Friday, 17 October 2014

Peminat Zarul Umbrella

Assalamualaikum w.h.t dan Salam Sejahtera

Beberapa hari lalu semasa saya mendengar lagu Ramalanku Benar Belaka di salah sebuah stesen radio di Singapura, fikiran saya terus terlintas yang saya masih 'berhutang' satu entri di sini. Memang sudah lama sebenarnya saya ingin menceritakan mengenai penyanyi kumpulan Umbrella ini namun seringkali tertangguh.

Saya meminati kumpulan Umbrella dan lagu-lagunya sejak di bangku sekolah lagi. Lagu Ramalanku Benar Belaka seingat saya begitu hangat berkumandang semasa saya di dalam tingkatan 3 atau 4. Pada waktu itu juga saya pernah menyimpan keratan majalah hiburan di mana penyanyi kumpulan Umbrella iaitu Zarul bergambar dengan Siti Nurhaliza yang baru setahun jagung di dalam bidang nyanyian. Zarul antara beberapa artis yang bertuah kerana dapat bergambar dengan Siti Nurhaliza sebelum beliau membuat prinsip menolak untuk bergambar dengan artis lelaki.

Mengimbau kenangan satu ketika dahulu, saya pernah beberapa kali terbang bertugas dengan Zarul. Antara penerbangan yang masih saya ingat ialah trip ke Dubai. Semasa sama-sama bertugas, saya tidak berani dan segan untuk mengambil gambar bersama beliau apatah lagi ingin memberitahu yang saya peminatnya sejak dari bangku sekolah lagi. Apa yang masih segar di dalam ingatan saya sehingga ke hari ini ialah Zarul seorang yang pendiam, dan saya suka dengan sikapnya yang sering membantu rakan setugas.

Gambar di bawah ialah semasa saya dan rakan-rakan setugas menikmati makan malam di restoran Liyari di Dubai pada bulan Ogos 2008.

Gambar kenangan saya bersama rakan-rakan setugas dan Zarul. Rasa bangga dapat makan bersama artis, maka saya turut mengambil gambar kandid beliau. Saya duduk di kerusi yang paling hujung sebelah dinding, lima dari kanan.



Selepas saya meninggalkan kerjaya sebagai pramugari, berhijrah ke Australia dan berkecimpung di dalam dunia blog, saya ada mengikuti perkembangan Zarul di dalam blog milik beliau dan seterusnya melalui Instagram lebih satu tahun yang lalu.
Syabas saya ucapkan kepada Zarul kerana berjaya mengekalkan kerjaya di dalam bidang nyanyian dan penerbangan.


2 comments:

  1. Salam perkenalan. Saya pun minat Zarul dulu masa dia dengan Umbrella. Tapi sekarang dah tak ikuti perkembangan dia lagi. Dia still menyanyi ke?

    Jemput singgah blog saya http://alamwellness.blogspot.com. Tq

    ReplyDelete
    Replies
    1. Hai Asmin ; Zarul masih popular menyanyi solo sekarang. Saya yang dah lima tahun migrate Australia/USA pun masih tahu yang dia aktif menyanyi sebab saya ikuti perkembangan dia. :)

      Delete