Sunday 10 May 2015

Tips Melancong - Cara Mengatasi Jet lag

Assalamualaikum w.h.t dan Salam Sejahtera

Jet lag merupakan simptom keletihan dan masalah tidur yang terjadi setelah tiba atau pulang dari sesebuah negara yang jarak masanya sangat berbeza dari negara yang kita tinggal (time zone).

Saya terpanggil untuk membuat entri ini adalah kerana saya sering ditanya soalan mengenai bagaimana cara saya mengatasi jet lag sedangkan mereka mengalami masalah tersebut lebih dari satu hari malah hampir satu minggu lamanya.

Sebagai bekas pramugari, kehidupan harian saya semasa bertugas suatu masa dahulu adalah lebih banyak di awan biru berbanding di darat. Selepas meletakkan jawatan dan berkahwin serta berhijrah ke luar negara, saya #travelblogger masih sibuk/kerap terbang ke pelbagai negara terutama sekali di antara dua buah negara iaitu Australia dan Amerika Syarikat. Dua buah negara yang besar ini juga (Australia dan Amerika Syarikat) mempunyai beberapa zon masa yang berbeza dan ia menuntut satu displin demi untuk mengelakkan dari masalah jet lag.

Di Lapangan Terbang Antarabangsa Chicago O' Hare, Amerika Syarikat dan bakal memulakan penerbangan yang panjang yang memakan masa lebih dari dua hari.

Saya bukan pakar kesihatan yang ingin menghuraikan panjang lebar mengenai jet lag. Apa yang ingin saya kongsikan bersama anda ialah berdasarkan pengalaman dan cara yang saya lakukan untuk diri sendiri.

Bagi seorang anak kapal, waktu tidur dan bangun saya tidak menentu dan ia bergantung kepada jadual penerbangan. Kebiasaanya sejurus pulang semula ke Malaysia (terutamanya penerbangan antarabangsa yang tiba awal pagi) dan tiba di rumah, saya akan tidur lena tetapi tidak meleretkannya sehingga lewat petang. Cukup hanya beberapa jam supaya malam nanti waktu tidur saya akan menjadi seperti sedia kala.

Setelah berhijrah ke luar negara dan kehidupan sebagai #travelblogger, jet lag boleh saya atasi dengan mudah sekali. Perkara utama yang biasa saya lakukan sebelum terbang ke sesebuah negara contohnya dari Amerika Syarikat  ke Australia yang beza zon masa sebanyak hampir 20 jam ialah kurangkan tidur sebelum waktu berlepas. Di dalam tempoh 12-24 jam sebelum waktu berlepas saya sudah menyesuaikan diri (body clock) dengan waktu di Australia.

Bagi saya yang kerap terbang ke penerbangan antarabangsa yang jauh, jet lag bukan satu masalah tetapi saya perlu menanganinya dengan cepat sebelum saya menyambung semula penerbangan seterusnya.

Seperti contoh lain pula, sekiranya penerbangan dari Amerika Syarikat yang saya ambil ialah pada jam 11.00 malam (waktu di Australia 4.00 petang), saya cuba untuk tidak tidur di dalam pesawat sehinggalah masuk waktu malam di Australia. Apabila tiba di Australia pada sebelah pagi, saya akan berasa segar. Tidak dinafikan, sedikit keletihan dan mengantuk akan dialami juga pada sebelah siang (sesudah berada di Australia), akan tetapi saya cuba mendisplinkan diri dengan cuba menahan rasa mengantuk itu. Saya akan tidur seawal jam 8.00 atau 9.00 malam selama lebih kurang 8-10jam. Keesokan harinya waktu tidur dan body clock saya sudah kembali seperti biasa seolah seperti sudah 'reset'.

Penerbangan Qantas Airways yang saya ambil dari Los Angeles ke Melbourne. Dari Amerika Syarikat lagi saya sudah mula menukar 'body clock' saya kepada waktu Australia.

Dua gambar di atas adalah contoh penerbangan terus (direct flight) yang senang untuk saya terjemahkan kepada para pembaca. Hakikat sebenar, kebiasaanya saya perlu mengambil beberapa lagi penerbangan domestik terlebih dahulu sebelum tiba ke destinasi terakhir untuk berlepas ke Australia (seperti dari Los Angeles atau Dallas).

Antara beberapa penerbangan domestik yang perlu diambil di dalam Amerika Syarikat sebelum berlepas untuk penerbangan antarabangsa.

Berbalik semula contoh penerbangan saya dari Amerika Syarikat (destinasi pertama) ke Australia (destinasi terakhir) atau sebaliknya yang memerlukan saya terbang dan singgah ke beberapa lapangan terbang, jumlah penerbangan keseluruhan ialah lebih kurang 30-45 jam.

Tiga rekod penerbangan saya bersama dengan Qantas Airways dan American Airlines yang terkini. Jumlah ini adalah biasa bagi saya dan suami.

Salah satu lagi penerbangan panjang bersama Emirates (termasuk transit) yang memakan masa hampir 40 jam. Dari New York ke Dubai kemudian ke Kuala Lumpur dan Melbourne.

Saya berharap tips pada kali ini dapat membantu anda sedikit sebanyak tentang masalah jet lag.
Tips Melancong yang saya kongsikan di sini adalah bersiri dan saya akan terus siarkan secara berperingkat.
Entri yang lain boleh anda baca di sini;

Tips Melancong - Perancangan Percutian Ke Luar Negara
http://sharery.blogspot.com.au/2015/01/tips-melancong-perancangan-percutian-ke.html

Tips Melancong - Pengurusan Pakaian Dan Bagasi 
http://sharery.blogspot.com.au/2015/03/tips-melancong-tata-cara-dan-adab.html

Tips Melancong - Tatacara Dan Adab Semasa Berada Di Lapangan Terbang;
http://sharery.blogspot.com.au/2015/03/tips-melancong-tata-cara-dan-adab.html

Tips Melancong - Cara Menjaga Keselamatan Pasport
http://sharery.blogspot.com.au/2015/06/tips-melancong-cara-menjaga-keselamatan.html

Tips Melancong - Mengetahui Lokasi Pejabat Kedutaan Dan Konsulat Di Luar Negara
http://sharery.blogspot.com.au/2015/06/tips-melancong-mengetahui-lokasi.html

Tips Melancong - Adab Dan Displin Sebelum Memasuki Pesawat
http://sharery.blogspot.com.au/2015/07/tips-melancong-adab-dan-displin-sebelum.html

Jika anda mempunyai sebarang pertanyaan, sila nyatakan di dalam ruangan komen dan tinggalkan alamat e-mel untuk saya membalasnya kelak. Anda juga boleh ikuti perkembangan saya melalui akaun Instagram, blog_th2010.



2 comments: