Monday 18 March 2019

Hari Ulang Tahun Saya (26 November 2018)

Sekali lagi, pada 26 November yang lalu saya menyambut hari ulang tahun yang ke-37 dalam keadaan yang sederhana. Setelah beberapa tahun saya tidak dapat menyambut bersama suami, syukur kali ini beliau ada bersama.

Sekiranya anda membaca artikel sebelum ini, saya menceritakan tentang pengalaman berjumpa dengan pemain hoki ais NHL Vancouver Canucks.
http://sharery.blogspot.com/2019/03/bertemu-pemain-hoki-ais-nhl-vancouver.html
Di samping itu saya berpeluang menyertai cabutan bertuah di mana hadiah yang bakal diberi ialah sepasang tiket untuk menyaksikan perlawanan antara Vancouver Canucks dan Los Angeles Kings pada 27 November 2018.

Pada awal pagi 26 November, saya dan suami masing-masing menerima panggilan telefon berasingan dari ibu pejabat Lindt Chocolate di Toronto yang memberitahu, kami telah memenangi tiket perlawanan. Tentunya saya berasa terkejut dan dalam waktu yang sama gembira kerana impian untuk menyaksikan perlawanan secara dekat bakal menjadi kenyataan. Kami diarahkan untuk mengambil tiket di kedai coklat Lindt iaitu tempat yang sama semasa bertemu dengan pemain Vancouver Canucks pada hari sebelumnya.

Pada sebelah tengah hari, saya dan suami serta sahabat baik menikmati makan tengah di sebuah restoran kegemaran kami bertiga. Seterusnya pada sebelah petang kami ke kedai coklat Lindt dan mengambil tiket perlawanan. Setiap seorang menerima sepasang tiket dan ini bermakna kami mempunyai 4 keping tiket yang harga keseluruhan bernilai CAD500.
Pekerja di situ sempat memberi pujian yang katanya saya tidak nampak seperti usia 37 tahun.

Hujan lebat yang turun sejak dari pagi masih berterusan sehingga ke malam. Sebelum pulang, kami singgah ke Starbucks Reserve Bar di Main St. Ia merupakan cawangan Starbucks Reserve Bar yang kedua dibuka di Kanada dan pertama di Vancouver. Sudah beberapa kali saya datang ke sini tetapi masih belum berkesempatan untuk menyiarkan artikel mengenainya.

Begitulah sedikit sebanyak kenangan manis sambutan hari ulang tahun saya yang lepas. Tentunya hadiah paling bermakna ialah apabila memenangi tiket perlawanan hoki ais. Nantikan artikel seterusnya di mana saya akan berkongsi pengalaman menyaksikan perlawanan tersebut.

Saya ingin sampaikan ribuan terima kasih kepada mereka yang sudi memberi kata-kata ucapan hari ulang tahun kepada saya. Semoga kehidupan kita semua sentiasa diberkati olehNya.
Instagram : blog_th2010
You Tube  : Shery NN

No comments:

Post a Comment