Monday 14 July 2014

Kisah Di Sebalik Koleksi Novel Saya

Assalamualaikum w.h.t dan Salam Sejahtera

Saya jarang membaca novel tetapi itu tidak bermakna saya tidak minat membaca. Barangkali faktor waktu yang selalu membataskan. Empat buah novel seperti gambar di bawah dihadiahkan oleh penulis itu sendiri kepada saya. Oleh kerana masa tidak mengizinkan, hanya satu sahaja saya habiskan bacaan di rumah dan selebihnya di dalam kapal terbang.


JET JONAH
Jet Jonah telah saya bawa mengelilingi Australia secara roadtrip/outbackroadtrip pada tahun 2011 dan terbang ke beberapa buah negeri di Amerika Syarikat pada tahun 2012. Oleh kerana penulis pernah menetap di Kota London, maka jalan ceritanya nampak lebih 'hidup' kerana novel ini banyak berkisar tentang kehidupan masyarakat Melayu di sana. Walaupun banyak adegan menceriakan, namun terselit juga bahagian sedihnya di mana secara tidak sedar saya mengalirkan air mata mengenangkan arwah bapa saya sendiri. Mujur ketika itu saya di dalam penerbangan sebelah malam (Los Angeles - Melbourne) dan tiada siapa yang nampak mata saya yang merah. Jet Jonah saya habiskan bacaan di dalam beberapa buah penerbangan antarabangsa. Jet Jonah masih boleh dapat dibeli di www.jemariseni.com


DAPUR WAWA
Novel bertajuk Dapur Wawa (2012) tidak dibawa terbang bersama kerana saya habis membacanya dalam satu hari sahaja. Penulis Ika Madera banyak mendapatkan maklumat tentang pekerjaan juruterbang dari suami saya demi untuk menjayakan watak Encik Abu di dalam novel ini. Sifat peribadi Encik Abu tiada kena mengena dengan suami saya cuma persamaannya mungkin 1% sahaja iaitu tentang driver. (Suami saya pernah beberapa kali menjawap beliau ialah bus driver apabila diajukan soalan tentang pekerjaan. Selepas mendengar pekerjaan itu, ada di antara mereka yang tidak minat menyambung perbualan). Berbalik tentang Dapur Wawa, watak Encik Abu terus menjadi kegemaran ramai pembaca sehingga ke hari ini. Barangkali sifat beliau yang sangat merendah diri. Sesuai dengan tajuk Dapur Wawa, terdapat resepi masakan yang dikongsi oleh penulis. Novel ini masih boleh dibeli di www.jemariseni.com



LELAKI TIDAK BERSALAH
Saya menerima hadiah novel Lelaki Tidak Bersalah pada tahun 2012 oleh penulis senior, wartawan yang juga telah merangkul beberapa anugerah berprestij iaitu Kusyi Hirdan. Kerana terlalu sibuk dan masa yang terhad, saya 'berhempas pulas' untuk menghabiskan bacaan novel ini di dalam beberapa penerbangan antarabangsa dan domestik selama satu tahun.
Cerita ini adalah mengenai seorang lelaki yang mahu mendalami ilmu agama malangnya beliau ditipu, diperdaya dan terus disabitkan kesalahan kerana memasuki kumpulan ajaran sesat. Hubungan antara anak dan ibu yang kuat menjadikan novel ini sangat menyentuh perasaan. Lelaki Tidak Bersalah merupakan gabungan cerita benar dan rekaan. Anak kelahiran Perak iaitu Kusyi Hirdan adalah idola saya di dalam penulisan. Kehebatan beliau yang telah menghasilkan berpuluh buku dan novel tidak boleh disangkal lagi dan buktinya ialah Lelaki Tidak Bersalah sudah mendapat tempat di perpustakaan di Singapura (National Library Board).




SEMUSIM DI DIVONNE
Semusim Di Divonne merupakan hasil terbaru penulis dari Singapura iaitu Ika Madera. Jika dua buah novel sebelum ini saya menerima secara pos, tetapi kali ini kami terus bertemu.
Ramai antara sahabat menganggap kami seperti 'biskut' kerana sering 'tenggelam timbul'. Ika Madera turut memberi gelaran saya dan suami sebagai 'The Biscuits Travel Couple'. Terasa sungguh terharu kerana nama kami dimasukkan di dalam bahagian penghargaan dari penulis. Ika Madera tahu yang novel-novel beliau sebelum ini telah kami bawa menjelajah bersama, maka kerana itulah beliau ingin tahu kemanakah destinasi Semusim Di Divonne selepas ini.




Dari Singapura novel Semusim Di Divonne terbang dan pulang sebentar mengikut pemilik barunya (sebelum ke destinasi seterusnya). Oleh kerana jalan cerita ini digambarkan pada musim luruh, maka saya mengambil 'mood' musim luruh di Australia. Penulis Ika Madera begitu teruja melihat gambar-gambar di bawah setelah saya memberikan kejutan kepada beliau. Salah satu gambar turut dijadikan sebagai gambar profil untuk Facebook Ika Madera.






Novel Semusim Di Divonne beralih ke destinasi seterusnya..


Pada masa akan datang saya akan berkongsi bersama anda tetang koleksi buku dalam bidang penerbangan pula (dalam bahasa Inggeris).

No comments:

Post a Comment