Sunday 29 June 2014

Berakhirnya Perkhidmatan B737-400 Malaysia Airlines

Assalamualaikum w.h.t dan Salam Sejahtera

Kapal terbang B737-400 milik Syarikat Penerbangan Malaysia (MAS) telah menamatkan perkhidmatannya pada 14 Jun 2014 di mana pesawat berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang dan mendarat buat kali terakhir di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur pada jam 9.31 malam.

B737-400 memulakan penerbangan dengan MAS pada tahun 1992 dan pernah mempunyai sebanyak 54 buah pesawat sekaligus menjadikan MAS pengendali terbesar model B737-400 (di luar Amerika Syarikat).

Selepas melihat beberapa orang bekas rakan sekerja yang berkongsi gambar kenangan semasa mereka berkhidmat dengan B737-400 di dalam Instagram, hati saya turut tersentuh. Sepanjang lima tahun saya pernah bekerja sebagai anak kapal MAS dan berkhidmat untuk pesawat B737 serta A330, mana mungkin saya boleh melupakan kenangan indah itu. Sukar untuk saya huraikan satu persatu tentang memori dan nostalgia semasa saya berkhidmat dengan B737-400 kerana ianya terlalu banyak untuk saya ceritakan di sini.

Secara kesimpulannya, pesawat ini telah banyak mengajar saya dalam meningkatkan mutu dan kualiti kerja. B737-400 juga menjadi saksi di mana saya berpeluang berjumpa dengan pelbagai penumpang  baik dari penumpang biasa hinggalah ke VVIP, seperti selebriti tempatan dan antarabangsa, ahli sukan, menteri kabinet, kaum kerabat di Raja serta Sultan. Antara dari mereka (senarai pendek) ialah pereka fesyen kasut terkenal dunia Dato' Jimmy Choo http://sharery.blogspot.com.au/2014/02/kenangan-bertemu-dengan-dato-jimmy-choo.html, jaguh skuasy dunia Dato' Nicol David, pelakon Filipina Jericho Rosales, selebriti Chef Wan, Datuk Malik Mydin (perenang yang merentas Selat Inggeris), Dato' Azhar Mansor (pelayar solo mengelilingi dunia), Sultan Terengganu, Tuanku Mizan Zainal Abidin, Tuanku Nur Zahirah serta putera dan puteri baginda.

Di bawah ini disertakan beberapa gambar kenangan semasa saya bertugas dengan B737-400.

B737-400.
Kenangan bergambar bersebelahan enjin B737-400 di Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi pada tahun 2005.
Berlatar belakang B737-400 di Lapangan Terbang Sultan Ahmad Shah, Kuantan pada tahun 2007.
Di dalam kabin kelas perniagaan (sebelum sarung kerusi ditukar dengan warna warni).
Berdiri di pintu belakang (Door 2 Left) pesawat sementara menunggu van katering tiba.
Saya bersama Cik Puan Muda Pahang, Cik Puan Julita Aishah di dalam penerbangan awal pagi dari Kuantan ke Kuala Lumpur.  Kebiasaanya saya tidak berpeluang dapat bergambar sebegini terutama jika waktu penerbangan sangat singkat. Mujur pada waktu itu tiada penumpang lain kecuali Cik Puan Julita sahaja. Beliau sangat jelita dan begitu peramah sekali.

Penerbangan dari Manila ke Kota Kinabalu pada tahun 2007.
Di dalam kokpit pesawat pada tahun 2009.
Bangkok ke Kuala Lumpur ialah penerbangan terakhir saya bersama B737-400 sebelum saya meletakkan jawatan pada Ogos 2009.
Saya duduk di crew seat di bahagian belakang (dapur/galley). Ia juga merupakan tempat kami duduk semasa waktu take off dan landing.  Ini ialah gambar yang dirakamkan di minit-minit terakhir sebelum saya melangkah keluar dari pesawat meninggalkan B737-400 dan syarikat penerbangan saya buat selama-lamanya (sebagai anak kapal MAS).

B737-400 boleh dikatakan sebagai 'playground' bagi kami anak-anak kapal Malaysia Airlines. Kami akan merindui buat selama-lamanya.


Pesawat ini diganti dengan B737-800 yang baru. Saya pernah melihat dari dekat pesawat yang sudah siap keluar dari kilang dan bakal terbang ke Malaysia. Cerita penuh sila klik disini : http://sharery.blogspot.com.au/2012/08/melawat-ke-kilang-kapal-terbang-boeing.html

No comments:

Post a Comment