Tuesday 9 March 2021

Sejarah Winnie The Pooh Di White River, Ontario, Kanada

Tidak pernah terfikir sebelum ini bahawa saya akan mempelajari salah satu sejarah negara Kanada yang berkisar dengan kartun yang biasa saya tonton di kaca televisyen. Tahukah anda bahawa beruang dari kartun Winnie The Pooh sebenarnya memang wujud?

Leftenan Harry Colebourne telah membeli beruang yang terperangkap di White River, Ontario sewaktu beliau di dalam perjalanan ke Valcartier, Quebec untuk menjalani latihan ketenteraan pada Perang Dunia Pertama. Beruang yang dibeli dengan harga $20 itu beliau namakan Winnie sempena dengan bandar asal beliau iaitu Winnipeg. Leftenan Harry Colebourne telah membawa Winnie ke England dan menjadikan Winnie sebagai maskot bagi pasukannya.

Sebelum Leftenan Harry Colebourne dihantar ke Perancis, beliau telah menghantar Winnie ke Zoo London untuk jagaan seterusnya dan dari situlah Christopher, iaitu anak lelaki kepada penulis A.A. Milne bertemu dengan Winnie. Penulis A.A. Milne pula telah mendapat ilham untuk menulis buku kanak-kanak yang watak-wataknya terdiri daripada Winnie, Christopher dan patung-patung mainan milik Christopher. 

Sewaktu singgah di White River, saya bergambar di patung besar Winnie yang terletak di tepi jalan raya sahaja. Kemudian saya masuk ke tempat khidmat pelancongan yang mempamerkan banyak barangan Winnie. Begitulah kisah ringkas beruang Winnie yang saya harap menarik perhatian anda. Saya akan siarkan artikel mengenai lawatan saya ke muzium di Winnipeg yang mempamerkan lebih banyak gambar Winnie dan Leftenan Harry Colebourne.
















Instagram : blog_th2010
Facebook : blog_th2010
You Tube : Shery NN

No comments:

Post a Comment