Tuesday 20 January 2015

Tips Melancong - Pengurusan Pakaian Dan Bagasi

Assalamualaikum w.h.t dan Salam Sejahtera

Saya dan suami mempunyai koleksi sembilan buah bagasi/beg pakaian pelbagai saiz. Kesemuanya tidak dibawa bersama kami dalam satu masa. Penggunaan bagasi tersebut diambil kira kemana destinasi yang dituju, musim dan berapa lama tempoh perjalanan (hari/minggu/bulan).

Sebagai penumpang yang menjadi ahli kelab Qantas kerap terbang (Qantas Frequent Flyer) dan berada di tahap (level) tertentu serta terbang di kelas ekonomi, ekonomi premium, perniagaan atau pertama, berat dan jumlah bagasi kami lebih dan berbeza dari penumpang biasa.

Walaupun kerap terbang dan sering menarik bagasi ke lapangan terbang, tetapi sebenarnya saya jarang mengambil gambar himpunan bagasi tersebut.  Oleh itu gambar-gambar yang bakal anda lihat di bawah ini adalah himpunan dari gambar lama dan baru. Maaf kerana kualiti dari gambar-gambar lama agak kurang memuaskan.

Sebahagian daripada koleksi bagasi saya dan suami.

1.Kebersihan
Saya begitu menitik beratkan kebersihan bagasi. Ia perlu dilap dengan kain atau tisu basah sebaik selesai digunakan (dalam dan luar) dan sebelum ia disimpan untuk kegunaan trip yang berikutnya.
Oleh kerana roda bagasi sudah "berjalan" ke merata-rata tempat dan saya anggap tidak bersih, maka saya turut memastikan ia dialas dengan kertas suratkhabar semasa penyimpanannya di dalam almari.


2.Melipat Dan Menggulung

Pakaian saya dan suami akan dilipat atau digulung bergantung kepada berapa lama tempoh trip dan berapa buah bagasi yang dibawa. Ia akan saya masukkan di dalam penyarungnya. Sarung itu biasanya saya dapatkan dari hotel (laundry bag) ataupun dibeli di kedai sahaja contohnya di Daiso.

Pengasingan dan penggunaan kain penyarung adalah perkara wajib yang saya lakukan setiap kali mengemas pakaian sebelum memulakan perjalanan atau percutian. Kasut dan beg tangan saya letakkan di bahagian belakang penutup berwarna kelabu di dalam bagasi jenama Lojel saiz "L" ini.

3.Pengasingan Antara Pakaian Kasut Dan Beg Tangan
Berbalik kepada isu kebersihan, saya tidak akan sesekali mencampurkan pakaian dengan kasut di dalam satu bagasi. Oleh kerana itulah pakaian dan kasut serta beg tangan mempunyai sarung masing-masing. Amalan sebegini telah saya lakukan sejak dari lebih 10 tahun yang lalu dan semasa saya masih bekerja sebagai pramugari.


*Dua gambar ini dirakamkan beberapa hari sebelum saya meletakkan jawatan dengan Syarikat Penerbangan Malaysia pada tahun 2009*.

Gambar kiri :
Beg atas - Beg bermalam ini biasanya diisi dengan pakaian. Beg bawah - Beg troli ini dibawa semasa bertugas untuk penerbangan balik hari sahaja (daily flight).

Gambar kanan : Beg troli yang dibawa setiap kali bertugas ini diisi dengan buku keselamatan, penyembur rambut, kelengkapan untuk penyediaan hidangan makanan seperti contoh sarung tangan, manakala yang berbungkus putih paling kanan ialah pakaian seragam dan pakaian biasa.
Jika pakaian seragam kotor akibat tertumpahnya makanan atau terkoyak atau berlaku kecemasan dan memaksa kami anak kapal untuk bermalam di sesuatu tempat, maka pakaian ganti ini adalah penyelamat sementara.

Kasut pula saya asingkan dan diletak di bahagian luar beg troli (berzip).

Jika sesuatu trip itu panjang maka saya akan membawa dua atau tiga bagasi. Saya akan pastikan satu bagasi hanya dikhaskan untuk meletakkan kasut dan beg tangan sahaja. Manakala selebihnya untuk meletak pakaian. Jika percutian pendek pada musim panas, saya hanya membawa satu sahaja bagasi besar, contoh seperti gambar di bawah.

Nombor 1 - Pakaian
Nombor 2 - Telekung dan Sejadah
Nombor 3 - Selipar hotel (lebihan atau extra) yang sentiasa disimpan untuk digunakan apabila kecemasan.
Nombor 4 - Pakaian
Nombor 5 - Pakaian
Nombor 6 - Alat solek, cucian muka, syampu dan aksesori seperti pin dan rantai. Saya gemar menukar beg ini 
(toiletry bag) bergantung kepada tempoh trip (lama/atau tidak).
Nombor 7 - Selendang, turban dan sarung kaki.

Di bahagian bersebelahan pula adalah tempat untuk saya menyimpan kasut dan beg tangan sahaja.

Tiga bungkusan di sebelah kiri ialah beberapa pasang kasut dan dan tiga bungkusan di sebelah kanan ialah beg tangan milik saya. Beg bermalam saiz besar yang berlipat berwarna unggu dari jenama Longchamp ini saya jadikan ianya sebagai beg tambahan sekiranya ia diperlukan pada bila-bila masa.

Tidak dilupakan juga, sejak dari dahulu lagi saya wajib membawa selipar untuk digunakan di dalam bilik hotel. Permaidani hotel bukanlah bersih kerana tetamu yang menginap kebiasannya memakai kasut berjalan ke merata-rata di dalam bilik.

4.Tanda Pengenalan Bagasi

Seperti yang pernah saya ceritakan pada entri sebelum ini (http://sharery.blogspot.com.au/2015/01/tips-melancong-perancangan-percutian-ke.html ), buatlah tanda istimewa supaya anda mengenal bagasi sendiri. Di samping itu, nama, alamat dan nombor telefon juga perlu ditulis dan di selitkan di bahagian luar bagasi.

Gambar kiri : Bagasi jenama Lojel saiz 'L' ini dibeli di Kuala Lumpur lebih kurang 8 tahun yang lalu. Saya turut mempunyai bagasi warna dan jenama yang sama tetapi berlainan saiz ('S' dan 'M').

Gambar kanan : Bagasi jenama Samsonite ini dibeli di Las Vegas pada tiga tahun lalu.

Pelekat-pelekat ini saya beli sendiri dan ia cukup untuk dijadikan penanda.

Bagi saya dan suami, kami belum pernah berjumpa dengan bagasi yang sama dengan kami. Pelbagai pelekat yang dilekatkan di luar bagasi menyenangkan kami untuk melihat bagasi kami dari jauh. Jika berlakunya kesulitan sekalipun (bagasi suami saya pernah dihantar ke lapangan terbang lain), tag Qantas yang diikat di bahagian pemegang akan dijadikan rujukan oleh pengedali bagasi dari pihak Qantas untuk membaca maklumat dan menghubungi ahli kelab Qantas (frequent flyer).

Tag ahli kelab Qantas ini menyimpan maklumat peribadi dan hanya boleh dibaca (imbas/scan) oleh pihak pengurusan Qantas sahaja.

5.Bagasi Kabin
Seperti kebiasaan, barang-barang yang saya letakkan di dalam bagasi kabin ialah komputer riba, komputer tablet (ipad), kamera, alatan mengecas, buku nota, plastik untuk mengisi botol-botol cecair, sehelai jaket nipis atau kardigan dan selendang pashmina serta beberapa pasang kasut.


Gambar kiri : Bagasi kabin dari jenama Lojel saiz 'S' ini adalah yang paling kerap saya bawa. Barangan yang terkadung di dalam bagasi ini telah saya nyatakan di atas.

Gambar kanan : Pernah juga saya bertukar angin dengan menggalas beg dari jenama Longchamp bersaiz besar. Ia dibeli di Singapura.

Tidak jauh bezanya dengan bagasi kabin suami, cuma beliau tidak menyimpan kasut dan selendang pashmina (beliau meletakkan jaket atau kardigan sebagai ganti).

Bagasi kabin kepunyaan suami saya.


Apabila mood suami saya berubah, beliau tidak mahu menarik bagasi kabin beroda tetapi menukarkan dengan beg silang dari jenama Crumpler yang beliau beli lebih dari 10 tahun yang lalu di Melbourne atau beg silang Gucci yang saya hadiahkan pada hari lahir beliau pada tahun 2013.

Beg silang dari jenama Crumpler dan Gucci digunakan sekiranya suami saya ingin menukar dari menggunakan bagasi kabin beroda.

6. Kod Bar
Pelekat atau tag yang mempunyai kod bar yang terdapat di bagasi haruslah dibuang setiap kali pulang dari sesuatu penerbangan. Ia bagi mengelakkan kejadian kekeliruan dan mungkin bakal kehilangan bagasi.


Sudah menjadi kebiasaan, kami akan membuang pelekat dan tag yang mempunyai kod bar sebelum meneruskan penerbangan yang seterusnya.

