29 July 2015

Tips Melancong : Adab dan Displin Sebelum Memasuki Pesawat

Assalamualaikum w.h.t dan Salam Sejahtera

Apabila berada di lapangan terbang, saya dan suami seringkali melihat gelagat penumpang di mana dari pemerhatian itu kami dapat mengetahui samada mereka adalah penumpang kerap 
(frequent flyer) atau tidak. Tidak kira kategori mana sekalipun penumpang itu, yang penting ialah adab, displin serta etika seseorang adalah amat penting apatah lagi apabila berada di tempat awam.

Berbalik kepada tajuk di atas, saya ingin berkongsi tips bagaimana cara untuk mendisplinkan diri semasa mahu memasuki pesawat. Beberapa atur cara di bawah ini dapat membantu seseorang penumpang yang mungkin pertama kali ingin menaiki kapal terbang atau penumpang kerap tetapi mereka tidak menyedari kesilapan yang dilakukan di dalam pesawat. Penumpang yang berdisplin dan berhemah akan turut membantu mengurangkan beban dan masa tugasan anak kapal.


Di Dewan Menunggu / Pintu Perlepasan
- Pintu perlepasan bagi sesuatu penerbangan mungkin akan bertukar pada minit-minit terakhir dan barangkali waktu berlepas terpaksa ditangguhkan. Ia adalah perkara biasa yang berlaku di mana-mana lapangan terbang oleh itu anda dinasihatkan supaya memeriksa beberapa kali di papan jadual elektronik. Jangan mengambil mudah tentang perkara ini kerana sekiranya terjadi perkara yang tidak diingini, tidak ada sesiapa yang perlu dipersalahkan kecuali diri sendiri.

- Semasa duduk di dewan menunggu, anda hendaklah selalu peka dengan sebarang pengumuman yang diberikan. Selain daripada pengumuman biasa, petugas penerbangan mungkin ingin mengumumkan sebarang notis penting atau kecemasan yang membabitkan individu.


Gambar ini dirakamkan di salah sebuah lapangan terbang di Amerika Syarikat. Saya rasa agak tenang apabila duduk di sini kerana para penumpang tidak membuat bising.

- Sebelum berbaris masuk ke dalam pesawat, pastikan anda mengasingkan barangan dari bagasi kabin atau beg yang ingin diletakkan di tempat penyimpanan (overhead compartment) dan barang yang ingin diletakkan di bawah tempat duduk. Contoh seperti camera, telefon bimbit dan buku. Sering saya perhatikan apabila penumpang yang sudah tiba di kerusi mereka baru hendak membuat pengasingan barang. Jika seorang boleh membazirkan masa selama tiga hingga lima minit, bagaimana pula jika lima atau enam penumpang yang melakukan perkara yang sama? Semestinya ia akan melambatkan proses penumpang masuk (boarding).


Berbaris
Penumpang yang tidak tahu berbaris atau memotong barisan adalah perkara yang cukup merimaskan saya. Tingkah laku seperti ini yang membuatkan saya boleh mengenal pasti mereka adalah penumpang yang jarang menaiki kapal terbang atau yang jika kerap sekalipun sifat dan cara bodoh sombong mereka amat menjelakkan.

- Berbaris mengikut turutan. Penumpang kurang upaya, ibu bapa bersama bayi dan anak kecil, penumpang kelas pertama, perniagaan dan kelas ekonomi bahagian belakang akan diberi keutamaan untuk masuk ke dalam kabin pesawat terlebih dahulu.


Barisan dibahagikan kepada dua untuk penumpang di dua kelas yang berbeza.

Apabila penumpang kelas pertama, perniagaan membayar tambang yang mahal, banyak hak keistimewaan yang diberikan kepada mereka. Bergantung kepada sesebuah syarikat penerbangan, kebiasaannya penumpang kerap yang memegang kad Platinum, Emas dan Perak turut diberi kebebasan untuk masuk pesawat lebih awal tidak kira samada mereka duduk di kelas pertama, perniagaan atau ekonomi.

Barisan Priority dikhaskan untuk penumpang kelas pertama, perniagaan serta penumpang kerap yang memegang kad keahlian Platinum, Emas, Perak serta yang setaraf dengannaya. Saya dan suami sedang berdiri di barisan ini untuk memasuki pesawat.
Main pula adalah untuk penumpang biasa.

