Monday 23 July 2018

The Museum Of Flight Seattle Bahagian 1

Satu masa dahulu saya masih ingat akan berita persaraan kapal terbang Concorde British Airways dan Air France di dalam dunia penerbangan dan saya tidak pernah menyangka dapat melihat pesawat supersonic ini dari jarak dekat (di tepi jalan raya) di The Museum of Flight, Seattle, Washington, Amerika Syarikat pada enam tahun lalu. Sejak dari itu saya mempunyai perancangan untuk melawat ke muzium dan masuk ke dalam kabin kapal terbang Concorde tetapi hasrat sentiasa tidak kesampaian walaupun saya dan suami kerap datang ke Seattle kerana kami lebih mengutamakan lawatan ke tempat lain. Sehinggalah pada bulan Disember yang lepas akhirnya impian menjadi kenyataan. Untuk melawat ke muzium ini dan melihat keseluruhan kapal terbang yang dipamerkan, pengunjung perlu memperuntukkan masa yang lama seperti contoh kami meluangkan masa lebih kurang empat jam bermula dari jam 10:30 pagi hingga 2:30 petang.

Apabila datang pada bukan musim puncak, muzium ibarat seperti kami yang punya. Bukan sahaja dapat melihat pameran dengan selesa tanpa gangguan malah senang bagi saya merakamkan gambar serta video. Pada awalnya artikel ini sukar untuk disiapkan kerana saya mempunyai masalah di dalam pemilihan gambar. Saya ingin berkongsi dengan anda setiap apa yang dilihat di dalam muzium ini. Setelah membuat beberapa tapisan, akhirnya saya mengambil keputusan untuk bahagikan artikel kepada tiga bahagian dengan jumlah keseluruhan gambar ialah 230 berserta satu video yang akan disiarkan pada bahagian terakhir artikel nanti.

Di dalam bahagian satu saya membawa anda melihat pameran kapal angkasa lepas dan kapal terbang lama di Kampus Timur Tingkat 1 dan 2 (East Campus). Sejarah dan maklumat kesemua kapal-kapal yang dipamerkan telah dicatatkan di atas papan tanda. Lebih menarik lagi di sini pengunjung berpeluang mendengar secara langsung perbualan dari kawalan trafik udara di Lapangan Terbang Antarabangsa King County /Boeing Field serta melihat setiap pergerakan kapal terbang di ruang udara Seattle dan Amerika Syarikat keseluruhannya melalui dua buah komputer.

Satu lagi pengalaman yang tidak dapat dilupakan ialah berpeluang duduk di dalam kokpit jet pejuang Lockheed SR71A Blackbird iaitu jet pejuang paling laju di dunia. Agak susah bagi saya untuk keluar dan masuk kokpit kerana ia sangat sempit. Bahagian depan/kokpit sahaja yang dipamerkan kerana jet pejuang ini telah terhempas pada tahun 1968 di Pengkalan Tentera Udara Beale, Marysville, California. Gambar dan keterangan lanjut mengenai jet pejuang ini turut saya muat naik seperti di bawah.


 
William E. Boeing Red Barn
Sebagai bekas pramugari yang menjadikan kapal terbang Boeing (dan Airbus) sebagai "pejabat" atau ''taman permainan" selama lima tahun, saya rasa terkesan apabila masuk ke dewan pameran William E. Boeing Red Barn. William Edward Boeing ialah pengasas syarikat Boeing pada tahun 1916. Di dewan ini diceritakan mengenai sejarah syarikat Boeing, pembuatan awal kapal terbang dan lahirnya dunia penerbangan. Satu perkara yang memeranjatkan saya ialah jurutera (aeronautik) pertama syarikat Boeing ialah pemuda cina yang bernama Wong Tsu. Sedikit meghampakan kerana tidak semua sudut di dalam dewan dua tingkat ini dibenarkan mengambil gambar. Saya hanya rakamkan sekadar yang dibenarkan sahaja.


Di dalam artikel bahagian dua yang bakal disiarkan dalam beberapa hari lagi anda dapat melihat pengalaman saya berada di dalam kapal terbang Concorde dan Air Force One milik bekas Presiden Amerika Syarikat.

Instagram : blog_th2010
You Tube : Shery NN

No comments:

Post a Comment