Monday 9 July 2018

Jambatan Gantung Capilano - Vancouver (Bahagian 1)

Capilano Suspension Bridge ialah jambatan gantung yang menyeberangi Sungai Capilano di daerah Vancouver Utara, British Columbia, Kanada. Ketinggian jambatan gantung ini ialah 137 meter (450 kaki) serta kepanjangannya ialah 70 meter (230 kaki) di atas paras air.

Nama asal Capilano ialah Kia'palano iaitu datangnya dari nama seorang ketua masyarakat kaum asli Amerika Utara puak Squamish yang pernah tinggal di kawasan ini pada awal tahun 1800. Kia'palano bermaksud 'kecantikan sungai'.
Tahun berganti tahun, akhirnya nama Kia'palano ditukar kepada Capilano sekaligus digunakan untuk nama jambatan, sungai dan keseluruhan taman ini (Capilano Suspension Bridge, Capilano River, Capilano Suspension Bridge Park).

Jambatan gantung Capilano dibina pada tahun 1889 oleh George Grant MacKay dengan menggunakan tali serta papan lapis dan ditukar pula kepada jambatan kabel dawai besi pada tahun 1903. Oleh kerana kawasan ini ialah sebuah kawasan persendirian maka ia sudah beberapa kali bertukar pemilik malah kawasan taman serta jambatan turut dinaik taraf. Nancy Stibbard ialah pemilik terkini Capilano Suspension Bridge Park. Beliau membeli dari bapanya sendiri pada tahun 1983.

Capilano Suspension Bridge Park telah menambah dua tarikan kepada pengunjung iaitu Treetops Adventures dan Cliffwalk. Treetops Adventure dibuka pada tahun 2004 di mana ia merangkumi tujuh buah jambatan yang digantung menghubungkan pokok-pokok Douglas Fir berusia 250 tahun dengan ketinggian 30 meter (100 kaki) dari paras lantai hutan. Anjung tinjau di Treetops Adventure mempunyai sistem yang boleh diselaras dan mudah alih di mana ia tidak menggunakan selak atau paku bagi menghubungkan dengan pokok-pokok tersebut. Manakala Cliffwalk dibuka pada tahun 2011 merupakan laluan pejalan kaki yang sempit dan tinggi yang berpaut dengan tebing granit di atas hutan hujan.

Bayaran masuk dikenakan bagi setiap pengujung dan harga berbeza mengikut peringkat usia. Saya dan suami membeli pas tahunan (BC Residents Annual Pass) yang berharga $46.95. Ia dikhaskan untuk penduduk British Columbia sahaja. Kelebihan untuk masuk ke kawasan jambatan gantung tanpa had selama satu tahun ini bermula dari tarikh pembelian. Selain dari penjimatan berganda yang diperolehi apabila memegang BC Residents Annual Pass, kami turut menerima beberapa lagi keistimewaan seperti contoh diskaun pembelian di beberapa tempat terpilih.

Capilano Suspension Bridge Park dibuka sepanjang tahun kecuali pada Hari Krismas. Masa lawatan kerap bertukar mengikut musim. Canyon Lights ialah Festival Musim Sejuk (Winter Festival) iaitu musim perayaan yang paling dinanti-nanti dan menerujakan. Ia berlangsung pada 22 November sehingga 27 Januari dan waktu lawatan ialah dari 11:00 pagi sehingga lewat ke 9:00 malam. Sepanjang festival, seluruh kawasan Capilano Suspension Bridge Park akan bermandikan cahaya lampu berwarna warni dan pengunjung berpeluang melihat pelbagai hiasan sempena Hari Krismas.

Kami datang ke Capilano Suspension Bridge Park lebih kurang jam 2:15 petang. Setelah puas mengelilingi seluruh kawasan dan menaiki semua jambatan gantung, kami berehat seketika di sebuah kafe sambil menunggu matahari terbenam pada jam 4:14 petang. Selepas itu kami mengulangi semula mengelilingi tempat-tempat yang sama kerana kali ini untuk mengambil gambar pada sebelah malam kerana limpahan cahaya lampu yang lebih cantik. Lawatan kami berakhir sekitar jam 8:00 malam.

Artikel di bawah tajuk Jambatan Gantung Capilano dibahagikan kepada dua dan merupakan salah satu artikel yang paling banyak saya kongsikan gambar (dalam sejarah) iaitu lebih dari 120 berserta dua klip video. Saya berharap semoga anda terhibur mengikut sama mengalami pengalaman lawatan ini. 
Anda masih belum melihat keindahan pemandangan Capilano Suspension Bridge Park pada waktu. Nantikan artikel bahagian 2 yang bakal disiarkan tidak lama lagi.

Instagram : blog_th2010
You Tube : Shery NN

2 comments: