Wednesday 19 November 2014

RetroRoo - Kapal Terbang Baru B737-800 Milik QANTAS

Assalamualaikum w.h.t dan Salam Sejahtera

Tepat jam 10.24 pagi waktu Sydney pada 19 November 2014, kapal terbang baru B737-800 milik QANTAS dengan nombor pesawat QF6024 telah selamat mendarat di Lapangan Terbang Sydney (sebelum itu transit di Honolulu dan Nadi). Pesawat berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa King County (Boeing Field), Seattle, Amerika Syarikat selepas kerja-kerja mengecat kapal terbang RetroRoo selesai dijalankan di kilang Boeing. Keistimewaan RetroRoo ialah ia dicat seakan kapal terbang Qantas pada era 70an (seperti gambar B747 di bawah) dan disesuaikan dengan logo pertama Qantas tahun 1947 sempena menyambut ulangtahun Qantas ke-94.

Beginilah rekaan dan logo lama yang diguna semula pada kapal terbang RetroRoo B737-800.

Semasa majlis perasmian yang diadakan di Seattle beberapa hari lalu, kru kabin turut memakai pakaian seragam era 70an dari jenama Emilio Pucci. Turut hadir ialah duta Qantas iaitu penyanyi dan pelakon John Travolta.

Gambar ihsan dari AUSBT. Qantas memiliki 75 buah kapal terbang model B737-800 (belum dikira dengan model-model yang lain) dan RetroRoo merupakan kapal yang paling baharu.

Ketika melawat ke Qantas Heritage Collection di Lapangan Terbang Sydney Terminal Domestik, saya bukan sahaja mempelajari banyak sejarah Qantas malah dapat melihat kesemua koleksi pakaian seragam yang pernah dan masih dipakai oleh kru kabin. Mungkin kerana saya menyukai rekaan Emilio Pucci sejak sekian lama dan mempunyai beberapa beg tangan dari jenama yang sama membuatkan saya tertarik dan jatuh cinta pandang pertama dengan pakaian seragam ini berbanding dengan yang lain yang dipamerkan di sini.

Pakaian seragam dari rekaan Emilio Pucci yang dipakai oleh kru kabin Qantas dari tahun 1974 hingga 1987.

Untuk melihat gambar-gambar lain anda boleh ke entri ini ;
http://sharery.blogspot.com.au/2013/07/qantas-heritage-collection-bahagian-1.html
http://sharery.blogspot.com.au/2013/07/qantas-heritage-collection-bahagian-2.html



No comments:

Post a Comment