Sunday, 4 November 2018

Tru by Hilton Las Vegas Airport, Nevada

Sudah banyak kali saya dan suami datang Las Vegas tetapi kami tidak pernah dan belum berminat untuk bermalam di hotel di kawasan tumpuan pelancong iaitu Las Vegas Strip. Kami gemar memilih hotel yang berdekatan dengan Las Vegas Strip atau di kawasan perumahan kerana lebih sunyi, tenteram dan tidak kecoh dengan ramai pelancong. Malahan setiap kali berada di Las Vegas kami menjadi seperti penduduk tempatan dan lebih kepada meluangkan masa bersama keluarga yang menetap di sini. Semasa mencari hotel di Las Vegas melalui internet, kami terjumpa hotel Tru by Hilton yang baharu dibuka pada Disember 2017. Melihat kepada terma dan syarat serta lokasi dan harga yang ditawarkan pada waktu itu, maka kami terus menempahnya.

Tru by Hilton Las Vegas terletak berdekatan dengan Lapangan Terbang Antarabangsa McCarran dan hanya 3 kilometer dari Las Vegas Strip.  Masuk sahaja di ruang lobi, saya sudah mula menyukai hotel ini. Hiasan dalaman, perabot dan konsep Tru by Hilton berbeza dengan yang hotel lain kerana ia lebih fokus kepada tetamu atau pelancong yang datang kerana urusan kerja atau perniagaan. Kadang kala saya melihat hotel ini tidak seperti hotel tetapi seperti berada di pejabat atau kolej yang sangat santai. Warna warni baik di dalam atau di luar bangunan boleh menceriakan mood seseorang. Dari segi saiz bilik pula ia tidak besar dan tidak terlalu kecil. Konsep jimat ruang ini turut berjaya mencuri tumpuan terutama pada bahagian menggantung pakaian dan tempat penyimpanan bagasi di bawah katil. Kerusi yang disediakan amat bersesuaian bagi mereka yang ingin menggunakan komputer. Melihat kepada saiz bilik yang kecil, saya tidak menyangka pula yang bilik air agak besar. Walaupun pernah menginap di hotel 5 bintang, tetapi saya belum pernah memberi ulasan tentang bau-bauan sabun dan syampu dari hotel tersebut. Tetapi di Tru by Hilton, saya memberi pujian dengan kualiti dan bau yang wangi serta unik dari produk sabun, syampu dan losyen.

Sememangnya hotel ini memfokuskan kepada golongan tertentu tetapi ia tidak bermakna golongan berkeluarga tidak sesuai untuk menginap di sini. Di ruang lobi turut terdapat satu sudut untuk kanak-kanak meluangkan masa bermain. Tru by Hilton Las Vegas memberi perkhidmatan pengangkutan ulang alik ke lapangan terbang kepada tetamu. Sarapan pagi, internet tanpa wayar (wifi) dan tempat meletak kenderaan adalah percuma. Menu bagi sarapan tidak 'berat' tetapi cukup sekadar boleh mengalas perut. Kolam renang, gimnasium dan mesin minuman percuma terletak di tingkat bawah iaitu bersebelahan dengan lobi hotel.

Video ini juga boleh ditonton melalui saluran You Tube Shery NN ;
https://youtu.be/tamhM6m50Ww

Instagram : blog_th2010
You Tube : Shery NN

No comments:

Post a Comment