Tuesday 27 December 2016

Tips Mendaki Gunung Kinabalu

Assalamualaikum w.h.t dan Salam Sejahtera

Artikel penuh mengenai pengalaman pendakian saya boleh anda baca menerusi tiga bahagian;
Bahagian 1
http://sharery.blogspot.com/2016/12/ulangtahun-ke-10-mendaki-gunung.html?m=1

Bahagian 2
http://sharery.blogspot.com/2016/12/ulangtahun-ke-10-mendaki-gunung_23.html?m=1

Bahagian 3
http://sharery.blogspot.com/2016/12/ulangtahun-ke-10-mendaki-gunung_26.html?m=1



*Di atas ini ialah klip video pendakian*

Perkara pertama yang ingin saya sentuh ialah tentang kewangan. Mendaki Gunung Kinabalu memerlukan perbelanjaan yang besar. Tangguhkan dahulu niat untuk mendaki sekiranya kewangan anda masih belum mengizinkan. Saya bersyukur kerana dapat berjimat dari segi tambang kapal terbang (menggunakan diskaun pekerja MAS) dan penginapan di Kota Kinabalu (bermalam di rumah keluarga sahabat).

Seperti yang saya ceritakan pada awal entri bahagian pertama, niat mendaki Gunung Kinabalu ialah datang secara mengejut. Kecuali persediaan fizikal, saya bangga mengatakan di sini yang persiapan lain dilakukan cukup kesemuanya walaupun ada banyak barang yang dibeli di saat akhir. Antara barangan keperluan yang saya beli di Kota Kinabalu dua hari sebelum mendaki ialah lampu suluh kepala, sepasang kasut ,beg pinggang dan bekalan makanan.

1 - Latihan kecergasan fizikal.
Setiap individu mempunyai tahap kecergasan yang berbeza, bukan semua orang boleh mendaki Gunung Kinabalu tanpa persediaan fizikal seperti saya.

2 - Banyakkan Rujukan
Pada tahun 2006, saya belum mempunyai komputer riba dan era telefon pintar belum wujud begitu juga dengan media sosial. Saya membuat perancangan mendaki Gunung Kinabalu pada minit-minit terakhir dan tidak terlintas untuk merujuk atau mencari tips dari ramai pendaki melalui internet. Saya memperolehi sedikit maklumat melalui pengalaman abang saya dan melihat gambar-gambar beliau semasa mendaki Gunung Kinabalu beberapa tahun sebelum giliran saya.

3 - Satu tabiat yang saya bawa dari dahulu sehingga ke hari ini ialah, saya gemar membawa pakaian, kasut dan beg tangan lebih (extra) semasa melancong dan mengembara melebihi dari had yang sepatutnya. Fikiran saya sentiasa memikirkan bahawa barang yang dibawa lebih akan digunakan sekiranya berlaku kecemasan (terutama sekali kasut). Semasa mendaki Gunung Kinabalu saya telah membawa kasut sebanyak dua pasang dan banyak aksesori musim sejuk.

4 - Kasut mendaki berkualiti.
Mendaki Gunung Kinabalu ibarat kita bermain dengan risiko nyawa dan keselamatan. Justeru kasut mendaki berkualiti tinggi adalah keperluan yang paling penting. Saya akui tidak membeli kasut mendaki yang mahal tetapi hanya kasut sukan biasa yang tidak berjenama tetapi saya yakin apabila melihat tapaknya. Kasut yang saya pakai pada hari pertama telah basah sepenuhnya akibat hujan sepanjang hari pertama pendakian. Mujur saya ada membawa kasut kecemasan dan saya pakai pada hari kedua.

5 - Sediakan beg galas kalis air dan pastikan barang yang dibawa benar-benar penting kerana jika beg berat ia membuatkan pendaki tidak terdaya menggalasnya.

6 - Beg pinggang.
Kepada kaum wanita khususnya, lupakan hasrat membawa beg tangan. Para pendaki masing-masing mempunyai barangan peribadi seperti dompet, kamera dan telefon tangan. Beg pingang sangat sesuai untuk dibawa sehingga ke puncak gunung.

7 - Lampu suluh.
Saya membawa dua lampu suluh, iaitu lampu suluh mini dan lampu suluh kepala.

8 - Air botol dan makanan ringan pemberi tenaga.

9 - Jaket kali air/ angin dan baju panas.

10 - Dua helai baju-t dan dua helai seluar. Jeans tidak sesuai untuk mendaki.
Pada hari pertama pendakian saya memakai seluar sukan kalis air manakala hari kedua seluar kargo kalis air. Pada pendapat saya seluar kargo sesuai untuk dipakai kerana banyak saku seluar yang banyak kegunaannya. Semasa perjalanan turun yang cuacanya agak panas, saya lipatkan sahaja seluar kargo sehingga ke paras lutut.

11 - Sepasang baju tidur.

12 - Kelengkapan peribadi seperti losyen pelindung sinaran matahari, sabun, syampu, ubat gigi bersaiz mini dan ubat-ubatan asas contohnya panadol, minyak angin dan plaster.

13 - Dua pasang sarung kaki yang tebal.

14 - Wang tunai secukupnya.
Banyak tempat tidak menerima bayaran secara kad.

15 - Topi mendaki dan sarung tangan (seperti dipakai pada musim sejuk).

Kini, apabila saya melihat semula gambar-gambar pendakian hari kedua, saya rasa rimas melihat pakaian saya yang sarat kerana membawa terlalu banyak aksesori musim sejuk (dua topi, dua pasang sarung tangan dan selendang). Ia satu kekesalan saya kerana dek terlalu risau akan kesejukan yang mungkin tidak dapat saya hadapi. Hakikatnya sejuk di puncak kurang dirasai kerana badan sudah berpeluh-peluh dan saya tidak memakai kesemuanya kecuali sarung tangan.

Jika di lain masa rezeki menyebelahi saya untuk mendaki Gunung Kinabalu untuk kali kedua, saya tidak perlu membawa aksesori musim sejuk dengan banyak. Sudah tujuh tahun saya tinggal di negara yang mempunyai musim sejuk, insyaAllah suhu di Gunung Kinabalu akan saya atasi dengan hanya membawa pakaian yang sesuai.

Semoga tips yang saya kongsikan dapat memberi sedikit sebanyak bantuan dan idea kepada mereka yang mempuyai perancangan untuk mendaki.

Jika anda mempunyai sebarang pertanyaan tentang melancong, sila nyatakan di dalam ruangan komen dan tinggalkan alamat e-mel untuk saya membalasnya kelak. Anda juga boleh ikuti perkembangan terkini saya melalui akaun Instagram, blog_th2010.


No comments:

Post a Comment