Wednesday, 13 May 2015

Keseronokan Menembak Di The Gun Store Las Vegas

Assalamualaikum w.h.t dan Salam Sejahtera

Keterujaan untuk melakukan aktiviti menembak di The Gun Store Las Vegas pada dua minggu yang lalu adalah sangat tinggi. Ini kerana saya masih dapat rasa keseronokan semasa pertama kali menembak pada tahun 2012.

Di Amerika Syarikat terdapat begitu banyak lapangan menembak tetapi saya dan suami tetap memilih The Gun Store di Las Vegas. Kami begitu berpuas hati dengan layanan dan perkhidmatan yang diberikan terhadap kami semasa kunjungan terdahulu malah pakej yang ditawarkan amat berpatutan sama sekali.

Pintu masuk hadapan The Gun Store. Saya dan suami tiba lebih kurang jam 10 pagi.

Pintu masuk di bahagian tepi bangunan. Melalui pintu ini pelanggan akan terus masuk ke bahagian pendaftaran dan pembayaran.

Gambar kiri : Beberapa amaran keras yang diberikan kepada pelanggan sebelum dibenarkan menembak,

Gambar kanan : Salah seorang petugas berdiri di belakang saya (photobomb).

Kami masuk melalui pintu di bahagian tepi dan terus ke kaunter pendaftaran. Oleh kerana kami telah membuat tempahan dan bayaran di laman sesawang The Gun Store (secara online), maka di sini kami terus boleh memilih senjata api yang diingini mengikut pakej yang telah dibayar.

Pakej yang ditawarkan kepada pelanggan adalah pelbagai dan harganya bermula serendah USD79.95 sehingga mencecah hampir USD1000.

Kos kelengkapan untuk menembak seperti contoh alat pelindungan mata, telinga, kertas sasaran dan cukai kesemuanya telah dirangkumkan di dalam pakej yang dibayar. Bagi pakej yang saya pilih, The Gun Store menawarkan Glock 19 dengan 20 tembakan dan AR15, AK-47 atau Beretta CX4 dengan 10 tembakan. Pada mulanya saya inginkan AK-47 tetapi jurulatih menembak menyatakan Beretta CX4 lebih baru dan bagus dari yang lain justeru saya memilih apa yang dicadangkan.

Seperti saya dan suami, walaupun ini bukan pengalaman pertama menembak tetapi jurulatih tetap menjalankan tugas beliau dengan memberi tunjuk ajar serta cara pengendalian senjata.
Sepanjang lima tahun wujudnya laman blog Terjemahan Hati, ini merupakan video pertama yang saya kongsikan bersama pembaca. Video ini dirakamkan semasa saya mengendalikan Glock 19.




Gambar kiri : Menembak menggunakan Glock 19. Jurulatih dapat melihat keyakinan dan kebolehan saya dalam mengendalikan Glock 19 maka beliau tidak menyentuh bahu dan belakang saya. Anda turut boleh menonton video  yang saya sertakan di atas untuk memahami apa yang saya sampaikan.

Gambar kanan : Mengendalikan Beretta CX4.
Tidak ada masalah bagi saya mengendalikan Beretta CX4 cuma pada awalnya jurulatih begitu berhati-hati dalam mengawal pergerakan saya kerana ini pertama kali saya menembak menggunakan tangan kiri. 
Hasil keputusan menembak saya dengan menggunakan Beretta CX4. Kesemua tembakan tepat di bahagian perut dan dada si mangsa.

Pakej yang suami saya pilih ialah dapat menembak dengan tiga jenis senjata api yang berbeza iaitu P226 dengan 10 tembakanMP5 dengan 25 tembakan, M16 dengan 25 tembakan. Suami tidak mempunyai masalah dalam menembak kerana beliau berpengalaman mengendalikan pelbagai jenis senjata api dan menerima latihan sempurna semasa beliau menjalani perkhidmatan negara di Singapura hampir 20 tahun yang lalu.

Saya sungguh gembira kerana dapat melepaskan rindu dengan menembak sekali lagi pada tahun ini.

Sempat bergambar bersama jurulatih kami setelah selesai aktiviti menembak.

Semasa pertama kali saya menjejakkan kaki di The Gun Store pada tahun 2012, perasaan saya bercampur baur. Gembira, teruja dan dalam masa yang sama saya takut sekiranya saya akan terkejut dengan das tembakan sendiri sekaligus tangan dan senjata api yang dipegang tersasar. Syukur akhirnya aktiviti berjalan lancar.

Pada kunjungan terkini, saya berjaya menepis segala tanggapan negatif yang pernah saya rasai beberapa tahun lalu. Saya memberikan tumpuan 100% kepada tembakan sehinggakan saya tidak percaya yang jurulatih juga terkejut malah memberikan pujian terhadap saya. Pada awalnya saya menganggap jurulatih sekadar memberikan pujian kosong tetapi setelah pulang dan melihat gambar-gambar yang dirakamkan, baru saya sedar yang jurulatih mempunyai keyakinan terhadap saya sehinggakan beliau tidak mengawal pergerakan saya. Lebih dari itu, semasa saya melihat gambar-gambar yang dirakamkan pada tahun 2012 dan membuat perbandingan keputusan terkini sasaran menembak yang dilakukan, saya turut terkejut dengan peningkatan secara mendadak di dalam kemahiran menembak saya.


Aktiviti menembak yang dilakukan di tempat yang sama pada tahun 2012 dan 2015. Pada tiga tahun yang lalu saya mengendalikan Glock 21 dan M16.

Jika diperhatikan dengan lebih lama anda dapat melihat perbezaan hasil tembakan yang saya lakukan antara dua tahun yang berbeza. Jelas dapat dilihat peningkatan yang drastik yang mengejutkan diri saya sendiri.

The Gun Store turut menjual pelbagai jenis senjata moden dan lama, peluru, pakaian dan kelengkapan menembak serta cenderamata. Pelanggan juga boleh berehat di bahagian kafe yang turut disediakan di sini.



Gambar atas : Baju ini dijual untuk pelanggan walau bagaimanapun kami menerima dua helai secara percuma kerana ia termasuk di dalam pakej yang kami bayar. Rekaan baju percuma yang kami terima (merangkumi pakej yang kami pilih) pada tahun 2012 berbeza dengan baju pada tahun ini.

Gambar bawah : Antara beberapa model senjata yang dipamerkan dan boleh dibeli. Kesemua senjata api dijual kepada pelanggan yang mempunyai lesen menembak yang sah sahaja.

Melangkah keluar dengan rasa puas hati. Sudah empat kali saya mengendalikan senjata api dan ini membuatkan saya rasa 'ketagih' dan tidak sabar untuk melakukannya di lain masa. InsyaAllah jika ada kelapangan saya akan kembali semula keThe Gun Store.


Anda boleh klik dan membaca entri mengenai pengalaman pertama kali saya menembak di bawah ini;
http://sharery.blogspot.com.au/2012/08/pertama-kali-menembak.html


Jika anda mempunyai sebarang pertanyaan, sila nyatakan di dalam ruangan komen dan tinggalkan alamat e-mel untuk saya membalasnya kelak. Anda juga boleh ikuti perkembangan saya melalui akaun Instagram, blog_th2010.

No comments:

Post a Comment