Wednesday 8 April 2020

Konsert Backstreet Boys Di Vancouver Bahagian 1

Kenangan manis menyaksikan konsert kumpulan Backstreet Boys di Perth, Australia pada tahun 2015 masih terkesan di hati. Bertambah manis lagi apabila saya dapat menyaksikannya sekali lagi di Vancouver, Kanada pada musim panas tahun lalu. Pada awalnya saya tidak mempunyai perancangan untuk menghadiri konsert ini kerana keadaan kesihatan saya tidak mengizinkan. Walau bagaimanapun setelah menilai semula keadaan semasa, akhirnya saya mengambil keputusan untuk membeli tiket hanya dua hari sebelum konsert berlangsung. Alang-alang menyeluk pekasam, biar sampai ke pangkal lengan. Alang alang saya membeli tiket, lebih baik pilih tempat yang terbaik. Saya mengambil peluang keemasan dengan memilih tiket yang dapat saya saksikan konsert dengan lebih dekat dengan pentas.

Konsert diadakan di Rogers Arena Vancouver pada hari Sabtu bersamaan dengan 27 Julai 2019. Saya hadir agak awal kerana ingin mengambil tiket yang telah dibeli melalui pembelian atas talian. Selepas itu saya berkesempatan bergambar dengan poster Backstreet Boys yang telah disiapkan oleh petugas beberapa stesen radio tempatan. Saya turut bergambar dengan menggunakan kamera polaroid yang disediakan oleh stesen Kiss.fm. Gambar yang dicetak serta merta itu boleh diambil secara percuma. Sebelum masuk ke Rogers Arena, saya membeli sehelai baju T Backstreet Boys bertemakan konsert jelajah mereka. Untuk maklumat, saya memakai baju T yang dibeli semasa saya masih belajar di sekolah menengah iaitu sekitar tahun 1997. Saya juga menyaksikan konsert ini seorang diri. Suami saya sekadar menemani saya dari luar sahaja.

Sebelum konsert bermula, kami peminat Backstreet Boys telah dihiburkan dengan beberapa buah lagu nyanyian dari Baylee Littrell iaitu anak kepada salah seorang ahli kumpulan Backstreet Boys, Brian Littrell. Gambar-gambar yang dimuat naik di sini saya susun mengikut turutan yang betul. Anda dapat melihat gambar dari mula saya tiba di Rogers Arena sehingga ke permulaan konsert. Artikel ini akan bersambung ke bahagian dua di mana saya akan berkongsi lagi cerita menarik berserta dengan video yang saya rakamkan pada malam tersebut.










































Akan bersambung....

Instagram : blog_th2010
Facebook  : blog_th2010
You Tube  : Shery NN

No comments:

Post a Comment