Tuesday 16 July 2019

Tasik Buntzen, British Columbia, Kanada

Kawasan Rekreasi Tasik Buntzen, terletak di utara Anmore, British Columbia, Kanada. Jarak antara Tasik Buntzen dan bandar Vancouver ialah 35 kilometer. Tasik Buntzen dinamakan pada tahun 1905 sempena memberi penghormatan kepada pengurus besar pertama BC Electric Railway Co. iaitu Johannes Buntzen. Tasik ini adalah loji takungan hidroelektrik yang aktif dan pernah menjadi sumber utama elektrik di Vancouver. Hari ini, loji takungan hidroelektrik mengeluarkan kurang daripada 0.4% kuasa yang dihasilkan oleh semua kemudahan penjanaan dari BC Hydro.

Semasa tahun pertama tinggal di Vancouver, saya telah melihat banyak gambar indah Buntzen Lake yang diselaputi salji yang disiarkan di laman sosial. Sejak dari itu saya berazam untuk datang melawat ke tasik ini. Hanya beberapa bulan lalu, baharu saya berkesempatan untuk menjejakkan kaki di Tasik Buntzen. Keadaan persekitaran pada waktu pagi di Tasik Buntzen sangat mendamaikan dan sunyi kerana masih tidak ramai pelawat. Saya mengelak untuk datang pada musim panas kerana risiko untuk bertembung atau terserempak dengan beruang adalah sangat tinggi. Oleh kerana itu, saya memilih untuk datang pada musim sejuk walaupun semasa kedatangan saya itu salji di bahagian puncak gunung tidak tebal seperti gambar-gambar yang saya lihat sebelum ini di laman sosial. Tasik Buntzen menerima kedatangan pelawat yang begitu ramai pada musim panas. Sekiranya anda juga berminat untuk melawat pada musim panas, saya nasihatkan supaya datang pada awal pagi.
Sekiranya terdapat kesulitan dengan video ini, anda boleh menonton di saluran You Tube Shery NN ;

Instagram : blog_th2010
You Tube : Shery NN


No comments:

Post a Comment