Sunday, 14 June 2015

Tips Melancong - Cara Menjaga Keselamatan Pasport Semasa Berada Di Luar Negara

Assalamualaikum w.h.t dan Salam Sejahtera

Apabila hendak melancong atau bertugas ke luar negara, pasport merupakan dokumen perjalanan dan pengenalan diri rasmi yang wajib dibawa bersama. Jika berlakunya kecurian atau kehilangan pasport ia akan merumitkan keadaan, membazir masa serta membebankan kewangan. Di bawah ini saya sertakan tips supaya anda dapat menjaga pasport seperti anda menjaga diri sendiri.


Sentiasa berhati-hati sebelum terjadi perkara yang tidak diingini. Penjagaan pasport adalah penting dan tanggungjawab bagi setiap individu yang memilikinya.


Persediaan Sebelum Berlepas
- Sebelum membuat sebarang urusan tempahan tiket kapal terbang atau hotel, pastikan pasport belum lagi tamat tempoh.

- Sediakan salinan fotokopi muka hadapan pasport yang mengandungi butir diri serta gambar. Jika terjadinya kehilangan pasport, salinan ini dapat membantu anda dalam meringankan urusan pembaharuan pasport. Salinan tersebut perlu diletakkan berasingan dari tempat penyimpan pasport. Untuk langkah lebih baik, anda boleh bawakan bersama tambahan dua keping gambar berukuran pasport.


Semasa Berada Di Lapangan Terbang Atau Pelabuhan



- Kos untuk membuat pasport agak mahal oleh itu simpan dan jaga dokumen antarabangsa ini sebaik mungkin. Anda digalakkan membeli sekeping perlindungan pasport (passport cover) yang banyak dijual di pusat membeli belah.

- Sebagai langkah tambahan bagi mereka yang melancong dengan menaiki kapal atau feri, anda boleh menyimpan pasport di dalam beg plastik yang berzip.

- Jika perjalanan percutian menuntut anda bertukar-tukar lapangan terbang atau transit beberapa kali, letakkan pasport di tempat yang senang untuk diambil contohnya di poket luar beg tangan atau di poket jaket, baju, dan seluar yang berbutang atau berzip.



Di Dalam Pengangkutan Awam

Pengangkutan awam yang saya maksudkan merangkumi kapal terbang, kapal, feri, keretapi dan bas.
Sekiranya perjalanan percutian anda ditemani keluarga atau sahabat, ia tidak menjadi masalah sekiranya anda mahu ke tandas kerana dokumen perjalanan boleh ditinggalkan sebentar di bawah jagaan mereka. Bagi perjalanan seorang diri, beg yang mempunyai barangan peribadi perlu diambil langkah berhati-hati.

- Sebolehnya elakkan meletak bagasi dan beg kecil di tempat penyimpanan (overhead compartment) di bahagian kepala anda. Cuba letakkan di arah bertentangan dengan tempat duduk anda kerana ia memudahkan pandangan sepanjang masa penerbangan sekiranya ada penumpang lain yang cuba membuka bagasi milik anda.


Jika anda meletakkan pasport atau dokumen penting di dalam bagasi di tempat penyimpanan (overhead compartment), pastikan bagasi tersebut senang dilihat oleh anda. 

- Bawa beg tangan anda bersama ke tandas. Buang rasa malas atau tanggapan 'hanya sekejap sahaja'.

- Bagi mereka yang menyimpan dokumen perjalanan di dalam beg galas belakang, pastikan anda mengunci beg tersebut.

 - Bagi mereka yang menyimpan dokumen perjalanan di dalam beg galas belakang yang tidak berkunci, satu cara lain yang memudahkan anda ialah dengan cara 'beg dalam beg'. Simpan dokumen perjalanan di dalam beg pinggang, beg mini atau beg genggam kemudian masukkan di dalam beg galas belakang. Apabila sudah berada di dalam kabin. beg tersebut boleh dikeluarkan dan simpan di hadapan anda (poket tempat duduk). Beg bersaiz kecil itu senang untuk dibawa ke tandas.



Berada Di Luar Negara 

- Jika anda tidak mahu membawa pasport semasa keluar bersiar-siar, ia boleh disimpan di dalam peti keselamatan yang terdapat di dalam bilik hotel. Saya tidak pernah menyimpan pasport di dalam peti keselamatan tersebut dan lebih senang dibawa bersama. Sebagai pelancong asing di sesebuah negara adalah satu tanggungjawab saya untuk membawa dokumen perjalanan dan pengenalan diri pada setiap masa.

Peti keselamatan yang disediakan di setiap bilik hotel memudahkan tetamu untuk menyimpan barangan peribadi yang berharga. Gambar dirakamkan di hotel Courtyard Marriott Hong Kong.


