24 August 2014

Perasmian Pembukaan PappaRich Di Perth, Australia Barat.

Assalamualaikum w.h.t dan Salam Sejahtera

Sementelah pulang sebentar ke Australia, saya dan suami telah dijemput oleh sahabat kami yang juga pengusaha serta salah seorang rakan kongsi PappaRich Australia iaitu Andrew untuk hadir pada hari pertama pembukaan restoran Papparich cawangan Perth pada 15hb Ogos yang lalu.


PappaRich di Northbridge.

Kami tiba di Papparich lebih kurang jam 5.20 petang dan disambut oleh Andrew yang datang dari Melbourne. Walaupun pelanggan di sebelah meja kami silih berganti, tetapi kami antara yang lama duduk di situ. Bukan sahaja memesan makanan yang banyak malah perbualan dengan Andrew juga tidak putus-putus kerana sudah lama tidak bertemu. Kali terakhir kami berjumpa dengan Andrew ialah di PappaRich Melbourne pada tahun lalu.


Bergambar bersama Andrew,  sahabat kami yang merupakan juga salah seorang tulang belakang PappaRich Australia.

Antara menu yang menjadi kegemaran saya dan suami sejak kami menjadi pelanggan tetap PappaRich di Melbourne.


Kami berkenalan dengan Andrew dan menjadi pelanggan tetap sejak beliau mengusahakan Old Town Kopitiam di Melbourne sekitar tahun 2010 dan seterusnya Old Town Kopitiam bertukar kepada PappaRich. Pada tahun lalu Andrew pernah memberitahu kami yang beliau telah ke Perth untuk mencari lokasi baru PappaRich. Akhirnya impian menjadi kenyataan.

Kunjungan Hari Kedua

Rindu kerana sudah satu tahun tidak mengunjungi PappaRich di Melbourne, maka kami datang lagi ke cawangan PappaRich Perth pada hari beriktunya.


Semua menu yang dipesan seperti di dalam gambar-gambar blog ini ialah yang biasa kami nikmati sepanjang menjadi pelanggan tetap PappaRich Melbourne.

Agak menghampakan kerana satay tidak dimasak dengan sempurna. Mungkin juga kerana pelanggan terlalu ramai dan tukang masak agak kelam kabut. Walau bagaimanapun, nasi briyani tetap sedap seperti kebiasaanya.

Gambar ini khas untuk Andrew (telah diberi kepada beliau melalui Watsapp). Suami saya memberi isyarat dua. Tanda sudah dua kali datang ke PappaRich Perth dalam masa beberapa hari dari kunjungan pertama kami. Dapatlah melepaskan rindu sebelum kami kembali ke Amerika Syarikat.

Tahniah kepada Andrew dan PappaRich Australia!


PappaRich Northbridge
Add: 101 James Street, Northbridge, Perth, 6003 WA.
Tel: +61 (08)6361 1766

PappaRich Carousel
Add: Shop 1173, 1382 Albany Hwy, Cannington, WA 6107
(Akan di buka beberapa bulan lagi)


*Terima kasih Andrew kerana pernah melawat ke blog saya ini*





14 August 2014

Shanghai, CHINA (2007)

Assalamualaikum w.h.t dan Salam Sejahtera

Sebelum tiba di Shanghai, hati saya sudah meronta-ronta ingin ke Oriental Pearl Radio & Tv Tower yang merupakan ikon dan tempat tarikan pelancong yang terkenal di sana. Perjalanan dari Lapangan Terbang Antarabangsa Shanghai Pudong ke hotel mengambil masa yang lama sehinggakan saya dapat tidur di dalam bas. Selepas daftar masuk hotel (sekitar jam 9.00-10.00 pagi), majoriti dari rakan sekerja saya berehat di dalam bilik dan mereka hanya akan keluar pada sebelah petang. Berbeza dengan saya yang begitu teruja untuk bersiar-siar di Shanghai, selepas menyegarkan badan saya turun ke lobi lantas meminta pekerja hotel peta bandar dan petunjuk bagaimana hendak ke menara terkenal itu.

Dari hotel saya perlu berjalan kaki dalam 10-15 minit sebelum menaiki keretapi di stesen Jing'an Temple (Line 2 Shanghai Metro). Perjalanan menaiki keretapi ini pula mengambil masa kira-kira 25 minit dan turun di stesen Lijiazui. Keluar dari stesen, saya sudah terkesima melihat menara Oriental Pearl Radio & Tv Tower secara lebih dekat. 

Gambar kiri : Tiba di bilik hotel.

Gambar kanan : Di stesen keretapi bawah tanah.

