialah Pusat Pelawat Pelancongan Vancouver, akuarium, rumah api, restoran, kelab kapal layar, tandas awam, gelanggang tenis dan boling padang, tempat permainan kanak-kanak, taman-taman bunga, panggung wayang terbuka (musim panas sahaja), tempat berkelah dan banyak lagi. Selain itu para pengunjung dapat melihat pemandangan menarik pusat bandar, pelabuhan dan gunung-ganang.

Stanley Park mempunyai keistimewaan pada setiap musim seperti contoh;
- Pengunjung lebih ramai datang beriadah, berkelah dan melakukan aktiviti berjalan kaki serta berbasikal pada musim panas.
- Hamparan bunga magnolia berwarna merah jambu dapat dilihat pada musim bunga.
- Banyak aktiviti tambahan dan festival serta hiasan lampu diserikan pada musim sejuk.
- Pokok-pokok akan bertukar warna serta daun yang berguguran dengan kerap adalah keistimewaan musim luruh.

Antara empat musim yang disenaraikan, saya memilih musim luruh. Berjalan kaki di Stanley Park di atas trek pejalan kaki atau di atas rimbunan daun sambil merakam gambar dan melihat pemandangan indah boleh melupakan saya akan cuaca sejuk dan suhu yang rendah. 
Video ini juga boleh ditonton melalui saluran You Tube Shery NN :
https://youtu.be/X1gyrzgEeik

Instagram : blog_th2010 
You Tube : Shery NN

No comments:

Post a Comment