Gambar ini dirakamkan di Lapangan Terbang Antarabangsa Los Angeles beberapa bulan lalu semasa saya pulang sebentar ke Australia. Anda boleh lihat bagaimana penumpang QANTAS kelas pertama dan perniagaan yang menunggu barisan dibuka. Walaupun keutamaan diberikan kepada mereka tetapi apabila belum tiba pengumuman dibuat, mereka cukup berdisplin berdiri di luar kawasan yang ditetapkan.

Sikap dan tingkah laku yang negatif akan dipandang rendah dan dicemuh oleh orang lain, oleh itu melalui tips ini saya berharap ia dijadikan iktibar sekaligus menjadikan diri anda sebagai penumpang yang berdisplin dan berhemah.


Tips Melancong yang saya kongsikan di sini adalah bersiri dan saya akan terus siarkan secara berperingkat.
Entri yang lain boleh anda baca di sini;

Tips Melancong - Perancangan Percutian Ke Luar Negara
http://sharery.blogspot.com.au/2015/01/tips-melancong-perancangan-percutian-ke.html

Tips Melancong - Pengurusan Pakaian Dan Bagasi 
http://sharery.blogspot.com.au/2015/03/tips-melancong-tata-cara-dan-adab.html

Tips Melancong - Tatacara Dan Adab Semasa Berada Di Lapangan Terbang;
http://sharery.blogspot.com.au/2015/03/tips-melancong-tata-cara-dan-adab.html

Tips Melancong - Cara Mengatasi Jet Lag
http://www.sharery.blogspot.com.au/2015/05/tips-melancong-bagaimana-cara-mengatasi.html

Tips Melancong - Cara Menjaga Keselamatan Pasport
http://sharery.blogspot.com.au/2015/06/tips-melancong-cara-menjaga-keselamatan.html

Tips Melancong - Mengetahui Lokasi Pejabat Kedutaan Dan Konsulat Di Luar Negara
http://sharery.blogspot.com.au/2015/06/tips-melancong-mengetahui-lokasi.html

Jika anda mempunyai sebarang pertanyaan, sila nyatakan di dalam ruangan komen dan tinggalkan alamat e-mel untuk saya membalasnya kelak. Anda juga boleh ikuti perkembangan terbaru saya melalui akaun Instagram, blog_th2010.





20 July 2015

Fargo, North Dakota, Amerika Syarikat

Assalamualaikum w.h.t dan Salam Sejahtera

Fargo merupakan bandar yang paling besar di negeri North Dakota malah lebih besar dari ibu negerinya iaitu Bismarck. Populasi penduduk yang dikira sehingga tahun 2014 ialah seramai 115,863 orang. Jarak antara Fargo dengan Bismarck pula dianggarkan lebih kurang 315 km. 


Papan iklan gergasi yang mengalu-alukan kedatangan pelawat ke Fargo.

Laluan pejalan kaki di pusat bandar diukir dengan gambar beberapa lokasi dan tempat menarik sekitar Fargo. Salah satu di antaranya ialah Fargo Theatre seperti gambar di bawah.


Fargo Theatre merupakan salah satu ikon terkenal di Fargo.

Bangunan bersejarah Fargo Theatre telah dibina pada tahun 1926 dan sehingga kini masih beroperasi dan menayangkan filem tempatan serta antarabangsa.

Bangunan Fargo Theatre ini dibina pada tahun 1926.

Telah disenaraikan sebagai lokasi  bersejarah.

Bangunan Fargo Theatre lebih cantik dilihat pada waktu malam kerana kerlipan lampunya yang berwarna warni.

Jika anda mempunyai sebarang pertanyaan tentang melancong, sila nyatakan di dalam ruangan komen dan tinggalkan alamat e-mel untuk saya membalasnya kelak. Anda juga boleh ikuti perkembangan saya melalui akaun Instagram, blog_th2010.



13 July 2015

Enam Tahun Menyambut Ramadan Syawal Di Australia Dan Amerika Syarikat

Assalamualaikum w.h.t dan Salam Sejahtera

Sepanjang lima tahun saya bekerja sebagai pramugari, saya beruntung kerana berjaya mendapatkan cuti dan tidak pernah gagal berhari raya bersama keluarga di Ipoh, Perak.
Pada tahun 2009, saya mendirikan rumahtangga dengan pemuda warganegara Australia dan sekaligus menuntut satu pengorbanan besar di mana saya perlu berhijrah mengikut suami tinggal di negara beliau. Tahun ini merupakan tahun ke-6 berturut-turut saya berpuasa dan menyambut 1 Syawal di Australia dan Amerika Syarikat.

Di sini saya berkongsi bersama pembaca pengalaman enam tahun saya berpuasa di kedua-dua buah negara pada musim bunga, sejuk dan panas. Setiap titik cerita yang disampaikan adalah berkait dengan kesederhanaan di mana 1 Syawal yang saya raikan adalah jauh berbeza sama sekali jika hendak dibandingkan semasa saya tinggal di Malaysia.


Tahun Pertama (2010)
Jujur saya katakan di sini bahawa tahun pertama saya berhijrah merupakan amat perit untuk saya lalui. Saya mengalami 'homesick' yang sangat teruk dan kerap menangis. Saya rindu dengan Malaysia dan terutama sekali dengan keluarga.

Semasa bertugas di awan biru, saya kerap terbang ke Australia. Meskipun pengalaman terbang di awan biru mengajar saya erti kekuatan dan hidup berdikari di negara luar tetapi ia sangat berbeza apabila menjalani kehidupan baru di rumah baru di negara baru iaitu Australia.

Tidak ada masalah menjalani ibadah puasa pada musim bunga tetapi saya bergelut dengan memori berpuasa di Malaysia. Untuk mengelakkan daripada terus bersedih, saya memberikan displin kepada diri sendiri untuk tidak mendengar lagu-lagu raya. Hanya pada lima malam terakhir menjelangnya Syawal baru saya mendengar beberapa buah lagu raya dalam keadaan terpaksa. Ini kerana saya menemani suami yang mengendalikan program di Radio Melayu Perth. Oleh kerana saya berada di tempat awam, saya menyimpan kekuatan untuk tidak menangis apabila mendengar lagu-lagu itu berkumandang.


Suami dan pasangan penyampai Radio Melayu Perth.

Artikel mengenai pengalaman pertama kali saya menyambut Aidilfitri disiarkan di dalam surat khabar Harian Metro (2010).

Gambar atas : Menghadiri majlis Nusantara Raya (AidilAdha) di Perth pada bulan November 2009.

Gambar bawah : Bersama ibu tercinta semasa lebaran September 2009 dan merupakan Aidilfitri terakhir saya menyambutnya di Malaysia. 

Gambar pra raya yang dirakamkan pada bulan Ramadan bersama suami dan kakak angkat kami.

Air mata saya tidak pernah gagal dari jatuh ke pipi apabila mengingatkan perginya bapa tercinta pada 30 Ramadan tahun 2008. Kenangan itu tersimpul setiap tahun dan membuatkan saya rasa sebak akibat dari rindu yang mendalam. Ini merupakan tahun pertama saya tidak dapat menziarahi pusara Allahyarham pada Aidilfitri.

Satu hari sebelum umat Islam menyambut Aidilfitri, selepas waktu subuh, saya dan suami memulakan perjalanan berkereta (outback road trip) bermula dari Perth ke Melbourne. Kembara ini bukan sekadar bercuti tetapi kami akan berpindah terus ke Melbourne. Hanya beberapa beg pakaian yang kami bawa selebihnya kami serahkan kepada syarikat pengangkutan yang mengendalikan urusan perpindahan. Jumlah keseluruhan kembara yang merentasi tiga buah negeri ini mengambil masa selama enam hari. 1 Syawal disambut pada hari kedua kembara dan saya tidak berasa sedih kerana terlalu teruja melihat keindahan alam semulajadi, mempelajari banyak sejarah serta sibuk mengambil gambar di sepanjang perjalanan.

 Bergambar di dalam bilik hotel di Kalgoorlie, Australia Barat sebelum meyambung perjalanan hari kedua.


Jalan raya terpanjang lurus di Australia di Nullarbor Plain.

Sebaik sampai di Melbourne, saya berkesempatan berhari raya dan menziarahi beberapa buah rumah sahabat rapat suami. Dapat juga menikmati pelbagai juadah dan kuih raya.


