Wednesday 4 November 2015

Cawangan Krispy Kreme Pertama Di Australia Barat

Assalamualaikum w.h.t dan Salam Sejahtera

Donat jenama Krispy Kreme bukanlah sesuatu yang baharu bagi saya. Pada tahun 2008 saya dan suami menjadi pelanggan kelima terawal semasa hari pembukaannya di pusat membeli belah Mid Valley Megamall di Malaysia dan kami telah menerima 2 helai baju-t percuma. Semasa pernah tinggal di Melbourne, kami juga telah membuat lawatan ke kilangnya.

Apa yang menarik tentang entri kali ini ialah pada minggu lalu saya berpeluang berkunjung ke cawangan Krispy Kreme pertama di Australia Barat yang terletak di Westfield Whitford City, Hillarys kira-kira 25 kilometer dari bandar Perth. Tidak mungkin saya akan melupakan tarikh pembukaan iaitu pada 26 November 2014 bersamaan dengan hari lahir saya. Lebih istimewa lagi, penjualan donat pada hari pertama pembukaan adalah yang tertinggi di dunia. Ia merupakan sejarah kejayaan Krispy Kreme buat julung kalinya sejak ia mula beroperasi di Amerika Syarikat pada 77 tahun lalu.

Melalui berita yang saya baca pada tahun lalu, seorang remaja bermalam di hadapan kedai semata-mata ingin menjadi pelanggan pertama pada hari pembukaan. Pada pendapat peribadi, adalah sudah tiba dan bersesuaian masanya Krispy Kreme 'datang' ke Australia Barat. Sebelum ini penduduk tempatan hanya berpeluang membeli donat Krispy Kreme apabila mereka bercuti di Melbourne atau Sydney. Ketika itu (semasa saya pernah tinggal di Perth dan bercuti di Melbourne) saya sering kali melihat mereka membawa pulang donat dan tempat penyimpanan beg di dalam kabin pesawat dipenuhi dengan plastik donat Krispy Kreme.

Gambar atas : Cawangan Krispy Kreme Pertama Di Australia Barat.

Gambar bawah : Saya berdiri di hadapan pintu masuk.

Gambar atas : Pelanggan bukan sahaja boleh membeli donat untuk dibawa pulang malah boleh menikmatinya di sini kerana terdapat beberapa buah meja dan kerusi. Wifi percuma turut disediakan.

Gambar bawah : Bilik mesyuarat untuk pekerja dan ia juga boleh disewa untuk mereka yang ingin mengadakan majlis.

Gambar kiri : Bilik mesyuarat dihias sempena hari Halloween.

Gambar kanan : Di kaunter pembelian turut diletakkan patung bagi memeriahkan hari Halloween yang disambut pada 31 Oktober setiap tahun.

Gambar kiri : Topi kertas Krispy Kreme.

Gambar kanan : Poster besar diletakkan di satu sudut di dalam kedai. Di sebelah kiri poster terdapat dua bilik tandas dan bilik mesyuarat manakala di sebelah kanan poster terletaknya dapur atau kilang membuat donat. Platform disediakan khusus untuk pelanggan yang rendah terutamanya kanak-kanak bagi menyenangkan mereka melihat proses pembuatan donat.

Di sini saya sertakan bersama sebuah video di mana anda dapat melihat proses pembuatan donat.



Gambar kiri dan kanan : Kilang pembuatan donat yang dapat dilihat oleh para pelanggan melalui cermin kaca.

Gambar kanan : Saya membeli donat sebanyak 12 biji (satu dozen).

Gambar kanan : Donat berbentuk tengkorak merupakan salah satu daripada empat donat edisi terhad sempena hari Halloween.

Selain donat, pelanggan boleh membeli minuman panas seperti kopi atau susu berperisa (milkshakes). Kaunter pandu lalu turut terdapat di cawangan ini.
Waktu perniagaan pada hari Isnin hingga Ahad ialah dari 5:00 pagi hingga 11:00 malam dan waktu perniagaan untuk kaunter pandu lalu ialah 24 jam/ 7 hari seminggu.

Sebuah lagi cawangan di Australia Barat telah dibuka di Myaree pada bulan Mac 2015. Waktu perniagaan kedai dan kaunter pandu lalu pada hari Isnin hingga Ahad ialah 6:00 pagi hingga 11:00 malam. Cawangan ini tidak mempunyai kilang seperti di cawangan pertama.

Krispy Kreme Australia disahkan Halal oleh AFIC (Australian Federation Of Islamic Council).

Jika anda mempunyai sebarang pertanyaan, sila nyatakan di dalam ruangan komen dan tinggalkan alamat e-mel untuk saya membalasnya kelak. Anda juga boleh ikuti perkembangan terbaharu saya melalui akaun Instagram, blog_th2010.



No comments:

Post a Comment