Oriental Pearl Radio & Tv Tower - Menara ini dibina pada tahun 1991 dan siap pada tahun 1994. Ia merupakan struktur paling tinggi di China dari tahun 1994 sehingga 2007 dan pernah tersenarai sebagai salah satu menara tertinggi di dunia.

Selepas membeli tiket untuk naik ke atas baru saya sedar yang menara ini mempunyai dua dek pemerhatian di dua aras berbeza. Saya telah membeli arah yang sedikit rendah. Saya ada cuba bertanya jika tiket boleh ditukar ke arah yang lebih tinggi (akan bayar perbezaan harganya) tetapi pekerja menolak permintaan saya.
Sama seperti di pusat membeli belah, kita sebagai pembeli boleh menukar barangan yang dibeli dengan harga yang sama atau lebih tinggi. Dalam situasi saya, adalah mustahil kita tidak boleh menukar pakej dengan menambah wang. Mungkin faktor malas dan kelemahan Bahasa Inggeris yang membuatkan beliau tidak mahu bekerjasama.

Berada di ruang legar (aras paling bawah) menunggu masa untuk naik ke atas.

Muzium sejarah yang diberi nama Shanghai History Museum terletak di aras paling bawah.

Gambar kiri : 259M (meter) Transparent Observatory.

Gambar kanan : Bayang-bayang menara yang dapat dilihat dari luar.

Pemandangan Shanghai dan Sungai Huangpu yang dirakamkan dari dek pemerhatian. Semestinya pemandangan yang anda lihat ini (awal tahun 2007) sudah berbeza jika dibandingkan dengan sekarang kerana begitu banyak pembangunan yang masih dijalankan pada ketika itu.

Saya kagum dengan Shanghai kerana pembangunan begitu pesat dan maju seperti mana Hong Kong dan Singapura.

Tidak jemu untuk rakamkan gambar menara ini dari bawah tambahan pula cuaca agak baik.

Gambar atas : Oleh kerana saya tidak membawa kaki kamera (tripod),  maka kamera diletakkan di atas tembok dan menggunakan timer untuk merakamkan gambar.

Gambar bawah : Kawasan persekitaran di sini juga agak bersih.

Dengan menggunakan kamera digital dan melakukan begitu banyak percubaan, akhirnya ini ialah gambar selfie yang terbaik dengan berlatar belakangkan Oriental Pearl Radio & TV Tower.

Dalam perjalanan pulang ke hotel, beberapa kali juga saya meminta pertolongan pejalan kaki untuk merakamkan gambar saya. Di sini juga pertama kali saya melihat butik jenama dari Malaysia iaitu Selangor Pewter di dalam pusat membeli belah. Terasa bangga pula melihat perniagaan anak Malaysia yang berjaya mengembangkan perniagaan dan cawangan di luar negara.

Reka bentuk bangunan di Shanghai yang berunsurkan tradisional membuatkan tidak jemu mata memandang.

Gambar atas : Pada sebelah petang saya keluar dengan seorang rakan sekerja dan kami telah pergi ke beberapa tempat membeli belah yang menawarkan barangan lingkungan harga sederhana (seperti Tanah Abang dan Mangga Dua di Indonesia). Saya hanya membeli dua helai kemeja dan sehelai jaket serta beberapa aksesori perhiasan wanita.
Satu pengalaman yang tidak dapat dilupakan ialah apabila masuk di dalam satu bangunan membeli belah di mana kami telah ditegur dan diekori oleh beberapa jurujual yang memegang katalog barangan tiruan (jam tangan dan beg tangan berjenama). Mereka mengekori kami dari tingkat bawah sehingga ke tingkat atas sambil bercakap dalam bahasa ibunda mereka. Oleh kerana kami diam seribu bahasa maka mereka masih tidak jemu mengekori kami. Sehinggalah pada satu masa, rakan sekerja saya bercakap tidak berminat, dan barulah mereka mengundurkan diri. Kami ada masuk ke dalam sebuah kedai jam tangan berjenama (tiruan) kerana rakan saya sengaja ingin mengetahui harganya (memang tiada niat untuk membeli). Jam yang harganya sedikit murah diletakkan di dalam cermin kaca manakala kategori terlalu 'mahal' dan 'mewah' diletakkan di dalam bilik rahsia dan kami berdua berpeluang untuk masuk ke dalamnya. Pengalaman seperti yang saya cerita seperti di atas saya rasakan seperti adegan di dalam filem pula (masuk ke dalam bilik rahsia). Pada ketika kami diekori, saya tidaklah berasa takut kerana rakan sekerja saya ialah lelaki. Jika rakan sekerja perempuan, mungkin perasaan agak sedikit gentar.


Gambar tengah : Sate kambing (halal) yang begitu terkenal di Shanghai. Tidak ingat berapa cucuk yang saya makan (memang banyak), tetapi yang pasti ia memang sedap apatah lagi sate ditabur dengan serbuk cili dan dimakan dalam cuaca yang sejuk.