- Jenis beg yang digunakan semasa melancong memainkan peranan penting dalam aspek keselamatan dan diri anda. Jika anda mengikuti lawatan satu hari yang panjang adalah tidak sesuai menggunakan tas tangan bertali pendek (yang hanya boleh digenggam atau disangkut di lengan). Beg tangan seperti ini senang ditarik atau diragut.

- Semasa lawatan dan bersiar-siar, pastikan zip di setiap poket beg tangan tersebut ditutup.

- Beg galas belakang atau beg sekolah dari jenis kain nipis merupakan salah satu beg yang senang dikoyakkan dengan menggunakan alatan yang tajam seperti gunting. Jika anda berada di dalam bas atau keretapi dalam bandar, pastikan anda menggalas beg ke hadapan (seperti memeluk).
Paris contohnya merupakan bandar yang terkenal dengan peragut dan lebih terperinci lagi di dalam pengangkutan awam. Mereka boleh meragut, mengonyakkan beg sepantas kilat dan hilang tanpa dapat dikesan.

- Bagi diri saya sendiri, saya gemar menggalas beg bertali panjang yang boleh disilang ke hadapan badan. Jika saya menggalas beg tangan di bahu sekalipun, saya akan pastikan tangan tetap menggengam tali beg dan diarahkan ke bahagian hadapan badan.

- Semasa menjamu selera di restoran atau kafe, saya akan memastikan beg tangan masih bersilang di badan atau tali beg dililitkan di lengan. Mengikut keadaan dan persekitaran restoran ada waktunya saya letakkan di kerusi sebelah, Saya belum pernah dan tidak sekali-kali akan meletakkan beg tangan di atas meja atau di lantai.


Apabila berada restoran atau kafe, beg tangan pasti berada di atas riba saya dan sekaligus beg berselindung di sebalik meja dan ia sukar untuk dilihat oleh orang lain.


Pengenalan Diri
- Berhati-hati dalam memberi dan berkongsi butiran pasport. Selain pegawai imigresen, kakitangan hotel, agensi pelancongan dan sewa kereta yang biasa meminta pengenalan diri iaitu pasport. Di kebanyakan negara pula, apabila kita membeli belah dan membuat pembayaran dengan kad kredit, mereka akan meminta pasport sebagai pengenalan diri bagi memastikan pemilik kad adalah orang yang sama dan bukan pemegang kad kredit palsu.


Jangan mendedahkan butiran passport kepada orang lain khususnya di mana-mana laman sosial media.


- Tidak mendedahkan butiran pasport di dalam sosial media seperti contoh Facebook, Instagram, atau Twitter. Walaupun mungkin niat anda mahu berkongsi niat baik, tetapi perlu di ingat, dunia siber dan internet ini bukan milik kita seorang diri. Penggodam internet dan sindiket membuat pasport palsu sangat berleluasa dan mempunyai pelbagai cara dalam mendapatkan maklumat peribadi seseorang.


Saya berharap tips yang saya kongsikan di atas dapat membantu anda dalam merancang perjalanan dan percutian ke luar negara. Mungkin anda rasakan tips ini agak rumit atau remeh, tetapi percayalah jika diamalkan selalu ia tidak menjadi masalah malah senang untuk diuruskan. Sekali lagi saya ulangi, sayangi dan jaga pasport anda seperti anda menjaga diri sendiri.

Tips Melancong yang saya kongsikan di sini adalah bersiri dan saya akan terus siarkan secara berperingkat.
Entri yang lain boleh anda baca di sini;

Tips Melancong - Perancangan Percutian Ke Luar Negara
http://sharery.blogspot.com.au/2015/01/tips-melancong-perancangan-percutian-ke.html

Tips Melancong - Pengurusan Pakaian Dan Bagasi 
http://sharery.blogspot.com.au/2015/03/tips-melancong-tata-cara-dan-adab.html

Tips Melancong - Tatacara Dan Adab Semasa Berada Di Lapangan Terbang;
http://sharery.blogspot.com.au/2015/03/tips-melancong-tata-cara-dan-adab.html

Tips Melancong - Cara Mengatasi Jet Lag
http://www.sharery.blogspot.com.au/2015/05/tips-melancong-bagaimana-cara-mengatasi.html

Tips Melancong - Mengetahui Lokasi Pejabat Kedutaan Dan Konsulat Di Luar Negara
http://sharery.blogspot.com.au/2015/06/tips-melancong-mengetahui-lokasi.html

Tips Melancong - Adab Dan Displin Sebelum Memasuki Pesawat
http://sharery.blogspot.com.au/2015/07/tips-melancong-adab-dan-displin-sebelum.html



Jika anda mempunyai sebarang pertanyaan, sila nyatakan di dalam ruangan komen dan tinggalkan alamat e-mel untuk saya membalasnya kelak. Anda juga boleh ikuti perkembangan saya melalui akaun Instagram, blog_th2010.


No comments:

Post a Comment