Tahun Kedua (2011)
Jika tidak silap, saya hanya berpeluang berpuasa bersama suami hanya beberapa hari sahaja di dalam bulan Ramadan tahun 2011. Beliau sibuk bekerja dan kerap berada di luar Melbourne. Seperti juga tahun pertama, saya tidak punya masalah dalam berpuasa seorang diri. Menu untuk bersahur dan berbuka puasa sangat ringkas. Selain roti serat, ada kalanya saya berbuka puasa atau bersahur dengan nasi putih, telur goreng, kicap manis, ikan goreng dan acar buah. Sehingga ke hari ini saya masih terasa kesedapan acar buah yang dibekalkan kepada saya oleh kakak angkat di Melbourne.

Saya tidak ingat bila kali terakhir saya membuat kuih raya, mungkin kali terakhir adalah semasa di dalam sekolah rendah. Tahun 2011 mencipta sejarah kerana saya telah membuat beberapa jenis kuih raya. Saya tidak ditemani suami maka untuk menaikkan semangat dan suasana, saya mendengar lagu-lagu raya. Saya sudah mempunyai kekuatan untuk mendengar lagu-lagu raya walaupun memori dan kenangan manis semasa di Malaysia masih tersingkap di fikiran. Untuk pertama kali juga kuih-kuih raya ini saya berikan kepada keluarga angkat untuk dihidangkan kepada tetamu.


Lima jenis kuih/biskut raya hasil dari air tangan sendiri. Tidak perlu membazir wang untuk membeli bekas yang mahal, saya berpuas hati biskut disimpan di dalam dengan bekas kedap udara dari jenama IKEA sahaja.

Oleh kerana suami saya penat selepas pulang dari bekerja, maka 1 Syawal kami sambut sekadar keluar makan tengah hari. 

1 Syawal berakhir awal bagi kami kerana keesokkan hari kami perlu berada di lapangan terbang pada awal pagi. Kami bercuti di Brisbane dan Gold Coast, Queensland selama 10 hari. Pulang ke Melbourne barulah kami menghadiri jemputan hari raya di rumah keluarga angkat dan pada hari tersebut barulah kami mengenakan baju raya yang dikirimkan oleh keluarga dari Malaysia.

Selepas pulang dari bercuti, kami menghadiri rumah terbuka di rumah keluarga angkat.


Tahun Ketiga (2012)
Pengalaman pertama kali berpuasa di Amerika Syarikat merupakan yang paling indah sekali. Apabila suami tidak bekerja, kami kerap melakukan perjalanan berkereta (road trip) merentas negara. Sudah tidak ingat berapa negeri yang direntasi tetapi jika diukur mengikut saiz peta, kembara kami sudah melebihi separuh dari Amerika Syarikat. Saya dan suami tidak mempunyai masalah berpuasa pada musim panas tetapi tidak dinafikan ianya sedikit mencabar kerana hari siang yang panjang menuntut kami berpuasa anggaran lebih kurang 15-18 jam sehari (waktu solat berbeza-beza di setiap negeri). Negeri Alaska contohnya mempunyai waktu siang selama 20 jam. Hanya 4 jam sahaja untuk berehat sebelum memulakan puasa pada hari berikutnya.

Ada beberapa kali kami keluar dari hotel sesudah waktu subuh dan meneruskan perjalanan berkereta (road trip) sepanjang hari, singgah di tempat-tempat menarik dan kami akan berbuka puasa di dalam kereta dengan hanya meminum air dan makanan ringan. Apabila ternampak restoran makanan segera di tepi lebuhraya barulah kami berhenti untuk mengalas perut. Biasanya kentang goreng dan burger ikan yang menjadi pilihan kami untuk dinikmati.

Secara purata kami berada di atas jalan raya (road trip) di dalam satu hari ialah lebih kurang 8 hingga 12 jam. Cuma pada satu hari lain, rekod perjalanan kami hampir mencecah hampir 21 jam. Perjalanan bermula dari Seattle, Washington pada jam 5:00 pagi dan berakhir di Reno, Nevada pada jam 1:30 pagi. Dapat tidur di hotel hanya beberapa jam sahaja, puasa tetap diteruskan dan kemudian kami bergerak menyambung perjalanan ke Las Vegas. 21 jam itu termasuk masa yang diambil untuk berhenti di beberapa tempat pelancongan dan untuk berbuka puasa.

Salah satu gambar pemandangan yang saya rakamkan semasa di dalam perjalanan paling panjang yang kami pernah lakukan pada bulan puasa, (Seattle ke Reno)  iaitu hampir 21 jam lamanya.


Dua minggu berikutnya, saya dan suami kembali menginap di hotel yang sama di Reno iaitu dua hari sebelum 1 Syawal. Jika sebelum ini perjalanan kami bermula dari Seattle menuju ke Las Vegas, kali ini pula dari San Francisco ke Las Vegas. Kami berhari raya di Las Vegas bersama keluarga angkat yang sudah menetap di Las Vegas sejak lebih dari 10 tahun yang lalu. Suhu di Las Vegas mencecah 40 darjah celcius tidak menghalang dari kami mengenakan baju kebangsaan.


1 Syawal di Las Vegas.

Menziarahi pusara suami kepada ibu angkat kami di Las Vegas mengingatkan saya dengan Allahyarham bapa saya yang meninggal dunia satu hari sebelum Aidilfitri tahun 2008 manakala Allahyarham pakcik Taib pula meninggal dunia pada 1 Syawal tahun 2010.


Bersama ibu angkat di pusara suami beliau. Tanah perkuburan ini bergabung dengan persemadian penganut agama lain. Kawasan persekitaran sungguh bersih sekali.

Sambutan Aidilfitri keluarga angkat di Las Vegas sungguh meriah, harmoni dan muhibah.


Tahun Keempat (2013) dan Kelima (2014)
Tidak banyak perbezaan dengan berpuasa pada tahun sebelumnya cuma saya dan suami berkesempatan pulang sebentar ke Australia dan kami berpuasa seperti mendapat 'diskaun'. Musim sejuk di Australia yang siangnya pendek membolehkan kami berpuasa hanya lebih kurang 11 jam sahaja dalam satu hari. Pernah juga saya mengikuti suami bekerja di luar bandar dan saya hanya berbuka dan bersahur di dalam bilik hotel sahaja.


Berbuka puasa dengan keluarga angkat dan teman rapat di Melbourne. 


Gambar kiri : Aidilfitri tahun 2013.

Gambar kanan : Aidilfitri tahun 2014.



Tahun Keenam (2015)
Masuk minggu kedua berpuasa, saya sudah teruja untuk mendengar lagu raya di stesen radio Singapura. Jika diimbas kembali, ia cukup berbeza dengan tahun 2010 kerana saya langsung tidak mahu mendengarnya.

Tidak ada sebarang persiapan Aidilfitri pada tahun ini sementelah suami sibuk dengan tugas dan akan menjalani peperiksaan. Walau bagaimanapun saya rasa bersyukur kerana kami menjalani ibadah berpuasa dan bakal meraikan hari kemenangan berpuasa di dalam keadaan yang cukup sederhana.


Bersahur dan Berbuka Puasa
Saya akui berpuasa di Australia dan Amerika Syarikat mengajar untuk berjimat cermat. Rakyat Malaysia khususnya amat beruntung kerana jika tidak mahu memasak pun mereka hanya boleh membeli juadah berbuka di luar sahaja malah kuih raya juga begitu mudah dibeli di mana-mana.
Mereka yang tinggal di luar negara seperti saya, apa yang diinginkan kami perlu usaha untuk membuat dengan sendiri. Tidak ada bazar Ramadan atau menikmati pelbagai hidangan buffet di restoran dan hotel seperti di Malaysia.

Ada juga beberapa jenis kuih raya dijual di kedai runcit Asia (diimport dari Malaysia dan Singapura) tetapi kualitinya tidak begitu memuaskan. Oleh kerana teringin, saya pernah membuat kuih bahulu, kuih ros goyang dan tat nenas di luar bulan puasa.

Saya kerap bersahur dan berbuka seorang diri kerana suami bekerja dalam waktu yang berlainan. Oleh itu pilihan menu bersahur saya ialah roti, biskut dan minuman panas. Sesekali saya dan suami berbuka puasa di luar. Jika sedang melakukan perjalanan berkereta/kembara (road trip)  kami tidak cerewet dalam pemilihan makanan dan cukup sekadar untuk mengalas perut. Pernah satu hari di bulan puasa pada tahun 2012, kami yang sedang dalam perjalanan dari Las Vegas, Nevada untuk pulang ke Farmington, New Mexico bersahur di tempat rehat di lebuhraya sekitar jam 4.00 pagi dengan berbekalkan buah kurma dan meminum air milo.


