Tuesday, 13 January 2015

Tips Melancong : Perancangan Percutian Ke Luar Negara

Assalamualaikum w.h.t dan Salam Sejahtera

Tips melancong akan saya kongsikan secara berperingkat atau bersiri di laman blog ini. Pengalaman bekerja sebagai pramugari, berhijrah memulakan kehidupan berumahtangga di negara lain, tinggal di bandar-bandar yang mempunyai ramai pelancong dan menjadi pemerhati mereka serta mengembara di pelbagai negara serta benua, semuanya akan saya ambil untuk menjadikan tips melancong ini tempat rujukan dan pengajaran untuk semua pembaca.


1. Kewangan
Ukur baju di badan sendiri. Tidak dinafikan harga tiket penerbangan ada kalanya murah dan harganya bersaing dengan syarikat penerbangan lain. Jika sumber kewangan anda masih belum mencukupi lupakan sahaja percutian buat sementara waktu. Jangan pergi (melancong) hanya kerana teruja melihat rakan atau saudara yang sudah pergi awal daripada anda. Elakkan berhutang semata-mata untuk melancong.

2. Tempahan Tiket Kapal Terbang
Perlu diingatkan sekali lagi, syarikat penerbangan tambah murah tidak selalunya murah. Anda perlu membuat perbandingan harga dengan syarikat penerbangan yang lain supaya anda tidak rasa seperti ditipu. Jangan terpedaya dengan harga yang dipaparkan (syarikat penerbangan tambang murah) kerana jika ditambah dengan kos bagasi, makanan dan lain-lain, selalunya jumlah keseluruhan lebih mahal dari syarikat penerbangan premium.

3. Mata Wang Asing
Jika tambang penerbangan mencukupi dari bajet anda, tetapi ia belum menjaminkan anda untuk berbelanja di sana dek kerana kadar tukaran matawang asing yang tinggi. Hotel, makanan atau tempat tarikan pelancong semuanya perlu dibuat kiraan terlebih dahulu. Gunakan pencarian di Google untuk laman tukaran wang asing sebagai rujukan.

Cuba elakkan dari menukar wang di lapangan terbang atau hotel kerana ia agak merugikan. Jika di Malaysia atau Singapura anda boleh ke kedai tukaran wang asing di tepi-tepi jalan atau di pusat membeli belah.

Sekadar gambar hiasan - Beberapa tahun lalu, semasa saya sedang mengemas beg duit lama, saya terjumpa beberapa helai matawang asing (seperti gambar di atas). Ia adalah wang baki dari membeli belah di luar negara semasa saya masih bertugas dengan Syarikat Penerbangan Malaysia.

Kecuali Saudi Riyal (paling bawah kiri), ia saya terima istimewa dari arwah bapa sebaik beliau pulang dari menunaikan umrah pada tahun 1997.

4. Tempahan Tempat Penginapan
Satu lagi kesilapan yang biasa saya dengar ialah tersalah menempah tempat penginapan (hotel atau apartmen). Oleh kerana mahu harga yang murah, mereka telah menempah hotel yang jauh dari pusat bandar atau pengangkutan awam yang terhad. Gunakan khidmat carian Google Map untuk memberikan gambaran kasar jarak bagi sesebuah tempat dengan hotel yang ingin anda menginap.

Jangan sesekali berdepan dengan risiko menempah hotel pada hari ketibaan. Silap hari bulan, boleh tidur di pusat tahanan pula. Satu pengalaman terjadi pada tahun lalu apabila suami saya tanpa sengaja telah mendengar perbualan sebuah keluarga (pelancong dari Malaysia) di Lapangan Terbang Perth apabila beliau (ketua keluarga) sedang sibuk mencari hotel. Saya tidak tahu apa yang ditulis (tempat penginapan) semasa beliau mengisi kad pendaratan sehingga beliau 'lepas' dari ditahan oleh pihak kastam. Percubaan menempah hotel pada saat-saat terakhir juga biasanya peluangnya agak nipis. Samada pilihan hotel terhad atau jika ada pun harganya melambung naik.

5. Tempahan Kereta Sewa
Sama juga seperti tempat penginapan, kereta sewa juga perlu ditempah lebih awal. Baru-baru ini saya mendengar sebuah pengalaman dari sahabat saya bahawa sahabat beliau dari Singapura enggan menempah kereta sewa dengan lebih awal sebelum hari berlepas seperti yang disarankan. Apabila tiba di Melbourne, tidak ada syarikat kereta yang boleh menyediakan kereta untuk beliau. Bukan sahaja beliau mahu menempah di saat akhir, malah lebih teruk dari itu ialah beliau tiba pada musim cuti perayaan (Krismas/Tahun Baru/Cuti Sekolah).

6. Lokasi
Saya sudah biasa mendengar dari mereka yang pulang dari melancong tetapi tidak seronok dan asyik mengeluh. Pelajari selok belok dan latar belakang tempat/bandar/negara yang bakal dikunjungi sebelum anda menempah tiket kapal terbang atau penginapan agar tidak menyesal di kemudian hari. Seperti contoh, ada yang pulang dari Perth, Australia Barat dengan perasaan hampa kerana kata mereka Perth sangat membosankan.

Ramai bertanya dan meminta pendapat daripada saya yang mereka ingin melancong ke Australia tetapi tidak tahu negeri/bandar mana yang ingin dituju. Saya akan bertanya kepada mereka terlebih dahulu samada mereka mahukan percutian di bandar besar seperti Kuala Lumpur atau Singapura? Jika ya, pilihlah Sydney atau Melbourne. Jika mahukan kedamaian dan lari dari hiruk pikuk kotaraya, bolehlah datang bercuti ke Perth.

Saya ingin menyangkal kata-kata bahawa Perth adalah bandar yang membosankan. Tidak dinafikan keistimewaan dan daya tarikan pelancong terdapat banyak di luar pusat bandar. Jika anda menyewa kereta, pasti percutian lebih menyeronokkan.

7. Cuaca Empat Musim
Jujur saya katakan di sini bahawa saya agak tidak senang apabila kerap mendengar mereka yang tengah melancong atau baru pulang yang mengadu tentang cuaca ("panasnya/sejuknya").
Tidak ada sesiapa yang melarang anda dari melancong pada sekian-sekian musim. Semua keputusan terletak di tangan anda sendiri. Jika anda tinggal di negara yang tidak mempunyai musim sejuk dan dingin (contoh: Malaysia, Singapura, Indonesia) jangan kemudian hari anda menyesal atau merungut kerana pergi melancong pada musim panas.

Bagaimana pula mereka yang merungut terlalu sejuk? Tidak di nafikan kita manusia tidak sempurna dan kebal. Bagi diri saya dan mereka yang biasa dengan musim sejuk pun adakalanya memang kami kalah dengan cuaca sebegini. Satu cara bagi mengelakkan anda terasa seperti hendak beku ialah memilih pakaian yang bersesuaian. Topik mengenai pakaian akan saya sentuh sebentar lagi.

Jika anda inginkan kelainan dari musim panas (summer) tetapi alah atau takut pula dengan musim sejuk (winter), saya cadangkan anda memilih untuk pergi melancong pada musim bunga (spring) atau musim luruh (autumn). Anda masih boleh merasai sedikit 'tempias' atau 'baki' musim sejuk (bergantung kepada sesebuah negara).

Empat musim ini berbeza bagi negara-negara di etmosfera selatan dan utara. Contohnya jika di Australia musim panasnya pada bulan Disember-Mac, tetapi di Amerika Syarikat pula musim sejuk.
Sekali lagi saya tekankan di sini, musim dan cuaca juga termasuk di dalam perancangan penting sebelum ingin melancong dan menempah tiket penerbangan.

8. Pakaian
Saya pasti pemilihan pakaian untuk musim panas tidak menjadi masalah. Tetapi ada kalanya pula cuaca panas terik dan dalam masa yang sama angin sepoi-sepoi sepanjang hari membuatkan anda tidak sedar yang kulit sudah berjelaga. Oleh itu saya sarankan supaya anda mengenakan pakaian dari fabrik yang nipis/dingin serta berlengan panjang. Kain tudung juga menjadi faktor penting. Jenis kain yang tebal dan tidak serap peluh akan mengundang rasa lebih panas.

Selendang dari fabrik nipis seperti ini sesuai dipakai pada musim panas.
Kemeja labuh dan selendang nipis yang saya pakai pada musim panas.

Saya berasa hairan bagaimana seseorang boleh mengenakan tudung jenis selendang pashmina pada musim panas? Jenis tebal sebegitu hanya dililit di bahagian leher oleh wanita-wanita pada musim sejuk sahaja untuk keselesaan leher mereka agar rasa sedikit hangat.

Selendang pashmina hanya sesuai digayakan pada cuaca yang dingin atau musim sejuk.

Sebab utama yang membuatkan seseorang tidak boleh terima dan tidak selesa badan apabila melancong pada musim sejuk ialah kesalahan memilih jenis pakaian dan kasut.
Maaf saya katakan di sini, saya pernah ternampak beberapa pelancong dari Malaysia yang datang ke Australia pada musim sejuk manakala pakaiannya ibarat seperti baju tidur saya yang dipakai pada musim sejuk. Baju T dan baju panas yang biasa dipakai apabila demam sudah tentu tidak boleh menampung kesejukan.

Kepada yang ingin melancong di negara yang suhunya di bawah paras beku dan berkeinginan untuk bermain salji, anda perlu membeli pakaian dalam berhaba (thermal underware/long john). Fungsinya sebagai pemanas badan amat penting selain ditambah dengan helaian baju yang lain dan juga jaket yang bersesuai. Jaket kalis air sesuai untuk mereka yang ingin bermain salji.

Gambar kiri : Jaket panas dari jenama MNG yang saya beli di Melbourne 5 tahun lalu. 65% diperbuat dari wool.

Gambar kanan : Salah satu selendang diperbuat daripada 100% wool (winter muffler) ini merupakan kegemaran saya untuk dililitkan di leher pada musim sejuk.

Dalam berpuluh-puluh koleksi jaket musim sejuk yang saya miliki, separuh daripadanya adalah dari jenama MNG. Tiga helai jaket di atas antara yang sesuai dipakai pada musim sejuk dan bersalji kerana ia kalis air.

Jaket hijau saya beli di Kuala Lumpur 9 tahun lalu. Jaket merah saya beli di Istanbul 6 tahun lalu dan jaket kelabu dari jenama Guess saya beli di Melbourne 4 tahun lalu.

Aksesori seperti topi/serkup kepala (beanie), sarung tangan/kaki yang serat tekstilnya diperolehi dari bulu kambing biri-biri (wool), kambing (cahsmere) atau bulu arnab (angora) memainkan peranan penting untuk memanaskan badan.

Gambar kiri : Sebahagian dari koleksi sarung tangan milik saya. Sarung tangan paling kanan (merah jambu) sesuai dipakai ketika bermain salji. Manakala tiga di sebelah kiri sesuai dipakai pada musim sejuk. Sarung tangan berwarna coklat dan unggu tidak boleh melawan cuaca sejuk dan ia hanya sesuai dipakai pada musim luruh.

Gambar kanan : Tiga sarung tangan ini diperbuat dari 100% kulit, campuran wool dan nylon serta 100% polyester.

Saya gemar memakai sarung kepala atau topi ketika tibanya musim luruh dan sejuk. Terlalu banyak untuk dikongsikan di sini dan saya hanya letakkan dua sahaja sebagai contoh. Topi berwarna biru seperti gambar di atas diperbuat dari 100% wool.

Alat penutup telinga ini biasanya saya pakai pada musim sejuk bersalji sahaja. Dua daripadanya saya beli di Melbourne manakala yang berbentuk buah stroberi dibeli oleh anak saudara semasa percutian beliau ke Cameron Highland.

Melaburlah sedikit dengan membeli baju panas dan aksesori di kedai yang menjual pakaian musim sejuk. Walaupun tidak akan pakai selalu, tetapi dengan kualiti yang bagus, anda boleh gunakannya berulang kali pada tahun-tahun yang lain pula.

9. Bagasi/Beg Pakaian
Apabila kita melancong pada musim panas, pakaian yang dibawa pun ringan dan nipis. Masih terdapat lagi ruang kosong dan niat untuk membeli belah pun makin membuak-buak apabila mengetahui beratnya belum mencecah atau melepasi berat maksimum yang dibenarkan oleh syarikat penerbangan.

Berlainan pula jika melancong pada musim sejuk, pakaian yang tebal akan membuatkan bagasi anda berat sebelum tiba ke destinasi percutian.

Mungkin anda tidak mengetahui atau terlupa bahawa faktor utama sebelum hendak membeli bagasi/beg pakaian ialah dengan meneliti berat beg kosong yang dijual. Kebiasaanya berat beg kosong akan dipaparkan di bahagian luar beg atau pada tanda harga.

