Thursday 21 September 2017

Kayenta, Arizona (Daerah Kaum Asli Amerika Syarikat)

Artikel ini bersambung dari bahagian sebelumnya :
http://sharery.blogspot.com/2017/08/pemanduan-dari-four-corners-monument-ke.html

Semasa di dalam perjalanan pulang dari Monument Valley ke Farmington, kami singgah di Kayenta yang hanya mengambil masa pemanduan kurang dari setengah jam. Kayenta, Arizona terletak di dalam daerah dan pentadbiran Navajo Nation Reservation iaitu salah satu puak asli Amerika Syarikat. Melalui sumber yang diperolehi, populasi penduduk yang dicatatkan sehingga Julai 2017 ialah seramai 5,035 orang.

Menjejakkan kaki di daerah kaum asli Amerika Syarikat (Indian Reservation) bukan sesuatu yang asing bagi kami tetapi ini merupakan pertama kali saya berkongsi gambar-gambar yang dirakamkan di pasar raya di Kayenta yang mempunyai seni bina tradisional dan menggunakan dua bahasa iaitu Inggeris dan Navajo. Selain daripada itu, melalui gambar-gambar dan video yang dikongsikan, anda dapat melihat bagaiamana penduduk tempatan keluar membeli belah serta pakaian yang digayakan termasuk aksesori seperti selendang dan topi. Saya menyangkal apabila umum mengaitkan pemuda 'cowboy' hanya dari negeri Texas. Pakaian dan gaya kehidupan sebegitu turut ada di negeri lain terutama di daerah kaum asli.

Meskipun beberapa daerah kaum asli mempunyai rangkaian restoran makanan segera, motel dan stesen minyak, serta kemudahan asas yang lain tetapi agak sedih untuk saya katakan di sini bahawa rata-rata daerah kaum asli di sini agak mundur. Dari sudut positif, mereka kaya dengan adat, budaya dan tempat-tempat bersejarah yang masih dikekalkan sehingga kini. Setiap daerah (Indian Reservation) turut mempunyai sistem perundangan dan pentadbiran yang berbeza. Saya akan ceritakan dengan lebih lanjut di dalam artikel akan datang.


Instagram : blog_th2010
YouTube : Shery NN

No comments:

Post a Comment