Baju Raya
Bermula dari tahun 2010 sehingga ke tahun ini, baju raya saya dan suami dikirimkan oleh keluarga. Kami tidak cerewet dan tidak mahu membazir. Jika tiada kiriman pun tidak mengapa kerana masih terlalu banyak pakaian lama yang masih elok untuk dipakai. Beberapa kali menerima undangan rumah terbuka (selepas 1 Syawal) atau majlis perkahwinan, saya akan mengenakan pakaian lama yang sudah mencecah hampir 10 tahun.

Aidilfitri tahun pertama dan kedua, saya menerima baju raya dari keluarga di Malaysia. Tahun ketiga kami suami isteri mengenakan sepasang baju merah jambu yang dikirimkan oleh ibu mertua dari Singapura. Tahun keempat, saya menghalang dari menerima pakaian baru dari keluarga kerana melalui kiriman pada tahun sebelumnya masih ada sepasang lagi pakaian yang belum saya pakai. Pada Aidilfitri tahun lalu suami tidak dapat bercuti panjang kerana beliau bekerja maka gambar Aidilfitri 2014 saya hanya mengenakan kebaya yang belum pernah dipakai yang dibeli di Indonesia pada tahun 2009 manakala suami hanya mengenakan pakaian seragam.


Sederhana
Selain pakaian, bersahur dan berbuka puasa secara bersederhana seperti yang saya ceritakan di atas, saya juga bersyukur kerana tidak perlu membazir wang untuk membeli langsir atau aksesori dalaman rumah. Rumah kami tidak mempunyai langsir kerana ia sudah dipasang dengan bidai pasang siap (curtain blind). Kami tidak pernah menerima tetamu pada 1 Syawal kerana kami sebenarnya jarang berada di rumah malah kami sudah dua kali menyambut pagi Syawal di dalam bilik hotel. Sekali lagi saya nyatakan di sini, beginilah cara sederhana saya dan suami menyambut hari kemenangan. Tiada pembaziran. Yang penting ibadah berpuasa dapat dilaksanakan dan zakat fitrah turut disempurnakan.


Ucapan Salam Aidilfitri Dari Perantauan
Mengimbau kenangan sejak dari kecil sehingga bersekolah menengah, saya tidak pernah melepaskan peluang membaca ruangan Salam Aidilfitri di dalam surat khabar. Tidak ada seorang pun yang dikenali tetapi saya suka melihat gambar pemandangan luar negara,.

Tidak pernah menyangka, kini giliran saya pula menghantar ucapan dari luar Malaysia. Sejak dari tahun 2010, setiap tahun saya akan menghantar kiriman ucapan Aidilfitri kepada keluarga, saudara dan sahabat yang disiarkan melalui ruangan yang disediakan di dalam laman sesawang Harian Metro. Pada tahun 2013 saya menerima kejutan apabila ucapan saya dicetak di dalam surat khabar Harian Metro dan disiarkan sekitar bulan Syawal. Rakan kepada anak saudara saya yang menyampaikan berita ini kepada saya. Adalah mustahil untuk saya memberi ucapan satu persatu, justeru dengan cara ini sahaja ucapan saya dapat diterima dan dibaca oleh mereka yang mengenali saya.

Ucapan tersebut boleh dibaca di sini;
http://sharery.blogspot.com.au/2012/08/ucapan-salam-raya-dari-perantauan.html
http://sharery.blogspot.com.au/2013/08/ucapan-salam-perantau-2013-kiriman-saya.html


Allahyarham Noordin Bin Ariffin
Ini merupakan kali ketiga saya menyentuh mengenai arwah bapa saya. Allahyarham meninggal dunia satu hari sebelum Aidilfitri. Ia merupakan satu dugaan yang paling berat di dalam kehidupan saya. Bukan sahaja pada bulan Ramadan dan Syawal, tetapi ingatan terhadapnya tidak pernah luput setiap hari. Jika bukan kerana arwah, blog Terjemahan Hati ini tidak akan wujud.