Bagasi jenama Delsey ini dibeli di Las Vegas.
Lagi ringan beg itu, tentulah lagi bagus kerana anda boleh membawa lebih helaian pakaian atau simpankan ruang untuk barangan membeli belah kelak.

10. Tanda Pengenalan Bagasi
Setiap kali saya menunggu bagasi yang akan tiba dari conveyer belt di lapangan terbang, saya masih pelik dan tidak faham dengan gelagat penumpang yang terkial-kial membelek-belek bagasi orang lain. Ini kerana mereka gagal mengenali bagasi kepunyaan sendiri.


Tanpa perlu modal yang banyak, mungkin anda boleh mengikat tali atau reben berwarna pada bagasi anda. Buatlah tanda yang istimewa supaya anda sahaja yang mengenal bagasi sendiri.

Gambar kiri : Bagasi jenama Lojel saiz 'L' ini dibeli di Kuala Lumpur lebih kurang 8 tahun yang lalu. Saya turut mempunyai bagasi warna dan jenama yang sama tetapi berlainan saiz ('S' dan 'M').

Gambar kanan : Bagasi jenama Samsonite ini dibeli di Las Vegas pada tiga tahun lalu.

Pelekat-pelekat ini saya beli sendiri dan ia cukup untuk dijadikan penanda.

Saya berharap tips yang saya kongsikan di sini sedikit sebanyak dapat membantu anda membuat perancangan sebelum melancong ke luar negara. Cara saya mengemas dan menguruskan pakaian di dalam bagasi akan dihuraikan pada entri akan datang.

Anda boleh membaca entri Tips Melancong yang lain di sini;

Tips Melancong - Pengurusan Pakaian Dan Bagasi 
http://sharery.blogspot.com.au/2015/03/tips-melancong-tata-cara-dan-adab.html

Tips Melancong - Tatacara Dan Adab Semasa Berada Di Lapangan Terbang;
http://sharery.blogspot.com.au/2015/03/tips-melancong-tata-cara-dan-adab.html

Tips Melancong - Cara Mengatasi Jet Lag
http://www.sharery.blogspot.com.au/2015/05/tips-melancong-bagaimana-cara-mengatasi.html

Tips Melancong - Cara Menjaga Keselamatan Pasport
http://sharery.blogspot.com.au/2015/06/tips-melancong-cara-menjaga-keselamatan.html

Tips Melancong - Mengetahui Lokasi Pejabat Kedutaan Dan Konsulat Di Luar Negara
http://sharery.blogspot.com.au/2015/06/tips-melancong-mengetahui-lokasi.html

Tips Melancong - Adab Dan Displin Sebelum Memasuki Pesawat
http://sharery.blogspot.com.au/2015/07/tips-melancong-adab-dan-displin-sebelum.html


Jika anda mempunyai sebarang pertanyaan, sila nyatakan di dalam ruangan komen dan tinggalkan alamat e-mel untuk saya membalasnya kelak. Anda juga boleh ikuti perkembangan saya melalui akaun Instagram, blog_th2010.



16 comments:

  1. Terima kasih berkongsi tips yang sangat penting bila melancong ke luar negara.Syabas Cik Canon di atas kejayaan anda mengutamakan point yang amat mustahak seperti pakaian, tiket dan hotel. Siapa-siapa yang belum pernah bercuti ke luar negara patut baca dan fahamkan artikel ini. :)

    ReplyDelete
    Replies
    1. Fir Mamat Photography : Sama-sama. Pengalaman atau pengetahuan yang ada baik dikongsikan bersama pembaca :)

      Delete
  2. TQ..4 ur info
    bagus tuk panduan niii

    ReplyDelete
    Replies
    1. Lilinputih : You're welcome. Terima kasih sudi singgah blog saya.

      Delete
  3. Assalamualaikum. terima kasih kerana sudi berkongsi. info yang sangat berguna :) oh ye. sis, boleh kita chat? saya ada beberapa benda yang nak ditanya kan pada sis. nie email saya : hazirahhazrin@yahoo.com

    ReplyDelete
    Replies
    1. Hazirah : Terima kasih sudi tinggalkan komen. Saya dah hantar email, nanti tengok inbox ye :)

      Delete
  4. Tips yang menarik!

    Thanx for sharing.....

    ReplyDelete
  5. Puan Hana yusoff22 October 2015 at 01:14

    TQ saya dah baca semua entri anda....banyak membantu. TQ

    ReplyDelete