Gambar bawah : Di hadapan hotel penginapan kami.

Keesokkan harinya - Di dalam perjalanan untuk ke lapangan terbang sebelum pulang ke Kuala Lumpur. Kualiti gambar dari kamera telefon bimbit pada waktu itu tidak sebaik dan secantik seperti telefon pintar pada hari ini.

Semasa berada di kawasan Oriental Pearl Radio & Tv Tower, saya telah menggunakan khidmat jurugambar profesional yang kebetulan saya nampak beliau berlegar-legar di situ. Gambar-gambar yang saya rakamkan dari kamera digital nampak seperti tidak sempurna kerana tidak ada gambar saya yang penuh berlatar belakangkan menara dan persekitaran. Gambar siap serta merta kerana jurugambar membawa bersama mesin pencetak. Walaupun agak mahal (6 keping bersamaan RM30) tetapi saya rasa sangat puas hati dengan kualitinya. Gambar-gambar itu tidak dapat saya kongsikan di sini kerana ia berada di rumah ibu saya di Malaysia.

Oleh kerana saya bersiar-siar seorang diri di Shanghai, maka atas sebab-sebab keselamatan saya cuba untuk tidak nampak seperti seorang pelancong . Wajah saya yang ada iras seperti gadis cina memberikan satu bonus kerana nampak seperti penduduk tempatan. Salah satu cara yang saya lakukan ialah tidak membuka peta bandar di khalayak ramai. Melihat seketika peta dari dalam beg lantas saya cuba mengingati beberapa nama tempat dan jalan kemudian peta disimpan semula. Kamera memang tidak dapat dielakkan kerana kita sebagai pelancong teruja untuk menangkap gambar pemandangan. Walau bagaimanapun, dengan tidak menggantungkan di leher ia dapat mengurangkan perhatian orang sekeliling terhadap kita.

Terima kasih kerana sudi singgah ke blog Terjemahan Hati. Teruskan bersama saya kerana pada entri akan datang saya bakal memberikan beberapa lagi tips kembara dan melancong untuk para pembaca.

08 August 2014

Titik Pertemuan Indian Ocean Dan Southern Ocean

Assalamualaikum w.h.t dan Salam Sejahtera

Terlalu banyak gambar kembara dan melancong yang ada di dalam "hard drive" sehinggakan saya terlupa untuk membuat entri di dalam blog. Pada kali ini saya kongsikan gambar lokasi titik pertemuan bagi dua buah lautan besar iaitu Indian Ocean dan Southern Ocean. Ia terletak di Cape Leeuwin, iaitu kira-kira 324km dari Perth, ibu negeri Australia Barat.



















Setia bersama blog Terjemahan Hati kerana masih ada beberapa entri mengenai Cape Leeuwin dan kawasan sekitarnya yang akan saya ceritakan di sini.



06 August 2014

Kingdom Of Bahrain (2006)

Assalamualaikum w.h.t dan Salam Sejahtera

DI sini saya kongsikan bersama anda pengalaman berada di Bahrain pada tahun 2006. Malaysia Airlines (MAS) ada membuat penerbangan tambahan ke Bahrain dan Kuwait (pada musim panas) untuk beberapa bulan sahaja. Saya tidak pasti jika MAS masih meneruskan laluan tersebut pada tahun kebelakangan ini.

Gambar atas : Di Lapangan Terbang Antarabangsa Dubai.

Gambar bawah : Bergambar bersama 3/4 daripada keseluruhan rakan sekerja di pintu perlepasan. Berdiri di sebelah kiri saya (dua dari kanan) ialah anak saudara kepada pelakon komedi terkenal Dee (Jangan Ketawa).

Pemandangan Dubai pada lapan tahun lalu semestinya sudah berlainan sama sekali jika hendak dibandingkan dengan sekarang. Perbezaan yang paling ketara ialah bangunan pencakar langit yang begitu banyak bak cendawan tumbuh selepas hujan.

Menaiki Gulf Air (A320) sebagai penumpang dari Dubai ke Bahrain. Kami anak-anak kapal berada di Bahrain untuk satu malam sahaja. Pada keesokkan harinya kami berlepas pulang dengan menggunakan pesawat MAS A330.

Hotel Movenpick yang terletak bersebelahan dengan Lapangan Terbang Antarabangsa Bahrain.

Menaiki teksi dari hotel ke pusat bandar untuk makan malam.

Makan malam di restoran KFC. Harganya sangat mahal kerana faktor matawang tempatan yang tinggi.

Selepas makan malam kami berehat di hotel. Keesokan harinya kami pulang ke Malaysia dengan penerbangan pada awal subuh.