Terjemahan Hati 
Semasa saya menaip untuk artikel ini, tinggal beberapa hari lagi bagi umat Islam bakal menyambut bulan Syawal. Saya bersyukur kepada Allah kerana masih bernafas dibumiNya dan masih dapat bersama dengan suami tercinta. Rezeki yang dilimpahkan kami manfaatkan secara sederhana terutama sekali apabila berada di bulan Ramadan dan Syawal. Saya sudah tidak mengelak untuk mendengar lagu raya, tetapi takbir raya tetap membuatkan saya cuba mengekang air mata dari singgah di kelopak malah tekak juga terasa pedih seperti ada batu kerana menahan sebak. Tidak dinafikan melihat teman dan keluarga angkat yang pulang bercuti bagi menyambut Aidilfitri di Malaysia dan Singapura membuatkan saya rasa sedikit cemburu. Bohong jika saya katakan saya tidak rindu dengan suasana berpuasa dan berhari raya di Malaysia apatah lagi nostalgia menyambutnya semasa zaman kanak-kanak bersama keluarga tambahan pula saya merindui ibu yang sudah dua tahun tidak berjumpa. Walau bagaimanapun saya perlu redha dengan setiap ketentuan yang telah ditetapkan olehNya. Saya perlu menerima hakikat yang kehidupan saya sejak enam tahun lalu bukan lagi di Malaysia.

Terima kasih kepada yang sudi meluangkan masa membaca pengalaman saya ini. Selamat berpuasa dan Salam Aidilfitri saya ucapkan kepada anda semua. Jaga diri dan semoga selamat pulang ke kampung halaman masing-masing.

Jika anda mempunyai sebarang pertanyaan tentang melancong, sila nyatakan di dalam ruangan komen dan tinggalkan alamat e-mel untuk saya membalasnya kelak. Anda juga boleh ikuti perkembangan saya melalui akaun Instagram, blog_th2010.




12 July 2015

Maksud Outback Australia

Assalamualaikum w.h.t dan Salam Sejahtera


Pasti ramai yang biasa mengaitkan outback dengan Australia. Perlu diingatkan di sini bahawa bukan semua tanah di Australia dipanggil outback.

Outback bermaksud kawasan atau daerah yang luas, jauh dari bandar, pekan kecil atau kampung, tiada penempatan manusia, padang pasir dan tanah gersang serta didiami dengan hidupan liar.




Gambar di atas saya rakamkan di Norseman iaitu sebuah pekan kecil di Australia Barat, kira-kira 725km dari Perth. Norseman merupakan destinasi terakhir untuk para pengembara menambah bekalan asas contohnya seperti air sebelum meneruskan perjalanan merentas Nullarbor Plain menuju ke negeri Australia Selatan. Papan tanda ini cukup jelas bagi memperingati pengembara.

Pekan kecil pertama yang akan dilalui selepas berakhirnya Nullarbor Plain ialah Ceduna, Australia Selatan di mana jarak antara Norseman dan Ceduna ialah 1,200km. Walaupun terdapat beberapa stesen minyak dan rumah rehat tetapi bekalan asas yang ada adalah terhad dan sangat mahal.

Saya merindui kembara outback / outback roadtrip (Perth-Adelaide-Melbourne dan Melbourne-Adelaide-Perth) yang pernah saya lakukan sebanyak empat kali manakala lima kali bagi suami.


Outback Australia.


Jarak antara tempat saya rakamkan gambar ini dengan Perth, Australia Barat ialah 1,627 km dan dengan Adelaide, Australia Selatan ialah 1,069 km.


Jika anda mempunyai sebarang pertanyaan tentang melancong, sila nyatakan di dalam ruangan komen dan tinggalkan alamat e-mel untuk saya membalasnya kelak. Anda juga boleh ikuti perkembangan saya melalui akaun Instagram, blog_th2010.

03 July 2015

Las Vegas Harley-Davidson

Assalamualaikum w.h.t dan Salam Sejahtera

Sekiranya anda berada di Las Vegas dan merupakan peminat motosikal Harley-Davidson, saya cadangkan anda datang ke pusat pengedar motosikal ini. Selain motosikal, di sini juga turut menjual kelengkapan alat ganti, pakaian serta cenderamata.

Saya dan suami bukanlah peminat Harley-Davidson tetapi sementelah berada berhampiran dengan pusat pengedar maka kami masuk ke dalam untuk melihat bermacam-macam model motosikal yang sungguh tinggi harganya.

Las Vegas Harley-Davidson beralamat di;
2605 S Eastern Ave Ste 100,
Las Vegas NV 89169.





















Jika anda mempunyai sebarang pertanyaan tentang melancong, sila nyatakan di dalam ruangan komen dan tinggalkan alamat e-mel untuk saya membalasnya kelak. Anda juga boleh ikuti perkembangan saya melalui akaun Instagram, blog_th2010.