Saya berharap tips yang saya berikan di sini sedikit sebanyak dapat membantu anda membuat perancangan sebelum melancong. Nantikan banyak lagi tips melancong serta adab apabila berada di negara luar yang bakal saya kongsikan tidak lama lagi.

Berikut adalah tips melancong lain yang telah saya siarkan di dalam blog ini.

Tips Melancong - Perancangan Percutian Ke Luar Negara
http://sharery.blogspot.com.au/2015/01/tips-melancong-perancangan-percutian-ke.html

Tips Melancong - Tatacara Dan Adab Semasa Berada Di Lapangan Terbang;
http://sharery.blogspot.com.au/2015/03/tips-melancong-tata-cara-dan-adab.html

Tips Melancong - Cara Mengatasi Jet Lag
http://www.sharery.blogspot.com.au/2015/05/tips-melancong-bagaimana-cara-mengatasi.html

Tips Melancong - Cara Menjaga Keselamatan Pasport
http://sharery.blogspot.com.au/2015/06/tips-melancong-cara-menjaga-keselamatan.html

Tips Melancong - Mengetahui Lokasi Pejabat Kedutaan Dan Konsulat Di Luar Negara
http://sharery.blogspot.com.au/2015/06/tips-melancong-mengetahui-lokasi.html

Tips Melancong - Adab Dan Displin Sebelum Memasuki Pesawat
http://sharery.blogspot.com.au/2015/07/tips-melancong-adab-dan-displin-sebelum.html


Jika anda mempunyai sebarang pertanyaan, sila nyatakan di dalam ruangan komen dan tinggalkan alamat e-mel untuk saya membalasnya kelak. Anda juga boleh ikuti perkembangan saya melalui akaun Instagram, blog_th2010.


8 comments:

  1. Wahh! Banyak nye beg awak ade.. kalau travel tu, siap 1 luggage utk ketak handbeg and kasut. Dashyat.. saya biasa bawak 1 pasang kasuk and 1 beg pack jer, tak ade handbag.. cuma kalau winter, saya akan bawak 2 kasut

    ReplyDelete
    Replies
    1. Dorsett Pink : Bila baggage allowances dapat banyak especially utk Qantas frequent flyer, itu yang saya manfaatkan. :)

      Delete
  2. info yang sangat membantu.... ^_^

    ReplyDelete
    Replies
    1. Anil Wanina : Terima kasih. Apa yang baik saya harap2 boleh diambil contoh oleh pembaca. :)

      Delete
  3. salam...sy nak tanya berkenaan luggage bag, brand apa yg ok, selain jenis kain....sy berkenan jenama lojel, sbb hr tu p kedai travel, dia letak brand ni utk dipijak @ lompat2 atas beg tu, dalam beg tu takder pun barang2..tapi tidak pecah..setahu saya lojel ni brand japan kan?

    saya ada sebijik bag ni, plastik, beberapa kali pakai je dah pecah..kena baling kat kargo hahaha...

    ok tak lojel ni.

    tq

    ReplyDelete
    Replies
    1. Walaikumusalam : Ya, Lojel brand dari Jepun. Saya ada 3 luggage dari brand Lojel semua warna pink macam dalam gambar di atas (Large, Medium, Small). Memang tahan lasak, kadang-kadang saya duduk atas tu sebab barang banyak dan nak bagi lock betul2. Saya dah pakai hampir 10 tahun, semua ok kecuali satu luggage tu satu rodanya getah dah pecah. Saya tak salahkan kualiti Lojel, roda pecah tu kemungkinan besar sebab saya yang terlebih travel banyak. Ada waktunya saya masih guna juga, satu roda pecah masih boleh ditarik dan boleh letak atas troli di airport. :) .

      Kadang-kadang saya tak bawa Lojel pergi travel sebab berat sikit (berat kosong). Saya lebih kerap bawa luggage dari brand Samsonite dan Delsey sebab ringan dan boleh letak lagi banyak barang.

      Kalau rasa berkenan, saya syorkan beli sahaja Lojel. Saya berani syor sebab saya pun pengguna Lojel. Selamat membeli.

      Delete
    2. thanks..lg 1 sy berkenan model lojel yg baru ni sbb takder zip, dia pakai klip passcode. warantty pulak selama 12 tahun. yg paling berkenan sbb tak pecah tu lah hhehe.....

      Delete
    3. thanks..lg 1 sy berkenan model lojel yg baru ni sbb takder zip, dia pakai klip passcode. warantty pulak selama 12 tahun. yg paling berkenan sbb tak pecah tu lah hhehe.....

      Delete